Isnin, 5 Mei 2014

Proses pemilihan PKR cabang Lumut tegang

Perjalanan pemilihan PKR Cabang Lumut berlaku dalam suasana agak tegang apabila calon terlibat membuat beberapa bantahan berkenaan perjalanan pengundian.
Calon Ketua Cabang PKR Lumut, Laksamana Pertama (B) Muhammad Imran Abdul Hamid menyuarakan rasa tidak puas hati apabila proses pemilihan itu dilihat tidak teratur. Menurutnya, petugas pengundian tidak memberikan buku yang menyenaraikan nama calon bagi memudahkan pengundian. “Sepatutnya buku berkenaan diedarkan atau diletakkan di meja pengundian supaya perwakilan lebih senang untuk membuat pemilihan. “Keadaan juga dilihat kurang teratur apabila petugas pengundian tidak bersedia dari awal dari pelbagai sudut,” katanya. Beliau yang juga Ahli Parlimen Lumut menyifatkan, proses pengundian telus, namun harus memperbaiki beberapa perkara. “Kita harap petugas pengundian dapat memperbaiki kelemahan-kelemahan ini supaya tidak berlaku lagi pada masa hadapan,” katanya. Seorang lagi calon ketua cabang, Suwardi Sapuan turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan perjalanan pengundian dibuat, semalam. Katanya, pelbagai kelemahan berlaku termasuklah pengundi-pengundi dikelilingi oleh orang-orang tertentu ketika membuat pengundian. “Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana petugas hanya boleh berada di meja bertugas sahaja dan bukannya cuba mempengaruhi pengundi untuk membuat pilihan, ini dikhuatiri akan menimbulkan ketidaktelusan dalam pemilihan. “Kita ada peraturan yang telah ditetapkan, tapi ada yang tidak mengikut,” katanya. Jawatan Ketua Cabang PKR Lumut memperlihatkan pertandingan dua penjuru membabitkan Muhammad Imran dengan Suwardi. Petikan Sinar Harian Muhammad Imran adalah calon baharu manakala Suwardi pernah memegang jawatan ketua cabang pada 2008 hingga 2010. Cabang PKR Lumut mempunyai kira-kira 3,000 perwakilan.

Kerajaan perlu selaras semula bidang tugas perkhidmatan pengangkutan darat- SPAD

Kerajaan perlu menyelaras semula peraturan dan bidang tugas agensi-agensi yang terlibat dalam perkhidmatan pengangkutan darat bagi mengelak timbul salah faham terhadap tanggungjawab dan bidang kuasa masing-masing. Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata penyelarasan semula itu penting kerana sistem pengangkutan darat kini berkembang pesat dengan pelbagai jenis perkhidmatannya. "Ini penting untuk memudahkan pemahaman terhadap bidang tugas masing-masing, kita semua bekerja untuk satu matlamat iaitu menentukan sistem pengangkutan awam darat yang efisien dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai dengan harga yang berpatutan," katanya. Syed Hamid berkata sebagai contoh apabila berlaku kemalangan melibatkan pengangkutan awam, orang ramai akan menunding jari kepada SPAD sedangkan terdapat jabatan atau agensi lain yang sepatutnya mengambil tindakan. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) di sini Isnin. Syed Hamid berkata setiap agensi kerajaan disaran memahami akta masing-masing dan melaksanakan undang-undang di bawah bidang kuasa mereka. Sebanyak 19 pengusaha syarikat bas ekspres hadir dalam mesyuarat agung tahunan ke-21 itu dan antara usul mesyuarat itu termasuk cadangan menaikkan tambang bas ekoran kenaikan kos bahan api. Presiden Pembawa, Tajudin Mohamad Yunus berkata sudah tiba masanya kerajaan menimbang permohonan persatuan untuk menaikkan harga tambang bas kerana separuh daripada harga sekarang adalah kos yang ditanggung oleh syarikat termasuk kos operasi dan tol.BERNAMA

