Rabu, 30 April 2014
Kerajaan PAS Kelantau mahu jumpa PM bincang isu Hudud
Kerajaan Kelantan akan menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memperjelas dua draf undang-undang persendirian tentang hukum hudud yang bakal dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya Disember tahun ini.
Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata dua draf berkenaan kini telah siap dirangka dan menunggu masa untuk dibawa kepada Perdana Menteri sebelum dibentangkan di Parlimen.
"Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob akan menemui Perdana Menteri selaku ketua kerajaan Persekutuan secara rasmi.
"Setakat ini kita tunggu 'green light' (untuk bertemu Perdana Menteri) sahaja lagi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Negeri di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Amar berkata kerajaan negeri telah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan hukum Islam itu yang bakal mewujudkan mahkamah syariah khas yang dibarisi beberapa hakim syarie dan sivil untuk menghakimi pesalah di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) itu.
Turut dibentuk adalah mahkamah rayuan syariah khas yang terdiri daripada lima hakim, dua daripadanya mempunyai latar belakang undang-undang sivil.
"Kita telah mempunyai senarai nama hakim-hakim berkenaan yang tidak boleh didedahkan lagi," katanya.
Beliau berkata hak melantik hakim-hakim itu adalah dalam bidang kuasa kerajaan negeri dan pelantikan perlu mendapat perkenan Sultan Kelantan.
Mengenai tentangan rakan sekutu mereka daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, Mohd Amar berkata PAS sama sekali tidak akan mempedulikan tentangan itu yang komited untuk terus melaksanakan hukum Allah SWT di Kelantan.
Zahid bidas kerajaan negeri pimpinan pembangkang berat sebelah
Kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang sebenarnya bersikap berat sebelah apabila enggan mengizinkan kawasan di negeri tadbiran mereka digazetkan sebagai kawasan perhimpunan untuk protes sesuatu isu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata meskipun mereka (kerajaan negeri pimpinan pembangkang) dilihat bersungguh-sungguh untuk mengadakan perhimpunan namun apabila dipelawa untuk memberikan kawasan bagi tujuan itu, mereka menolak.
"Kita hairan di negeri yang diperintah mereka apabila Kementerian Dalam Negeri meminta kawasan tertentu untuk digazetkan mereka sendiri menolak...ini bermakna mereka hanya boleh 'berkokok' tetapi di peringkat pelaksanaan dari segi menggazetkan kawasan di sekitar kawasan pentadbiran mereka, mereka tidak izinkan ertinya mereka 'double standard' (berat sebelah).
"Sebagai contoh Stadium Shah Alam sepatutnya digazetkan sebagai tempat untuk mereka berhimpun namun ia tidak dipersetujui oleh kerajaan negeri (Selangor)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel jenayah pemerdagangan orang di sini, Isnin.
Beliau berkata Akta perhimpunan Aman 2012 merangkumi kebenaran menggazetkan kawasan tertentu sebagai lokasi perhimpunan dan kerajaan negeri pakatan pembangkang seharusnya memberikan alasan kukuh mengapa mereka enggan membenarkan kawasan di negeri pentadbiran mereka digazetkan.
"Saya tidak tahu mengapa mereka tidak mengizinkan...mereka sepatutnya dapat memberikan jawapan konkrit bagi penolakan itu. Mereka hanya mampu bercakap di Parlimen sedangkan apabila di peringkat pelaksanaan, lain yang mereka lakukan," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pihak tertentu yang menyatakan adanya perbincangan yang menyentuh hak kebebasan berhimpun dalam pertemuan dua hala antara Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana di Putrajaya, semalam.
Sementara itu, mengulas kenyataan Obama bahawa Malaysia perlu mengamalkan kesamarataan kepada semua rakyat dan golongan minoriti bagi meningkatkan kemakmuran dan pembangunan negara, Ahmad Zahid berkata kerajaan telah lama memberikan peluang tersebut kepada golongan berkenaan.
"Kami (kerajaan) memberikan peluang samarata kepada bukan Islam dan saya fikir kerajaan Malaysia (agama rasminya Islam) bersikap adil terhadap (penganut) semua agama dan saya tidak fikir wujud sebarang halangan untuk mengamalkan apa juga kepercayaan dan agama.
"Saya fikir sikap prejudis atau pendapat berat sebelah terhadap agama lain mesti dielakkan...kita perlu menghormati agama lain bagi memastikan orang lain menghormati agama kita," katanya.
