Isnin, 7 Mac 2016

KERJASAMA DR MAHATHIR BERSAMA LIM KIT SIANG SEJARAH HITAM BUAT ORANG MELAYU- AZIZ KAPRAWI

KERJASAMA DR MAHATHIR BERSAMA LIM KIT SIANG SEJARAH HITAM BUAT ORANG MELAYU #RespectMyPM #KekalNajib #Setia 1. Kejadian Sidang Media Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato' Seri Mukhriz Mahathir bersama barisan pembangkang pada hari ini merupakan satu peristiwa hitam bersejarah kepada negara dan khususnya kepada Parti UMNO. 2. Perbuatan ini yang sanggup bersekongkol dengan DAP, PKR, PAN dan serpihan PAS merupakan satu pengkhiatan terbesar yang dilakukan oleh ahli UMNO dan juga seorang negarawan dan mantan Presiden UMNO sendiri. 3. Tun Dr. Mahathir merupakan seorang individu yang selalu mengingatkan kita khususnya ahli UMNO tentang bahaya ancaman DAP terhadap orang Melayu dan negara Malaysia. 4. Beliau jugalah yang selalu memperingatkan tentang kesesatan ideologi PKR yang bertunjangkan kepada perjuangan songsang DS Anwar Ibrahim. 5. Namun, pada hari ini, Tun Dr Mahathir telah mengkhianati perjuangan UMNO, perjuangan orang Melayu, malah perjuangan dirinya sendiri demi ingin melihat matlamat peribadinya tercapai. 6. Lebih menyedihkan lagi apabila terdapat dua pemimpin UMNO turut bersama beliau juga kerana ingin mengejar matlamat peribadi mereka. 7. Saya ingin mengingatkan kepada ahli UMNO yang lain akan erti kesetiaan kepada perjuangan parti demi agama, bangsa dan negara supaya sekali-kali tidak bertindak mengikut emosi tanpa memikirkan kesan jangka masa yang panjang terhadap parti, dan negara. 8. Tidak ada pengganti bagi perjuangan orang Melayu dan agama Islam di dalam negara ini melainkan parti UMNO sahaja. Parti UMNO sahaja yang dapat menjamin kelangsungan agenda Bumiputera dan agama Islam agar tidak diinjak-injak dan diperkotak-katikkan. 9. Tahun ini merupakan ulang tahun ke-70 tahun parti keramat orang Melayu dan menjelang tempoh yang masih lagi terlalu pendek ini, negara Malaysia melalui Parti UMNO telah mencapai satu tahap kemajuan yang membanggakan. Pencapaian ini tidak sekali-kali dapat dicapai tanpa nilai kesetiaan yang tinggi antara pemimpin dan juga akar umbi parti UMNO. 10. Kita cuma tinggal empat tahun sahaja lagi sebelum mencapai tahun 2020 yang mensasarkan negara Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju dengan acuannya tersendiri. Sekiranya kita ingin melihat visi ini tercapai di bawah kepimpinan Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak, maka seluruh kepimpinan negara, ahli UMNO dan rakyat Malaysia haruslah kekal setia dengan perjuangan ini demi memartabatkan negara yang kita cintai ini. 11. Sekiranya nilai kesetiaan ini dirobek, maka matlamat negara untuk mencapai status negara maju akan menghadapi cabaran yang lebih besar. 12. Bersamalah kita mendoakan agar nilai kesetiaan kita tidak diganggu gugat dan dengan nilai kesetiaan yang tinggi inilah kita dapat mencapai matlamat demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara. AB AZIZ BIN KAPRAWI AHLI MAJLIS TERTINGGI UMNO KETUA UMNO BAHAGIAN SRI GADING

