Ahad, 4 Mei 2014
Khalid yakin mampu memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin dapat memenangi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun penyandangnya, Mohamed Azmin Ali, sedang mendahului kedudukan pada pemilihan parti itu.
Abdul Khalid berkata faktor keyakinan itu yang mendorong beliau untuk bertanding bagi jawatan nombor dua parti pada pemilihan yang bermula pada Sabtu minggu lepas.
"Saya yakin (boleh menang), sebab itu saya bertanding," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Kampung Pecah Batu di Bestari Jaya di sini, Ahad.
Keputusan terkini menyaksikan Azmin mendahului dua pencabarnya apabila memperoleh 5,111 undi berbanding Abdul Khalid (2,288) dan Datuk Saifuddin Nasution (2,322).
Ditanya mengenai harapannya menjelang pemilihan parti peringkat Selangor pada 11 Mei ini, Abdul Khalid berkata beliau mempunyai harapan yang tinggi berikutan negeri itu mempunyai jumlah anggota PKR paling ramai iaitu melebihi 170,000 orang.
"Selangor merupakan negeri yang akan menjadi penentu kerana mempunyai lebih 170,000 anggota PKR selain Sabah yang mempunyai lebih 90,000 anggota," katanya.
Menteri Besar itu juga bakal dicabar bekas anggota parlimen Kapar S. Manikavasagam bagi jawatan Ketua Cabang Kuala Selangor pada pemilihan itu.
Tasik Kenyir bakal menjadi tarikan pelancong unik di dunia
Kerajaan Terengganu akan menjadikan Tasik Kenyir lebih menarik dan unik sekali gus menambat hati pengunjung terutama pelancong asing yang bakal dijadikan kawasan bebas cukai pertama di dunia menjelang September tahun depan.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata antara perkara menarik yang bakal diwujudkan di Tasik Kenyir tempat khas untuk kemudahan pelancong kaum wanita sahaja.
"Di dalam tasik itu mempunyai banyak air terjun, dan satu daripadanya kita akan khaskan untuk kaum wanita sahaja iaitu semua urusan seperti pemandu bot, bahagian keselamatan dan sebagainya akan dikendalikan petugas wanita.
"Kita buat ini setelah menerima permintaan daripada pelancong asing terutama dari Asia Barat yang mahukan satu kawasan khas untuk kemudahan wanita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kenyir 2014 yang berlangsung sebulan sehingga 29 Mei di Pangkalan Gawi, Tasik Kenyir di sini hari ini.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Zubir Embong dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Wan Mat Amin Wan Daud.
Ahmad berkata sehingga kini kerajaan membelanjakan RM300 juta bagi membangunkan tasik itu sebagai kawasan pelancongan dan tasik bebas cukai.
Katanya antara kerja-kerja yang siap seperti membekalkan elektrik ke Pulau Bayas tapak kawasan bebas cukai dengan menarik kabel sejauh 22 kilometer melibatkan perbelanjaan RM33 juta.
Beberapa buah pulau yang dimajukan di dalam tasik itu sebahagiannya telah siap dan kini kerja-kerja membina jeti utama di Pulau Bayas sedang berjalan melibatkan peruntukan RM70 juta.
Beliau berkata kerja-kerja pembinaan rangkaian perkedaian, kemudahan untuk Indah Water dan menyediakan tangki air serta kompleks kastam sedang berjalan yang kini siap 75 peratus.
Katanya dalam masa terdekat pembinaan jambatan baharu empat lorong yang merupakan kemudahan utama menghubungkan Pangkalan Gawi ke Pulau Poh Besar akan berjalan.
Ahmad berkata pulau yang mempunyai keluasan kira-kira 40 hektar itu juga akan dibina dua jeti iaitu untuk penumpang dan jeti untuk kargo.
"Di pulau itu kita akan bina hotel, taman permainan air selain 1,000 tempat letak kereta kerana di Pangkalan Gawi tidak mempunyai kawasan yang luas untuk tempat letak kenderaan," katanya.
Mengenai Kenyir Elephant Village Ahmad berkata perkampungan gajah itu yang diuruskan pihak swasta, akan mula dibuka pada Jumaat ini (9 Mei).
"Ketika ini taman itu sudah mempunyai sembilan ekor gajah jinak dan 14 ekor gajah liar yang berada di sekitar kawasan itu serta akan menambah 21 ekor gajah lagi di situ," katanya
Ahmad berkata yang menarik dan uniknya kawasan Kenyir Elephant Village ia akan wujudkan beberapa chalet di atas pokok selain jambatan gantung dan kawasan tinjau yang mengelilinginya.
