Ahad, 6 Julai 2014

Isu judi haram- Zahid akan bertemu dengan menteri besar

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan mengadakan perjumpaan dengan menteri besar dan ketua menteri bagi membincangkan mengenai masalah judi haram yang semakin berleluasa. Katanya tindakan melawat negeri-negeri itu bagi mendapatkan sokongan terhadap usaha kementerian itu memerangi judi haram, antaranya dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lagi mengeluarkan lesen pusat hiburan keluarga (PHK). "Saya yakin mereka (menteri besar dan ketua menteri), termasuk yang dikuasai pembangkang, akan memberi sokongan kepada KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk membanteras judi haram yang akhirnya akan merosakkan akhlak penduduk di negeri berkenaan. "Masalah (judi haram) ini terlalu serius. Dan saya fikir Selangor yang paling 'hebat'," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama warga KDN Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini. Hadir sama Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Mohamad Khalid Sharif, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim. Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata pasukan petugas yang diwujudkan bagi menangani kegiatan judi haram itu akan mengadakan kerjasama dengan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri selain Jabatan Peguam Negara, PBT, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). "Ini semua bagi membanteras judi haram termasuk penyitaan premis perjudian, aset perjudian, perkakasan perjudian dan harta benda dipunyai oleh mereka yang menjalankan kegiatan perjudian haram," katanya. Beliau berkata ada undang-undang berkaitan yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat tetapi beberapa pindaan tambahan diperlukan untuk memperkuatkan pelaksanaan pencegahan dan pembanterasan. "KDN amat mengalu-alukan usaha Jabatan Peguam Negara untuk membantu membentangkan pindaan itu. Kita harap akan dapat dilakukan dalam sidang Parlimen pada Oktober depan," katanya. Beliau berkata iltizam politik dan komitmen kerajaan amat jelas dalam membendung serta membanteras kegiatan judi haram dan beberapa mesyuarat penyelarasan antara agensi persekutuan yang terlibat telah diadakan dan akan diperluaskan di peringkat negeri. "Ada yang mencadangkan supaya KPI (petunjuk prestasi utama) ditekankan bagi menentukan penguatkuasaan ini dilaksanakan. KPI ini adalah prestasi yang akan diukur bukan hanya untuk KDN dan PDRM tetapi juga mengukur pencapaian semua agensi pusat dan negeri apabila pelaksanaan penuh dilakukan kelak," katanya.

Sabtu, 5 Julai 2014

Kerusi MB Selangor- Pas akan bincang esok

Pimpinan Pas Pusat dan Selangor akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan suasana politik negeri ini, esok. Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, perjumpaan itu bukan khusus berkenaan kedudukan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semata-mata tetapi perkara lain juga. “Kita mahu bincangkan perkembangan politik di Selangor dalam pelbagai sudut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad turut mengesahkan perjumpaan pada hujung minggu ini. “Ya, ada pertemuan antara Pas Pusat dan Pas Selangor Ahad ini. Pusat hendak dengar pandangan Adun, Ahli Parlimen dan Yang Dipertua Pas Kawasan berhubung isu Menteri Besar,” katanya. Dalam pada itu, Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kayat ketika dihubungi berkata, perjumpaan itu bertujuan mendengar cadangan dan pendapat peringkat akar umbi. "Pas parti yang tidak membuat sesuatu keputusan terburu-buru dengan mendengar cakap sesetengah pihak sahaja dan kita akan adakan perbincangan untuk capai kata sepakat dan buat keputusan. Ketika ditanya berkenaan kelantangan beliau sebelum ini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang yang mahukan kedudukan Menteri Besar itu berhak diberikan kepada Pas beliau berkata, ia merupakan pendapat semata-mata. Suhaizan juga tidak menolak sekiranya jawatan Menteri Besar itu diisi oleh PKR lagi jika ia keputusan bersama parti komponen lain dalam PR dalam masa sama tidak mahu Pas dilihat sebagai parti yang hanya mengambil peluang dalam masalah kepimpinan di negeri tersebut. Kebelakangan ini timbul desakan segelintir ahli PKR yang mahukan Abdul Khalid berundur termasuk suara kalangan Pas sendiri. Desakan lepas jawatan itu timbul apabila Abdul Khalid dikatakan mengetepikan pandangan Adun semasa membuat beberapa keputusan besar yang membabitkan negeri antaranya isu penstrukturan semula industri air negeri. Pas yang memenangi majoriti 15 kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU13) memberi laluan kepada PKR untuk jawatan Menteri Besar yang mana masing-masing memperolehi 14 kerusi bagi DAP dan PKR.Petikan; Sinar Harian

