Rabu, 23 Mac 2016
TUN M DALAM KEADAAN TERDESAK- SALLEH
Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan betapa terdesaknya beliau melalui tindakan terbarunya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
"Beliau dalam keadaan terdesak," katanya merujuk kepada saman yang difailkan oleh Dr Mahathir dan dua pihak lagi di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil hari ini terhadap Perdana Menteri.
"Tun Mahathir cuba untuk menggulingkan Perdana Menteri melalui UMNO. Beliau gagal. Tun Mahathir cuba mengemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen. Beliau gagal. Sekarang Tun Mahathir cuba untuk menyaman. Tuduhannya adalah palsu, jadi beliau akan gagal lagi," kata Salleh dalam satu kenyataan.
Dr Mahathir, 90, bekas naib ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, 54, dan bekas anggota UMNO Anina Saadudin, 41, memfailkan saman terhadap Najib berhubung dakwaan salah laku membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mereka memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Najib telah melakukan perbuatan salah laku dalam jawatan awam dengan menggunakan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri, pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO.
Mereka memohon perintah Mahkamah Tinggi supaya Najib yang dinamakan sebagai defendan tunggal, membayar ganti rugi teladan berjumlah RM2.6 bilion dan ganti rugi teruk berjumlah RM42 juta kepada kerajaan.
Mengulas lanjut mengenai tindakan saman itu, Salleh berkata: "Tun Mahathir telah kehabisan opsyen. Tindakan ini menunjukkan beliau sudah tidak ada lagi saluran politik untuk digunakan."
ISU BANGLO LIM GUAN ENG, SPRM MULA TERIMA ADUAN
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima lapan aduan daripada pelbagai pihak berhubung isu pembelian banglo oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan menyeluruh, pihaknya telah memanggil beberapa saksi dan mengambil dokumen-dokumen yang berkaitan.
"SPRM juga menerima banyak pertanyaan bila keterangan daripada Lim akan diambil. Keterangannya akan diambil apabila keterangan daripada saksi-saksi diperoleh, dan ia juga bergantung kepada keadaan selepas dokumen-dokumen yang diperoleh diteliti dan keterangan saksi diambil.
"Walau bagaimanapun, berhubung kesediaan Lim untuk memberi kerjasama kepada SPRM dan mahu siasatan disegerakan, beliau boleh datang ke Pejabat SPRM pada bila-bila masa untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azam berkata pihaknya memberi jaminan bahawa dalam menjalankan siasatan, SPRM akan menjalankan tugas dengan bebas dan telus sebagaimana kes-kes lain yang disiasat sebelum ini.
Pada persidangan Dewan Rakyat Khamis lepas, Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang, meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta membuat penilaian berhubung hartanah berharga RM2.8 juta yang dibeli oleh Lim, yang juga Anggota Parlimen Bagan, di Jalan Pinhorn, sedangkan nilai semasa rumah itu adalah lebih RM3 juta.
Shabudin turut meminta SPRM menyiasat dakwaan penjualan beberapa lot tanah di Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin.
Sementara itu, pemilik rumah itu Phang Li Koon dalam akuan berkanunnya semalam menyatakan beliau menjual banglo itu atas dasar rela hati antara pembeli dan penjual pada harga RM2.8 juta, yang dipersetujui melalui perjanjian bertarikh 23 Jun 2014.
Phang berkata penjualan rumah itu tidak memberinya sebarang manfaat daripada kerajaan negeri, dan beliau tidak ditekan atau dipaksa atau telah dipengaruhi dengan cara yang tidak sewajarnya oleh ketua menteri atau mana-mana pihak supaya menjual rumah berkenaan.BERNAMA
Selasa, 22 Mac 2016
MAT SABU TIDAK DIBENARKAN MASUK SARAWAK ADALAH HAK MUTLAK KERAJAAN NEGERI
Halangan terhadap Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu atau Mat Sabu daripada memasuki Sarawak adalah hak mutlak kerajaan negeri itu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Beliau berkata KDN tidak perlu dimaklumkan mengenai tindakan menghalang mana-mana individu memasuki Sarawak kerana ia merupakan hak Jabatan Imigresen negeri itu.
