Rabu, 28 Mei 2014

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mangkat, Al Fatihah.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pukul 1.30 tengah hari Rabu, dan jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar, Khamis, umum Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Baginda yang telah memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Feb 1984, akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir. Penghormatan terakhir bagi pembesar negeri dan orang kenamaan adalah pada pukul 9 pagi Khamis manakala oleh orang ramai bermula 11 pagi hingga 2 petang, diikuti sultan-sultan, raja-raja dan pembesar negara asing mulai pukul 2 petang hingga 3 petang. Zambry berkata bendera negeri Perak akan dikibar separuh tiang sepanjang tempoh perkabungan selama 100 hari mulai hari Rabu, sementara bendera Malaysia dikibar separuh tiang selama tujuh hari. "Sepanjang tempoh perkabungan tujuh hari tersebut, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan adalah dibatalkan," katanya dalam pengumuman secara langsung melalui RTM, Rabu. Zambry juga mengisytiharkan KHamis cuti umum bagi negeri Perak sebagai tanda penghormatan pemakaman Almarhum Sultan. "Seluruh rakyat jelata negeri Perak telah kehilangan Sultan yang dikasihi dan berjiwa rakyat. "Saya Dr Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan mewakili seluruh rakyat jelata negeri Perak Darul Ridzuan merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh Almarhum Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah di kalangan para anbiya, syuhada dan solihin," katanya dengan sebak. Baginda meninggalkan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, seorang putera, Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan tiga puteri Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia. Anakanda ketiga baginda Raja Datuk Seri Ashman Shah mangkat pada 30 Mac 2012.BERNAMA

Selasa, 27 Mei 2014

MH370- DCA keluarkan data mentah, bakal terungkai misteri?..

Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hari ini mengeluarkan data satelit belum diproses Inmarsat setebal 45 muka surat yang diguna untuk mengesan pola penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang. Dalam kenyataannya, DCA berkata log data komunikasi daripada Inmarsat, syarikat komunikasi satelit Britain itu, dan keterangan mengenainya, dikeluarkan untuk membolehkan pembaca memahami data berkenaan. Menurut kenyataan itu, log data yang disertakan bersama nota tambahan Log Unit Isyarat (9M-MRO) bagi MH370 disediakan Inmarsat. Berdasarkan nota yang amat bersifat teknikal ini, semua masa adalah dalam Masa Universal (UTC) dan jadual yang disertakan adalah dalam bentuk fail log boleh dibaca yang dirakam di stesen bumi untuk berkomunikasi dengan terminal bagi MH370 dari 16:00 hinggalah ke cubaan Handshake Request (Log On Interrogation) terakhir pada 01:16 UTC. Nota itu juga menyebut bahawa beberapa lajur yang tidak mengandungi maklumat material, dibuang daripada jadual bagi tujuan pembacaan. Menurut laporan, 19 Mei lalu, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta DCA berbincang dengan Inmarsat tentang pengeluaran data mentah Inmarsat untuk tatapan umum. Sejak itu, Inmarsat dan DCA mengambil langkah untuk membolehkan log data komunikasi dan pemerihalan teknikal tentang analisis berkenaan, dikeluarkan. Semalam, Hishammuddin berkata keputusan untuk mengeluarkan data Inmarsat yang belum diproses itu dibuat untuk memenuhi permintaan anggota keluarga penumpang serta anak kapal MH370 dan data itu juga boleh digunakan pakar dari seluruh dunia bagi tujuan analisis. Awal bulan ini, mereka meminta pihak berkuasa mengeluarkan data berkenaan bagi membolehkannya dikaji dari segi ketepatan oleh pakar. Penerbangan MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada skrin radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini pada 12.41 tengah malam. Apabila analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu di Lautan Hindi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pada 25 Mac bahawa Penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”. – Bernama