Kerajaan Terengganu melalui Ketengah menyasarkan kehadiran 500,000 pelancong ke tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara dengan mempunyai 340 pulau buatan, selepas menarik 400,000 pelancong tahun lepas.
Sabtu, 3 Mei 2014
MH370- PDRM tidak akan mengeluarkan hasil siasatan- KPN
Polis Diraja Malaysia (PDRM) buat masa ini tidak merancang untuk mengeluarkan sebarang hasil siasatan berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata perkara itu termasuklah empat aspek siasatan iaitu rampasan, sabotaj, masalah psikologi dan masalah peribadi penumpang serta anak kapal.
"Oleh kerana siasatan masih dijalankan, kita tidak akan beritahu apa-apa hasil kedapatan siasatan yang kita ada sekarang ini," katanya dalam sidang media selepas tamat acara menembak bersama media di Lapang Sasar Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di sini, Sabtu.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dan Pengarah Jabatan Logistik Polis Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah.
Beliau turut berkata sehingga semalam, pihaknya merekodkan 311 keterangan termasuk daripada keluarga mangsa terbabit.
Penerbangan MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.
Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudiannya difahamkan ia telah melencong daripada laluan asalnya dan berakhir di selatan Lautan Hindi.
Sementara itu, berhubung kejadian penculikan di Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna, April lepas, Khalid berkata pihaknya masih berhubung dengan rakannya di China dan Filipina.
"Mangsa selamat dan kita sedang lakukan semua yang mungkin dan mampu untuk selesaikannya," katanya.
Pada 2 April lepas, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menceroboh Singamata Adventures Reef and Resort dan menculik dua wanita iaitu Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai, China dan seorang pekerja resort warga Filipina, Marcy Dayawan, 40.
MH370-MAS minta media tidak dedahkan jumlah pampasan
Malaysia Airlines (MAS) meminta pihak media agar tidak mendedahkan jumlah pampasan yang diberikan kepada keluarga penumpang pesawat MH370 yang hilang bagi mengelak kemungkinan berlaku ancaman keselamatan.
Naib Presiden Kanan Komunikasi Strategik MAS, Datuk Najmuddin Abdullah berkata anggota keluarga penumpang turut membuat permintaan yang sama.
"Malaysia Airlines tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai jumlah pampasan seperti yang diperoleh oleh media dan kami percaya ia diperoleh dari sumber lain," katanya dalam satu kenyataan di sini Sabtu.
Oleh itu MAS memohon kerjasama media agar menarik balik segala artikel yang diterbitkan yang menyatakan jumlah pampasan.
Jumlah itu, katanya hanya akan diberitahu kepada keluarga penumpang dan dilakukan para kaunselor MAS dan menambah adalah penting pihak media menghormati keselamatan dan privasi keluarga penumpang.
Terdapat lebih 1,000 anggota keluarga di bawah penjagaan MAS dan keutamaan syarikat penerbangan negara itu adalah bagi membantu mereka, katanya.
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Beijing kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 8 Mac.
Tranformasi dalaman MCA kena pada masanya- PM Najib
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau melihat kesediaan MCA melakukan transformasi dalaman sebagai langkah yang tepat pada masanya bagi membolehkan parti berkenaan terus relevan dan mendapat tempat di kalangan masyarakat Cina.
Perdana Menteri berkata langkah transformasi dalaman itu disertakan bersama pelan penyertaan MCA dalam penggubalan rangka kerja bagi memperkukuhkan masa depan komuniti Cina di negara ini.
Katanya, setiap anggota parti juga seharusnya mengambil kira perkembangan semasa dalam kepimpinan parti dan bersama-sama merealisasikan hala tuju masa depan parti yang mampu memberi manfaat kepada anggotanya, rakyat dan negara.
"Bermula dengan perubahan dalaman, MCA perlu melihat segala kekuatan yang sedia ada serta berani melihat segala kelemahan yang masih membelenggu parti itu selama ini,' katanya semasa berucap melancarkan Perhimpunan Perpaduan MCA yang bertemakan "Teguh Bersama" di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman di sini, Sabtu.
Najib berkata cabaran dalam kepimpinan dalam MCA selama ini telah membawa kepada kelemahan dalam parti itu, dan oleh itu, kepimpinan parti perlu mewujudkan rasa kebersamaan dalam parti berkenaan untuk mencapai semula zaman kecemerlangan itu.