"Akta Imigresen Sarawak membenarkan negeri itu membuat keputusan atas apa-apa alasan. Undang-undang itu mutlak. KDN hanya bertanggungjawab kepada Akta Imigresen 1959/63 di Semenanjung manakala di Sabah dan Sarawak ia di bawah kuasa kerajaan negeri," kata Nur Jazlan kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Terdahulu, Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dalam sidang media di lobi Parlimen mendakwa Mat Sabu dihalang memasuki Sarawak oleh Jabatan Imigresen negeri itu pagi tadi.
Beliau berkata Mat Sabu tiba di Lapangan Terbang Sibu kira-kira pukul 10.40 pagi dan ditahan ketika melalui pemeriksaan Imigresen dengan hanya dimaklumkan ia atas arahan Pejabat Ketua Menteri.
"Saya dimaklumkan tiada sebarang alasan diberikan oleh pihak Imigresen yang menahannya dan Mat Sabu diarahkan pulang ke Semenanjung dengan penerbangan pertama dari sana," katanya.
Mengulas mengenai perkara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata Sabah dan Sarawak mempunyai autonomi tertentu termasuk kuasa Jabatan Imigresen dan mereka berhak berbuat demikian atas alasan-alasan tertentu.
"Ini harus dihormati. Kita bicara soal autonomi apa pun yang dilakukan sudah tentu ada pertimbangannya dan bukanlah bertujuan politik semata-mata.
"Apabila mereka halang sudah tentu mereka mempunyai alasan tertentu yang hanya boleh dijawab oleh kerajaan Sarawak sendiri," katanya.BERNAMA
AHLI UMNO PERLU FOKUS UNTUK HADAPI PRU14- MAHDZIR KHALID
Anggota dan kepimpinan UMNO di peringkat akar umbi perlu memberi fokus kepada pengukuhan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata mereka perlu memberi keutamaan kepada parti dan bukannya kepada individu tertentu yang mempunyai agenda peribadi.
Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan berkata kepimpinan di peringkat akar umbi juga perlu mengatur pelbagai program pengukuhan bagi menyatupadukan anggotanya dan memberi sokongan padu kepada parti.
"Saya yakin 21,300 cawangan UMNO di seluruh negeri memberi sokongan kepada Presiden parti yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi menjadikan parti lebih kuat.
"Segelintir ahli dan kepimpinan UMNO yang teragak-agak (dengan kepimpinan sedia ada) agar kembali menyokong parti," katanya mengulas mengenai surat terbuka oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada ketua cawangan UMNO baru-baru ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Agung UMNO Cawangan-cawangan Bahagian Padang Terap di sini, malam tadi.
Mahdzir yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata walaupun Dr Mahathir berasal dari Kedah, seluruh anggota UMNO tetap menyokong kepimpinan Najib.
"Yang penting solidariti UMNO kepada Najib dan kita menolak Deklarasi Mahathir bersama parti DAP. UMNO Kedah hanya sokong parti dan kepimpinan Najib," katanya.
Mahdzir yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap bersama kepimpinan UMNO Bahagian, Pemuda, Puteri dan Wanita serta jawatankuasa UMNO Cawangan turut melafazkan ikrar taat setia dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada presiden parti.
Dalam ikrar tersebut, lebih 200 anggota dan kepimpinan akar umbi turut menolak sekeras-kerasnya Deklarasi Mahathir yang disertai DAP, Parti Amanah Negara dan PKR pada 4 Mac lepas.
Mereka juga mahu MT UMNO memecat anggota UMNO yang terlibat dalam deklarasi tersebut dengan segera dan turut berikrar untuk berkerja keras bagi memastikan UMNO menang pada PRU14.
Isnin, 21 Mac 2016
AUDIT NEGARA BUAT FORENSIK TERHADAP KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN
Jabatan Audit Negara akan melakukan pengauditan forensik terhadap proses perolehan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan agensi dibawahnya susulan laporan isu penyelewengan dananya, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Katanya beliau telah berbincang dengan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang supaya melakukan proses pengauditan itu, selepas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mencadangkan penubuhan pasukan siasatan bebas untuk mengenal pasti kelompongan dan menambah baik prosedur kewangan dalaman KBS.
