Rabu, 28 Mei 2014
Sultan Azlan Shah raja berilmu dan tokoh perundangan yang dikagumi- Khusairi
Sultan Perak, Sultan Azlan Shah merupakan seorang raja berilmu dan berjiwa rakyat selain dikenali sebagai tokoh perundangan yang dikagumi, kata Ketua Penerangan Umno Perak Datuk Khusairi Abdul Talib.
Beliau berkata kemangkatan Sultan Azlan Shah amat dirasai oleh rakyat jelata kerana baginda merupakan seorang raja yang mengambil berat tentang permasalahan mereka.
"Semasa hayatnya, setiap tahun baginda mengadakan sambutan majlis berbuka puasa bersama rakyat pada Ramadan. Cuma, sejak tahun lepas baginda tidak dapat meneruskan rutin tahunan itu atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sultan Azlan Shah mangkat pada 1.30 tengah hari tadi dan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok.
Almarhum berusia 86 tahun.
Almarhum meninggalkan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, seorang putera iaitu Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan tiga puteri Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia.
Anakanda ketiga baginda Raja Datuk Seri Ashman Shah mangkat pada 30 Mac 2012.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Peladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Saarani Mohammad berkata sepanjang hayatnya, Almarhum telah menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap kerajaan Perak.
"Sultan merupakan tempat kita bernaung dan baginda banyak memberi nasihat kepada kerajaaan negeri. Baginda selalu membimbing dan menegur kepada kerajaan negeri sekiranya perlu," katanya.
Ketua Pergerakan Wanita Umno Perak Datuk Rusnah Kassim berkata Almarhum seorang tokoh perundangan yang sangat disegani berdasarkan kepada penghakiman baginda yang amat bernas.
"Baginda seorang yang penting dalam bidang undang-undang... baginda bukan sahaja seorang sultan yang begitu pengasih kepada rakyat bahkan seorang sultan yang berilmu," katanya.
Bekas Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Perak Mohd Zamri Mustajab pula berkata Almarhum sangat dekat di hati rakyat terutama dalam kalangan masyarakat Orang Asli sehingga menganggap masyarakat itu adalah 'anak emas'.
"Sepanjang saya berkhidmat di bawah jabatan itu selama 10 tahun sehingga bertukar pada September lepas, jabatan itu adalah yang paling hampir dengan baginda.
"Kenangan semasa baginda merasmikan Kompleks Orang Asli di Sungai Siput empat tahun lepas tidak mungkin saya lupakan," katanya.
Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming turut merafak takziah kepada keluarga diraja Perak di atas kemangkatan baginda.
"Pemergian Tuanku merupakan satu kehilangan yang besar kepada Perak amnya dan rakyat jelata seluruh negara kerana baginda juga pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong.
"Jasa Tuanku dikenang di atas kebijaksanaan baginda khususnya ketika menjadi Ketua Hakim Negara...," katanya.
Sementara itu, Anggota Dewan Negara Perak Datuk Seri Annuar Zaini berkata Sultan Azlan Shah merupakan seorang yang tegas dan amat teliti.
"Baginda seorang sultan yang mempunyai intelektual yang cukup tinggi dan terhormat. Baginda juga seorang yang cukup teliti dan berhati-hati dalam berkata-kata," katanya.
Jurukamera Radio Televisyen Malaysia (RTM) Lam Pau Yin pula tidak dapat melupakan pengalamannya membuat liputan acara-acara Sultan Azlan Shah termasuk upacara perkahwinan anakanda-anakanda baginda.
-- BERNAMA
Kemangkatan Sultan Perak satu kehilangan besar buat rakyat
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir menyifatkan kemangkatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah hari ini merupakan satu kehilangan besar buat rakyat Perak dan rakyat jelata seluruh negara.
Beliau mewakili kerajaan dan rakyat Kedah merafak sembah takziah terhadap seluruh kerabat diraja Perak di atas kemangkatan Almarhum Sultan Perak.
"Almarhum adalah seorang yang penyayang, berhemah tinggi dan sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan rakyat khususnya rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan.
"Semoga Allah Subhanahu Wataala mencucuri rahmat ke atas Almarhum Paduka Seri Sultan dan menempatkan roh Almarhum bersama golongan solihin," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan kemangkatan Sultan Azlah Shah menerusi TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada pukul 3.40 petang tadi.
Baginda mangkat pada 1.30 tengah hari dan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok.
Almarhum berusia 86 tahun.
Almarhum meninggalkan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, seorang putera iaitu Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan tiga puteri Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia. Anakanda ketiga baginda Raja Datuk Seri Ashman Shah mangkat pada 30 Mac 2012.
Di JOHOR BAHRU, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merafak takziah kepada kerabat diraja Perak di atas kemangkatan Sultan Azlan Shah.
"Sembah takziah atas kemangkatan Al Marhum Duli Yang Maha Mulia Paduka Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izuddin Shah.
"Al-Fatihah," kata Menteri Besar menerusi Twitter beliau di sini, Rabu.
Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mangkat, Al Fatihah.
Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pukul 1.30 tengah hari Rabu, dan jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar, Khamis, umum Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Baginda yang telah memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Feb 1984, akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir.
Penghormatan terakhir bagi pembesar negeri dan orang kenamaan adalah pada pukul 9 pagi Khamis manakala oleh orang ramai bermula 11 pagi hingga 2 petang, diikuti sultan-sultan, raja-raja dan pembesar negara asing mulai pukul 2 petang hingga 3 petang.
Zambry berkata bendera negeri Perak akan dikibar separuh tiang sepanjang tempoh perkabungan selama 100 hari mulai hari Rabu, sementara bendera Malaysia dikibar separuh tiang selama tujuh hari.
"Sepanjang tempoh perkabungan tujuh hari tersebut, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan adalah dibatalkan," katanya dalam pengumuman secara langsung melalui RTM, Rabu.
Zambry juga mengisytiharkan KHamis cuti umum bagi negeri Perak sebagai tanda penghormatan pemakaman Almarhum Sultan.
"Seluruh rakyat jelata negeri Perak telah kehilangan Sultan yang dikasihi dan berjiwa rakyat.
"Saya Dr Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan mewakili seluruh rakyat jelata negeri Perak Darul Ridzuan merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh Almarhum Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah di kalangan para anbiya, syuhada dan solihin," katanya dengan sebak.
Baginda meninggalkan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, seorang putera, Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan tiga puteri Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia.
Anakanda ketiga baginda Raja Datuk Seri Ashman Shah mangkat pada 30 Mac 2012.BERNAMA
Selasa, 27 Mei 2014
MH370- DCA keluarkan data mentah, bakal terungkai misteri?..
Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hari ini mengeluarkan data satelit belum diproses Inmarsat setebal 45 muka surat yang diguna untuk mengesan pola penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang.
Dalam kenyataannya, DCA berkata log data komunikasi daripada Inmarsat, syarikat komunikasi satelit Britain itu, dan keterangan mengenainya, dikeluarkan untuk membolehkan pembaca memahami data berkenaan.
Menurut kenyataan itu, log data yang disertakan bersama nota tambahan Log Unit Isyarat (9M-MRO) bagi MH370 disediakan Inmarsat.
Berdasarkan nota yang amat bersifat teknikal ini, semua masa adalah dalam Masa Universal (UTC) dan jadual yang disertakan adalah dalam bentuk fail log boleh dibaca yang dirakam di stesen bumi untuk berkomunikasi dengan terminal bagi MH370 dari 16:00 hinggalah ke cubaan Handshake Request (Log On Interrogation) terakhir pada 01:16 UTC.
Nota itu juga menyebut bahawa beberapa lajur yang tidak mengandungi maklumat material, dibuang daripada jadual bagi tujuan pembacaan.
Menurut laporan, 19 Mei lalu, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta DCA berbincang dengan Inmarsat tentang pengeluaran data mentah Inmarsat untuk tatapan umum.
Sejak itu, Inmarsat dan DCA mengambil langkah untuk membolehkan log data komunikasi dan pemerihalan teknikal tentang analisis berkenaan, dikeluarkan.
Semalam, Hishammuddin berkata keputusan untuk mengeluarkan data Inmarsat yang belum diproses itu dibuat untuk memenuhi permintaan anggota keluarga penumpang serta anak kapal MH370 dan data itu juga boleh digunakan pakar dari seluruh dunia bagi tujuan analisis.
Awal bulan ini, mereka meminta pihak berkuasa mengeluarkan data berkenaan bagi membolehkannya dikaji dari segi ketepatan oleh pakar.
Penerbangan MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada skrin radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini pada 12.41 tengah malam.
Apabila analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu di Lautan Hindi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pada 25 Mac bahawa Penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”. – Bernama
65 ribu guru bahasa inggeris akan dilatih
Kementerian Pendidikan berhasrat melatih semula sehingga 65,000 guru Bahasa Inggeris pada masa akan datang bagi meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan dalam kalangan pelajar.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata seramai 5,000 orang guru Bahasa Inggeris sudah dilatih semula tahun lepas manakala 20,000 lagi pada tahun ini.
"Kita gerakkan hasrat ini tahun lepas seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam sistem persekolahan rendah dan menengah kita," katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Tun Fatimah (STF) 2014, di sini, Selasa.
Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim dan Pengetua STF Kamisah Aziz.
Muhyiddin berkata penguasaan Bahasa Inggeris oleh anak-anak menjadi penekanan ibu bapa ketika ini dan sering dibincangkan tentang kepentingannya oleh masyarakat negara ini.
Beliau berkata, kementerian dalam pada itu juga berhasrat untuk melahirkan pelajar cemerlang secara holistik yang merangkumi keperibadian sahsiah dan beretika tinggi dengan tidak semata-mata sekadar mencapai kecemerlangan akademik.
"Dalam dunia serba mencabar ketika ini, ilmu sahaja tidak memadai sekiranya ia tidak digandingkan dengan sikap bertanggungjawab dan akhlak yang mulia supaya dapat memberi sumbangan kepada negara," katanya.
