Selasa, 12 Ogos 2014
Sultan Selangor tidak berkenan Wan Azizah mengadap
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan baginda tidak berkenan menerima menghadap Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda telah menerima surat yang telah ditandatangani Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim Ahad lalu yang memohon agar Wan Azizah menghadap baginda.
“”Surat itu bagi memohon Presiden PKR menghadap Sultan Selangor bagi memberi penerangan dan penjelasan yang telah diputuskan PKR. Surat permohonan itu telah disembahkan kepada Sultan Selangor pada Isnin.
“Baginda menitahkan supaya saya memaklumkan kepada Anwar bahawa baginda tidak berkenan menerima menghadap Presiden PKR atas alasan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah pun menghadap banginda berkaitan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, baginda tidak mahu campur tangan dalam soal pemecatan Abdul Khalid dari PKR.
“Sultan Selangor berpendapat bahawa pemecatan Abdul Khalid dari PKR merupakan isu dalaman parti yang tidak menjejaskan kedudukan beliau sebagai Adun Menteri Besar Selangor.
“Baginda tidak mahu campur tangan dalam isu dalaman PKR,” katanya.
Dalam pada itu, Sultan Selangor turut memaklumkan bahawa baginda telah berkenan Abdul Khalid terus kekal sebagai Menteri Besar, bukannya keputusan Mesyuarat Dewan Diraja Selangor sebagaimana yang dilaporkan media.
“Mesyuarat Dewan Diraja Selangor yang diadakan pada 11 Ogos adalah mesyuarat berjadual yang telah diperkenan Sultan Selangor dan tidak membincangkan kedudukan Abdul Khalid.
“Abdul Khalid telah menghadap Sultan Selangor bagi menyembah maklum kepada baginda bahawa beliau telah dipecat oleh Lembaga Disiplin PKR dan beberapa perkara berkaitan kedudukan menteri besar sebelum sidang Mesyuarat Dewan Diraja,” katanya.
15 ADUN PAS sokong Khalid
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Mohd Amar Abdullah memberi jaminan 15 Adun Pas Selangor masih lagi menyokong Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagaimana diputuskan Majlis Syura.
Menurutnya, selagi parti berpaksi kepada keputusan Majlis Syura, maka secara automatiknya dari segi kewajipannya wakil rakyat Pas akan tetap bersama Abdul Khalid.
“Arahan pun sudah dikeluarkan kepada exco Pas supaya kekal dengan jawatan yang ada, DAP pun tidak dengar supaya keluar, tidak ada arahan suruh letak jawatan, maka dari segi pentadbirannya, Tan Sri Abdul Khalid masih mendapat sokongan, walaupun DAP, dari segi partinya bersama dengan PKR,”katanya kepada media ketika ditemui di pejabatnya hari ini.
Beliau diminta mengulas isu pergolakan yang melanda politik Selangor selepas buat pertama kalinya negeri itu dipegang seorang menteri besar bebas.
Sementara itu Keempat-empat Exco Pas di Selangor kekal menggalas jawatan mereka sehingga satu keputusan baharu dicapai dalam mesyuarat khas peringkat pusat parti itu pada Ahad ini.
Menurut Exco Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi, beliau ada menemui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, namun isu sokongan terhadap kepimpinan Adun Pelabuhan Klang itu tidak timbul.
"Saya ada berjumpa dengan menteri besar, dua hingga tiga minit sahaja, membincangkan bagaimana Exco-Exco yang masih tidak meletakkan jawatan untuk bekerja kepada rakyat Selangor.
"Sekarang kini, Pas masih memegang jawatan (Exco) seperti mana yang dikehendaki Pas Pusat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.
Semalam, Abdul Khalid memberitahu beliau akan menemui Exco DAP Dan PKR Selangor untuk bertanyakan sokongan mereka kepada beliau selepas dipecat keahliannya dari PKR pada Sabtu.
Ditanya tentang tiga Exco Pas Selangor yang lain, Ahmad Yunus memberitahu mereka tidak menemui Abdul Khalid kerana mempunyai urusan kerja masing-masing di luar pejabat.
Dalam pada itu, Ahmad Yunus turut memberitahu bahawa beliau akan menghadiri menghadiri mesyuarat mingguan Exco esok.
