Rabu, 5 Januari 2011

Cabar kewibawaan Sultan- Desak Khalid letak jawatan



Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) diketuai Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) mendesak Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan berikutan tindakannya yang didakwa mencabar kewibawaan Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah.

Pengerusi GAPS, Hamidzun Khairuddin berkata tindakan Abdul Khalid bersama beberapa barisan exco kerajaan negeri yang berterusan mempolemikkan isu pelantikan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor telah mengundang rasa tidak puas hati rakyat hingga menyebabkan mereka kini hilang keyakinan terhadap kepimpinan menteri besar itu.

“Dan dengan itu kami mendesak Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan barisan Exco yang menyokong beliau iaitu Yaakop Sapari, Xavier Jayakumar, Teresa Kok, Rodziah Ismail dan Halimah Ali agar bukan berhenti mempolemikkan dan mempolitikkan isu pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai SUK, malah meletak jawatan dengan kadar segera” katanya.

Gesaan itu dibuat ketika berucap selepas mengadakan perhimpunan aman menyerahkan memorandum bantahan terhadap Menteri Besar yang diterima oleh Setiausaha Eksekutif Pejabat Menteri Besar, Dr Razali Bolhi di perkarangan Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini, hari ini.

Perhimpunan aman yang bermula dari Dataran Shah Alam itu turut disertai Pertubuhan Pribumi Melayu Malaysia (Perkasa) yang diketuai Presidennya Datuk Ibrahim Ali, wakil pemimpin MCA dan MIC serta lebih 1000 rakyat Selangor daripada pelbagai kaum.

Kontroversi pelantikan SUK baru itu tercetus apabila kerajaan Parti keadilan Rakyat (PKR) Selangor menolak pelantikan Mohamad Khusrin seterusnya tidak membenarkan beliau mengangkat sumpah menyimpan rahsia bagi memulakan tugasnya secara rasmi sejak mengambil alih jawatan itu berkuatkuasa 1 Jan lepas.

Hamidzun berkata, pihaknya bersama NGO lain dan rakyat Selangor yang cintakan keadilan akan terus mengadakan perhimpunan dan bantahan sehingga desakan supaya Abdul Khalid meletak jawatan berjaya.

“Semua pihak menyedari dalam sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan yang dimalkan di negara ini telah memberikan kuasa kepada baginda untuk memperkenan mana-mana pelantikan tiga jawatan penting pentadbiran negeri iaitu SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri,” katanya.

Antara lain memorandum tersebut turut mendesak Menteri Besar bersama barisan exco yang menyokong beliau agar berhenti mempolemik dan mempolitikkan pelantikan Mohamad Khusrin serta meminta Abdul Khalid bersikap profesional dengan melayan semua kakitangan awam Selangor dengan baik.

“Semua kakitangan awam merupakan tulang belakang utama kepada kemajuan, keamanan dan kesejahteraan negeri Selangor,” katanya.

Terdahulu Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali ketika berucap di Dataran Shah Alam berkata tindakan Perkasa menyertai perarakan itu tidak berpaksikan kepentingan politik sebaliknya atas dasar menjunjung prinsip kedaulatan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor serta Perlembagaan Persekutuan, apatah lagi ia membabitkan kedudukan Raja Melayu.

Katanya, apa yang dilakukan Sultan Selangor adalah tidak bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor serta mengikut peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi, rakyat kena faham, jangan emosi dan jangan membantah atas tanggungjawab politik. Sebaliknya bertindaklah atas lunas undang-undang,” katanya.

Bagi Ketua Pemuda UMNO Negeri Selangor, Ungku Salleh Ungku Jamal pula melihat tindakan mempolemikkan isu perlantikan SUK hanyalah untuk mencabar wibawa dan kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu terutamanya DYMM Sultan Selangor.

“Kita harus menyedari bahawa Menteri Besar telah sembah derhaka kepada DYMM Sultan Selangor dan menipu seluruh rakyat Negeri Selangor dengan mengubah, memutar belitkan dan memanipulasi titah perintah DYMM Sultan Selangor seperti yang diterangkan semula oleh Yang Setia Setiausaha Sulit DYMM Sultan Selangor dalam kenyataan Istana Selangor bertarikh 4hb Jan 2011,” ujarnya.