Berhubung STF, Timbalan Perdana Menteri memuji kejayaan sekolah terbabit muncul Sekolah Berasrama Penuh (SBP) terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 dengan menerima tujuh Anugerah Platinum dan tiga Anugerah Perak.
STF turut menerima Anugerah Emas hasil pencapaian semua A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lepas yang menurutnya kejayaan itu dicapai hasil dorongan yang disumbang oleh guru, ibu bapa dan komuniti.
Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM7.7 juta yang akan disalurkan menerusi Rancangan Malaysia Kesebelas bagi membina sebuah dewan serbaguna baharu dan blok asrama empat tingkat bagi menampung keperluan pelajar STF.
PRK Teluk Intan- PAS sokong calon sokong hudud kerana politik-TPM
Tindakan PAS menyokong kempen calon DAP bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan di Perak adalah disebabkan desakan politik meskipun ternyata calon itu menolak hudud, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana pakatan pembangkang tidak lagi berpegang kepada prinsip masing-masing.
"Ini satu desakan politik, walaupun banyak percanggahan bukan sahaja ketika PRK namun ia berlaku sebelum-sebelum ini dalam parti-parti dalam Pakatan Rakyat, bukan hanya dari segi percanggahan hukum, ia termasuk dasar-dasar lain.
"Ini perkongsian tidak teguh kerana pasal ada kepentingan politik dan bagi saya ia bukan sesuatu yang menghairankan. Walaupun calon itu menentang hudud, dia tetap disokong Hadi (Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang), kerana soal prinsip bukan lagi menjadi satu pegangan utama, katanya kepada pemberita ketika berkunjung ke Kota Iskandar, pusat pentadbiran negeri Johor di sini Selasa.
Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas tindakan Abdul Hadi yang turun padang menyokong kempen calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud meskipun wanita itu dengan secara terang-terangan menolak hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri mendengar taklimat lebih sejam daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar tentang pembangunan negeri Johor. Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Selain itu, Muhyiddin turut menyelar pembangkang yang memutarbelitkan fakta kononnya calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong mahu menerima jawatan senator sekiranya dilantik.
"Saya menghormati pandangan Datuk Mah yang tidak mahu dilantik selaku senator kerana jika beliau mahu, sebelum ini sudah boleh dilantik.
"Namun, beliau lebih berminat bekerja untuk parti dan komuniti masyarakat Cina dan beliau tidak memikirkan soal perjawatannya. Kita mahukan beliau menang dan mana tahu akan dilantik oleh Perdana Menteri dalam barisan kabinet kelak," katanya.
Mengulas tentang 56.04 peratus keluar mengundi pada PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang pada Ahad lepas, Muhyiddin berkata ia mengejutkan kerana peratus keluar mengundi itu paling rendah dalam sejarah pilihan raya kecil negara ini.
Bagaimanapun, beliau berharap rakyat keluar beramai-ramai untuk mengundi pada PRK Teluk Intan 31 Mei ini yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mah dan Dyana Sofya.
Jakim digesa heret Cadbury ke mahkamah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta bertindak lebih tegas dengan mengheret pengilang coklat Cadbury Confectionery (M) Sdn Bhd ke mahkamah ekoran daripada penemuan DNA khinzir di dalam dua produknya.
Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Prof Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata tindakan tersebut wajar bagi memastikan perkara seumpama tidak berulang.
"Sekadar nasihat dan amaran tidak cukup, mereka perlu dibawa ke mahkamah supaya perkara ini dapat dijadikan tauladan kepada pengilang lain," katanya dalam sidang media di sini, Selasa.
Saharuddin juga berkata pihak Cadbury perlu membuat kenyataan memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam serta menarik balik semua variasi coklat keluaran syarikatnya daripada pasaran kerana dikhuatiri dikeluarkan menggunakan mesin yang sama.
Beliau turut menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengambil langkah mengemas kini hab halal di negara ini supaya tiada keraguan dalam kalangan pengguna terutamanya umat Islam terhadap sijil dan logo halal Malaysia.
"Malaysia dikenali sebagai hab halal utama dan terkenal di peringkat global, Jakim merupakan satu-satunya badan yang berkuasa dalam bidang halal, akan tetapi bila berlaku perkara seperti ini pengguna akan hilang kepercayaan terhadap institusi halal negara kita," katanya.
Beliau turut mencadangkan Jakim menjalankan pemantauan dengan lebih kerap terhadap pengilang-pengilang bukan Islam termasuk bagi produk kosmetik.
Sabtu lepas Kementerian Kesihatan mengesahkan dua sampel coklat keluaran syarikat itu mengandungi DNA khinzir iaitu Cadbury Coklat Susu dengan Kacang Hazel (nombor kelompok 200813M01H12) dan Cadbury Coklat Susu dengan Buah Badam (nombor kelompok 221013N01RI1).
-- BERNAMA
Langgan:
Ulasan (Atom)