"Esok ada mesyuarat Exco dan Insya-ALLAH saya akan hadir kerana saya tidak meletakkan jawatan. Esok biasa pukul 10 pagi.
Ditanya sama ada mengetahui tentang tindakan Exco lain selain Pas yang meletakkan jawatan, Ahmad Yunus berkata, sehingga kini beliau tidak dimaklumkan tentang perkara tersebut.
Sementara itu, seorang lagi Exco Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad yang ditemui di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor juga senada dengan kenyataan Ahmad Yunus berhubung kedudukan mereka sebagai Exco.
"Saya rasa sekarang ini perlu teruskan kerja demi memastikan rakyat dapat khidmat terbaik. Saya akur dengan keputusan yang diperkenan tuanku semalam," katanya.
Ketika ditanya tentang pertemuan khas Abdul Khalid dengan Exco yang dijadualkan hari ini, beliau bagaimanapun berkata tidak dimaklumkan perkara tersebut.
"Saya cuma hadiri mesyuarat dengan Menteri Besar petang ini berkenaan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor tentang isu perumahan dan bukan soal sokongan," katanya lagi.
Isnin, 11 Ogos 2014
Semua Exco PAS Selangor terus jalankan tugas seperti biasa
Keempat-empat Exco PAS Kerajaan Selangor akan terus menjalankan tugas mereka seperti biasa di bawah pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, demikian tegas Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.
Mustafa berkata, ini kerana kerajaan negeri masih lagi wujud dan berfungsi seperti biasa, sebelum menunggu pengumuman terbaru daripada PAS Pusat.
"Kerajaan masih ada, jadi mereka hendaklah menjalankan tugas sebagaimana biasa sehingga ada keputusan baru," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kedudukan kesemua Exco PAS selepas Lembaga Disiplin PKR memecat Abdul Khalid kelmarin.
PAS mempunyai empat Exco dalam kerajaan Selangor iaitu, Pengerusi Perumahan Pengurusan dan Peneroka Bandar Iskandar Samad (Adun Chempaka), Pengerusi Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian Pembangunan Desa Sallehen Mukhyi (Adun Sabak), Pengerusi Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali (Adun Selat Klang) dan Pengerusi Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Dr Ahmad Yunus (Adun Sijangkang).
Sementara itu, Mustafa mengingatkan kepada semua peringkat kepimpinan parti, ahli dan para penyokong supaya bertenang dalam menghadapi konflik politik yang kini melanda Selangor.
Katanya, PAS masih bersama Pakatan Rakyat dan menangani krisis ini secara berhemah, cermat dan bijaksana bersama-sama dengan kepimpinan Pakatan Rakyat yang lain.
BN sokong Khalid kekal sebagai MB
Barisan Nasional (BN) menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor, tanpa syarat dan ikhlas, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN bagi mendapatkan hala tuju berhubung kemelut kepimpinan di Selangor.
"Jadi atas beberapa dasar, sebab dan prinsip, BN menyokong MB Selangor (Abdul Khalid).
"Kita juga tidak mengambil kira fahaman politik dan sebagainya, kita juga lihat tiada kewajaran perubahan pimpinan sebagaimana yang hendak dilakukan oleh Pakatan Rakyat di negeri itu ," katanya ketika diminta mengulas situasi terkini di Selangor selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan kali ke-11 di sini hari ini.
Muhyiddin berkata sokongan itu juga adalah tidak bersyarat dan ikhlas kerana apa yang ingin dilihat ialah keadaan yang stabil di negeri itu.
"Kalau anda tanya apa yang kita akan dapat dengan menyokong beliau (Abdul Khalid) kita pun tak tahu apa yang kita akan dapat," katanya.
Muhyiddin berkata yang penting ialah soal kesinambungan kepimpinan dan nasib rakyat di negeri itu.
Beliau berkata semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Selangor juga akan menyatakan sokongan sekiranya usul undi tidak percaya dikemukakan terhadap Abdul Khalid.
"Selangor sebuah negeri yang penting dan atas sebab itu kita berpendapat kalau tiada perubahan kepimpinan, walau pun Khalid bukan daripada parti BN tetapi itu lebih baik untuk keadaan yang ada sekarang," katanya.
Beliau berkata dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, Abdul Khalid juga memberikan sokongan dan kerjasama berhubung masalah air dan penstrukturan semula air di Selangor serta projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).
