Jumaat, 8 Mac 2013

PENGAKUAN KELUARGA SAIFUL...

Keluarga Saiful Bukhari memberitahu bahawa bapanya hilang sejak 3 minggu yang lalu selepas mengalami masalah kewangan dan masalah keluarga.Bapa Saiful juga dikatakan pernah mengugut beberapa pemimpin Umno untuk mendapatkan wang perbelanjaan dan apabila tidak dihiraukan Azlan Mohd Lazim hilang dan tiba-tiba muncul dipentas parti keadilan Rakyat bersama Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul yang merupakan penyokong tegar Anwar Ibrahim. tidak hairanlah apabila portal Keadilan Daily hari ini melaporkan Bapa Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim mengaku kes liwat kedua adalah fitnah dan konspirasi politik ke atas Ketua Umum KEADILAN, Anwar Ibrahim seperti berikut:“Saya Azlan Mohd Lazim sesungguhnya percaya anak saya Saiful Bukhari telah dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab termasuk Khairil Annas Jusoh, pegawai khas kepada Perdana Menteri.“Mereka inilah merupakan dalang kepada semua fitnah liwat yang dilakukan terhadap Anwar Ibrahim yang melibatkan anak saya,” kata Azlan pada sidang media tertutup di sebuah apartmen di tingkat 27 dekat Taman Melati, Gombak, pagi ini Rakyat pasti peristiwa peguamcara II Mohd Yusuf yang juga dibayar oleh Anwar Ibrahim kembali lagi demi untuk memertabatkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Dalam keadaan bapa Saiful Azlan Mohd Lazim mengalami masalah Johari Bendul berjaya menangkapnya dan diberikan 'sesuatu' dengan hanya mengaku bahawa Liwat adalah konspirasi sahaja....selesai masalah.
Semalam Ng Lum Yong juga mendedahkan bahawa Anwar Ibrahim mengarahkan SUARAM membayar kepada pemberontak Sulu supaya membuat kekecohan demi untuk menggugatkan ketenteraman awam. Rakyat perlu tahu siapa sebenarnya Anwar Ibrahim dan rakyat meminta jika benar itu adalah konspirasi Azlan Mohd Lazim dicabar bersumpah sambil menjunjung Al-Quran sepertimana yang anaknya Saiful Azlan lakukan.Demi duit apa pun boleh jadi sanggup gadaikan maruah keluarga sendiri.Saiful Bukhari ketika dihubungi mengatakan bahawa bapanya Azlan Mohd lazim telah dipergunakan oleh kuncu-kuncu Anwar Ibrahim yang sentiasa berkeliaran. Azlan mengaku bahawa bapanya sebelum ini bergaduh dengan keluarga sehingga keluar dari mulut Azlan, aku akan musnahkan "UMNO dan kau sekali" dan beliau terus keluar.Saiful Bukhari akan memberi tindakbalas.

KENYATAAN AKHBAR SAIFUL...

1. Saya berasa amat sedih dan dukacita dengan berita mengenai bapa saya. Saya sedih kerana bapa saya telah menjadi mangsa kerakusan politik makhluk bernama Anwar bin Ibrahim. 2. Demi Allah, Agama Bangsa dan Negara tercinta, Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak sama sekali akan berganjak dengan dakwaan saya. Saya akan terus Istiqamah dan berpegang teguh pada dakwaan saya, segala keterangan saya di Mahkamah, juga sumpah laknat yang telah saya lafazkan, sehingga ke akhir hayat. 3. Kepada Anwar bin Ibrahim, bertaubatlah. Telah 5tahun saya bertahan, dan berdiri teguh walaupun sukar. Saya pasti Allah akan balas apa yang saudara lakukan. Sungguh terdesak dan jijik sekali. 4. Saya juga memberi amaran kepada Anwar Ibrahim, walaupun terdesak, jangan membabitkan bapa saya untuk memutarbelitkan keadaan dalam mencapai matlamat beliau. 4. Saya percaya isu ini sengaja ditimbulkan bagi mengalih perhatian isu "pengkhianat negara" yang sedang beliau hadapi. 5. Walau apapun berlaku, saya yakin KEPADA ALLAH SWT..yang benar tetap benar. Kebenaran tidak dapat dihapuskan walau apa sekalipun. 6. Saya akan terus berdoa agar Allah bukakan hati bapa saya untuk kembali pada jalan Allah, kebenaran, pertahankan anak kandungnya yg menjadi mangsa. 7. Sebagai seorang anak, kasih sayang dan hormat kepada seorang ayah akan kekal hingga ke akhir hayat. 8. Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya menyeru agar tidak terpedaya dengan permainan jijik Anwar Ibrahim ini. 9. Kedaulatan Negara kini sedang diancam musuh, ditambah pengkhianat musuh dalam selimut membantu, sudah ramai perwira kita yang telah terkorban, marilah sama-sama kita doa dan pertahankan. Akan terus Doa, Istiqamah dan Sabar