Isu gelandangan- Kementerian Wilayah bincang Selasa ini

Bagi meleraikan isu berkaitan pengagihan makanan kepada golongan gelandangan dapat dimuktamadkan, Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengadakan pertemuan khas dengan NGO-NGO terlibat Selasa ini, ujar menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Menurut Tengku Adnan, perbincangan tersebut akan menyentuh mengenai lokasi baharu yang lebih sesuai untuk kumpulan sukarelawan tersebut mengagihkan makanan kepada golongan yang memerlukan. “ Saya menghargai segala usaha murni yang dilaksanakan oleh NGO-NGO yang terlibat dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengadakan perbincangan dengan NGO-NGO ini. “Perbincangan itu adalah bagi menetapkan lokasi yang bersesuaian supaya pengagihan makanan dan bantuan-bantuan lain dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini. Terdahulu, Tengku Adnan dikritik hebat setelah pelbagai kenyataan yang dikeluarkannya yang menyentuh mengenai golongan gelandangan dan NGO ini mencetuskan kontroversi. Beliau sebelum itu melarang mana-mana NGO memberi makanan percuma kepada golongan miskin dalam lingkungan dua kilometer dari pusat membeli-belah Lot 10, Bukit Bintang. Menurutnya, kawasan berkenaan dikira sebagai tempat tumpuan pelancong, yang dibimbangi akan menjadi kotor dengan kehadiran orang miskin dan gelandangan. Setelah dikritik keras pelbagai pihak, Tengku Adnan memberi penjelasan bahawa niatnya adalah untuk memperbetulkan keadaan dan membantu golongan tersebut mendapat kehidupan yang lebih baik.

Jumaat, 4 Julai 2014

Pemalsuan MyKad-105 individu ditahan sejak September lepas

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menahan 105 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pemalsuan MyKad sejak September tahun lepas hingga April ini. Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mereka yang ditahan itu terdiri daripada anggota sindiket dan individu yang bergerak aktif menjalankan kegiatan berkenaan bagi mengaut keuntungan. "Berdasarkan siasatan, kita mendapati mereka yang ditahan itu terdiri daripada tiga kategori utama iaitu sindiket yang menyasarkan warga asing yang berhajat menjadi warganegara Malaysia. "Dua lagi ialah individu yang mengenakan bayaran tertentu kepada pihak yang mahukan kad pengenalan dan individu yang melaksanakan aktiviti itu secara berkala dengan menumpukan di kawasan tertentu terutama di ladang serta kawasan perumahan yang mempunyai warga asing," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Warga KDN Pulau Pinang di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang, di sini hari ini. Turut hadir pada majlis itu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi. Ahmad Zahid berkata antara yang ditahan sepanjang tempoh berkenaan adalah warga asing daripada beberapa negara yang dipercayai bertindak sebagai ejen. Katanya setakat ini tiada penjawat awam terutama daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ditahan dalam aktiviti pemalsuan MyKad. Beliau berkata MyKad palsu itu tidak mempunyai 13 ciri khas seperti yang terdapat pada kad tulen, malah tiada butiran maklumat dalam sistem berkomputer JPN yang boleh diimbas menerusi mesin pengimbas. Ahmad Zahid turut menafikan KDN melantik ejen untuk memudahkan urusan bagi memohon MyKad kerana pihaknya mempunyai 41 pejabat JPN di seluruh negara. "Saya minta orang ramai jangan terpedaya atau percaya dengan pihak yang cuba menawarkan kad pengenalan kerana kita tidak pernah lantik mana-mana ejen. "Lagipun urusan pemprosesan MyKad hanya memakan masa 24 jam dan bukan berminggu seperti yang didakwa mereka (ejen)," katanya.

Lapor terus aktivti rasuah kepada SPRM dan bukan di laman laman sosial

Orang ramai diminta melapor terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mengetahui sebarang aktiviti rasuah dan bukan menyalurkannya di laman-laman sosial. Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata ini bagi mengelakkan bahan bukti hilang ketika hendak disiasat selain maklumat yang diperoleh bukan maklumat asal sekali gus merosakkan sistem keadilan jenayah. "Mungkin ramai yang tidak mahu laporkan kepada pihak berkuasa kerana takutkan ancaman tetapi kita mempunyai beberapa akta seperti Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 serta Akta Perlindungan Saksi 2009 untuk menjaga pemberi maklumat," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Lawatan Sambil Belajar oleh 70 pelajar dan guru dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ladang Harcroft, Puchong susulan Kempen Wira AntiRasuah di sini hari ini. Katanya mereka yang menyebarkan maklumat palsu mengenai rasuah juga boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kanun Keseksaan. Kempen itu mula diadakan di peringkat sekolah rendah sejak awal tahun ini untuk memberi pendedahan awal mengenai kegiatan rasuah dan sehingga hari ini empat buah sekolah telah mengambil bahagian.

