Khamis, 24 Mac 2016
ISU ANCAMAN KESELAMATAN BUKAN KENYATAAN POLITIK- ZAHID
Pendedahan kerajaan mengenai ancaman keselamatan di Malaysia bukan satu kenyataan berunsur politik, sebaliknya ia harus diambil serius oleh semua pihak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya beliau telah beberapa kali mendedahkan Malaysia tidak terlepas daripada ancaman keselamatan oleh pengganas termasuk adanya perancangan untuk menculik pemimpin negara tetapi ada pihak memandang kenyataan itu sebagai berunsur politik.
"Saya telah beberapa kali memberi kenyataan mengenai bahaya ancaman pengganas dan keselamatan negara, ia bukan kenyataan politik tetapi ia adalah hasil risikan," katanya kepada wartawan Malaysia sebelum berlepas pulang ke tanah air selepas menghadiri persidangan Bali Process di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, insiden letupan bom di Brussels, Belgium seharusnya menjadi peringatan kepada rakyat Malaysia bahawa keganasan masih dilakukan pengganas di serata dunia.
Wisma Putra dalam kenyataan Selasa lepas berkata kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya insiden letupan bom yang berlaku di Lapangan Terbang Brussels yang telah meragut puluhan nyawa.
Mengenai persidangan Bali Process, Zahid berkata kemajuan yang dicapai pada mesyuarat itu ialah buat pertama kalinya negara anggota bersepakat dan memberi komitmen menerusi Deklarasi Bali.
"Saya amat berpuas hati dengan keputusan yang dicapai pada persidangan ini. Komitmen semua negara digambarkan melalui Deklarasi Bali yang pertama kali dikeluarkan walaupun persidangan ini pernah berlangsung selama enam kali,", katanya.
Salah satu daripada deklarasi itu ialah menggesa negara sumber mengambil tanggungjawab menerima semula rakyat mereka yang tidak mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai pelarian.
ISU
Beliau berkata Malaysia sering membantu pelarian atas dasar kemanusiaan walaupun terdapat mereka yang menjadi pelarian atas sebab ekonomi tetapi pada masa sama Malaysia juga tidak mahu dibebani kebanjiran pendatang tanpa izin.
Ahmad Zahid berkata kerajaan sangat komited untuk membanteras jenayah pemerdagangan manusia dan akan memberi saranan kepada negara terlibat bagi mengatasi masalah berkenaan.
Bali Process ialah satu persidangan peringkat rantau Asia Pasifik mengenai isu penyeludupan, pemerdagangan manusia dan jenayah rentas sempadan dan ia disertai 48 negara termasuk Malaysia.
SERPIHAN DITEMUI DI MOZAMBIQUE HAMPIR PASTI MILIK MH370
Dua serpihan yang ditemukan di Mozambique hampir pasti milik pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, kerana kedua-dua bahagian itu konsisten dengan panel pesawat Boeing 777 Malaysia Airlines.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pemeriksaan ke atas serpihan itu yang dijalankan oleh Geosains Australia dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) di pusat kemudahan di Canberra, Australia sejak 21 Mac, selesai semalam.
Pemeriksaan dan analisis yang dijalankan ke atas serpihan itu dikendalikan oleh pakar antarabangsa daripada Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 13 Malaysia bagi MH370, ATSB, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan Boeing, katanya.
Liow berkata Pasukan Penyiasatan Keselamatan ICAO Annex 13 Malaysia menyatakan dimensi, bahan dan pembinaan kedua-dua bahagian itu sama dengan spesifikasi pesawat Boeing 777 dan cat penstensilan di kedua-dua bahagian sepadan dengan yang digunakan oleh Malaysia Airlines.
"Sehubungan itu, kedua-dua bahagian itu adalah konsisten dengan panel pesawat Boeing 777 Malaysia Airlines dan hampir pasti adalah dari MH370," katanya dalam kenyataan di sini Khamis.
Beliau berkata lokasi di mana kedua-dua serpihan itu ditemukan di Mozambique adalah konsisten dengan hasil siasatan pemodelan hanyutan yang dijalankan oleh Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO).
Liow dalam kenyataan itu menyampaikan penghargaan Malaysia kepada pihak berkuasa Mozambique, Afrika Selatan dan Australia kerana sokongan padu dan bantuan yang mereka hulurkan.
Pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang daripada radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.
Pada masa ini, operasi mencari pesawat itu dijalankan di selatan Lautan Hindi, lokasi di mana ia dipercayai berakhir.
Sekeping serpihan, kemungkinan daripada bahagian 'inlet cowling' enjin pesawat ditemukan di persisiran pantai di selatan Afrika Selatan, berhampiran bandar Mossel Bay pada Selasa.
Liow berkata satu pasukan akan dihantar untuk mendapatkan serpihan itu di Afrika Selatan, dan pemeriksaan lanjut serta analisis diperlukan untuk mengesahkan sama ada serpihan itu milik MH370.
Hari ini, kerajaan Australia mengesahkan serpihan yang ditemui di Mozambique kemungkinan besar milik MH370.
Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia Darren Chester berkata demikian dalam kenyataan yang dimuat naik di http://miniter.infrastructure.gov.au/.BERNAMA
DUA PEGAWAI MARA INC DIREMAN EKORAN PEMBELIAN HARTANAH DI AUSTRALIA
Dua bekas pegawai kanan Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) bergelar Datuk dan seorang pengarah syarikat direman tujuh hari sehingga 30 Mac ini bagi membantu siasatan berhubung pembelian hartanah oleh Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) di Melbourne, Australia.
Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman mengeluarkan perintah reman itu hari ini terhadap bekas pengerusi Mara Inc, bekas ketua pegawai eksekutif dan seorang pengarah sebuah syarikat dagangan.
Ketiga-tiga lelaki itu, yang berumur dalam lingkungan 40-an dan 50-an itu, ditahan kira-kira 10 pagi semalam selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.
Tahun lepas, sayap pelaburan Mara itu terbabit dengan kontroversi berikutan pendedahan akhbar Australia, The Age, yang mendakwa ia membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli sebuah blok pangsapuri lima tingkat, Dudley International House, di Melbourne dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran.
Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' telah terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok pangsapuri di bandar raya itu pada 2013, daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.
Dudley International House merupakan asrama pelajar yang dibeli Mara, iaitu agensi yang menyediakan biasiswa bagi pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.
Rabu, 23 Mac 2016
RAHMAN DAKWA ADA DOKUMAN PENJUALAN TANAH TAMAN MANGGIS PULAU PINANG
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mendakwa beliau memiliki dua dokumen Perjanjian Jual Beli (S&P) berkaitan tanah yang diperuntukkan untuk projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) di Taman Manggis, Pulau Pinang.
Beliau mendakwa dua dokumen itu menyatakan bagaimana tanah tersebut yang kini dimiliki sebuah syarikat swasta iaitu Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) cuba dijual kepada pihak ketiga dengan harga RM20 juta.
"Kedua-dua S&P ini ada dalam tangan saya, yang diberikan oleh orang-orang tertentu dan dalam percubaan untuk menjual tanah ini, dua perjanjian S&P ini begitu terperinci sekali.
"Siap ada semuanya di sini yang telah menyatakan penjual meminta harga RM20 juta maknanya dia beli RM11 juta dia nak jual RM20 juta," katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada Rabu.
Katanya dua dokumen tersebut adalah baharu dan beliau tidak teragak-agak untuk menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat.
Abdul Rahman berkata berdasarkan kandungan dokumen itu, ia jelas menunjukkan bahawa KLIDC yang membeli tanah itu daripada kerajaan negeri tidak berminat untuk membangunkannya.
"Saya serahkan kepada SPRM dan pihak yang memberikan dokumen ini kepada saya kalau diperlukan untuk ditemu ramah, sudah tentu mereka juga perlu dipanggil untuk memberi keterangan," katanya.
Menjelas lanjut, Abdul Rahman berkata dokumen itu turut menyatakan mengenai satu pembayaran membabitkan RM17 juta yang perlu dibayar kepada empat syarikat.
Menurutnya, tanah di Taman Manggis itu seluas 4.937 ekar (1.99 hektar) diperuntukkan untuk pembinaan PPRT yang mana sebanyak 2.872 ekar (1.162 hektar) telah dibangunkan untuk projek itu, manakala selebihnya sepatutnya digunakan untuk pembangunan projek sama bagi fasa kedua.
Bagaimanapun, tanah selebihnya itu kemudiannya telah dijual kepada KLIDC yang pada awalnya bercadang untuk membina sebuah rawatan swasta sahaja namun ditukar kepada pembinaan pusat rawatan swasta berserta lot komersial.
Persidangan dewan bersambung esok.
KENAIKAN TOL PLUS AMBIL KIRA MANIFESTO PILIHANRAYA BN
Kerajaan masih belum mencapai keputusan berhubung kenaikan lima peratus kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang dijadual dilaksanakan tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa kerajaan masih berbincang dengan syarikat konsesi tersebut dengan mengambil kira manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lepas.
Katanya manifesto BN itu menyatakan kerajaan tidak akan menaikkan kadar tol bagui lebuh raya menghubungkan antara bandar.
Bagaimanapun, mengikut perjanjian konsesi, syarikat itu boleh menaikkan kadar tol lima peratus di lebuh raya tersebut setiap tiga tahun mulai Januari 2016 hingga 31 Dis 2038.
"Kita ingat, memang ada manifesto kerajaan BN mengenai tol antara bandar ini tidak akan dinaikkan, kita sedar perkara ini dan kita berbincang dengan syarikat konsesi," katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) yang ingin tahu sama ada lebuh raya PLUS akan menaikkan kadar tol pada Jun ini seperti dilaporkan sebelum ini.
Merujuk kepada manifesto BN itu, Fadillah berkata ia hanya melibatkan dua lebuh raya iaitu Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
Katanya kedua-dua lebuh raya itu sahaja yang menghubungkan antara bandar dan negeri-negeri, sementara lebuh raya lain yang berada di sekitar Lembah Klang tidak termaktub dalam manifesto berkenaan.
