Rabu, 30 April 2014

KLIA2 selamat untuk operasi-Hishammuddin

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) adalah selamat untuk operasi dan memenuhi semua piawaian antarabangsa yang perlu, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata ini berdasarkan jaminan yang diberikan oleh badan pakar antarabangsa termasuk Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan laporan yang disediakan oleh perunding tempatan. "Kami tidak pernah berkompromi mengenai aspek keselamatan di klia2. Laporan menyatakan bukan sahaja selamat dalam semua aspek tetapi juga memenuhi piawaian antarabangsa. "Kita lihat aspek keselamatan berhubung kait dengan perjalanan penumpang, dunia tanpa sempadan dan penting bagi agensi-agensi terlibat seperti Kastam, polis, bomba, Jabatan Kerja Raya dapat bekerjasama. Kerana ini menggambarkan keupayaan negara bangsa kita," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan stesen Express Rail Link (ERL) di klia2 di sini, hari ini. Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan. Terminal penerbangan tambang rendah itu dijadual dibuka pada 2 Mei sementara Air Asia akan memindahkan semua operasi dari Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) ke lapangan terbang baharu itu pada 9 Mei. klia2 boleh menampung sehingga 45 juta penumpang setahun. Hishammuddin berkata banyak cabaran yang perlu ditangani oleh klia2 termasuk pergerakan penumpang, perjalanan dari Lapangan Terbangsa Antarabangsa KL (KLIA) ke klia2, dan memastikan semua agensi bekerjasama. "Ini adalah projek ikonik yang kita perlu sama-sama banggakan. Jelas dari segi semua yang terlibat bahawa perjalanannya bukan mudah, namun berjaya dilaksanakan. "Semua ujian telah dijalankan tetapi saya ingin mengambil kesempatan terlebih dahulu untuk mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan dan rakan-rakan saya dalam Kabinet yang terbabit bagi memastikan tarikh (pembukaan) yang dijadualkan menjadi kenyataan. Saya berharap semuanya akan berjalan lancar esok," kata beliau. Sementara itu, Hishammuddin mengesahkan bahawa kos RM100 juta bagi landasan ERL ke klia2 sebenarnya bagi penyambungan landasan sejauh 2.2 kilometer dan bukan satu kilometer seperti dilaporkan. Beliau juga menjelaskan bahawa caj tambahan RM2 bagi perkhidmatan ERL dari KLIA ke klia2 adalah untuk tujuan penyelenggaraan dan kerja-kerja operasi. "Kita perlu membuat perancangan masa depan dan berupaya menyalurkannya kepada generasi akan datang. Oleh itu, kami mengambil kira aspek ini sekarang," kata beliau. -- BERNAMA

MH370- Laporan awal akan dikeluarkan esok- Hishammuddin

Laporan awal tentang kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 akan dikeluarkan Khamis, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata laporan itu adalah serupa seperti yang dikemukakan kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA). "Saya rasa tiada apa-apa masalah untuk mengeluarkan laporan itu. Tetapi kami telah memutuskan sebagai satu pasukan, bahawa ia akan dikeluarkan esok. "Persetujuan itu saya minta dalam perbincangan saya dengan Australia dan pihak berkepentingan lain dalam misi pencarian, saya telah membentangkan dan melaporkannya kepada Kabinet pagi ini dan saya mendapat mandat yang perlu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Stesen Express Rail Link (ERL) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 11 (klia2) di sini, Rabu. Komitmen kerajaan untuk mengeluarkan laporan itu disuarakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas. Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata beliau akan berlepas ke Australia minggu depan untuk berbincang tentang fasa baharu misi mencari MH370 yang sekarang tertumpu di kawasan laut dalam dan termasuk aspek kewangan. Beliau berkata sebarang pengumuman berhubung kos operasi bagi fasa baharu juga akan dibuat minggu depan jika pihak-pihak berkaitan mencapai kata sepakat dan persetujuan mengenainya. "Tetapi kami tidak tahu tentang kosnya sehingga kami memutuskan di mana hendak memulakan pencarian, apakah aset yang akan digunakan dan siapa yang akan membekalkan aset-aset itu," katanya dan menambah tiga jawatankuasa peringkat kementerian sedang meneliti perkara itu. Dalam sidang media di Canberra pada Isnin, Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata operasi mencari sekarang memasuki fasa baharu dengan tumpuan kepada pencarian di dasar laut membabitkan kawasan lebih luas. Beliau berkata fasa baharu membabitkan khidmat kontraktor komersial yang memiliki kepakaran tinggi dalam operasi pencarian di laut dalam dengan kosnya dianggarkan AUD60 juta (RM184 juta). Abbott berkata Australia akan akan memohon "sumbangan berpatutan" daripada negara-negara lain yang menyertai operasi mencari. Penerbangan MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudiannya difahamkan ia telah melencong daripada laluan asalnya dan berakhir di selatan Lautan Hindi.