Ahad, 4 Mei 2014

Khalid yakin mampu memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin dapat memenangi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun penyandangnya, Mohamed Azmin Ali, sedang mendahului kedudukan pada pemilihan parti itu. Abdul Khalid berkata faktor keyakinan itu yang mendorong beliau untuk bertanding bagi jawatan nombor dua parti pada pemilihan yang bermula pada Sabtu minggu lepas. "Saya yakin (boleh menang), sebab itu saya bertanding," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Kampung Pecah Batu di Bestari Jaya di sini, Ahad. Keputusan terkini menyaksikan Azmin mendahului dua pencabarnya apabila memperoleh 5,111 undi berbanding Abdul Khalid (2,288) dan Datuk Saifuddin Nasution (2,322). Ditanya mengenai harapannya menjelang pemilihan parti peringkat Selangor pada 11 Mei ini, Abdul Khalid berkata beliau mempunyai harapan yang tinggi berikutan negeri itu mempunyai jumlah anggota PKR paling ramai iaitu melebihi 170,000 orang. "Selangor merupakan negeri yang akan menjadi penentu kerana mempunyai lebih 170,000 anggota PKR selain Sabah yang mempunyai lebih 90,000 anggota," katanya. Menteri Besar itu juga bakal dicabar bekas anggota parlimen Kapar S. Manikavasagam bagi jawatan Ketua Cabang Kuala Selangor pada pemilihan itu.

Tasik Kenyir bakal menjadi tarikan pelancong unik di dunia

Kerajaan Terengganu akan menjadikan Tasik Kenyir lebih menarik dan unik sekali gus menambat hati pengunjung terutama pelancong asing yang bakal dijadikan kawasan bebas cukai pertama di dunia menjelang September tahun depan. Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata antara perkara menarik yang bakal diwujudkan di Tasik Kenyir tempat khas untuk kemudahan pelancong kaum wanita sahaja. "Di dalam tasik itu mempunyai banyak air terjun, dan satu daripadanya kita akan khaskan untuk kaum wanita sahaja iaitu semua urusan seperti pemandu bot, bahagian keselamatan dan sebagainya akan dikendalikan petugas wanita. "Kita buat ini setelah menerima permintaan daripada pelancong asing terutama dari Asia Barat yang mahukan satu kawasan khas untuk kemudahan wanita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kenyir 2014 yang berlangsung sebulan sehingga 29 Mei di Pangkalan Gawi, Tasik Kenyir di sini hari ini. Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Zubir Embong dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Wan Mat Amin Wan Daud. Ahmad berkata sehingga kini kerajaan membelanjakan RM300 juta bagi membangunkan tasik itu sebagai kawasan pelancongan dan tasik bebas cukai. Katanya antara kerja-kerja yang siap seperti membekalkan elektrik ke Pulau Bayas tapak kawasan bebas cukai dengan menarik kabel sejauh 22 kilometer melibatkan perbelanjaan RM33 juta. Beberapa buah pulau yang dimajukan di dalam tasik itu sebahagiannya telah siap dan kini kerja-kerja membina jeti utama di Pulau Bayas sedang berjalan melibatkan peruntukan RM70 juta. Beliau berkata kerja-kerja pembinaan rangkaian perkedaian, kemudahan untuk Indah Water dan menyediakan tangki air serta kompleks kastam sedang berjalan yang kini siap 75 peratus. Katanya dalam masa terdekat pembinaan jambatan baharu empat lorong yang merupakan kemudahan utama menghubungkan Pangkalan Gawi ke Pulau Poh Besar akan berjalan. Ahmad berkata pulau yang mempunyai keluasan kira-kira 40 hektar itu juga akan dibina dua jeti iaitu untuk penumpang dan jeti untuk kargo. "Di pulau itu kita akan bina hotel, taman permainan air selain 1,000 tempat letak kereta kerana di Pangkalan Gawi tidak mempunyai kawasan yang luas untuk tempat letak kenderaan," katanya. Mengenai Kenyir Elephant Village Ahmad berkata perkampungan gajah itu yang diuruskan pihak swasta, akan mula dibuka pada Jumaat ini (9 Mei). "Ketika ini taman itu sudah mempunyai sembilan ekor gajah jinak dan 14 ekor gajah liar yang berada di sekitar kawasan itu serta akan menambah 21 ekor gajah lagi di situ," katanya Ahmad berkata yang menarik dan uniknya kawasan Kenyir Elephant Village ia akan wujudkan beberapa chalet di atas pokok selain jambatan gantung dan kawasan tinjau yang mengelilinginya. Kerajaan Terengganu melalui Ketengah menyasarkan kehadiran 500,000 pelancong ke tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara dengan mempunyai 340 pulau buatan, selepas menarik 400,000 pelancong tahun lepas.