Perhimpunan aman yang bermula pukul 3 petang, yang diawasi anggota polis itu berakhir kira-kira sejam kemudian. -MediaUMNO

Talkin untuk UMNO Perlis



Satu majlis talkin untuk UMNO Perlis akan diadakan dalam masa terdekat bagi memberi amaran kepada pucuk kepimpinan UMNO Pusat bahawa parti itu kini berada dalam keadaan tenat dan hampir terkubur.

Bekas Ketua Penerangan UMNO Perlis, Datuk Hashim Suboh berkata, pelaksanaan majlis itu bagaimanapun bergantung kepada tindak balas pucuk pimpinan UMNO Pusat sama ada berani melakukan perubahan dalam menyelesaikan krisis kepimpinan parti di negeri itu ataupun tidak.

Menurutnya, majlis itu sepatutnya diadakan pada malam Sabtu lalu di Denai Larian, Pengkalan Asam di sini oleh beberapa pemimpin veteran UMNO Perlis yang tidak berpuas hati dengan keputusan mengekalkan Menteri Besar, Datuk Seri Md Isa Sabu sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

“Bagaimanapun, hasrat itu terpaksa ditangguhkan setelah saya berbincang dengan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 30 Disember lalu dan beliau bersetuju untuk menyampaikan luahan hati kami kepada Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh terdekat.

“Kami sepakat untuk memberi peluang kepada Najib menggunakan kebijaksanaannya menyelesaikan krisis kepimpinan parti di negeri ini dan sekiranya beliau gagal, satu majlis talkin akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Hashim turut mempersoalkan tindakan UMNO Pusat tidak mengekalkan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai Timbalan Pengerusi UMNO negeri, sebaliknya mengekalkan jawatan Dr Md Isa kerana mendakwa prestasi Zahidi dilihat jauh lebih baik daripada Md Isa.

“Adakah kepimpinan UMNO Pusat melihat Zahidi sebelum ini bermasalah sehinggakan jawatan beliau tidak dikekalkan?

“Konflik kepimpinan UMNO di Perlis bukan sahaja melibatkan dua pemimpin UMNO sahaja, sebaliknya membabitkan ramai lagi ahli lain dan saya menyifatkan tindakan menjadikan Zahidi sebagai ‘kambing hitam’ tidak wajar,” katanya.

Hashim turut menyuarakan harapan agar jawatan kepimpinan tertinggi UMNO negeri diserahkan kepada Najib sendiri bagi menyelesaikan masalah kepimpinan yang berlarutan sejak tiga tahun dahulu.

“Lebih baik serah jawatan pengerusi UMNO negeri kepada Najib kerana isu pokok pertikaian kebanyakan pemimpin akar umbi parti adalah pengekalan jawatan Dr Md Isa yang dianggap tidak sesuai.

“Satu penyelesaian lebih baik perlu dibuat pucuk pimpinan UMNO demi memastikan UMNO Perlis terus kukuh dan mengekalkan sokongan rakyat pada masa hadapan,” katanya.

Selasa, 4 Januari 2011

Kenyataan akhbar Setiausaha Sulit Sultan Selangor



Kenyataan akhbar ini dibuat untuk menjelaskan perkara dan kedudukan sebenar yang timbul berikutan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru.

Majlis Angkat Sumpah Taat Setia Setiausaha Kerajaan Selangor kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang akan diadakan pada hari Khamis, 6 Januari 2011, di Istana Bukit Kayangan akan tetap diteruskan. Ini adalah kerana sepengetahuan D.Y.M.M. Sultan Selangor, Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru, Dato’ Haji Mohamed Khusrin bin Haji Munawi telah dilantik mengikut prosedur yang ditetapkan dan selaras dengan peruntukan Fasal (1) dan 2(a) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Pada Majlis tersebut akan diadakan upacara Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor kepada D.Y.T.M. Raja Muda Selangor sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-65 D.Y.M.M. Sultan Selangor kerana ketika Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran kepada penerima-penerima sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke 65 D.Y.M.M. Sultan Selangor yang berlangsung pada 11 haribulan Disember 2010, D.Y.T.M. Raja Muda Selangor berada di luar negara.