65 ribu guru bahasa inggeris akan dilatih

Kementerian Pendidikan berhasrat melatih semula sehingga 65,000 guru Bahasa Inggeris pada masa akan datang bagi meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan dalam kalangan pelajar. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata seramai 5,000 orang guru Bahasa Inggeris sudah dilatih semula tahun lepas manakala 20,000 lagi pada tahun ini. "Kita gerakkan hasrat ini tahun lepas seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam sistem persekolahan rendah dan menengah kita," katanya. Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Tun Fatimah (STF) 2014, di sini, Selasa. Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim dan Pengetua STF Kamisah Aziz. Muhyiddin berkata penguasaan Bahasa Inggeris oleh anak-anak menjadi penekanan ibu bapa ketika ini dan sering dibincangkan tentang kepentingannya oleh masyarakat negara ini. Beliau berkata, kementerian dalam pada itu juga berhasrat untuk melahirkan pelajar cemerlang secara holistik yang merangkumi keperibadian sahsiah dan beretika tinggi dengan tidak semata-mata sekadar mencapai kecemerlangan akademik. "Dalam dunia serba mencabar ketika ini, ilmu sahaja tidak memadai sekiranya ia tidak digandingkan dengan sikap bertanggungjawab dan akhlak yang mulia supaya dapat memberi sumbangan kepada negara," katanya. Berhubung STF, Timbalan Perdana Menteri memuji kejayaan sekolah terbabit muncul Sekolah Berasrama Penuh (SBP) terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 dengan menerima tujuh Anugerah Platinum dan tiga Anugerah Perak. STF turut menerima Anugerah Emas hasil pencapaian semua A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lepas yang menurutnya kejayaan itu dicapai hasil dorongan yang disumbang oleh guru, ibu bapa dan komuniti. Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM7.7 juta yang akan disalurkan menerusi Rancangan Malaysia Kesebelas bagi membina sebuah dewan serbaguna baharu dan blok asrama empat tingkat bagi menampung keperluan pelajar STF.

PRK Teluk Intan- PAS sokong calon sokong hudud kerana politik-TPM

Tindakan PAS menyokong kempen calon DAP bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan di Perak adalah disebabkan desakan politik meskipun ternyata calon itu menolak hudud, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana pakatan pembangkang tidak lagi berpegang kepada prinsip masing-masing. "Ini satu desakan politik, walaupun banyak percanggahan bukan sahaja ketika PRK namun ia berlaku sebelum-sebelum ini dalam parti-parti dalam Pakatan Rakyat, bukan hanya dari segi percanggahan hukum, ia termasuk dasar-dasar lain. "Ini perkongsian tidak teguh kerana pasal ada kepentingan politik dan bagi saya ia bukan sesuatu yang menghairankan. Walaupun calon itu menentang hudud, dia tetap disokong Hadi (Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang), kerana soal prinsip bukan lagi menjadi satu pegangan utama, katanya kepada pemberita ketika berkunjung ke Kota Iskandar, pusat pentadbiran negeri Johor di sini Selasa. Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas tindakan Abdul Hadi yang turun padang menyokong kempen calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud meskipun wanita itu dengan secara terang-terangan menolak hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan. Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri mendengar taklimat lebih sejam daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar tentang pembangunan negeri Johor. Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Selain itu, Muhyiddin turut menyelar pembangkang yang memutarbelitkan fakta kononnya calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong mahu menerima jawatan senator sekiranya dilantik. "Saya menghormati pandangan Datuk Mah yang tidak mahu dilantik selaku senator kerana jika beliau mahu, sebelum ini sudah boleh dilantik. "Namun, beliau lebih berminat bekerja untuk parti dan komuniti masyarakat Cina dan beliau tidak memikirkan soal perjawatannya. Kita mahukan beliau menang dan mana tahu akan dilantik oleh Perdana Menteri dalam barisan kabinet kelak," katanya. Mengulas tentang 56.04 peratus keluar mengundi pada PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang pada Ahad lepas, Muhyiddin berkata ia mengejutkan kerana peratus keluar mengundi itu paling rendah dalam sejarah pilihan raya kecil negara ini. Bagaimanapun, beliau berharap rakyat keluar beramai-ramai untuk mengundi pada PRK Teluk Intan 31 Mei ini yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mah dan Dyana Sofya.

Jakim digesa heret Cadbury ke mahkamah

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta bertindak lebih tegas dengan mengheret pengilang coklat Cadbury Confectionery (M) Sdn Bhd ke mahkamah ekoran daripada penemuan DNA khinzir di dalam dua produknya. Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Prof Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata tindakan tersebut wajar bagi memastikan perkara seumpama tidak berulang. "Sekadar nasihat dan amaran tidak cukup, mereka perlu dibawa ke mahkamah supaya perkara ini dapat dijadikan tauladan kepada pengilang lain," katanya dalam sidang media di sini, Selasa. Saharuddin juga berkata pihak Cadbury perlu membuat kenyataan memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam serta menarik balik semua variasi coklat keluaran syarikatnya daripada pasaran kerana dikhuatiri dikeluarkan menggunakan mesin yang sama. Beliau turut menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengambil langkah mengemas kini hab halal di negara ini supaya tiada keraguan dalam kalangan pengguna terutamanya umat Islam terhadap sijil dan logo halal Malaysia. "Malaysia dikenali sebagai hab halal utama dan terkenal di peringkat global, Jakim merupakan satu-satunya badan yang berkuasa dalam bidang halal, akan tetapi bila berlaku perkara seperti ini pengguna akan hilang kepercayaan terhadap institusi halal negara kita," katanya. Beliau turut mencadangkan Jakim menjalankan pemantauan dengan lebih kerap terhadap pengilang-pengilang bukan Islam termasuk bagi produk kosmetik. Sabtu lepas Kementerian Kesihatan mengesahkan dua sampel coklat keluaran syarikat itu mengandungi DNA khinzir iaitu Cadbury Coklat Susu dengan Kacang Hazel (nombor kelompok 200813M01H12) dan Cadbury Coklat Susu dengan Buah Badam (nombor kelompok 221013N01RI1). -- BERNAMA