Kerajaan PAS Kelantau mahu jumpa PM bincang isu Hudud

Kerajaan Kelantan akan menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memperjelas dua draf undang-undang persendirian tentang hukum hudud yang bakal dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya Disember tahun ini. Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata dua draf berkenaan kini telah siap dirangka dan menunggu masa untuk dibawa kepada Perdana Menteri sebelum dibentangkan di Parlimen. "Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob akan menemui Perdana Menteri selaku ketua kerajaan Persekutuan secara rasmi. "Setakat ini kita tunggu 'green light' (untuk bertemu Perdana Menteri) sahaja lagi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Negeri di sini hari ini. Sementara itu, Mohd Amar berkata kerajaan negeri telah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan hukum Islam itu yang bakal mewujudkan mahkamah syariah khas yang dibarisi beberapa hakim syarie dan sivil untuk menghakimi pesalah di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) itu. Turut dibentuk adalah mahkamah rayuan syariah khas yang terdiri daripada lima hakim, dua daripadanya mempunyai latar belakang undang-undang sivil. "Kita telah mempunyai senarai nama hakim-hakim berkenaan yang tidak boleh didedahkan lagi," katanya. Beliau berkata hak melantik hakim-hakim itu adalah dalam bidang kuasa kerajaan negeri dan pelantikan perlu mendapat perkenan Sultan Kelantan. Mengenai tentangan rakan sekutu mereka daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, Mohd Amar berkata PAS sama sekali tidak akan mempedulikan tentangan itu yang komited untuk terus melaksanakan hukum Allah SWT di Kelantan.