UMNO Melaka cadang pecat ahli yang sekongkol dengan pembangkang

Badan Perhubungan UMNO Melaka mencadangkan agar Majlis Tertinggi (MT) parti itu supaya memecat anggota parti yang bersekongkol dengan pembangkang. Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata anggota UMNO yang berbuat demikian perlu dipecat kerana tidak lagi mempunyai semangat serta 'roh' UMNO itu sendiri yang diterjemah melalui cogan kata 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat'. "Adalah sesuatu yang tidak masuk akal apabila seseorang itu masih mahu bersama UMNO tetapi tidak mahu bersama presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) malah mahu menyingkirkannya dengan cara tidak sah, inikah perangai anggota UMNO sebenar. "UMNO ada peraturan dan perlembagaan sendiri dengan pemilihan jawatan presiden dan lain-lain diadakan dengan cara demokrasi, jadi gunakanlah proses itu dengan sebaik-baiknya," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Melaka dan Barisan Nasional (BN) Melaka di sini tengah malam Ahad. Pada Jumaat lepas, bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir adalah antara 50 yang menandatangani Deklarasi Rakyat menyokong penyingkiran Najib, diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Idris yang juga Pengerusi BN Melaka berkata turut dikesalkan ialah tindakan Dr Mahathir dan anggota UMNO itu yang sanggup bersekongkol dengan DAP terutama pemimpin veterannya Lim Kit Siang dalam Deklarasi Rakyat itu. "Dahulu kami bekerja keras mempertahankan dan menidakkan pelbagai tuduhan Lim dan DAP terhadap Dr Mahathir ketika beliau menjadi perdana menteri, tetapi sekarang Dr Mahathir melupakan sokongan kami malah tergamak duduk bersama Lim dan DAP," katanya. Beliau berkata BN Melaka turut mengesyorkan kepada kerajaan supaya Dr Mahathir dilucutkan semua jawatan yang diberikan kepada beliau antaranya di syarikat berkaitan kerajaan seperti Petronas dan Proton. "Kami menghormati hak individu keluar atau masuk parti atau mana-mana organisasi, kami juga menghormati dan menghargai sumbangan serta jasa para pemimpin parti terdahulu serta masa kini, namun kami menolak sekeras-kerasnya perbuatan mereka yang derhaka terhadap UMNO, BN dan perjuangan parti," katanya. Sehubungan itu, Idris berkata BN Melaka memberi sokongan padu kepada Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, serta mendesak semua pemimpin parti komponen BN mengambil tindakan terhadap anggota mereka yang terlibat dalam deklarasi tersebut. "BN Melaka mengajak semua rakyat agar memberikan sokongan padu dan jitu kepada perdana menteri (Najib) atas semangat setiakawan BN. Beliau mampu dan bersedia meneruskan mandat, amanah dan tanggungjawab untuk menerajui negara ini bagi merealisasikan tuntutan serta aspirasi rakyat," katanya.

Kes pemimpin UMNO bersekongkol dengan pembangkang akan dibawa ke MT

Isu berkaitan mana-mana pemimpin UMNO yang menandatangani Deklarasi Rakyat dan bersekongkol dengan pembangkang akan dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi (MT) parti sebelum sebarang tindakan diambil. Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata keputusan mesti dibuat secara rasional dan mengikut kaedah yang ada di dalam parti. "Saya percaya perkara ini akan dibawa ke Majlis Tertinggi dan Majlis Tertinggi akan meneliti dari sudut perlembagaan, peraturan dan undang-undang berdasarkan kes-kes sebelum ini," katanya selepas merasmikan Persidangan Berkelompok UMNO Cawangan, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Jelebu 2016 di sini, malam tadi. Turut hadir Ketua Umno Bahagian Jelebu Datuk Jalaluddin Alias. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penglibatan anggota parti bersama pembangkang dan menurunkan tandatangan 'deklarasi rakyat' yang antara lain mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya berundur. Semalam, Najib dilaporkan sebagai berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada MT dan Jawatankuasa Disiplin untuk mengambil tindakan ke atas pemimpin UMNO yang bersekongkol dengan pembangkang. Ahmad Shabery berkata berdasarkan pertemuaannya dengan pemimpin di peringkat cawangan dan bahagian, rata-rata menggesa agar tindakan diambil.BERNAMA