Kerajaan perlu perbaharui ikrar sumpah setia penjawat awam- Cuepacs

Kerajaan perlu memperbaharui ikrar sumpah setia penjawat awam dalam perkhidmatan bagi membendung penglibatan mereka dalam kegiatan militan atau aktiviti negatif yang lain. Presiden Cuepacs Azih Muda berkata, ikrar Aku Janji yang dilafazkan penjawat awam ketika mula bertugas di jabatan awam harus sentiasa diperbaharui dari semasa ke semasa sebagai peringatan kepada mereka supaya sentiasa taat setia terhadap kerajaan dan negara. "Pembaharuan ikrar ini bertujuan untuk memberi kesedaran agar para penjawat awam tahu tanggungjawab mereka terhadap kerajaan, dan hal ini juga mampu untuk memberi persepsi yang positif terhadap pembangunan negara," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini. Azih turut melahirkan rasa kecewa berhubung pembabitan penjawat awam dalam kegiatan militan, dan menganggap ia satu pengkhianatan terhadap amanah negara dengan menjalankan aktiviti yang tidak sepatutnya. Cuepacs akan bekerjasama dengan berbagai kementerian bagi mencari jalan terbaik menangani masalah ini daripada terus berlaku, katanya mengulas penglibatan dua penjawat awam yang merupakan antara lima warga Malaysia yang diburu polis kerana disyaki terbabit dengan kegiatan militan. Azih turut menggesa kerajaan mengadakan program menyemai kecintaan dan kesetiaan terhadap negara di pelbagai peringkat termasuk di sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) mahupun di tempat kerja. Beliau berkata, jati diri rakyat Malaysia mudah goyah apabila timbul perbalahan ataupun perbezaan pendapat dalam parti politik, tetapi hal ini tidak seharusnya terjadi kerana ia akan menggugat dan memecahbelahkan perpaduan negara. "Semangat cintakan negara seharusnya sentiasa dipupuk dan diberi penekanan dalam diri masing-masing dan ia harus dididik tanpa mengira perbezaan ataupun percanggahan parti politik," katanya.

Rakyat boleh menulis surat kepada PM mengenai pelancongan

Rakyat Malaysia berpeluang menulis surat tidak rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyalurkan cadangan untuk meningkatkan industri pelancongan di negara ini melalui 'Pertandingan Menulis Surat 1Malaysia 2014'. Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Che Azemi Haron berkata tema pelancongan dipilih bersempena Tahun Melawat Malaysia, dengan sasaran penyertaan yang lebih banyak pada tahun ini berbanding 79,875 tahun lalu. Peserta boleh memilih satu daripada tiga tajuk iaitu 'Kenapa Malaysia Menjadi Destinasi Pilihan Pelancong Asing', 'Pengalaman dan Keistimewaan Melancong di Malaysia' dan 'Cadangan Untuk Meningkatkan Industri Pelancongan di Kawasan Anda yang Berkonsepkan Pelancongan 1Malaysia'. Selain kategori Sekolah Rendah (150-250 patah perkataan), Sekolah Menengah (350-500 patah perkataan) dan Terbuka untuk 18 tahun ke atas (550-700 patah perkataan), kategori baharu yang diperkenalkan adalah untuk orang kelainan upaya (OKU) dari 9 hingga 45 tahun (tidak melebihi 300 patah perkataan), katanya. "Surat mesti bertulis tangan dan tidak boleh ditaip kecuali bagi kategori OKU (penglihatan) surat itu hendaklah menggunakan mesin taip braille dan karya yang dihantar disertakan dengan terjemahan," katanya pada sidang media di sini hari ini. Pertandingan edisi ke-5 itu yang merupakan anjuran bersama Pos Malaysia Bhd dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Pendidikan, bermula 1 Julai hingga 31 Ogos. "Kita juga telah membukukan 100 surat terbaik setiap tahun iaitu empat buku dalam empat tahun lalu dan ia akan diterbitkan untuk pembacaan umum dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka tidak lama lagi," katanya. Beliau berkata selain menggalakkan budaya menulis di kalangan generasi muda dan masyarakat Malaysia serta meningkatkan kecekapan penulisan, pertandingan itu juga dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan industri pelancongan. Sepuluh pemenang dalam setiap kategori akan menerima wang tunai, album setem, sijil, netbook dan hadiah-hadiah lain bernilai RM72,800 yang dijangka disampaikan pada 9 Okt bersempena Sambutan Hari Pos Sedunia. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web www.pos.com.my, www.skmm.gov.my atau di laman Facebook www.facebook.com/surat2014 dan www.twitter.com/surat1malaysia.