Majlis Senator Malaysia kesal lawatan Obama dipolitikkan
Majlis Senator Malaysia (MSM) kesal dengan sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan mempolitikkan kunjungan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di negara ini baru-baru ini.
Presiden MSM Senator Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman berkata golongan itu didapati melemparkan pelbagai tohmahan kononnya kerajaan menekan dan menghalang Obama daripada bertemu dengan pemimpin pembangkang.
Katanya tuduhan itu bukan sahaja tidak masuk akal, tetapi merupakan tohmahan liar dan tidak bertanggungjawab kerana tidak ada sebab bagi kerajaan berbuat demikian kepada tetamunya, apa lagi terhadap pemimpin sebuah negara kuasa besar.
"Namun, MSM berbangga dengan sikap yang ditunjukkan oleh Obama yang menghormati tuan rumah negara yang dikunjunginya. Sebagai pemimpin yang pernah menetap di Indonesia serta terdedah kepada budaya timur, MSM percaya beliau sangat memahami tradisi ini," katanya dalam kenyataan di sini Rabu.
MSM juga menyifatkan lawatan Obama sebagai penghormatan kepada negara dan rakyat.
"MSM percaya ini disebabkan Malaysia terkenal sebagai negara yang sentiasa mengamalkan sikap dan pendekatan kesederhanaan dalam menjalin hubungan serta menangani pelbagai isu dan konflik dengan negara-negara jiran, serantau dan antarabangsa," katanya.
Lawatan sulung tiga hari Obama ke Malaysia, kedua dalam tempoh 48 tahun selepas kunjungan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966, menyaksikan penerokaan pelbagai bidang termasuk perjanjian kerjasama bernilai RM6.53 bilion antara firma tempatan dengan Amerika dalam sektor penerbangan, bioteknologi dan insurans.
Ahad, 27 April 2014
Malaysia Boleh mampu beri inspirasi kepada negara lain- Obama
Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berkata negara-negara di Asia Tenggara, begitu juga Amerika perlu menghayati semangat di sebalik slogan 'Malaysia Boleh', demi memupuk hubungan lebih rapat untuk masa depan lebih cerah.
"Saya baru sehari berada di Malaysia tapi saya sudahpun tahu satu ungkapan baru 'Malaysia Boleh'. Kami mempunyai ungkapan serupa di Amerika; 'Yes We Can' (Ya Kita boleh)'.
"Itulah semangat yang kita mahukan dan dengannya saya harap Amerika dan semua negara Asia Tenggara boleh bekerjasama," kata Obama pada sesi perjumpaan terbuka dengan kira-kira 400 pemimpin muda Asia Tenggara di Universiti Malaya hari Ahad.
Presiden itu menegaskan bahawa generasi mudalah yang akan meneruskan semangat 'boleh lakukan' ini.
"Para presiden dan perdana menteri hanya boleh membantu meletakkan asas, tetapi andalah yang akan membina masa depan," kata Obama yang sedang melakukan lawatan tiga hari ke Malaysia, sebahagian dari lawatannya ke empat negara Asia.
Obama mengambil perhatian bahawa hubungan antara negara bukan saja ditentukan oleh kerajaan tetapi juga rakyat, dan golongan muda mempunyai peranan dalam menentukan masa depan mereka sendiri.
"Dalam beberapa bulan lagi, di seluruh Asia Tenggara, kita akan mencari cara untuk mendengar suara golongan muda tentang idea anda, dan perkongsian yang boleh kita bina bagi memperkasa usaha anda, memajukan pertukaran baru, menghubungkan pemimpin muda di seluruh Asia Tenggara dengan golongan muda Amerika," kata beliau.
Presiden itu berkata antara perkara yang menjadikan rantau ini menarik ialah kepelbagaiannya, dengan penduduk datang dari kumpulan etnik dan latar belakang yang berlainan, demikian juga anutan agama dan kepercayaan politik mereka.
Ini, kata beliau, memberikan Malaysia peluang untuk membuktikan - seperti mana Amerika sentiasa cuba buktikan - bahawa negara menjadi lebih kuat dan lebih berjaya bila mereka berusaha menegakkan hak asasi sivil, politik dan kemanusiaan.