Pengauditan itu, antara lain, akan meneliti peraturan kewangan yang dipatuhi KBS selain mengenal pasti kelemahan prosedur kewangannya, kata Ali dalam sidang media di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
"Jabatan Audit Negara akan melaporkan hasil pengauditan dan mengemukakan kepada kerajaan penambahbaikan yang perlu dibuat. Ini adalah seperti pengauditan forensik.
"Hasil siasatan akan dilaporkan kepada kabinet dan mesyuarat Ketua-Ketua Setiausaha. Kita harap dapat melaksanakannya dalam tempoh suku tahun," kata Ali.
Pada Jumaat lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang setiausaha bahagian sebuah kementerian selepas disyaki terlibat mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta.
Dalam sidang media di KBS hari ini, Khairy mengesahkan bahawa pegawai kementeriannya yang sedang disiasat SPRM berhubung isu penyelewangan dana itu.
Ali berkata Ketua Audit Negara juga diminta melihat proses keseluruhan pengauditan bermula dengan KBS sebelum langkah sama dilaksanakan secara rawak di kementerian lain, supaya tidak berlaku ketirisan dan tiada pihak yang mengambil kesempatan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Ketua Setiausaha kementerian selaku ketua pengawal kewangan sepatutnya mengetahui perbelanjaan peruntukan kementerian kerana mereka bertanggungjawab terhadap perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi.
"Sepatutnya, beliau (KSU) harus tahu ke mana perginya wang itu. Kemudian, pembayaran projek dilakukan oleh pegawai di bahagian kewangan atau bahagian pembangunan.
"Itulah yang saya mahu tahu sama ada (laporan) itu kembali kepada pengawal kewangan (KSU) atau tidak. Kita perlu tunggu dan lihat," katanya.
Ditanya sama ada KSU dan bekas-bekas KSU di KBS perlu bertanggungjawab terhadap penyelewengan dana itu, Ali berkata: "Ia bergantung sama ada ia disalahgunakan atau tidak. Kita akan periksa. Kita tidak boleh buat kesimpulannya sekarang," katanya.
Ali berkata suspek itu, yang ditahan SPRM, akan dikenakan tindakan penahanan kerja mengikut Peraturan 43 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah berkata prosedur perbelanjaan wang kerajaan akan diperketatkan dengan ketua setiausaha di setiap kementerian perlu meneliti setiap perbelanjaan.
Ketua Setiausaha akan melapor kepada Ketua Setiausaha Negara mengenai setiap perbelanjaan yang dilaksanakan, katanya semasa ditemui pada satu program di Kementerian Kewangan hari ini.
"Dengan perancangan yang rapi ini, saya harap tidak akan berlaku ketirisan, rasuah dan sebagainya," katanya sambil memberitahu bahawa langkah memperketatkan prosedur perbelanjaan wang kerajaan telah dibincangkannya dengan Ali.
Irwan Serigar turut mengingatkan penjawat awam bahawa arahan Perbendaharaan dan Pekeliling kerajaan mestilah sentiasa dipatuhi.
PAS PULAU PINANG MAHU GUAN ENG BERCUTI
Lim Guan Eng disaran bercuti daripada menjalankan tugas sebagai ketua menteri sehingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai menjalankan siasatan berhubung isu pembelian rumah bernilai RM2.8 juta di Jalan Pinhorn, di sini.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang (DPPNPP) Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata tindakan bercuti itu perlu bagi memastikan ketelusan dan kelancaran proses siasatan pihak berkuasa.
Beliau berkata DPPNPP turut menyokong pendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Lim tidak bersalah sehingga diputuskan bersalah oleh mahkamah.
"Pendirian beliau ini disifatkan sebagai berjiwa besar kerana mengambil pendirian mempertahankan seseorang yang belum diputuskan bersalah walaupun (Lim) bersikap memusuhi PAS," katanya dalam kenyataan di sini Isnin.