Ahad, 6 Mac 2016

Perjuangan UMNO lebih utama dari individu-Annuar Musa

Perkembangan politik mutakhir masa kini telah merangsang perpaduan lebih padu dan menyemarakkan iltizam dalam kalangan anggota UMNO untuk meletakkan perjuangan parti lebih utama daripada kerenah beberapa individu yang kecewa. Justeru, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa meminta semua anggota UMNO supaya memggunakan sepenuhnya mesyuarat agung cawangan masing-masing untuk terus memperkasa semangat juang serta membincangkan isu-isu berkaitan usaha membela nasib rakyat. "Tindakan sebegitu bukan saja dinanti-nantikan oleh rakyat tetapi juga memberi makna lebih besar kepada sebuah perjuangan, " katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Beliau berkata tindakan beberapa anggota UMNO dan bekas pimpinan parti itu yang bersekongkol dengan pembangkang cuba menjelmakan wajah 'Demi Rakyat' dan 'Menyelamatkan Malaysia', "namun nawaitu sebenar terlalu nyata untuk mereka sembunyikan." Annuar berkata walaupun tindakan mereka itu satu penghinaan terhadap kebijaksanaan anggota UMNO dan atas hakikat itu, semua anggota UMNO perlu terus fokus kepada amanah rakyat dan peranan parti dalam membela nasib rakyat. "Walaupun UMNO luka dan sedih melihat beberapa pemimpin yang dijulang selama ini akhirnya kini dicemuh dan dibenci oleh ahli akar umbi namun apakan daya kerana pemmimpin berkenaan memilih jalan yang sukar diterima," katanya. Pada Jumaat lepas, bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir adalah antara 58 individu yang menandatangani 'Deklarasi Rakyat' menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana menteri. Acara menandatangani deklarasi itu, yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, turut disertai Lim Kit Siang daripada DAP, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dari PKR, dan bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik.

Deklarasi Rakyat tidak jejas sokongan pengundi PRN Serawak

Tindakan kumpulan yang menandatangani deklarasi rakyat tidak akan menjejaskan sokongan pengundi kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tahun ini. Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata beliau yakin rakyat Sarawak cukup matang dan tahu bahawa kerajaan di bawah kepimpinan BN mampu melaksanakan mandat yang diberi serta membawa kemajuan kepada negeri itu. "Apa yang dia (bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) hendak lakukan, saya pun tidak tahu. Dan ia tidak akan menjejaskan (BN pada PRN Sarawak)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pecah tanah surau komuniti Acheh dan sambutan Maulidur Rasul masyarakat Acheh dan Melayu peringkat kebangsaan di Kampung Baru, di sini hari ini. Tengku Adnan berkata tindakan Dr Mahathir bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin pembangkang yang sebelum ini didakwanya "tidak boleh pakai" , turut menimbulkan kekeliruan. Ditanya sama ada Majlis Tertinggi UMNO akan bermesyuarat mengenai tindakan yang akan diambil terhadap bekas pemimpinnya yang turut menandatangani deklarasi itu, Tengku Adnan berkata UMNO tidak akan mengadakan sebarang mesyuarat. "Kenapa kita (UMNO) hendak bermesyuarat. Kepada UMNO ini tidak menjadi kudis. Kita akan buat cara kitalah iaitu meneruskan mandat yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan BN yang sah untuk terus mentadbir negara ini," katanya. Tengku Adnan berkata: " Kita tidak perlu gusar dan bimbang, kita perlu percaya bahawa sebagai sebuah kerajaan, kita bertanggungjawwab kepada rakyat. Jadi kita akan melaksanakannya." Pada Jumaat lepas, bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir adalah antara 58 orang yang menandatangani deklarasi rakyat menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana menteri. Acara menandatangani deklarasi itu, yang diketuai Dr Mahathir, turut disertai Lim Kit Siang daripada DAP, Menteri Besar Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR, dan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.BERNAMA