"Ia mudah dikata daripada dilakukan. Dalam pengalaman saya, Umno juga mempunyai masalah tetapi kita perlu menangani masalah kita. MCA juga seperti parti lain perlu menangani masalah dalaman," kata Najib.
Oleh ktu, Najib berkata MCA perlu menunjukkan semangat baharu dan sedia berubah untuk terus kekal relevan kerana parti itu telah sampai ke persimpangan yang kritikal dalam sejarahnya dan ini mungkin peluang terakhir untuk MCA.
"Bagi masa depan MCA, anggota parti itu perlu bersedia untuk bangkit, bangun bersama dan bekerjasama untuk lebih komited bagi menghidupkan semula MCA demi kebaikan parti itu sendiri, Barisan Nasional dan negara," katanya.
Sebagai Pengerusi BN dan Perdana Menteri, Najib mengakui dan menghargai MCA sebagai rakan kanan dalam parti komponen itu.
"Saya mahu MCA sedar dan berasa bahawa Umno dan BN perlukan anda (MCA) dan anda (MCA) perlukan Umno dan BN. Pada asasnya, hubungan di antara kepimpinan orang Melayu dan orang Cina terjalin sejak zaman Tun Tan Cheng Lock, Tunku Abdul Rahman (Putra Al-Haj) dan Tun Razak (Hussein) yang menampakkan kerjasama itu berjaya sehingga hari ini," katanya.
Walaupun generasi muda tidak sedar detik-detik mencemaskan dalam sejarah mencapai merdeka, Najib berkata generasi tua lebih mengetahui dan menghargai perpaduan, kepercayaan dan keikhlasan adalah dasar penting bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berjaya.
"Inilah apa yang diperlukan BN dan MCA hari ini. Semuanya mengenai keikhlasan dan kejujuran antara satu sama lain. Ini bukan soal menang pilihan raya umum akan datang. Ia mengenai pembinaan negara yang bermakna kami adalah rakan bagi menyelesaikan masalah kita bersama.
"Kami beri sedikit ruang, dan perbezaan pendapat dalam lingkungan keluarga BN selagi ia boleh dilihat secara positif. Walaupun kita berbeza, dalam gambaran yang lebih besar, kita semua mempunyai impian, visi dan aspirasi yang sama," katanya.
Sehubungan itu, Perdana menteri menegaskan bahawa MCA adalah rakan penting dalam BN dan parti itu mesti kekal sebagai suara dan hati nurani masyarakat Cina di negara ini.
"Inilah harapan saya bahawa apabila kita bersemangat, dengan tema Teguh Bersama, kita akan menepati janji, dan berkhidmat. Saya mengharapkan MCA, sebanyak mana MCA mengharapkan saya dan BN.
"Kita akan membuktikan kepada rakyat bahawa BN masih pilihan terbaik untuk Malaysia. Saya juga ingin melihat MCA menjadi parti lebih kuat dan rakan kongsi BN yang berjaya," katanya.
Mengulas mengenai Kempen Teguh Bersama MCA, Najib berkata Perhimpunan ini merupakan titik permulaan kepada pemulihan parti itu untuk terus berganding bahu menyumbang kepada pembangunan Malaysia bagi membina sebuah negara yang kuat dan dihormati negara luar.
"Kita mestilah bekerjasama dan bersatu padu untuk membina kekuatan yang lebih teguh. Saya berharap bahawa program Teguh Bersama ini dapat menyatupadukan masyarakat Cina dan juga masyarakat Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
Jumaat, 2 Mei 2014
PRK BUkit Gelugor- MCA senarai pendek tiga nama
MCA menyenarai pendek tiga nama calon bagi pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei depan.
Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata nama calon-calon berkenaan akan diserahkan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga perdana menteri untuk dipertimbangkan.
Beliau berkata kesemua calon adalah orang tempatan.
"Kita tidak akan bincangkan calon-calon kita di media massa kerana saya perlu menghormati perdana menteri yang juga pengerusi BN. Kita akan bincangkannya di peringkat dalaman," katanya kepada pemberita selepas menghadiri dialog bersama barisan pimpinan MCA negeri di sini Jumaat.
Ditanya sama ada dengan penyenaraian nama calon itu membayangkan BN akan bertanding pada PRK itu, beliau berkata: "Ini kita juga akan bincangkan dalam Barisan Nasional. Saya tidak akan berkata lebih dari itu. Ini kerusi MCA dan kita daripada hari pertama telah membuat persiapan sepanjang masa, sebelum dan selepas pilihan raya.