Selain daripada itu, pada Majlis tersebut juga akan diadakan upacara Angkat Sumpah Taat Setia Penjawat Jawatan Setiausaha Kerajaan Selangor dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli Dewan di-Raja Selangor, pelantikan dan Angkat Sumpah Jaksa Pendamai Selangor, pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Selangor dan Pelantikan Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Selangor. Semua upacara diadakan pada satu masa adalah untuk menjimatkan masa dan kewangan.

Majlis tersebut bukanlah merupakan majlis pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru tetapi merupakan Majlis Angkat Sumpah Taat Setia Setiausaha Kerajaan Selangor kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor dan untuk berkhidmat dengan taat, setia dan jujur kepada Negeri Selangor.

Berikutan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru, selaras dengan peruntukan Fasal (3) dan (4) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru hendaklah mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam prosiding Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Dewan Negeri setelah mengangkat dan menandatangani Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Y.A.B. Dato’ Menteri Besar.

Berkenaan dengan tulisan Ahli Dewan Negeri Seri Muda, Y.B. Shuhaimi bin Haji Shafiei pada 30 haribulan Disember 2010 yang disiarkan di dalam laman blog beliau. Dimaklumkan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor tidak tertakluk kepada peruntukan Fasal (1) dan (1A) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 sebagaimana yang dinyatakan oleh beliau, kerana Baginda hanya memberikan perkenan dan tidak menjalankan fungsi dan kuasa Baginda di bawah Undang-Undang Tubuh. Perkenan Baginda tidak tertakluk kepada peruntukan Fasal (1) dan (1A) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 Perkara 55(1)(1A). Oleh itu, sindiran beliau yang menyatakan D.Y.M.M. Sultan Selangor seolah-olah sebagai “beraja di mata, bersultan di hati” adalah amat keterlaluan dan boleh mengelirukan rakyat. Kenyataan beliau yang sedemikian boleh dianggap sebagai cuba memberi amaran kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor dan cuba mempengaruhi rakyat untuk membenci Baginda.

Mengulas mengenai artikel pada 29 haribulan Disember 2010 di dalam akhbar Sinar Harian mengenai “Pelantikan SUK Tidak Semestinya Dibuat SPA” oleh Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku, Y.B. Lau Weng San, yang menyatakan pelantikan Setiausaha Kerajaan boleh dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (SPAN). Walaupun terdapat SPAN di negeri-negeri lain yang boleh melantik Setiausaha Kerajaan, tetapi di Negeri Selangor kuasa pelantikan tersebut adalah dijalankan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan (SPA) selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Mengulas mengenai kenyataan akhbar Y.A.B. Dato’ Menteri Besar pada 3 Januari 2011 yang menyatakan D.Y.M.M. Sultan Selangor telah berpandangan bahawa Baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh SPA adalah kurang tepat. Apa yang sebenarnya berlaku, nama-nama calon untuk jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri telah disembahkan kepada Baginda oleh Jabatan Perkhidmatan Awam yang menjalankan kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan selaras dengan kedudukan Baginda sebagai Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri Selangor. Baginda memberi perkenan kepada salah satu calon yang dicadangkan. Selepas itu, calon tersebut telah dipersetujui oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan melalui surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan melantik mengikut peruntukan Fasal (1) dan 2(a) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959. Perkara ini telah menjadi amalan (convention) di Negeri Selangor.