Sabtu, 3 Mei 2014

MH370- PDRM tidak akan mengeluarkan hasil siasatan- KPN

Polis Diraja Malaysia (PDRM) buat masa ini tidak merancang untuk mengeluarkan sebarang hasil siasatan berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata perkara itu termasuklah empat aspek siasatan iaitu rampasan, sabotaj, masalah psikologi dan masalah peribadi penumpang serta anak kapal. "Oleh kerana siasatan masih dijalankan, kita tidak akan beritahu apa-apa hasil kedapatan siasatan yang kita ada sekarang ini," katanya dalam sidang media selepas tamat acara menembak bersama media di Lapang Sasar Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di sini, Sabtu. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dan Pengarah Jabatan Logistik Polis Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah. Beliau turut berkata sehingga semalam, pihaknya merekodkan 311 keterangan termasuk daripada keluarga mangsa terbabit. Penerbangan MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudiannya difahamkan ia telah melencong daripada laluan asalnya dan berakhir di selatan Lautan Hindi. Sementara itu, berhubung kejadian penculikan di Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna, April lepas, Khalid berkata pihaknya masih berhubung dengan rakannya di China dan Filipina. "Mangsa selamat dan kita sedang lakukan semua yang mungkin dan mampu untuk selesaikannya," katanya. Pada 2 April lepas, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menceroboh Singamata Adventures Reef and Resort dan menculik dua wanita iaitu Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai, China dan seorang pekerja resort warga Filipina, Marcy Dayawan, 40.

MH370-MAS minta media tidak dedahkan jumlah pampasan

Malaysia Airlines (MAS) meminta pihak media agar tidak mendedahkan jumlah pampasan yang diberikan kepada keluarga penumpang pesawat MH370 yang hilang bagi mengelak kemungkinan berlaku ancaman keselamatan. Naib Presiden Kanan Komunikasi Strategik MAS, Datuk Najmuddin Abdullah berkata anggota keluarga penumpang turut membuat permintaan yang sama. "Malaysia Airlines tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai jumlah pampasan seperti yang diperoleh oleh media dan kami percaya ia diperoleh dari sumber lain," katanya dalam satu kenyataan di sini Sabtu. Oleh itu MAS memohon kerjasama media agar menarik balik segala artikel yang diterbitkan yang menyatakan jumlah pampasan. Jumlah itu, katanya hanya akan diberitahu kepada keluarga penumpang dan dilakukan para kaunselor MAS dan menambah adalah penting pihak media menghormati keselamatan dan privasi keluarga penumpang. Terdapat lebih 1,000 anggota keluarga di bawah penjagaan MAS dan keutamaan syarikat penerbangan negara itu adalah bagi membantu mereka, katanya. Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Beijing kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 8 Mac.