Isu pembelian rumah banglo oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu menjadi kontroversi apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membangkitkannya pada persidangan Dewan Rakyat Khamis lepas.
Shabudin yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang turut meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta membuat penilaian berhubung hartanah berharga RM2.8 juta dibeli Lim yang juga Anggota Parlimen Bagan di Jalan Pinhorn, sedangkan nilai semasa rumah itu lebih RM3 juta.
Shabudin turut meminta SPRM menyiasat dakwaan penjualan beberapa lot tanah di Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin.BERNAMA
BERLAPANG DADA DALAM MENANGANI PERBEZAAN PENDAPAT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta umat Islam di negara ini supaya berlapang dada dalam menangani perbezaan pendapat.
Beliau berkata Islam membenarkan perbezaan pendapat, menyuarakan pandangan dan bantahan tetapi ia harus dilakukan dengan cara beradab dan konsisten khususnya dalam memelihara perpaduan sesama Islam.
"Janganlah kerana perkara kecil, titik bengit atau khilafiah, kita berbalah sehingga mendorong kepada permusuhan, kebencian dan menaruh prasangka serta label yang tidak sepatutnya daripada seorang Muslim kepada saudara Muslim yang lain," katanya.
Semasa berucap merasmikan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-59 bagi Tahun 1437H/2016M di sini, malam ini, Najib berkata matlamat untuk membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul juga mestilah datang dengan pakej dan kaedah yang betul.
"Atas nama membetulkan itu dan ini, sudah pasti akan menjadikan rasa aman, harmoni dan kebersamaan yang kita warisi ini, goyah.
"Selain itu, bersesuaian dengan komposisi masyarakat yang berbilang-bilang kaum, agama dan budaya khususnya, semangat muhibah, perpaduan dan kerjasama dalam masyarakat majmuk perlu dipelihara sebaiknya,"katanya.
Najib menjelaskan bahawa kerajaan sememangnya amat menekankan persefahaman dan perpaduan antara kaum dan agama terutamanya yang melibatkan persefahaman sesama umat Islam dalam suatu kepentingan bersama.
Malah, katanya, kerajaan tidak pernah menutup pintu kerjasama dan rundingan dengan sesiapa sahaja sama ada individu, mana-mana parti mahu pun badan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya kerajaan juga tidak pernah mengenakan apa-apa syarat kerana baginya kepentingan umat dan rakyat sentiasa diutamakan berbanding kepentingan kelompok-kelompok tertentu.
"Apabila kita menutup pintu-pintu persefahaman dan rundingan demi kepentingan ummah, akhirnya kita akan menjadi bagai nasib Pak Pandir 'menang sorak, kampung tergadai'," katanya.
Perdana Menteri berkata untuk mencapai perpaduan, umat Islam di negara ini mesti berusaha sedaya upaya menepis segala serangan pemikiran yang datang dari pelbagai sudut dengan tujuan mengaburkan fikrah dan keyakinan terhadap kesyumulan Islam.
"Serangan pemikiran seperti liberalisme, pluralisme, humanisme dan sekularisme, misalnya, perlu ditangani dengan penerangan yang lebih jelas dan menyeluruh oleh para ulama dan cendekiawan Islam agar kesatuan fikrah umat Islam di negara ini tidak goyah dan tergugat," katanya.
Najib turut berharap tilawah kali ini mampu menjana penghayatan umat Islam dalam memahami isi kandungan al-Quran agar dapat diimplementasikan dalam urusan kehidupan seharian.
Diadakan buat julung kalinya di Putrajaya, tilawah itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Putrajaya (PPj). Tilawah bertema 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara' itu bermula malam ini sehingga 26 Mac.
Setiap negeri menghantar seorang qari dan qariah menyertai tilawah itu, yang turut disertai oleh johan menunggu qari dan qariah tahun lepas iaitu Wan Ainuddin Hilmi Abdullah dari Kelantan dan Siti Husna Hassan dari Pahang.
Langgan:
Ulasan (Atom)






