Rabu, 25 Jun 2014

Mah Siew Keong ucap terima kasih kepada kepimpinan BN

Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) kerana mempunyai keyakinan terhadap beliau untuk dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Mah berkata beliau berbesar hati dengan pelantikan itu, yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada Rabu. "Saya berasa amat berbesar hati apabila dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Jun 2014. "Juga mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mempunyai kepercayaan dan keyakinan terhadap saya," kata Mah dalam laman Facebooknya. Najib pada Rabu mengumumkan pelantikan tiga menteri dan tiga timbalan menteri baharu terdiri daripada pemimpin MCA dan Gerakan. Dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei, Mah, 53, mengalahkan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi. Kemenangan Mah bukan sahaja menyaksikan BN merampas kembali kerusi itu, tetapi juga mengukuhkan kedudukannya sebagai presiden Gerakan, jawatan yang dimenanginya pada pemilihan parti Oktober tahun lepas, serta kedudukan Gerakan dalam BN.

Liow Tiong Lai anggap perlantikannya sebagai amalan perkongsian kuasa

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas pelantikan wakil-wakil MCA dalam barisan kabinet bagi membantu dalam usaha pembinaan negara. Liow berkata, pelantikan ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin Najib sentiasa berusaha mengamalkan perkongsian kuasa bagi memastikan pembangunan negara yang berbilang kaum ini sentiasa dalam keadaan harmoni. "Saya berterima kasih dan melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri bagi pelantikan baharu menteri dan timbalan menteri dari MCA. Kami akan berusaha melakukan yang terbaik untuk melaksanakan tugas dan berkhidmat kepada negara dan menggerakkan negara ke hadapan," katanya kepada Bernama di sini Rabu. Liow yang juga anggota Parlimen Bentong berkata selepas meninggalkan kabinet lebih setahun lalu, beliau mendapati banyak perkara yang perlu dilakukan menteri dan timbalan menteri dari MCA untuk membantu perdana menteri. "MCA perlu meningkatkan usaha untuk mengejar apa yang telah kami tinggalkan, terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan dan dengan itu saya menyeru semua menteri dan timbalan menteri dari MCA untuk memberikan yang terbaik bagi menunaikan tanggungjawab kami," katanya.

Tiga dilantik menteri penuh dan tiga Timbalan Menteri

Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu mengumumkan pelantikan tiga menteri penuh dan tiga timbalan menteri baharu daripada pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) MCA dan Gerakan, dalam barisan Kabinetnya. Ketika membuat pengumuman itu pada sidang media di Bangunan Perdana Putra di sini, perdana menteri menamakan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai Menteri Pengangkutan, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Turut dinamakan ialah tiga naib presiden MCA Datuk Lee Chee Leong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dengan pelantikan Liow sebagai menteri pengangkutan, Najib mengesahkan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak lagi memangku jawatan itu. "Saya gembira wakil MCA kembali dalam Kabinet begitu juga Gerakan," kata Najib. MCA sebelum ini memutuskan untuk tidak menerima sebarang jawatan peringkat pusat dan negeri susulan prestasi kurang memberangsangkan semasa pilihan raya umum ke-13 tahun, namun memutuskan untuk kembali menyertai kabinet dan menduduki jawatan dalam kerajaan setelah mendapat sokongan majoriti dalam mesyuarat agung luar biasa parti itu pada Februari lepas. Sebelum ini, Najib dilapor berkata akan melantik Mah sebagai menteri jika menang dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei lalu. Mah menang dengan majoriti 238 undi ke atas calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud. Najib berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memperkenan untuk majlis angkat sumpah dan simpan rahsia anggota Kabinet baharu itu pada Jumaat ini di Istana Negara. Najib berkata kemasukan wakil MCA dalam barisan Kabinet mengukuhkan konsep perkongsian kuasa dalam pentadbiran negara yang melibatkan semua kaum di negara ini. "Pengumuman (anggota) Kabinet baharu berkait rapat dengan hasrat kerajaan membentuk pasukan jitu, memimpin rakyat daripada pelbagai kaum," katanya. Beliau menyedari saiz Kabinet yang semakin membesar namun menegaskan ia tidak dapat dielakkan serta menyifatkan pertambahan anggota Kabinet itu sebagai "luar jangkaan". "Setakat ini tiada sesiapa yang sukarela keluar Kabinet...hanya bergurau," katanya. Najib yakin barisan Kabinet itu dapat menterjemah Aku Janji kepada rakyat seperti yang dilafazkan pada pilihan raya umum lepas agar terus membawa kemajuan lebih besar kepada negara. Perdana menteri akan turut berbincang dengan menteri dan timbalan menteri baharu mengenai pengangihan dan bidang kuasa serta tanggungjawab masing-masing. Najib berharap semua menteri dan timbalan menteri baharu ini akan menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik serta melaksanakan dasar kerajaan. "Harus diingat bahawa beberapa tanggungjawab tertentu hendaklah digalas seperti memastikan janji kita kepada rakyat dilunas dan dilaksanakan, supaya kita terus memegang kepercayaan rakyat," katanya. Najib menolak dakwaan bahawa beliau tertekan untuk mengumumkan pelantikan baharu itu, sambil menjelaskan bahawa beliau memerlukan masa yang sesuai untuk mengumumkan penambahan anggota Kabinet berkenaan. Beliau berkata pengumuman itu tidak dapat dilakukan lebih awal berikutan kejadian seperti kehilangan pesawat MH370 dan penglibatan beliau dalam beberapa program negara. Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa.