Bagaimanapun, katanya kerajaan tetap mengambil langkah membantu rakyat dalam bandar menghadapi beban tol termasuk menamatkan tol di lebuh raya tertentu selain menggalakkan syarikat konsesi menjalankan program rebat dan diskaun untuk pengguna.
PLUS, cabang lebuh raya Kumpulan UEM, mempunyai lima konsesi lebuh raya iaitu Lebuhraya PLUS, Lebuhraya Lembah Klang Baru, Lebuhraya Persekutuan Laluan 2, Lebuhraya Seremban Port-Dickson, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah, Laluan Kedua Malaysia-Singapura, Lebuhraya Butterworth-Kulim dan Jambatan Pulau Pinang.
Bercakap kepada pemberita di Lobi Parlimen, Fadillah berkata kerajaan sedang menyemak semula perjanjian konsesi, antara lain mengambil kira jumlah trafik dan kedudukan kewangan syarikat konsesi sebelum memutuskan kenaikan kadar tol.
Selain PLUS dan LPT, katanya, mengikut perjanjian konsesi, enam lagi lebuh raya berhak menaikkan kadar tol mulai Januari lepas.
"Buat masa ini, belum ada kenaikan. Tunggu sahaja keputusan," katanya sambil menambah kerajaan telah menyediakan sejumlah peruntukan kepada syarikat konsesi sekiranya bercadang tidak meluluskan kenaikan kadar tol.BERNAMA
TUN M DALAM KEADAAN TERDESAK- SALLEH
Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan betapa terdesaknya beliau melalui tindakan terbarunya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
"Beliau dalam keadaan terdesak," katanya merujuk kepada saman yang difailkan oleh Dr Mahathir dan dua pihak lagi di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil hari ini terhadap Perdana Menteri.
"Tun Mahathir cuba untuk menggulingkan Perdana Menteri melalui UMNO. Beliau gagal. Tun Mahathir cuba mengemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen. Beliau gagal. Sekarang Tun Mahathir cuba untuk menyaman. Tuduhannya adalah palsu, jadi beliau akan gagal lagi," kata Salleh dalam satu kenyataan.
Dr Mahathir, 90, bekas naib ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, 54, dan bekas anggota UMNO Anina Saadudin, 41, memfailkan saman terhadap Najib berhubung dakwaan salah laku membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mereka memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Najib telah melakukan perbuatan salah laku dalam jawatan awam dengan menggunakan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri, pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO.
Mereka memohon perintah Mahkamah Tinggi supaya Najib yang dinamakan sebagai defendan tunggal, membayar ganti rugi teladan berjumlah RM2.6 bilion dan ganti rugi teruk berjumlah RM42 juta kepada kerajaan.
Mengulas lanjut mengenai tindakan saman itu, Salleh berkata: "Tun Mahathir telah kehabisan opsyen. Tindakan ini menunjukkan beliau sudah tidak ada lagi saluran politik untuk digunakan."
ISU BANGLO LIM GUAN ENG, SPRM MULA TERIMA ADUAN
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima lapan aduan daripada pelbagai pihak berhubung isu pembelian banglo oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan menyeluruh, pihaknya telah memanggil beberapa saksi dan mengambil dokumen-dokumen yang berkaitan.
"SPRM juga menerima banyak pertanyaan bila keterangan daripada Lim akan diambil. Keterangannya akan diambil apabila keterangan daripada saksi-saksi diperoleh, dan ia juga bergantung kepada keadaan selepas dokumen-dokumen yang diperoleh diteliti dan keterangan saksi diambil.
"Walau bagaimanapun, berhubung kesediaan Lim untuk memberi kerjasama kepada SPRM dan mahu siasatan disegerakan, beliau boleh datang ke Pejabat SPRM pada bila-bila masa untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azam berkata pihaknya memberi jaminan bahawa dalam menjalankan siasatan, SPRM akan menjalankan tugas dengan bebas dan telus sebagaimana kes-kes lain yang disiasat sebelum ini.
Pada persidangan Dewan Rakyat Khamis lepas, Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang, meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta membuat penilaian berhubung hartanah berharga RM2.8 juta yang dibeli oleh Lim, yang juga Anggota Parlimen Bagan, di Jalan Pinhorn, sedangkan nilai semasa rumah itu adalah lebih RM3 juta.
Shabudin turut meminta SPRM menyiasat dakwaan penjualan beberapa lot tanah di Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin.
Sementara itu, pemilik rumah itu Phang Li Koon dalam akuan berkanunnya semalam menyatakan beliau menjual banglo itu atas dasar rela hati antara pembeli dan penjual pada harga RM2.8 juta, yang dipersetujui melalui perjanjian bertarikh 23 Jun 2014.
Phang berkata penjualan rumah itu tidak memberinya sebarang manfaat daripada kerajaan negeri, dan beliau tidak ditekan atau dipaksa atau telah dipengaruhi dengan cara yang tidak sewajarnya oleh ketua menteri atau mana-mana pihak supaya menjual rumah berkenaan.BERNAMA
Langgan:
Ulasan (Atom)