Rabu, 6 Mac 2013

ZAHID DEDAH MAYAT PENCEROBOH

Tiga belas mayat pengganas bersenjata ditemui di Kampung Tanduo dalam operasi susulan dan penggeledahan hari ini selepas gerakan ofensif dilancar pasukan keselamatan negara terhadap kubu kumpulan penceroboh di kampung itu. Satu daripada mayat itu adalah pengganas yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembak dengan pasukan keselamatan pada pukul 6.45 pagi ini, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Bercakap pada sidang akhbar bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada pukul 4 petang ini, Ahmad Zahid berkata sembilan daripada mayat itu ditemui dalam sebuah liang kubur yang ditutup dengan kepingan papan. Beberapa keping gambar Op Daulat yang dirakam pasukan keselamatan diedar kepada media, antaranya mayat pengganas yang di dalam sebuah kubur. Turut diedar ialah gambar anggota forensik diserang penceroboh ketika memeriksa sebuah kubur di kampung itu dan senjata yang dirampas pasukan keselamatan. Serentak itu, Ahmad Zahid membidas sikap media sosial yang memperlekehkan barisan hadapan pasukan keselamatan kononnya ia adalah sandiwara. "Gambar-gambar ini menunjukkan pasukan keselamatan kita mempunyai kebolehan yang tinggi dalam menjalankan operasi ini. Ia bukan sandiwara," katanya. Sementara itu, Hishammuddin berkata berlaku dua pertempuran di sekitar kampung berkenaan ketika anggota tentera dan polis menjalankan operasi susulan dan penggeledahan. "Pada 6.45 pagi tadi pasukan kita telah bertempur dengan pasukan penceroboh dan pasukan keselamatan kita menembak mati seorang anggota kumpulan penceroboh itu. "Pada 1.45 tengah hari pasukan forensik kita diserang kumpulan penceroboh ketika menjalankan siasatan di kawasan kubur di mana mayat anggota mereka ditanam di kawasan kampung itu," katanya yang mengesahkan tiada anggota pasukan keselamatan yang cedera. Beliau berkata operasi bersama polis dan tentera itu turut menemui pelbagai senjata api milik kumpulan pengganas rakyat asing itu.- Bernama

INI BUKTI SIAPA DALANG PENCEROBOHAN SABAH...