Selasa, 24 Jun 2014

PM bayangkan rombakan kabinet semakin hampir

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi bayangan tentang rombakan Kabinet, menyatakan pelancaran KLIA2 di sini hari ini mungkin adalah yang terakhir dihadiri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan. "Ini mungkin majlis rasmi terakhir anda sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan," katanya secara berseloroh pada majlis pelancaran KLIA2. Hishammuddin turut hadir pada majlis pelancaran KLIA2, terminal bagi syarikat penerbangan tambang rendah. Spekulasi tentang rombakan Kabinet menjadi bualan hangat akhir-akhir ini berikutan desas-desus bahawa Najib perlu melakukannya untuk membawa masuk pemimpin daripada MCA dan Gerakan.

Speaker Dewan Negara tegur anggota Dewan yang tidak minat berbahas

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang hari ini menegur sikap sesetengah anggota Dewan Negara yang tidak mengambil bahagian dan kurang berminat dalam perbahasan pelbagai usul ketika persidangan berlangsung. Beliau kesal kerana hanya sebilangan kecil anggota dewan yang hadir dan mengambil bahagian dalam perbahasan pada Selasa. "Kita ada enam hari lagi (untuk berbahas dan bersidang). Apa dah jadi sampai senarai ini pendek? Mana bekas-bekas menteri dan timbalan menteri ini? Tidak ada sebab untuk anda mengatakan anda tidak tahu tentang apa-apa isu atau topik. "Yang baru-baru dan yang lain ini pun tidak terkecuali. Patut mengambil tempat dalam berbahas. Untuk makluman semua, banyak lagi rang undang-undang belum dibahas," katanya. Abu Zahar membuat teguran itu ketika persidangan bersambung sebelah petang.

Malaysia Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta,..

Malaysia Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta, diumumkan sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-57. Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata tema itu dipetik daripada lirik lagu "Warisan" dipopularkan Allahyarham Sudirman Haji Arshad. "Saya percaya tema itu akan memberikan kesan mendalam dan lahirkan semangat kecintaan terhadap negara dalam hati semua rakyat," katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis prapelancaran Kemerdekaan ke-57. Beliau juga berharap pemilihan tema itu tidak akan dipolitikkan oleh mana-mana pihak. Sambutan kemerdekaan tahun ini bermula dengan program Doa Untuk Malaysia pada 15 Ogos di Masjid Putra di sini, diikuti Kempen Kibar Jalur Gemilang dijadual dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 16 Ogos. Kemuncak sambutan iaitu acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos manakala sambutan Hari Malaysia pula di Sarawak pada 16 Sept. Ahmad Shabery berkata selain itu Konsert Harmoni Uniti yang mengabungkan artis Malaysia dan Indonesia, simbolik kepada semangat kesatuan serantau antara kedua-dua negara juga akan diadakan. "Bagi mengimbau kenangan konsert Chow Kit Road (oleh Sudirman pada 1986) selain menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat menerusi lagu-lagu, Sudirman Konsert Chow Kit Road 2.0 akan diadakan," katanya. Konsert selama tiga hari bermula 29 Ogos itu dijadual berlangsung di Jalan Tuanku Abdul Rahman, anjuran RTM dengan kerjasama Astro dan Media Prima sebagai rakan strategik. Program Minggu Merdeka pula akan diadakan dari 28 Ogos hingga 1 Sept dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai laman patriotik dengan pelbagai segmen menarik seperti karnival, pameran, seminar, jualan, pertunjukan dan pelbagai aktiviti berkaitan, katanya. Ahmad Shabery berkata bagi menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan kali ini, turut diadakan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak antaranya semua kementerian dan agensi kerajaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya, 1M4U dan Majlis Belia Malaysia. Beliau berkata rakan penaja pula terdiri daripada pelbagai pihak seperti Celcom, TM Berhad, Axiata, TELIN Indonesia, Media Prima, Astro dan banyak lagi. Menurutnya sambutan kemerdekaan bukanlah gerak kerja pihak kerajaan semata-mata dan pihak swasta juga perlu memainkan peranan masing-masing demi meningkatkan lagi semangat kecintaan tidak berbelah-bahagi terhadap negara. "Sambutan kemerdekaan perlu menjadi jenama popular yang melekat di hati setiap rakyat pada setiap masa dan bukan hanya sekadar perarakan semata-mata," katanya. Pada majlis itu, Ahmad Shabery turut menyampaikan hadiah kepada pemenang mencipta logo sambutan kemerdekaan yang diraih Abdul Mutalib Abdul Rahman dengan membawa pulang wang tunai RM7,000 dan sijil penghargaan. -- BERNAMA