"Sebab itu, dalam beberapa tahun lalu, Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan saya telah berusaha memperluas dan memperdalam hubungan antara dua negara kita dalam semangat 'bekerjasama' yang saya fikir kebanyakan anda amalkan," kata beliau.
Obama mengambil perhatian bahawa peranan utama yang dimainkan Malaysia di rantau ini meningkat mengikut masa, dilengkapi dengan keupayaan negara bagi mendorong pertumbuhan ekonomi dan peluang untuk menjadi tunggak kestabilan dan keselamatan maritim.
Beliau juga mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada Malaysia kerana gilirannya menyandang jawatan pengerusi Asean tahun depan.
Obama turut menjawab soalan dari hadirin, termasuk satu dari Myanmar tentang bagaimana menangani isu kepelbagaian tidak saja di Myanmar tetapi seluruh Asia Tenggara.
Presiden memberi respons dengan menyatakan tidak ada negara akan berjaya jika sebahagian daripada pendudukanya dipinggirkan.
"Layani orang sebagaimana anda mahu dilayan. Dan jika anda tidak lakukan itu dan masyarakat tidak menghormati prinsip asas itu, bererti kita mundur ke belakang dan bukan maju ke hadapan," kata beliau.
Kepada soalan lain, Obama berkata selalunya beliau bukan pelajar terbaik, kadang kala terlalu berseronok sebagai anak muda.
"Tetapi sekitar usia 20 tahun, saya mula sedar bahawa saya boleh memberi impak kepada dunia jika bekerja lebih keras.
"Saya berminat dalam dasar-dasar sosial dan kerajaan, dan saya memutuskan bekerja dalam sektor yang tidak bermotifkan untung untuk orang-orang kurang bernasib baik di Amerika Syarikat," kata beliau.
Beliau berkata perkara paling penting untuk golongan muda ialah menyedari bahawa mereka boleh memberi impak terhadap dunia, dan untuk berbuat demikian, mereka tidak perlu fokus terlalu banyak kepada gelaran atau berapa banyak wang mereka akan perolehi.
Ditanya tentang kekesalannya, presiden berusia 52-tahun itu berkata beliau kesal kerana tidak dapat meluangkan banyak masa dengan mendiang ibunya yang meninggal awal akibat kanser beberapa tahun lalu.
"Saya terlalu sibuk dengan kehidupan sendiri hingga saya tidak mendekati ibu saya dan berkomunikasi dengannya dan bertanyakan hal dirinya, dan memberitahu tentang hal-hal yang berlaku.
Sesi itu melibatkan 103 peserta di bawah program anjuran Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI) di samping kira-kira 300 tetamu undangan.
YSEALI merupakan inisiatif yang dilancarkan Obama Disember lepas, yang antara lain, berusaha membantu pembangunan kepimpinan dan jaringan kerja dalam Asean, meningkatkan penglibatan pemimpin muda di sektor kritikal dan memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat antara AS dan pemimpin muda di seluruh rantau ini.
Pertingatkan hubungan dikalangan golongan muda antara Amerika Syarikat dan Malaysia
Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama berkata pentadbiran beliau ingin mempertingkat hubungan antara rakyat dengan rakyat, terutama dalam kalangan golongan muda, sebagai sebahagian daripada usaha memupuk kerjasama lebih erat dengan kerajaan Malaysia.
Obama berkata AS dan Malaysia kini menjalin kerjasama lebih rapat pelbagai bidang selepas beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sepakat untuk memperluas hubungan dua hala, termasuk dalam bidang keselamatan dan perdagangan ketika Najib melawat Washington kira-kira empat tahun lepas.
Dalam kenyataan bersama dengan Najib selepas kedua-dua pemimpin mengadakan rundingan bersempena lawatan bersejarahnya ke Malaysia, Obama berkata beliau gembira kerana kedua-dua negara kini menyusun pelbagai usaha melalui perkongsian komprehensif.
Beliau berharap perkongsian Malaysia-Amerika akan berkembang ke arah mengukuhkan lagi hubungan erat antara rakyat kedua-dua negara, terutama dalam kalangan golongan muda.
"Pemuda-Pemudi Amerika dan Malaysia kaya dengan potensi dan kami ingin sama-sama mempertingkat usaha membuka lebih banyak peluang kepada setiap orang tanpa mengira bangsa, agama, gender atau bahasa," katanya.