Tranformasi dalaman MCA kena pada masanya- PM Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau melihat kesediaan MCA melakukan transformasi dalaman sebagai langkah yang tepat pada masanya bagi membolehkan parti berkenaan terus relevan dan mendapat tempat di kalangan masyarakat Cina. Perdana Menteri berkata langkah transformasi dalaman itu disertakan bersama pelan penyertaan MCA dalam penggubalan rangka kerja bagi memperkukuhkan masa depan komuniti Cina di negara ini. Katanya, setiap anggota parti juga seharusnya mengambil kira perkembangan semasa dalam kepimpinan parti dan bersama-sama merealisasikan hala tuju masa depan parti yang mampu memberi manfaat kepada anggotanya, rakyat dan negara. "Bermula dengan perubahan dalaman, MCA perlu melihat segala kekuatan yang sedia ada serta berani melihat segala kelemahan yang masih membelenggu parti itu selama ini,' katanya semasa berucap melancarkan Perhimpunan Perpaduan MCA yang bertemakan "Teguh Bersama" di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman di sini, Sabtu. Najib berkata cabaran dalam kepimpinan dalam MCA selama ini telah membawa kepada kelemahan dalam parti itu, dan oleh itu, kepimpinan parti perlu mewujudkan rasa kebersamaan dalam parti berkenaan untuk mencapai semula zaman kecemerlangan itu. "Ia mudah dikata daripada dilakukan. Dalam pengalaman saya, Umno juga mempunyai masalah tetapi kita perlu menangani masalah kita. MCA juga seperti parti lain perlu menangani masalah dalaman," kata Najib. Oleh ktu, Najib berkata MCA perlu menunjukkan semangat baharu dan sedia berubah untuk terus kekal relevan kerana parti itu telah sampai ke persimpangan yang kritikal dalam sejarahnya dan ini mungkin peluang terakhir untuk MCA. "Bagi masa depan MCA, anggota parti itu perlu bersedia untuk bangkit, bangun bersama dan bekerjasama untuk lebih komited bagi menghidupkan semula MCA demi kebaikan parti itu sendiri, Barisan Nasional dan negara," katanya. Sebagai Pengerusi BN dan Perdana Menteri, Najib mengakui dan menghargai MCA sebagai rakan kanan dalam parti komponen itu. "Saya mahu MCA sedar dan berasa bahawa Umno dan BN perlukan anda (MCA) dan anda (MCA) perlukan Umno dan BN. Pada asasnya, hubungan di antara kepimpinan orang Melayu dan orang Cina terjalin sejak zaman Tun Tan Cheng Lock, Tunku Abdul Rahman (Putra Al-Haj) dan Tun Razak (Hussein) yang menampakkan kerjasama itu berjaya sehingga hari ini," katanya. Walaupun generasi muda tidak sedar detik-detik mencemaskan dalam sejarah mencapai merdeka, Najib berkata generasi tua lebih mengetahui dan menghargai perpaduan, kepercayaan dan keikhlasan adalah dasar penting bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berjaya. "Inilah apa yang diperlukan BN dan MCA hari ini. Semuanya mengenai keikhlasan dan kejujuran antara satu sama lain. Ini bukan soal menang pilihan raya umum akan datang. Ia mengenai pembinaan negara yang bermakna kami adalah rakan bagi menyelesaikan masalah kita bersama. "Kami beri sedikit ruang, dan perbezaan pendapat dalam lingkungan keluarga BN selagi ia boleh dilihat secara positif. Walaupun kita berbeza, dalam gambaran yang lebih besar, kita semua mempunyai impian, visi dan aspirasi yang sama," katanya. Sehubungan itu, Perdana menteri menegaskan bahawa MCA adalah rakan penting dalam BN dan parti itu mesti kekal sebagai suara dan hati nurani masyarakat Cina di negara ini. "Inilah harapan saya bahawa apabila kita bersemangat, dengan tema Teguh Bersama, kita akan menepati janji, dan berkhidmat. Saya mengharapkan MCA, sebanyak mana MCA mengharapkan saya dan BN. "Kita akan membuktikan kepada rakyat bahawa BN masih pilihan terbaik untuk Malaysia. Saya juga ingin melihat MCA menjadi parti lebih kuat dan rakan kongsi BN yang berjaya," katanya. Mengulas mengenai Kempen Teguh Bersama MCA, Najib berkata Perhimpunan ini merupakan titik permulaan kepada pemulihan parti itu untuk terus berganding bahu menyumbang kepada pembangunan Malaysia bagi membina sebuah negara yang kuat dan dihormati negara luar. "Kita mestilah bekerjasama dan bersatu padu untuk membina kekuatan yang lebih teguh. Saya berharap bahawa program Teguh Bersama ini dapat menyatupadukan masyarakat Cina dan juga masyarakat Malaysia," katanya. -- BERNAMA