Mengenai cadangan Y.A.B. Dato’ Menteri Besar untuk berbincang dengan JPA atau SPA, D.Y.M.M. Sultan Selangor sebenarnya telah menitahkan sepatutnya Y.A.B. Dato’ Menteri Besar mengadakan perbincangan pemilihan calon ini sebelum calon-calon disembahkan oleh JPA atau SPA kepada Baginda dan bukannya berbincang selepas jawatan Setiausaha Kerajaan Selangor telah diperkenankan oleh Baginda dan dilantik seterusnya diisi oleh calon yang berkenaan. Tindakan Y.A.B. Dato’ Menteri Besar untuk berbincang dan memilih calon-calon lain dengan JPA atau SPA setelah calon dilantik adalah tindakan yang tidak wajar diambil kerana boleh menjatuhkan moral dan kredibiliti serta integriti calon yang telah dilantik dan juga boleh mewujudkan satu suasana yang tidak baik dalam perkhidmatan awam Negeri Selangor.

Mengenai cadangan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang dikatakan akan dibuat oleh Kerajaan Negeri bagi mengembalikan kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor, Baginda menitahkan supaya cadangan pindaan tersebut dipersembahkan untuk mendapat perkenan Baginda terlebih dahulu.

(DATO HAJI MOHAMAD MUNIR BIN BANI)

Ahad, 2 Januari 2011

Kerajaan Selangor tolak tokoh agama



Oleh Ab Jalil Backer

Tindakan Kerajaan Negeri Selangor mempolemikkan pelantikan Setiuasaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru menunjukkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan para Exco daripada Pakatan Rakyat tidak boleh membezakan antara tanggungjawab profesional dan politik dalam pentadbiran negeri.

Pelantikan Datuk Mohd. Khusrin Munawi sebagai SUK yang baru oleh Ketua Setiausaha Negara dan mendapat perkenan Sultan Selangor bukan sahaja mematuhi kehendak peraturan dan undang-undang, malah sangat tepat pemilihannya.

Khusrin bukan sahaja berpengalaman sebagai pentadbir di Selangor malah mempunyai peribadi yang baik sebagai seorang Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Khusrin bukan seorang pegawai muda yang datang dengan tiba-tiba ke dalam pentadbiran negeri Selangor. Sebaliknya beliau merupakan orang lama yang sudah berumur lebih 50 tahun. Justeru daripada segi kelayakan, kekanan jawatan dan pengalaman, Khusrin adalah layak dilantik oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjawat jawatan SUK.

Kita juga tidak pernah mendengar penyelewengan, rasuah, kaki perempuan atau kaki botol, dilekatkan kepada imej Khusrin. Beliau mungkin mempunyai imej agama yang sedikit keras. Namun ini kerana beliau merupakan pentadbir yang mentadbir mengikut undang-undang dan peraturan yang dibuat oleh ahli politik dan majlis fatwa. Daripada segi peribadi dan kemampuan kerja, perlantikan beliau tidak mungkin dapat dipertikaikan.

Justeru mengapa Kerajaan Negeri enggan menerima Khusrin? Berbanding beberapa calon yang khabarnya disenaraikan oleh Kerajaan Negeri, Khusrin jauh lebih baik dan tidak terpalit sebarang imej buruk.

Kerajaan negeri mendakwa Khusrin adalah alat politik Barisan Nasional. Apakah bukti dan faktanya? Apakah kerana ia tidak meluluskan tauliah penceramah kepada seorang ahli Parlimen Pakatan di Selangor? Atau kerana beliau tidak membenarkan wang zakat dijadikan sebahagian perbelanjaan negeri seperti cadangan Menteri Besar Selangor dua tahun lalu?

Jika dikira campur tangan politik, maka tindakan kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa pemilihan SUK yang diketuai oleh Datuk Teng Chang Kim dan dianggotai oleh wakil rakyat Pakatan merupakan satu bukti jelas campur tangan politik dalam isu ini. Mengapa pula wakil rakyat Pakatan dibenarkan campur tangan dalam perlantikan pegawai kerajaan? Apakah ini akan memudahkan ahli politik memeras ugut pegawai kerajaan yang tidak memenuhi kehendak mereka?