KLIA2 mampu mengendalikan sehingga 45 juta penumpang setahun

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Terminal klia2 (klia2) merupakan satu lagi pintu masuk antarabangsa utama negara dengan kapasiti untuk menampung unjuran pertumbuhan perjalanan udara untuk sekurang-kurangnya 10 hingga 15 tahun akan datang. Beliau berkata terminal mega itu berupaya mengendalikan sehingga 45 juta penumpang setahun, lebih tiga kali ganda daripada kapasiti Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) sebelum ini. "Berdasarkan unjuran trafik penumpang bagi tahun ini, klia2 akan menyaksikan kira-kira 25 juta penumpang menggunakan terminal itu menjelang akhir tahun yang jauh lebih besar daripada apa yang mungkin di LCCT lama," kata beliau pada majlis pelancaran klia2 di sini pada Selasa. klia2 memulakan operasi komersial pada 2 Mei tahun ini dan sejak itu telah mengendalikan lebih tiga juta penumpang dan 24,000 pergerakan pesawat. klia2 mampu mengendalikan 45 juta penumpang setahun - lebih tiga kali ganda daripada kapasiti LCCT sebelumnya. Najib berkata sejak sedekad lalu, sektor perjalanan udara tambang rendah murah di Malaysia secara konsisten mencatatkan pertumbuhan angka berganda tahun demi tahun. Beliau berkata pertumbuhan yang kukuh itu dijangka berterusan berdasarkan unjuran ini memandangkan permintaan dan persaingan yang dinamik dalam sektor berkenaan. "Model perniagaan penerbangan tambang rendah juga telah berkembang seiring dengan keperluan pasaran termasuk penawaran hibrid dan premium serta pindah dan transit untuk sambung penerbangan," kata beliau. Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata terminal itu memainkan peranan penting sebagai sebahagian daripada sistem KLA untuk merealisasikan potensi sebagai hab penerbangan terkemuka rantau itu. Beliau berkata, di bawah Pelan Induk Lapangan Terbang Kebangsaan (NAMP), kerajaan telah menggariskan pelan pembangunan strategik untuk menampung pertumbuhan bagi perjalanan udara di seluruh negara dalam tempoh 50 tahun akan datang. Beliau berkata industri penerbangan adalah satu daripada bidang tumpuan dalam Belanjawan Negara 2014 dengan RM1 bilion telah diperuntukkan. Beliau menambah RM700 juta daripada jumlah itu akan dibelanjakan bagi pembangunan pusat pengurusan trafik udara yang baharu di KLIA dalam usaha untuk meningkatkan trafik udara daripada 68 kepada 108 pergerakan sejam di tiga landasan sedia ada di KLIA yang kini mempunyai kapasiti tertinggi di dunia bagi pengendalian trafik udara. "Sementara itu, RM300 juta lagi diperuntukkan bagi menaik taraf lapangan terbang di seluruh negara. Ini membolehkan Malaysia menjadi lebih kompetitif dalam menawarkan kapasiti bagi pertumbuhan industri penerbangan tempatan dan serantau dan pada masa yang sama membolehkan kami terus meningkatkan tahap keselesaan dan kemudahan kepada semua penumpang," kata beliau. Najib berkata industri penerbangan akan menjadi penyumbang utama kepada pendapatan industri pelancongan. Berikutan pengisytiharan 2014 sebagai Tahun Melawat Malaysia dan 2015 sebagai Tahun Festival untuk menarik lebih ramai pelancong ke negara ini, Perdana Menteri berkata kesediaan klia2 sebagai satu lagi pintu masuk antarabangsa utama negara adalah penting untuk menyokong usaha itu. Tahun lepas, Malaysia mencatatkan ketibaan seramai 25.72 juta pelancong dengan menjana hasil sebanyak RM65.44 bilion. Semasa pelancaran itu, klia2 juga secara rasmi tercatat dalam buku Malaysia Book of Records sebagai "Terminal Terbesar Untuk Penerbangan Tambah Rendah & Terminal Lapangan Terbang Pertama dihubungkan dengan Jambatan Udara". Sijil itu disampaikan kepada Pengerusi Malaysia Airports Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah oleh Pengasas dan Pengarah Urusan Malaysia Book of Records, Tan Sri Danny Ooi. Najib kemudian melancarkan gateway@klia2, pusat beli-belah yang terletak antara balai menurunkan penumpang dan Terminal Utama di Terminal klia2. Beliau juga merasmikan perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit ke klia2. Perdana Menteri juga melancarkan Sama-sama express- Terminal Airside Transit Hotel, terletak dalam kawasan balai berlepas lapangan terbang. Turut hadir ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengarah Urusan Malaysia Airports (MAHB) Datuk Badlisham Ghazali dan Penasihat MAHB Tan Sri Bashir Ahmad.