Selasa, 5 Mac 2013

RAKYAT SOKONG OP DAULAT

Hampir 20 minit jet pejuang F18 dan Hawk membedil sekitar Kampung Tanduo di timur Sabah hari ini selepas pasukan keselamatan bertekad tiada lagi pilihan setelah usaha penyelesaian tanpa pertumpahan darah isu pencerobohan pengganas Sulu ke atas wilayah berdaulat Malaysia selama 21 hari tidak mendatangkan hasil. Hampir empat jam kemudian Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengumumkan Op Daulat melibatkan serangan udara dan darat 'menepati objektifnya'. Beliau bagaimanapun sehingga lewat petang ini tidak mengumumkan bilangan musuh yang terbunuh, cedera atau ditangkap.
Reaksi spontan rakyat Malaysia pelbagai lapisan masyarakat menyokong tindakan Malaysia itu dalam menjaga kedaulatan negara.
Malah, ada yang mendesak kerajaan Filipina menyerahkan Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya sebagai 'Sultan Sulu' untuk dibicarakan di negara ini kerana dipercayai telah mengarahkan pencerobohan bersenjata di Sabah sehingga mengorbankan lapan anggota polis Malaysia. Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar misalnya berkata, desakan itu wajar kerana walaupun Jamalul Kiram III tidak menyertai pencerobohan di Lahad Datu dan berada di Filipina, dia boleh dianggap bersubahat berdasarkan sokongan yang ditunjukkan melalui beberapa kenyataannya. Op Daulat yang dilancar pasukan polis dan tentera yang bermula seawal 7 pagi itu, kini diteruskan dengan gerak gempur melalui darat bagi memburu dan menangkap anggota kumpulan pengganas dari Sulu yang menceroboh Lahad Datu. Serangan menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk itu, diikuti serangan mortar dan gerak gempur melalui darat. Tiga letupan kuat diikuti beberapa letupan kecil didengari di kawasan itu selepas setengah jam bunyi jet pejuang memenuhi ruang udara kawasan berkenaan. Serangan pasukan keselamatan yang bertumpu di kawasan seluas empat kilometer Kampung Tanduo itu disifatkan Ismail sebagai berjaya mencapai objektif yang ditetapkan operasi itu. Beliau berkata, sejak serangan dimulakan, pasukan keselamatan negara mendapat tentangan apabila pihak musuh melepaskan tembakan ke arah anggota polis dan tentera. "Tiada kecederaan atau kematian di pihak anggota keselamatan," katanya. Kumpulan bersenjata dan berpakaian ala tentera itu yang menaiki bot pancung mendarat di pesisiran pantai Lahad Datu pada 12 Februari lepas. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan berkata kerajaan mesti mengambil tindakan sewajarnya bagi menjaga maruah dan kedaulatan negara sebagaimana yang dituntut oleh rakyat memandangkan usaha kerajaan mengelakkan pertumpahan darah di Lahad Datu tidak berjaya. "Sebaliknya, anggota pasukan keselamatan kita diserang dan dibunuh, rakyat Malaysia, khususnya di Sabah, bimbangkan keselamatan mereka," katanya. Ismail pada sidang akhbar pukul 4 petang ini berkata Op Daulat itu masih berjalan kerana polis percaya masih ada anggota kumpulan itu di kampung berkenaan. Tindakan susulan dan penggeledahan rumah ke rumah dijalankan secara berhati-hati bagi memastikan keselamatan anggota polis dan tentera. Katanya, semangat dan moral pasukan keselamatan terus membara untuk menyelesaikan misi dengan jaya demi kedaulatan negara berkat sokongan dan dorongan kuat rakyat Malaysia. Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mod Zin pula berkata, selain semangat tinggi yang ditunjukkan anggota tentera, seperkara lagi yang begitu membanggakan ialah kerjasama erat yang terjalin antara pasukan polis dan tentera dalam operasi pembersihan di Kampung Tanduo melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan. Sementara itu, polis menasihati orang ramai agar tidak mendengar khabar dan membuat sebarang andaian mengenai operasi itu khususnya berkenaan jumlah kematian atau mereka yang cedera. "Berita-berita yang tidak tepat ini boleh jejaskan operasi yang sedang berjalan," katanya yang meminta orang ramai tidak perlu bimbang kerana serangan dalam 'Op Daulat' itu hanya melibatkan Kampung Tanduo. Ismail berkata, serangan ofensif itu perlu diambil pasukan keselamatan dalam mempertahan keselamatan negara dan memastikan keamanan dan ketenteraman di Sabah tidak tergugat. - Bernama

PENCEROBOH SULU PENGANAS

Malaysia menganggap pencerobo bersenjata Sulu yang membunuh lapan anggota keselamatan Malaysia di Lahad Datu dan Semporna, Sabah, sebagai pengganas, dan ini turut dikongsi Setiausaha Luar Filipina Albert F. Del Rosario. “Setiausaha Rosario bersetuju kumpulan ini patut dilabelkan sebagai pengganas,” kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman (gambar) dalam kenyataan hari ini. Kedua-dua mereka mengadakan pertemuan di ibu negara Malaysia ini malam tadi untuk membincangkan perkembangan yang berlaku di kedua-dua pekan di Sabah itu. “Kita menghargai pendirian kerajaan Filipina dan Presiden Benigno Aquino yang menggesa kumpulan Sulu itu menyerah diri dan pulang kepada keluarga dan rumah masing-masing di Filipina. “Kumpulan itu bagaimanapun memilih untuk mengabaikan seruan itu,” kata Menteri Luar Malaysia itu. Mengenai hasrat Manila supaya anggota kumpulan itu didakwa di mahkamah Filipina, Anifah berkata Malaysia perlu mendapatkan penjelasan mengenai undang-undang yang mereka akan didakwa, dan untuk undang-undang itu dikaji oleh Peguam Negara Malaysia. “Setiausaha Rosario memberi jaminan bahawa kerajaan Filipina akan membawa kumpulan Sulu yang terlibat dengan keganasan di Lahad Datu dan Semporna ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan undang-undang. “Saya juga menekankan bahawa tindakan perlu dikenakan terhadap Jamalul Kiram ke atas pelbagai kenyataan beliau yang membangkitkan perasaan kebencian dan kemarahan,” kata Anifah yang merujuk kepada Jamalul Kiram yang mendakwa kononnya beliau ‘Sultan Sulu’. Katanya Rosario memaklumkan kepadanya bahawa kerajaan Filipina mengecam tindakan penceroboh tersebut. “Beliau memanjangkan ucapan takziah kepada anggota keluarga keselamatan yang terkorban dan juga kepada rakyat Malaysia,” katanya. — Bernama