Dengan mempersoalkan kedudukan politik Khusrin, Khalid Ibrahim menunjukkan hakikat bahawa beliau ingin menukar pentadbiran negeri menjadi pentadbiran parti. Beliau tidak perlukan seorang ahli parti Pakatan yang setia sebagai SUK sekiranya beliau tidak berniat menggunakan kerajaan negeri sebagai alat politik partinya.

Jika beliau mentadbir negeri Selangor sebagai sebuah kerajaan tentulah beliau tidak akan mempersoalkan isu politik dalam pelantikan Khusrin. Jika terbukti Khusrin tidak menjalankan tugas dengan baik atau bertindak bertentangan dengan Peraturan Am kakitangan awam, beliau boleh mengambil tindakan pada masa akan datang. Tetapi menentang terlebih awal atas alasan Khusrin alat politik BN menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam pentadbiran negeri Selangor.

Apakah Pakatan mahu menyatakan bahawa tidak layak seseorang pegawai kanan mempunyai kecenderungan politik yang berlainan daripada parti pemerintah?

Ini perlu dijelaskan segera oleh Pakatan kerana jika mereka bersetuju, Barisan Nasional juga boleh menyingkirkan ramai pegawai kanan kerajaan yang yang menyokong dan menjadi ahli parti mereka.

Sepanjang menjadi Pengarah JAIS, Khusrin hanya melaksanakan peraturan dan pentadbiran beliau dengan begitu baik sekali di bawah naungan Sultan Selangor. Beliau tidak pernah tunduk kepada tekanan politik mana-mana pihak, baik UMNO mahu pun Pas, apatah lagi PKR dan DAP.

Jika sesiapa masih ingat, JAIS di bawah Khusrin juga tidak memberi kebenaran kepada UMNO Petaling Jaya Selatan mengadakan program bersama Perdana Menteri di Petaling Jaya bulan Ramadhan lalu. Program tersebut hanya dilaksanakan kemudiannya apabila ia dibuat atas nama badan bukan kerajaan dan jabatan kerajaan.

Sultan Selangor sudah pasti maklum kebolehan Khusrin dan atas sebab itulah baginda memperkenankan perlantikan ini. Baginda pasti tahu bahawa Khusrin seseorang yang boleh diharap mempertahankan integeriti pentadbiran negeri Selangor seperti mana Datuk Ramli Mahmud sebelum ini.

Sebagai rakyat biasa, saya tertanya-tanya siapakah yang benar-benar menetang keras pelantikan Khusrin ini? Pas, PKR atau DAP? Cakap-cakap di bawah menyatakan Khusrin dibantah bukan kerana sama ada beliau UMNO atau bukan. Sebaliknya Khusrin dilihat mewakili penjawat awam yang ada latar belakang Islam yang kuat dan ini tidak digemari oleh DAP.

Yang anehnya, DAP tidak bersetuju tetapi beberapa wakil rakyat Melayu dan Islam yang berlaku kurang ajar terhadap Sultan Selangor. Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) kawasan Sri Muda terhadap baginda menunjukkan betapa mudahnya orang Melayu dan Islam dipergunakan oleh DAP bagi memenuhi agenda mereka.

ADUN Sri Muda yang bukan anak Selangor, mencari rezeki di Selangor dan kemudiannya menjadi wakil rakyat di Selangor sanggup tampil ke hadapan memperkecil dan mencabar Sultan Selangor. Manusia Islam dan Melayu jenis apakah wakil rakyat ini dan kawan-kawannya yang lain?

Hanya kerana pelantikan seorang pegawai kerajaan mereka mahu 'berperang' dengan Sultan Selangor? Nasib baiklah syarat perlantikan SUK memerlukan sesorang itu Islam dan Melayu. Jika tidak orang seperti ADUN Sri Muda sanggup menggadaikan apa sahaja asalkan 'tuan politiknya' bernama DAP senang hati dan gembira.

