Isnin, 26 Mei 2014
Premis yang masih menjual coklat Cadbury ada DNA babi boleh didenda
Premis yang masih menjual dua jenis coklat Cadbury yang mengandungi DNA khinzir (porcine), boleh didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Mohd Roslan Mahayudin berkata hukuman itu, di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, tidak kira sama ada penjual di peringkat runcit, pengedar atau pengilang.
"Bagi sesebuah pertubuhan perbadanan pula mereka boleh didenda tidak melebihi RM 250,000," katanya pada sidang akhbar di sini Isnin.
Roslan berkata mana-mana pihak yang masih menjual coklat berkenaan sewajarnya memulangkan kembali kepada pihak pembekal dan pengilang.
Katanya arahan juga telah dikeluarkan kepada pejabat cawangan KPDNKK di seluruh negara untuk bergerak memantau penjualan coklat itu termasuk di kedai-kedai bebas cukai di lapangan terbang.
Menurutnya KPDNKK akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membuat pemeriksaan.
"Kami telah menurunkan kuasa kepada 212 pegawai Jakim di seluruh negara dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri untuk penguatkuasaan berhubung halal ini," katanya.
Sabtu lepas, Kementerian Kesihatan mendedahkan dua sampel coklat Cadbury, iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam, dikesan mengandungi DNA (Asid Deoksiribonukliek) khinzir.
Jakim menggantung serta-merta sijil pengesahan halal dua produk coklat itu.
Bajet 2015 dijangka dibentang Oktober depan
Bajet 2015 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 10 Okt, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata Bajet 2015 penting memandangkan ia merupakan belanjawan akhir Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), yang menyediakan peruntukan untuk program dan projek berbaki dalam tempoh rancangan pembangunan terbabit.
"Ia juga akan membantu memastikan peralihan lancar kepada Rancangan Malaysia ke-11 yang menyediakan dorongan akhir dalam mentransformasikan negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020," kata Najib yang juga Menteri Kewangan sebelum mempengerusikan mesyuarat perundingan Bajet 2015, di sini Isnin.
Tema perundingan bajet tahun ini ialah 'Meningkatkan Pertumbuhan, Memastikan Kemampanan Fiskal dan Memakmurkan Rakyat'.
"Dalam meningkatkan usaha bagi memastikan ekonomi terus berkembang, kami juga komited melihat agenda reformasi fiskal tidak dipinggirkan.
"Saya akan terus menyediakan (belanjawan) pengembangan, namun tidak mengetepikan defisit negara.
"Kerajaan menjangkakan dapat mengurangkan defisit fiskal kepada 3.5 peratus tahun ini dan mencapai belanjawan seimbang pada 2020," kata perdana menteri.
Najib juga berkata Jawatankuasa Dasar Fiskal yang juga memantau semua aspek pengurusan fiskal dalam negara, sudah bertemu beberapa kali sejak penubuhannya pada Jun 2013.
"Jawatankuasa itu sudah berbincang secara mendalam mengenai beberapa langkah fiskal, termasuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan dan rasionalisasi subsidi," katanya.
Najib juga berkata jawatankuasa itu merancang menyediakan rangka kerja fiskal jangka sederhana yang akan mengetengahkan strategi bagi memastikan kemampanan fiskal jangka sederhana dan jangka panjang.
Selain itu, Najib berkata kerajaan memberi perhatian serius ke atas cadangan Ketua Audit Negara bagi menambah baik perbelanjaan kerajaan.
"Untuk itu, kami sedang mengambil pendekatan menyeluruh dalam memastikan pengurusan kewangan berhemat.
"Sebarang salah laku dan kelemahan pentadbiran kerajaan juga akan ditangani secara berkesan," kata Perdana Menteri.
Ahad, 25 Mei 2014
JPJ- Tidak ada operasi cermin gelap buat masa ini
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan melaksanakan operasi cermin gelap secara besar-besaran buat masa ini, namun operasi berkala tetap dilakukan seperti biasa.
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Ismail Ahmad turut menafikan mereka tidak membenarkan langsung penggunaan cermin gelap pada kenderaan.
"JPJ hanya mahu mahu memastikan semua penggunaan cermin gelap itu diluluskan mengikut peraturan yang telah ditetapkan, itu sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Dun Kuang di sini hari ini.
Beliau mengulas kerisauan orang ramai berhubung operasi cermin gelap secara besar-besaran bermula 16 Jun ini, seperti yang diumum Polis Diraja Malaysia (PDRM).
PDRM sebelum ini dilapor memberi tempoh sehingga 15 Jun untuk pemilik menukar atau menanggalkan lapisan penebat haba yang terlalu gelap pada cermin kenderaan masing-masing-masing atau berdepan kompaun RM300.
Tempoh yang sama juga diberi kepada pemilik kenderaan menukar nombor plat kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi.
Ditanya kemungkinan undang-undang berkaitan cermin gelap akan dipinda, Ismail berkata perkara itu akan dikaji secara menyeluruh dalam satu bengkel khas bermula 2 Jun ini di Shah Alam.