"Kita juga tidak melepaskan tanggungjawab untuk menjaga kawasan kita walaupun kalah di Bukit Gelugor pada pilihan raya lepas, kita masih terus berkhidmat."
Kekosongan kerusi Bukit Gelugor berlaku selepas kematian penyandangnya Karpal Singh dalam nahas berhampiran Gua Tempurung, Kampar, Perak pada 17 April lepas.
Penamaan calon ditetapkan pada 12 Mei.
Karpal memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2013 dengan majoriti 42,706 undi menewaskan calon BN Teh Beng Yeam yang memperoleh 13,597 undi.
Dalam perkembangan lain, Liow menafikan dakwaan bahawa MCA mahu menukar kerusi kawasan tersebut dengan Gerakan bagi membolehkan ia bertanding di kawasan Parlimen Teluk Intan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser semalam.
Liow sebaliknya berkata MCA akan menyokong Gerakan jika mereka mahu meletakkan calon pada PRK Teluk Intan nanti.
"Itu tidak benar, kerusi Bukit Gelugor adalah kerusi MCA dan kerusi Teluk Intan adalah kerusi Gerakan. Kita akan teruskan dari segi kedudukan kerusi ini dan kita akan membuat persiapan.
"Apa-apa cadangan (untuk pertukaran kerusi) memerlukan persetujuan daripada semua pihak dalam BN," katanya.
-- BERNAMA
MH370- Kenyataan Pemangkau Menteri Pengangkutan pada hari ke 56
Berikut adalah kenyataan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, yang beliau baca dalam sidang akhbar di Hotel Royale Chulan di sini Jumaat
"Hari ini adalah hari ke-56 MH370 hilang. Hakikat bahawa MH370 masih belum dijumpai setelah lebih tujuh minggu usaha mencari dilakukan di darat, udara dan laut membuktikan betapa sukarnya keseluruhan misi ini. Bagaimanapun, kami tetap teguh dengan komitmen kami untuk mencari MH370 dan akan terus mempergiat usaha mencarinya.
Seperti yang dijanjikan Perdana Menteri minggu lepas, kami mengeluarkan Laporan Awal seperti yang dihantar kepada ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) berserta maklumat tambahan.
Ini konsisten dengan pendirian kami bahawa demi keterbukaan dan ketelusan, semua maklumat yang tidak menjejaskan penyiasatan atau operasi mencari, akan didedah kepada umum. Perlu ditegaskan bahawa laporan yang disiar kepada umum semalam adalah suatu laporan awal. Namun begitu seperti yang saya tegaskan sejak awal lagi, kami tidak menyembunyikan apa-apa.
PERJUMPAAN DENGAN ANGUS HOUSTON DAN JEAN PAUL TROADEC
Awal hari ini, saya mengadakan perjumpaan dengan Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston, yang mengetuai Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) di Perth dan menyelaras usaha mencari MH370 di selatan Lautan Hindi, serta Jean Paul Troadec iaitu Ketua Pasukan Penyiasat Perancis bagi pesawat Air France 447 merangkap bekas Ketua Biro Penyiasatan Nahas Udara.
Kedatangan dua individu ini ke Kuala Lumpur adalah untuk berbincang tentang fasa baharu dalam operasi mencari. Perjumpaan ini menjadi bukti keterangkuman Malaysia dalam menyelaras fasa berikutnya bagi usaha mencari 'yang tidak pernah dilakukan sebelum ini' serta mengesahkan sekali lagi komitmen padu kami dan masyarakat antarabangsa untuk mencari MH370.
KEMAJUAN JAWATANKUASA KECIL
Tiga jawatankuasa kecil yang diketuai tiga timbalan menteri telah mengadakan mesyuarat dan usaha sedang dipergiat bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi fasa berikutnya. Izinkan saya memberi maklumat terkini berkaitan kemajuan yang mereka capai.
i) Jawatankuasa Teknikal
Pasukan Penyiasat Antarabangsa, yang diketuai Dato Kok Soo Chon iaitu bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan bekas Wakil Tetap di Majlis ICAO di Montreal, telahpun memulakan siasatan berkaitan insiden itu seperti disyaratkan dalam Terma Rujukan ICAO. Pasukan ini telah bermesyuarat sebanyak lima kali dan kemajuan siasatan akan dilaporkan apabila tiba masanya.
ii) Jawatankuasa Waris
Semalam, Malaysia Airlines mengumumkan ia akan membayar pampasan pendahuluan secepat mungkin kepada waris yang berhak. Pakej pampasan ini bertujuan memenuhi keperluan segera keluarga terbabit dari segi kewangan.