Tun M dan Muhyiddin lakukan kesilapan amat besar- Najib

Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin "bersepakat" dengan pembangkang dilihat oleh UMNO sebagai satu kesilapan amat besar, kata Presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak. Najib, yang juga Perdana Menteri itu berkata tindakan kedua bekas pemimpin kanan UMNO itu turut mendatangkan kemarahan dan kekecewaan rata-rata pemimpin dan ahli UMNO. "Saya tengok rata-rata di kalangan pemimpin UMNO, mereka sangat marah dan amat kecewa (dengan) tindakan Tun Dr Mahathir untuk sepakat dengan pembangkang. "Malah sedutan ucapan Tun Dr Mahathir diviralkan, antaranya (pernah) menyelar Lim Kit Siang sebagai pemimpin rasis dan DAP chauvinis. "(Selain itu), Tan Sri Muhyiddin dan Tun Mahathir (pernah) menyelar dan mengutuk Kit Siang dan DAP dengan jelas. "Sebab itulah, pemimpin UMNO tidak boleh terima. Mereka tahu pendirian DAP selama ini, jadi apa yang dilakukan (adalah) satu kesilapan amat besar," kata Najib kepada pemberita di sini hari ini. Beliau mengulas mengenai tindakan dua pemimpin itu yang "bersepakat" dengan pembangkang menandatangani 'Deklarasi Rakyat' Jumaat lepas. Muhyiddin dan juga bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir adalah antara 50 orang yang menandatangani deklarasi itu yang menyokong penyingkiran Najib, diketuai Dr Mahathir, bekas perdana menteri. Turut memberi sokongan adalah Penasihat DAP Kit Siang, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik. Ketika ditanya sama ada pemimpin UMNO yang terlibat boleh dikenakan tindakan, Najib berkata: "Terpulang kepada Majlis Tertinggi (MT) dan Jawatankuasa Disiplin. "Kita, tiap seorang pemimpin di mana jua peringkat, tertakluk kepada perlembagaan dan disiplin parti," kata Najib. Ditanya adakah ia amaran terakhir untuk Muhyiddin, Najib berkata: "Biar MT putuskan. Kami percaya badan tertinggi ialah Majlis Tertinggi." Mengenai Badan Perhubungan UMNO Kedah yang mahukan Muhyiddin dan Mukhriz turut dikenakan tindakan, Najib berkata beliau tidak mahu membuat keputusan sendirian dan menyerahkan kepada MT. "Serah pada MT. Saya tidak mahu buat keputusan sendirian. Kita amal tanggungjawab bersama," kata Perdana Menteri. Apapun, Najib berkata kerajaan akan terus menumpukan kepada pembangunan negara dan juga khidmat kepada rakyat. "Bagi kami, tahap keyakinan bergantung pada pilihan raya. "Buat ketika ini, kerajaan akan diteruskan kerana kita mempunyai mandat dan bilangan di Parlimen. Parti juga di belakang kerajaan," katanya ketika ditanya sama ada beliau yakin rakyat masih di belakang UMNO. Terdahulu, Najib dalam rangka lawatan kerja sehari di Johor Baharu, merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Galleria@Kotaraya.BERNAMA

Tindakan Tun M berlawan dengan kesetiaan parti- Mahdzir Khalid

bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kumpulan lebih 50 orang memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri merupakan satu cabaran politik yang perlu dihadapi dalam pilihan raya umum akan datang. Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata walaupun Dr Mahathir menjelaskan beliau tidak menyertai mana-mana parti pembangkang, namun beliau telah pergi ke pejabat PKR dan duduk sebaris bersama pemimpin pembangkang daripada PKR dan DAP. "Tindakannya itu adalah berlawanan dengan sifat kesetiaan, hormat menghormati dan kesepaduan yang wujud dalam UMNO sejak dulu lagi. "Daripada Perdana Menteri pertama hingga PM Najib sekarang, setiap proses pertukaran itu ada tertibnya, namun tindakan Tun Mahathir yang mengajak pembangkang (menjatuhkan Najib) sedangkan selama ini mereka dianggap musuh politik UMNO adalah sesuatu yang langsung tidak boleh diterima. "Jika inilah gerakannya, maka kita akan berdepan dengan kumpulan yang sama dalam pilihan raya nanti namun saya yakin dengan kekuatan jentera parti UMNO serta Barisan Nasional yang ada kita mampu menghadapinya," katanya mengulas tindakan Dr Mahathir bekerjasama dengan pembangkang dalam kempen Anti-Najib. Terdahulu, Menteri Pendidikan itu merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah di sini hari ini. Mengulas lanjut, beliau berkata proses pelantikan Perdana Menteri adalah melalui sistem demokrasi berparlimen dan ia telah dilakukan menerusi pilihan raya umum yang sah dan ia perlu dihormati semua pihak. "Usaha Tun Mahathir itu adalah di luar kebiasaan...pemimpin UMNO yang didapati turut menandatangani deklarasi itu boleh diambil tindakan mengikut perlembagaan parti. "Saya sebagai pemimpin UMNO dari Kedah, tetap teguh menyokong Perdana Menteri untuk terus mentadbir negara dan bersama-sama membantu Perdana Menteri untuk meneruskan agenda pembangunan negara," kataya.