"Semua pihak berkepentingan akan menyertai bengkel itu, contohnya PDRM akan tengok dari aspek jenayah mengenai tahap kegelapan yang sesuai, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula akan tengok dari segi kalau gelap sangat ditakuti aktiviti yang tidak diingini di dalam kereta boleh berlaku, mengenai cuaca panas pun ada kebenarannya, jadi isu ini akan dikaji secara menyeluruh supaya keputusan yang dibuat nanti dapat memenuhi kehendak semua pihak," katanya. -
Piala Thomas-PM bangga walaupun kita tewas
Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa bangga dengan pasukan badminton negara yang berjaya menyatukan rakyat Malaysia meskipun gagal menamatkan penantian 22 tahun negara untuk menjulang Piala Thomas.
"Kita tetap bersatu dalam kemenangan mahupun kekalahan. Saya bangga dengan pasukan PialaThomas negara. Kita cuba lagi dan tahniah kepada Jepun," kata Perdana Menteri dalam catatan di laman Twitter, Ahad.
Malaysia tewas 2-3 kepada pasukan Jepun pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas 2014 di Stadium Tertutup Siri Fort di New Delhi, India, Ahad malam.
Sementara itu, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, ketika dihubungi penyampai berita sukan TV1 RTM Jasni Shafie, menyifatkan nasib tidak menyebelahi pasukan Malaysia walaupun mereka bermain bersungguh-sungguh untuk memenangi piala berkenaan.
Rosmah, yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), berkata beliau berasa bangga kerana pemain Malaysia bermain bermati-matian terutama pemain perseorangan terakhir Daren Liew.
"Apapun kita tak putus asa. Saya rasa rakyat Malaysia setuju dengan saya. Mereka telah bermain dengan baik dan bersungguh-sungguh. Kita tunggu empat tahun lagi dan cuba dapatkan Piala Thomas untuk Malaysia, insya-Allah," katanya.
Ditanya sama ada Perdana Menteri juga menonton siaran langsung perlawanan itu bersama beliau, Rosmah berkata mereka sekeluarga sempat menonton pusingan awal perlawanan akhir berkenaan sebelum Najib perlu menghadiri satu acara di luar.
"Saya patut iringi beliau... saya sudah sikat rambut dan pakai baju tapi bila tengok ada peluang (untuk menang), saya tunggu lagi. "Akhir sekali Datuk (Najib) telefon cakap tak payah pergi sebab diapun dah nak balik," katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan turut merakam ucapan tahniah kepada pasukan Malaysia kerana menunjukkan semangat yang juang tinggi.
"Saya berbangga dan saya pasti seluruh rakyat Malaysia juga turut berasa bangga dengan semangat juang tinggi yang telah ditunjukkan pasukan Malaysia pada malam ini. Mereka telah bertarung habis-habisan walaupun tidak dapat merangkul Piala Thomas," katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah memberi semangat dan sokongan jitu kepada pasukan negara.
"Insya-Allah, dengan usaha dan sokongan berterusan, saya percaya kejayaan akan menanti kita dan harapan untuk membawa kembali Piala Thomas akan menjadi satu kenyataan tidak lama lagi," katanya.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir pula mengucapkan tahniah kepada pasukan Malaysia.
"Walaupun tak berjaya bawa pulang #ThomasCup2014 tapi kami tetap berbangga. Omedetou Nippon!" katanya.
Calon tolak hudud menang PKR Bukit Jelutong
DAP mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gelugor pada pilihan raya kecil yang berlangsung hari ini, namun dengan majoriti berkurangan iaitu 37,659 undi.
Calon DAP Ramkarpal Singh Deo, 38, yang merupakan anak ketiga mendiang Karpal Singh, memperoleh 41,242 undi, menewaskan tiga lagi calon iaitu Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan yang mendapat 3,583 undi dan dua calon BEBAS iaitu Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar (799 undi) dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan (225 undi).
Sebanyak 539 kertas undi ditolak.
Keputusan itu diumum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kapten (B) Anuar Yahya di pusat penjumlahan undi di Dewan Sri Pinang di sini.
Huan, Mohamed Nabi Bux dan Abu Backer Sidek hilang wang deposit.
Anuar berkata daripada 82,431 pengundi berdaftar, hanya 56.04 peratus atau 46,099 pengundi yang keluar mengundi.
Jumlah majoriti undi yang diperoleh Ramkarpal Singh berkurangan sebanyak 5,047 undi atau 11.8 peratus berbanding jumlah yang diperoleh mendiang ayahnya.
Pada pilihan raya umum lepas, Karpal Singh memenangi kerusi itu dengan majoriti 42,706 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Teh Beng Yeam, yang memperoleh 13,597 undi.
Pilihan raya kecil itu, yang menyaksikan pertembungan empat penjuru, diadakan berikutan kematian Karpal Singh dalam nahas jalan raya pada 17 April lepas.