Zahid bidas kerajaan negeri pimpinan pembangkang berat sebelah

Kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang sebenarnya bersikap berat sebelah apabila enggan mengizinkan kawasan di negeri tadbiran mereka digazetkan sebagai kawasan perhimpunan untuk protes sesuatu isu. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata meskipun mereka (kerajaan negeri pimpinan pembangkang) dilihat bersungguh-sungguh untuk mengadakan perhimpunan namun apabila dipelawa untuk memberikan kawasan bagi tujuan itu, mereka menolak. "Kita hairan di negeri yang diperintah mereka apabila Kementerian Dalam Negeri meminta kawasan tertentu untuk digazetkan mereka sendiri menolak...ini bermakna mereka hanya boleh 'berkokok' tetapi di peringkat pelaksanaan dari segi menggazetkan kawasan di sekitar kawasan pentadbiran mereka, mereka tidak izinkan ertinya mereka 'double standard' (berat sebelah). "Sebagai contoh Stadium Shah Alam sepatutnya digazetkan sebagai tempat untuk mereka berhimpun namun ia tidak dipersetujui oleh kerajaan negeri (Selangor)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel jenayah pemerdagangan orang di sini, Isnin. Beliau berkata Akta perhimpunan Aman 2012 merangkumi kebenaran menggazetkan kawasan tertentu sebagai lokasi perhimpunan dan kerajaan negeri pakatan pembangkang seharusnya memberikan alasan kukuh mengapa mereka enggan membenarkan kawasan di negeri pentadbiran mereka digazetkan. "Saya tidak tahu mengapa mereka tidak mengizinkan...mereka sepatutnya dapat memberikan jawapan konkrit bagi penolakan itu. Mereka hanya mampu bercakap di Parlimen sedangkan apabila di peringkat pelaksanaan, lain yang mereka lakukan," katanya. Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pihak tertentu yang menyatakan adanya perbincangan yang menyentuh hak kebebasan berhimpun dalam pertemuan dua hala antara Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana di Putrajaya, semalam. Sementara itu, mengulas kenyataan Obama bahawa Malaysia perlu mengamalkan kesamarataan kepada semua rakyat dan golongan minoriti bagi meningkatkan kemakmuran dan pembangunan negara, Ahmad Zahid berkata kerajaan telah lama memberikan peluang tersebut kepada golongan berkenaan. "Kami (kerajaan) memberikan peluang samarata kepada bukan Islam dan saya fikir kerajaan Malaysia (agama rasminya Islam) bersikap adil terhadap (penganut) semua agama dan saya tidak fikir wujud sebarang halangan untuk mengamalkan apa juga kepercayaan dan agama. "Saya fikir sikap prejudis atau pendapat berat sebelah terhadap agama lain mesti dielakkan...kita perlu menghormati agama lain bagi memastikan orang lain menghormati agama kita," katanya.

Majlis Senator Malaysia kesal lawatan Obama dipolitikkan

Majlis Senator Malaysia (MSM) kesal dengan sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan mempolitikkan kunjungan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di negara ini baru-baru ini. Presiden MSM Senator Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman berkata golongan itu didapati melemparkan pelbagai tohmahan kononnya kerajaan menekan dan menghalang Obama daripada bertemu dengan pemimpin pembangkang. Katanya tuduhan itu bukan sahaja tidak masuk akal, tetapi merupakan tohmahan liar dan tidak bertanggungjawab kerana tidak ada sebab bagi kerajaan berbuat demikian kepada tetamunya, apa lagi terhadap pemimpin sebuah negara kuasa besar. "Namun, MSM berbangga dengan sikap yang ditunjukkan oleh Obama yang menghormati tuan rumah negara yang dikunjunginya. Sebagai pemimpin yang pernah menetap di Indonesia serta terdedah kepada budaya timur, MSM percaya beliau sangat memahami tradisi ini," katanya dalam kenyataan di sini Rabu. MSM juga menyifatkan lawatan Obama sebagai penghormatan kepada negara dan rakyat. "MSM percaya ini disebabkan Malaysia terkenal sebagai negara yang sentiasa mengamalkan sikap dan pendekatan kesederhanaan dalam menjalin hubungan serta menangani pelbagai isu dan konflik dengan negara-negara jiran, serantau dan antarabangsa," katanya. Lawatan sulung tiga hari Obama ke Malaysia, kedua dalam tempoh 48 tahun selepas kunjungan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966, menyaksikan penerokaan pelbagai bidang termasuk perjanjian kerjasama bernilai RM6.53 bilion antara firma tempatan dengan Amerika dalam sektor penerbangan, bioteknologi dan insurans.