JAMALUL KIRAM III BUKAN SULTAN SULU

“Banyak pihak mendakwa mereka pewaris kesultanan itu tetapi saya adalah pewaris yang sah,” demikian kata Ampun Muedzul-Lail Tan Kiram kepada sebuah portal berita online pada 22 Februari 2013 lepas, sebagai merujuk kepada Jamalul Kiram III. Kenyataan Ampun Muedzul betul. Memang terlalu ramai orang yang mendakwa diri mereka merupakan Sultan Sulu yang sah, sekurang-kurangnya ada 9 individu yang mengaku sebagai pewaris sebenar Kesultanan Sulu. Menariknya lagi kesemua 9 individu termasuk Jamalul Kiram III mahu dipanggil sebagai Sultan Sulu dan telah melalui upacara penabalan dan mempunyai pengikut masing-masing, yang menariknya tiada seorang pun di kalangan 9 Sultan Sulu ini yang memiliki tanah jajahan atau wilayah pemerintahan sendiri. Jamalul Kiram III, merupakan salah seorang daripada 9 individu tersebut kini terlibat secara langsung mengarahkan sekumpulan 200 orang pengikutnya yang didakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu untuk menceroboh Lahad Datu, Sabah. Kumpulan warga Filipina yang diketuai oleh adiknya, Agbimuddin Kiram itu bertanggungjawab membunuh 8 orang anggota keselamatan Malaysia dalam dua pertempuran di Lahad Datu dan Kampung Srijaya, Simunul, Sampoerna yang turut mengakibatkan 18 orang pengikutnya terbunuh. Mereka mula menceroboh Sabah sejak 9 Februari 2013 lalu dengan matlamat untuk menuntut hak ke atas Sabah yang didakwa milik Kesultanan Sulu serta turut mendesak Kerajaan Malaysia tidak menghantar pendatang Filipina keturunan Sulu pulang ke negara asal. Sudahlah datang secara kurang ajar kemudian tunjuk lagak samseng menuntut pemerintahan ke atas Sabah, memang memalukan orang Sulu. Sewajarnya kumpulan pengikut Jamalul Kiram III ini kita gelarkan sahaja sebagai pengganas Sulu. Rentetan pencerobohan yang berlaku sejak 4 minggu lalu itu menyebabkan satu persoalan sering menerjah ke akal dan minda kita minda ramai tertanya-tanya siapakah Jamalul Kiram III dan benarkah dirinya adalah Sultan Sulu yang sebenar-benarnya? Jamalul Kiram III sebetulnya bukanlah waris Kesultanan Sulu yang sah disebabkan dirinya bukanlah berasal dari darah zuriat hakiki Sultan Sulu kerana keturunan keluarga Kiram tidak lagi diterima oleh rakyatnya setelah dianggap sebagai sebagai tali barut kepada Amerika Syarikat. Peristiwa pembunuhan sejumlah 4,000 orang Sulu dari keluarga Datu & Syarif Tausug di Bud Bagsak dan Bud Dahu sekitar tahun 1906 dulu adalah hasil kerja Amerika Syarikat selepas mendapat restu Sultan Jamalul Kiram II (1884-1936) yakni Sultan Sulu terakhir dari keturunan keluarga Kiram di Jolo, Sulu. Semenjak kejadian pembunuhan tersebut, rata-rata orang Sulu Tausuq menentang Sultan mereka dan tidak lagi mengiktiraf mana-mana keturunan keluarga Kiram untuk memimpin mereka. Kini dengan wujudnya sekurang-kurang 9 orang individu dari pelbagai keturunan yang juga mengaku sebagai waris sah Kesultanan Sulu, maka bertambahlah keraguan ramai untuk mempercayai Jamalul Kiram III sebagai satu-satunya waris yang sah. Tambah menjelikkan orang Sulu sama ada yang tinggal di Filipina mahupun di Sabah bila mana tatkala Jamalul Kiram III sibuk mendabik dada sebagai Sultan Sulu, di masa yang sama adiknya Esmail Kiram II pula turut mengaku merupakan pewaris sah Kesultanan Sulu. Memalukan. SUMBER UMNO ONLINE