"Jadi projek itu pada peringkat ini masih boleh diteruskan, itu perkara utama untuk mengelakkan krisis air bagi kami kerajaan persekutuan dan semangat kerjasama yang sudah sedia terjalin itu perlu diteruskan," katanya.
Muhyiddin berkata, apa yang dibimbangkan ialah jika berlaku perubahan kepimpinan sudah tentu persefahaman dan perjanjian yang ditandatangani berhubung masalah air mungkin akan terjejas.
"Bagi kami dalam keadaan itu siapa yang elok kita sokong...bagi Kerajaan Pusat ialah menentukan nasib rakyat baik di Selangor dan persekutuan tidak terjejas dan terus dibela dengan perjanjian yang telah disepakati.
"Ikut bacaan saya kalau ada perubahan maka ada yang akan pinda itu...ini...dan ia akan bawa kesan besar kepada masalah air serta soal-soal berkaitan kebajikan rakyat di Selangor dan Wilayah Persekutuan," katanya.
Ditanya sama ada boleh berlaku perubahan dalam perjanjian yang telah ditangani sebelum ini jika berlaku perubahan pentadbiran, Muhyiddin berharap perjanjian yang ditandatangani itu dihormati.
"Tetapi jika ada perubahan kerajaan saya juga tidak boleh jangkakan apa akan berlaku dan itu turut menjadi kebimbangan kita juga," katanya.
Mengenai sama ada akan berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Muhyiddin berkata perkara itu sukar diramal dan tidak tahu apa yang akan dilakukan oleh Pakatan Rakyat.
Sultan perkenan saya teruskan tugas sebagai MB
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan kepada beliau untuk meneruskan tugas sebagai menteri besar.
Bercakap pada sidang media di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, Abdul Khalid juga menegaskan beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua Exco Kerajaan negeri Selangor dalam masa terdekat.
"Saya telah memperjelaskan bahawa di sebalik pemecatan saya sebagai ahi PKR, saya masih memperolehi kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri.
Justeru itu DYMM Tuanku berpuas hati dengan penjelasan yang telah disembahkan dan selanjutnya DYMM Tuanku telah perkenan untuk saya terus memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor," ujar beliau.
Sementara itu, Abdul Khalid turut memberitahu, beliau tidak menolak untuk menyertai mana-mana parti politik termasuk Pas selepas beliau dipecat daripada keahlian seumur hidupnya daripada PKR.
"Sehingga ada perkembangan baharu, saya masih kekal sebagai Menteri Besar Selangor dan akan menjalankan tugas seperti biasa," tambah beliau lagi.
Menurut Abdul Khalid lagi, beliau perlu mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya empat orang Exco Selangor untuk terus menerajui kerajaan negeri itu.
Sehingga kini, Abdul Khalid berkata hanya empat Exco Selangor dari Pas telah menyatakan sokongan terhadap beliau untuk menerajui kerajaan negeri Selangor.
"Menurut artikel 53 (2) b Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, Exco selain menteri besar mesti mendapat sokongan sekurang-kurang empat ahli atau maksimum 10 orang.
"Jika memenuhi syarat itu, barulah saya boleh meneruskan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri," katanya lagi.
Ahad, 10 Ogos 2014
Exco DAP kekal dalam kerajaan negeri Selangor
Kesemua tiga Exco DAP di Selangor akan kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri sehingga proses peralihan kuasa dan pelantikan Menteri Besar Selangor baharu itu selesai dilaksanakan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, langkah parti itu mengekalkan wakilnya adalah untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri Selangor berjalan lancar dan berterusan seperti biasa.
"Semua tiga Exco DAP di Selangor kekal dalam jawatan mereka dalam tempoh peralihan sehingga Menteri Besar Selangor baharu dilantik.
"Pengaturan peralihan kuasa itu perlu untuk memastikan pentadbiran Selangor berterusan sehingga menteri besar baharu dilantik," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Langkah itu dibuat selepas Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong mengumumkan pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari parti itu serta-merta semalam.
Penyingkiran Abdul Khalid dibuat pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR selepas meneliti dan mengadakan siasatan berkenaan kes disiplin dan tatatertib Adun Pelabuhan itu.