Khamis, 22 Mei 2014
Tuduh Melayu Celaka-Pemuda UMNO kecam ADUN DAP
Pergerakan Pemuda Umno mengecam keras tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima R.S.N Rayer yang mengaku tidak akan memohon maaf atas kenyataannya "pemimpin Umno celaka" dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang Selasa lepas.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin dalam kenyataan hari ini berkata, sebagai seorang Adun, Rayer secara terang menggunakan imuniti dengan mengeluarkan kata-kata kesat itu kerana mengetahui tidak akan dikenakan tindakan.
"Sebagai seorang wakil rakyat, tindakan dan keceluparan itu tidak harus dilakukan kerana rakyat boleh menilai integriti seseorang pemimpin," katanya.
Jelas Khairy, apa yang pelik wakil rakyat DAP itu tidak pula mahu mengulangi perkataan itu terhadap para pemimpin dan penyokong Umno di luar Dun Pulau Pinang.
"Jadi, kita boleh simpulkan wakil rakyat itu gemar melakukan 'keberanian terpilih' atau bahasa mudahnya, seorang penakut," tambah beliau.
Khairy berkata sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno beliau menyokong penuh tindakan Pemuda Umno Negeri Pulau Pinang yang membantah tindakan Rayer.
Ia perlu terus dilakukan bagi memberi tekanan dan memastikan Rayer menarik balik kenyataannya itu, katanya.
"Kami cabar Rayer supaya mengulangi kata-kata kesat itu terhadap para pemimpin Umno secara terbuka di luar dewan di hadapan kami," tambah beliau.
Pada masa yang sama, Khairy mengingatkan ahli Pemuda Umno supaya mengikut landasan undang-undang dan tidak menceroboh sidang Dun atau membahayakan keselamatan awam dalam membuat sebarang bantahan.
Tindakan menceroboh Dewan (Undangan Negeri) tetap salah, katanya.
Semalam 10 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Dun Pulau Pinang mengecam tindakan Rayer yang mengeluarkan perkataan kesat dengan menggelar pemimpin Umno sebagai 'celaka' ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.
Laporan media semalam menyebut Ketua Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman berkata kenyataan itu amat keterlaluan, biadab dan tidak sepatutnya diungkap oleh seorang wakil rakyat yang juga peguam kerana pertuturan sebegitu mencemar kedudukan beliau.
Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Pulau Pinang Michael Lee dalam satu kenyataan berkata Umno dan BN perlu menunjukkan yang mereka jauh lebih beradab dan membuktikan tuduhan dilemparkan terhadap mereka adalah tidak berasas.
"Ini boleh dilakukan dengan membuat bantahan menerusi undang-undang, mengadakan protes secara aman mengikut undang-undang, secara rasional, secara berhemah dan menyerahkan memorandum kepada DAP.
"Kita juga boleh meminta untuk mengadakan pertemuan untuk menyatakan rasa kesal kita atau mengeluarkan kenyataan media untuk membantah penghinaan itu.
Tetapi pastinya bukannya dengan cara memberikan ugutan secara fizikal, menimbulkan kekecohan atau merosakkan harta benda awam atau persendirian," katanya. - Bernama
Sarawak layak jadi negeri maju tahun depan
Sarawak layak mencapai status negeri maju menjelang akhir tahun depan berdasarkan pendapatan per kapita yang dijangka dicapai menjelang tempoh itu, kata Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Beliau berkata kemajuan ekonomi yang dinikmati Sarawak sekarang telah membolehkan rakyat menyaksikan pembangunan dilaksanakan hampir di setiap pelusuk negeri ini.
"Saya fikir menjelang akhir 2015, kita akan mencapai pendapatan per kapita yang melayakkan kita menjadi negeri maju," kata beliau ketika berucap pada majlis penghargaan buat dirinya, 'Malam Tokoh Wawasan Terbilang', di sini malam Rabu.
Menurutnya menjelang 2030, Sarawak akan menjalani transformasi berikutnya dalam konteks struktur ekonomi dan rombakan bakat tenaga kerjanya.
"Perancangan asas telah disediakan dan kawasan perladangan kita telah meningkat kepada lebih dua juta hektar sebagai pelaburan kepada rakyat dengan pendidikan lebih baik akan dilaksanakan di kawasan luar bandar dan memperoleh pendapatan setaraf di bandar," kata beliau.
Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata wawasan Taib yang berpandangan jauh telah membolehkan Sarawak mencapai tahap kemajuan sekarang.
Menurutnya Taib menumpukan lebih 50 tahun daripada hidupnya untuk memastikan kehidupan rakyat Sarawak berubah menjadi lebih baik.
"Beliau (Taib) memanfaatkan sepenuhnya hidup beliau. Setahun dalam hidupnya adalah bersamaan 10 tahun bagi orang biasa," kata Adenan.ERNAMA
Langgan:
Ulasan (Atom)