Isnin, 26 Mei 2014

Premis yang masih menjual coklat Cadbury ada DNA babi boleh didenda

Premis yang masih menjual dua jenis coklat Cadbury yang mengandungi DNA khinzir (porcine), boleh didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Mohd Roslan Mahayudin berkata hukuman itu, di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, tidak kira sama ada penjual di peringkat runcit, pengedar atau pengilang. "Bagi sesebuah pertubuhan perbadanan pula mereka boleh didenda tidak melebihi RM 250,000," katanya pada sidang akhbar di sini Isnin. Roslan berkata mana-mana pihak yang masih menjual coklat berkenaan sewajarnya memulangkan kembali kepada pihak pembekal dan pengilang. Katanya arahan juga telah dikeluarkan kepada pejabat cawangan KPDNKK di seluruh negara untuk bergerak memantau penjualan coklat itu termasuk di kedai-kedai bebas cukai di lapangan terbang. Menurutnya KPDNKK akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membuat pemeriksaan. "Kami telah menurunkan kuasa kepada 212 pegawai Jakim di seluruh negara dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri untuk penguatkuasaan berhubung halal ini," katanya. Sabtu lepas, Kementerian Kesihatan mendedahkan dua sampel coklat Cadbury, iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam, dikesan mengandungi DNA (Asid Deoksiribonukliek) khinzir. Jakim menggantung serta-merta sijil pengesahan halal dua produk coklat itu.

Bajet 2015 dijangka dibentang Oktober depan

Bajet 2015 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 10 Okt, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata Bajet 2015 penting memandangkan ia merupakan belanjawan akhir Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), yang menyediakan peruntukan untuk program dan projek berbaki dalam tempoh rancangan pembangunan terbabit. "Ia juga akan membantu memastikan peralihan lancar kepada Rancangan Malaysia ke-11 yang menyediakan dorongan akhir dalam mentransformasikan negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020," kata Najib yang juga Menteri Kewangan sebelum mempengerusikan mesyuarat perundingan Bajet 2015, di sini Isnin. Tema perundingan bajet tahun ini ialah 'Meningkatkan Pertumbuhan, Memastikan Kemampanan Fiskal dan Memakmurkan Rakyat'. "Dalam meningkatkan usaha bagi memastikan ekonomi terus berkembang, kami juga komited melihat agenda reformasi fiskal tidak dipinggirkan. "Saya akan terus menyediakan (belanjawan) pengembangan, namun tidak mengetepikan defisit negara. "Kerajaan menjangkakan dapat mengurangkan defisit fiskal kepada 3.5 peratus tahun ini dan mencapai belanjawan seimbang pada 2020," kata perdana menteri. Najib juga berkata Jawatankuasa Dasar Fiskal yang juga memantau semua aspek pengurusan fiskal dalam negara, sudah bertemu beberapa kali sejak penubuhannya pada Jun 2013. "Jawatankuasa itu sudah berbincang secara mendalam mengenai beberapa langkah fiskal, termasuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan dan rasionalisasi subsidi," katanya. Najib juga berkata jawatankuasa itu merancang menyediakan rangka kerja fiskal jangka sederhana yang akan mengetengahkan strategi bagi memastikan kemampanan fiskal jangka sederhana dan jangka panjang. Selain itu, Najib berkata kerajaan memberi perhatian serius ke atas cadangan Ketua Audit Negara bagi menambah baik perbelanjaan kerajaan. "Untuk itu, kami sedang mengambil pendekatan menyeluruh dalam memastikan pengurusan kewangan berhemat. "Sebarang salah laku dan kelemahan pentadbiran kerajaan juga akan ditangani secara berkesan," kata Perdana Menteri.