Ahad, 27 April 2014

Malaysia Boleh mampu beri inspirasi kepada negara lain- Obama

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berkata negara-negara di Asia Tenggara, begitu juga Amerika perlu menghayati semangat di sebalik slogan 'Malaysia Boleh', demi memupuk hubungan lebih rapat untuk masa depan lebih cerah. "Saya baru sehari berada di Malaysia tapi saya sudahpun tahu satu ungkapan baru 'Malaysia Boleh'. Kami mempunyai ungkapan serupa di Amerika; 'Yes We Can' (Ya Kita boleh)'. "Itulah semangat yang kita mahukan dan dengannya saya harap Amerika dan semua negara Asia Tenggara boleh bekerjasama," kata Obama pada sesi perjumpaan terbuka dengan kira-kira 400 pemimpin muda Asia Tenggara di Universiti Malaya hari Ahad. Presiden itu menegaskan bahawa generasi mudalah yang akan meneruskan semangat 'boleh lakukan' ini. "Para presiden dan perdana menteri hanya boleh membantu meletakkan asas, tetapi andalah yang akan membina masa depan," kata Obama yang sedang melakukan lawatan tiga hari ke Malaysia, sebahagian dari lawatannya ke empat negara Asia. Obama mengambil perhatian bahawa hubungan antara negara bukan saja ditentukan oleh kerajaan tetapi juga rakyat, dan golongan muda mempunyai peranan dalam menentukan masa depan mereka sendiri. "Dalam beberapa bulan lagi, di seluruh Asia Tenggara, kita akan mencari cara untuk mendengar suara golongan muda tentang idea anda, dan perkongsian yang boleh kita bina bagi memperkasa usaha anda, memajukan pertukaran baru, menghubungkan pemimpin muda di seluruh Asia Tenggara dengan golongan muda Amerika," kata beliau. Presiden itu berkata antara perkara yang menjadikan rantau ini menarik ialah kepelbagaiannya, dengan penduduk datang dari kumpulan etnik dan latar belakang yang berlainan, demikian juga anutan agama dan kepercayaan politik mereka. Ini, kata beliau, memberikan Malaysia peluang untuk membuktikan - seperti mana Amerika sentiasa cuba buktikan - bahawa negara menjadi lebih kuat dan lebih berjaya bila mereka berusaha menegakkan hak asasi sivil, politik dan kemanusiaan. "Sebab itu, dalam beberapa tahun lalu, Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan saya telah berusaha memperluas dan memperdalam hubungan antara dua negara kita dalam semangat 'bekerjasama' yang saya fikir kebanyakan anda amalkan," kata beliau. Obama mengambil perhatian bahawa peranan utama yang dimainkan Malaysia di rantau ini meningkat mengikut masa, dilengkapi dengan keupayaan negara bagi mendorong pertumbuhan ekonomi dan peluang untuk menjadi tunggak kestabilan dan keselamatan maritim. Beliau juga mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada Malaysia kerana gilirannya menyandang jawatan pengerusi Asean tahun depan. Obama turut menjawab soalan dari hadirin, termasuk satu dari Myanmar tentang bagaimana menangani isu kepelbagaian tidak saja di Myanmar tetapi seluruh Asia Tenggara. Presiden memberi respons dengan menyatakan tidak ada negara akan berjaya jika sebahagian daripada pendudukanya dipinggirkan. "Layani orang sebagaimana anda mahu dilayan. Dan jika anda tidak lakukan itu dan masyarakat tidak menghormati prinsip asas itu, bererti kita mundur ke belakang dan bukan maju ke hadapan," kata beliau. Kepada soalan lain, Obama berkata selalunya beliau bukan pelajar terbaik, kadang kala terlalu berseronok sebagai anak muda. "Tetapi sekitar usia 20 tahun, saya mula sedar bahawa saya boleh memberi impak kepada dunia jika bekerja lebih keras. "Saya berminat dalam dasar-dasar sosial dan kerajaan, dan saya memutuskan bekerja dalam sektor yang tidak bermotifkan untung untuk orang-orang kurang bernasib baik di Amerika Syarikat," kata beliau. Beliau berkata perkara paling penting untuk golongan muda ialah menyedari bahawa mereka boleh memberi impak terhadap dunia, dan untuk berbuat demikian, mereka tidak perlu fokus terlalu banyak kepada gelaran atau berapa banyak wang mereka akan perolehi. Ditanya tentang kekesalannya, presiden berusia 52-tahun itu berkata beliau kesal kerana tidak dapat meluangkan banyak masa dengan mendiang ibunya yang meninggal awal akibat kanser beberapa tahun lalu. "Saya terlalu sibuk dengan kehidupan sendiri hingga saya tidak mendekati ibu saya dan berkomunikasi dengannya dan bertanyakan hal dirinya, dan memberitahu tentang hal-hal yang berlaku. Sesi itu melibatkan 103 peserta di bawah program anjuran Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI) di samping kira-kira 300 tetamu undangan. YSEALI merupakan inisiatif yang dilancarkan Obama Disember lepas, yang antara lain, berusaha membantu pembangunan kepimpinan dan jaringan kerja dalam Asean, meningkatkan penglibatan pemimpin muda di sektor kritikal dan memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat antara AS dan pemimpin muda di seluruh rantau ini.