Pakatan harus menjelaskan kepada umum ke mana menghilanngnya slogan ketelusan, keterbukaan dan kebertanggungjawaban kerajaan yang mereka perjuangkan selama ini. Jika mereka telus, bertanggungjawab dan terbuka tentulah mereka tidak takut siapa pun menjadi SUK kerana tiada apa yang perlu disembunyikan. - Utusan Malaysia

Khamis, 30 Disember 2010

Hero Harimau Muda ke 5 popular di Twitter



Persembahan cemerlang penjaga gawang Malaysia Khairul Fahmi Che Mat bukan sekadar mampu menarik peminat baru ke akaun Facebook beliau, malah menempatkannya di kedudukan kelima tertinggi di seluruh dunia bagi trend terkini rangkaian sosial Twitter.

Dalam tempoh sejam, penjaga gawang kelahiran Kelantan yang sebelum ini tidak begitu dikenali, meningkat secara mendadak ke tempat kelima, menumpaskan ‘Support Timnas’, yang menyokong pasukan bola sepak Indonesia.

Fahmi juga menjadi topik paling popular untuk Twitter di Indonesia.

Laman Facebook beliau mendapat hit sebanyak 57,000 daripada peminat, ketika artikel ini ditulis kurang daripada dua jam, berbanding tidak lebih daripada 50,000 peminat sebelum perlawanan bermula.

Khairul Fahmi, 21, berupaya menyelamatkan lebih daripada 10 percubaan mendebarkan oleh pasukan Indonesia yang menyerang secara agresif sejurus selepas wisel perlawanan dibunyikan.

“Terima kasih kerana mengembalikan ‘keseksian’ dalam bola sepak Malaysia,” kata seorang peminat dalam laman bola sepak pemain itu.

Lima daripada 10 trend teratas Twitter seluruh dunia didominasi perlawanan bola sepak yang berlangsung selama 90 minit pada pertandingan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Gelora Bung Karno.

Sebelum ini, Twitter juga menjadi platform kepada penyokong bola sepak Indonesia yang berang dan mendakwa Malaysia memenangi perlawanan akhir pertama di Kuala Lumpur secara tidak adil, manakala penyokong Malaysia lebih gemar menunjukkan sokongan dan kecintaan mereka menerusi Facebook.

Seorang lagi pemain cemerlang, Mohd Safee Mohd Sali, hampir mendapat hit 17,000 “Like” dalam Facebook dari 15,000 pada separuh masa perlawanan.

Mohd Safee yang menjaring gol pertama pada perlawanan akhir kedua, turut merangkul gelaran sebagai penjaring terbanyak dengan jumlah lima gol.

Apa yang paling menarik ialah pemain Manchester United iaitu Rio Ferdinand turut mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Malaya dalam akaun twitternya, @rioferdy5.

“Tahniah kepada Malaysia yang menewaskan Indonesia pada final Piala Suzuki. Saya pernah bermain menentang pasukan bawah 23 tahun Malaysia 18 bulan lepas. Memang satu pasukan yang bagus,” katanya.

Dilaporkan bahawa penduduk Asia Tenggara merupakan pengguna terbesar Twitter dan Facebook dengan Indonesia mempunyai 15 juta ‘tweeters’, ketiga tertinggi selepas Amerika Syarikat dan Brazil, manakala rakyat Malaysia mempunyai ‘friends’ Facebook paling ramai dengan purata 230 setiap pengguna.

2011 tahun mantapkan parti- PM



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap tahun baru 2011 dijadikan tahun untuk memperkemaskan lagi struktur dan kepimpinan parti di semua peringkat agar UMNO dan Barisan Nasional dapat bergerak lebih teratur, tersusun dan berkesan seterusnya mencapai kemenangan besar di pilihan raya akan datang.

Beliau melahirkan harapan tersebut ketika menyampaikan perutusan sempena tahun baru di Putrajaya.

“Kita perlu melakukan sebarang usaha untuk menjadikan setiap kawasan parlimen dan Dun sebagai kawasan yang boleh dimenangi oleh BN. Lakukan apa sahaja yang dapat meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN,” ujar beliau.

Najib mahu semua pemimpin melakukan perkara-perkara yang disenangi rakyat agar rakyat mudah menerima perjuangan dan menyokong UMNO dan BN seterusnya membantu parti untuk terus mengusai PRU 13.