Kee Kwong menjelaskan, Abdul Khalid didapati mengingkari keputusan MPP yang bermesyuarat pada 21 Julai lalu yang sebulat suara memilih Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor baharu.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata DAP memberi sokongan sepenuhnya kepada cadangan PKR untuk menclaonkan Wan Azizah bagi menggantikan Abdul Khalid untuk mengetuai pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
"Kesemua 15 Adun DAP di Selangor telah menyatakan sokongan sepenuhnya kepada Wan Azizah untuk menggalas jawatan itu.
"Kerajaan PR Selangor juga akan kekal dan berterusan sebagai kerajaan yang stabil dan sah bersama dengan 43 Adun PR di negeri itu berikutan penyingkiran Abdul Khalid dari PKR," katanya lagi.
Rakyat Selangor jadi mangsa kerakusan kuasa PKR
Kerakusan kuasa Pakatan Rakyat di Selangor menyebabkan negeri itu terumbang-ambing sehingga rakyat menjadi mangsa, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata pakatan itu tidak harus lari daripada tanggungjawab menyelesaikan krisis politik yang berlaku dengan cara baik kerana ia melibatkan kepentingan rakyat Selangor.
"Ini adalah masalah mereka yang kini menjadi krisis dan membebankan (rakyat). Bagi kita, soal rakyat lebih diutamakan. Saya tidak fikir rakyat akan rasa seronok (jika ia berterusan).
"Seharusnya ada tindakan (penyelesaian) segera, kita tidak mahu masuk campur urusan dalaman. Mereka patut tengok apa yang rakyat akan hadapi. Jangan jadikan krisis itu beban kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bentong di sini Ahad.
Muhyiddin mengulas kemelut politik di Selangor yang kian meruncing sehingga Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan untuk memecat Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada parti kerana didakwa mengingkari beberapa keputusan parti.
Ditanya mengenai kemungkinan pilihan raya negeri Selangor diadakan susulan krisis itu, Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, berkata situasi di negeri itu akan dipantau sebelum memutuskan tindakan seterusnya.
"Kita mesti harus bersedia. Bukan sebab kita menangguk di air keruh...(tetapi) susah nak ramal, dalam keadaan begini yang tak menentu.
"Sebagai pihak (pembangkang) di Selangor, kita sentiasa buat apa-apa persiapan yang perlu, baik untuk menghadapi pilihan raya kecil atau pilihan raya umum. Dalam keadaan sebegini kita belum pasti," katanya.
Muhyiddin berkata setakat ini belum ada sebarang perbincangan mengenai langkah menyelesaikan kemelut di Selangor yang melibatkan pihak BN, termasuk dari pihak Abdul Khalid.
Melahirkan rasa dukacita atas krisis politik itu, Muhyiddin meminta rakyat Selangor supaya mengambil iktibar atas apa yang berlaku yang antara lain boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negeri.
Ditanya sama ada krisis perebutan kuasa di Selangor akan menjejaskan perjanjian antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, Muhyiddin berkata projek berkaitan air masih berjalan dan perlu melalui beberapa fasa lagi sebelum ia disiapkan.
"Ada beberapa fasa lagi kerana ini projek besar dan mengambil masa. Banyak lagi kerjasama yang diperlukan melibatkan kerajaan pusat dan kerajaan negeri untuk menentukan ia siap dalam masa (yang ditetapkan).
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno menyarankan pewujudan pelan tindakan parti di setiap negeri untuk mencetus perubahan dan meningkatkan penerimaan dan sokongan di peringkat akar umbi.
"Umno tidak boleh bertindak seperti biasa kerana kita sentiasa cabaran getir. Apa yang penting, bila siap (pelan tindakan), bagaimana ia hendak dilaksanakan supaya ada keadaan yang boleh mencetuskan 'wow factor" baharu dan dilihat pengundi inilah apa yang mereka mahu.
"Umno perlu menerajui perubahan dan tidak dilihat sama dari dulu hingga sekarang. Jika tiada perubahan atau masih ditakuk lama, sokongan tidak akan hadir mahupun bertambah," katanya.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, dalam ucapannya berkata Umno negeri merancang untuk mewujudkan pelan tindakan bagi mengenal pasti persepsi masyarakat di akar umbi dan meneliti kaedah baharu yang sesuai untuk terus meraih sokongan pengundi.
-- BERNAMA
Langgan:
Ulasan (Atom)