Pertingatkan hubungan dikalangan golongan muda antara Amerika Syarikat dan Malaysia

Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama berkata pentadbiran beliau ingin mempertingkat hubungan antara rakyat dengan rakyat, terutama dalam kalangan golongan muda, sebagai sebahagian daripada usaha memupuk kerjasama lebih erat dengan kerajaan Malaysia. Obama berkata AS dan Malaysia kini menjalin kerjasama lebih rapat pelbagai bidang selepas beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sepakat untuk memperluas hubungan dua hala, termasuk dalam bidang keselamatan dan perdagangan ketika Najib melawat Washington kira-kira empat tahun lepas. Dalam kenyataan bersama dengan Najib selepas kedua-dua pemimpin mengadakan rundingan bersempena lawatan bersejarahnya ke Malaysia, Obama berkata beliau gembira kerana kedua-dua negara kini menyusun pelbagai usaha melalui perkongsian komprehensif. Beliau berharap perkongsian Malaysia-Amerika akan berkembang ke arah mengukuhkan lagi hubungan erat antara rakyat kedua-dua negara, terutama dalam kalangan golongan muda. "Pemuda-Pemudi Amerika dan Malaysia kaya dengan potensi dan kami ingin sama-sama mempertingkat usaha membuka lebih banyak peluang kepada setiap orang tanpa mengira bangsa, agama, gender atau bahasa," katanya. Obama berkata beliau dan Najib bersetuju melanjutkan program Bantuan Pengajaran Bahasa Inggeris Fullbright (ETA) untuk beberapa tahun lagi. "Syukur kerana program ini mencatat kejayaan besar dalam membawa anak muda Amerika ke Malaysia bagi mengajar Bahasa Inggeris," katanya sambil menyuarakan harapan agar golongan muda Amerika boleh berkongsi perspektif beliau yang dibesarkan di rantau Asia Tenggara. Menyentuh Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Obama berkata mereka bersetuju bahawa isu yang menjadi kepentingan Malaysia perlu diselesai segera bagi membolehkan satu persetujuan komprehensif dicapai. Beliau berkata mereka akan menyertai beberapa pemimpin perniagaan menandatangani tiga perjanjian perdagangan bernilai lebih US$1 bilion (RM3.2 bilion) melibatkan perdagangan dan pelaburan baharu antara kedua-dua negara. Obama berkata melalui perkongsian komprehensif, Malaysia dan AS akan memperluas kerjasama bidang keselamatan dan mempertingkat keselamatan maritim serta kestabilan serantau. "Kami amat bersetuju dengan pandangan ASEAN dan Malaysia bahawa pertikaian perlu diselesaikan secara aman, tanpa ugutan, dan semua negara perlu mematuhi undang-undang dan peraturan antarabangsa," katanya. Beliau berkata Amerika berharap dapat menjalin kerjasama dengan negara ini dalam isu keselamatan dan maritim apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2015. Obama sedang melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, yang pertama oleh presiden Amerika sejak hampir 50 tahun lepas.