Saya ingin menegaskan sekali lagi pendirian kerajaan seperti yang diumum semalam oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, yang mengetuai Jawatankuasa Kecil Waris, bahawa kami yakin dengan komitmen Malaysia Airlines untuk membantu dan menyokong keluarga mereka yang menaiki pesawat MH370.
Seiring dengan itu, saya juga ingin merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan China atas sokongan kuat mereka dalam perkara ini. Saya dengan sesungguh hati ingin menggesa Malaysia Airlines agar terus berhubung dengan keluarga penumpang terbabit apabila kami memasuki fasa baharu ini. Amat penting bagi MAS untuk memelihara dan menambah baik platform serta saluran komunikasi yang wujud antara syarikat penerbangan itu dan keluarga terbabit sejak lapan minggu lepas.
Anggota keluarga penumpang terbabit, di mana sahaja mereka berada, perlu sentiasa dimaklumkan dengan segera berkaitan perkembangan penting usaha mencari pesawat berkenaan. Kami bertanggungjawab memaklumkan mereka tentang perkembangan yang berlaku dan menyiasat hingga ke akar umbi insiden ini.
iii) Jawatankuasa Penggunaan Aset
Mengenai penggunaan aset, kami telah berbincang secara mendalam dengan beberapa syarikat Malaysia iaitu Petronas, Deftech, Boustead dan Sapura Kencana beberapa hari lepas berkaitan penggunaan aset khusus. Sistem dalam air dan platform khusus ini termasuk Kenderaan Autonomi Tanpa Kendalian Manusia (AUV), alat dikenali sebagai 'Deep Water Towed Side Scan Sonar', Kenderaan Kendalian Jarak Jauh (ROV) dan kapal sokongan, akan digerak bagi menyertai fasa baharu misi pencarian ini.
Semua entiti Malaysia yang terlibat dalam usaha ini perlu bekerja sebagai sebuah pasukan yang membawa panji-panji Malaysia untuk mencari MH370.
PERJALANAN KE CANBERRA
Minggu depan, saya akan mengetuai satu delegasi ke Canberra bagi menghadiri Mesyuarat Tiga Hala Peringkat Menteri, yang akan dihoskan rakan sejawatan kami dari Australia pada 5 Mei 2014. Mesyuarat ini akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Infrastruktur dan Industri Australia.
Saya akan diiringi ketua tiga jawatankuasa kecil terbabit iaitu Timbalan Menteri Pertahanan, Timbalan Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri Luar serta Dato Azharuddin Abdul Rahman daripada DCA, Ahmad Jauhari daripada MAS dan wakil kementerian berkenaan.
Delegasi China juga akan menyertai kami dalam mesyuarat itu, yang diketuai Menteri Pengangkutan Yang Chuantang diiringi Naib Menteri Pengangkutan He Jianzhong dan Naib Menteri Luar Xie Hangsheng serta pegawai kanan kerajaan.
DAKWAAN BERKAITAN TELUK BENGGALA
Mengenai dakwaan berkaitan Teluk Benggala, kami bersetuju dengan kenyataan Angus Houston bahawa ia adalah amat mustahil. Banyak petunjuk sebelum ini terbukti negatif dan keadaan ini adalah sama seperti apa yang kami alami sebelum ini. Walaupun tiada maklumat baharu, kami tetap meminta negara pesisir agar mengesahkan dakwaan itu.
Ketika ini, tiga kapal Bangladesh termasuk sebuah kapal peninjau berada di kawasan pencarian itu. Setakat ini, tiada apa yang ditemui.
Dalam memasuki fasa baharu pencarian, kami mengucapkan terima kasih atas sokongan berterusan yang kami terima daripada masyarakat antarabangsa dan pihak berkepentingan di peringkat domestik. Kami juga terharu dengan sokongan yang diterima dari pelbagai negara yang tampil membantu walaupun mereka tidak menyertai fasa awal operasi SAR.
Kami akan berusaha mengatasi cabaran dalam operasi mencari fasa baharu itu nanti, yang memerlukan aset dalam air yang mahal, canggih dan kompleks. Seperti biasa, ingatan dan doa kami tetap bersama mereka yang menaiki pesawat berkenaan serta keluarga mereka, dan usaha mencari akan diteruskan.
-- BERNAMA
Langgan:
Ulasan (Atom)