Obama berkata beliau dan Najib bersetuju melanjutkan program Bantuan Pengajaran Bahasa Inggeris Fullbright (ETA) untuk beberapa tahun lagi.
"Syukur kerana program ini mencatat kejayaan besar dalam membawa anak muda Amerika ke Malaysia bagi mengajar Bahasa Inggeris," katanya sambil menyuarakan harapan agar golongan muda Amerika boleh berkongsi perspektif beliau yang dibesarkan di rantau Asia Tenggara.
Menyentuh Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Obama berkata mereka bersetuju bahawa isu yang menjadi kepentingan Malaysia perlu diselesai segera bagi membolehkan satu persetujuan komprehensif dicapai.
Beliau berkata mereka akan menyertai beberapa pemimpin perniagaan menandatangani tiga perjanjian perdagangan bernilai lebih US$1 bilion (RM3.2 bilion) melibatkan perdagangan dan pelaburan baharu antara kedua-dua negara.
Obama berkata melalui perkongsian komprehensif, Malaysia dan AS akan memperluas kerjasama bidang keselamatan dan mempertingkat keselamatan maritim serta kestabilan serantau.
"Kami amat bersetuju dengan pandangan ASEAN dan Malaysia bahawa pertikaian perlu diselesaikan secara aman, tanpa ugutan, dan semua negara perlu mematuhi undang-undang dan peraturan antarabangsa," katanya.
Beliau berkata Amerika berharap dapat menjalin kerjasama dengan negara ini dalam isu keselamatan dan maritim apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2015.
Obama sedang melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, yang pertama oleh presiden Amerika sejak hampir 50 tahun lepas.
Sabtu, 26 April 2014
SPRM syorkan gubal dasar larangan pengurniaan tanah dan projek kepada keluarga terdekat
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan agar semua kerajaan negeri menggubal satu dasar melarang pengurniaan projek atau tanah kepada keluarga terdekat anggota pentadbiran.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata langkah itu penting bagi mengelak persepsi wujud elemen rasuah atau salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri.
"Kita akan mengadakan perbincangan dengan menteri-menteri besar dan ketua menteri. Sebenarnya langkah ini sudahpun dimulakan.
"Saya juga telah meminta pengarah-pengarah (negeri SPRM) mengambil langkah mengadakan perbincangan bersama ketua kerajaan negeri," katanya ketika berucap di majlis Pelancaran Amalan Kredibiliti, Masyarakat Berintegriti dan Menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) di Kuala Lumpur, Sabtu.
Lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum Cina menandatangani CIP, antaranya Persatuan Belia Kristian Malaysia, Persatuan Graduan Muda dan Pertubuhan Gerakan Belia Bersatu Malaysia.
Abu Kassim menggesa lebih ramai pihak tanpa mengira kaum tampil menyokong agenda memerangi rasuah kerana ia amat penting untuk memastikan kejayaan misi berkenaan.
"Pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh SPRM dalam menangani isu rasuah di negara kita akan hanya menjadi sia-sia tanpa sokongan semua pihak, apabila ada yang enggan memberikan maklumat berhubung rasuah kepada SPRM," katanya.
Beliau berkata cadangan pindaan Akta SPRM 2009 yang dijangka dibentang di Parlimen tahun ini akan memperkukuh usaha suruhanjaya itu dalam memerangi rasuah.
"Antara pindaan yang disyorkan ialah aspek berkaitan pelantikan Ketua Pesuruhjaya dan pembentukan sebuah suruhanjaya perkhidmatan khusus bagi SPRM.
"Selain itu, peruntukan baharu berkaitan liabiliti korporat dan penyiasatan membabitkan kekayaan di luar kemampuan juga sedang diteliti," katanya.
--BERNAMA
Malaysia boleh manfaatkan kekuatan dari pelbagai etnik yang ada-Obama
Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berkata Malaysia boleh mencari kekuatan daripada kepelbagaian etnik dan agama rakyatnya serta harapan yang terlakar dalam sejarah untuk mengukir masa depan lebih cerah bagi generasi akan datang.
Berucap pada majlis jamuan negara di Istana Negara sempena lawatan negara tiga hari beliau ke Malaysia, Obama berkata walaupun Amerika dan Malaysia adalah dua negara berbeza, namun rakyatnya berkongsi harapan dan hasrat yang sama.
"Saya percaya, tidak kira sama ada kita berasal daripada sebuah kampung terpencil atau bandar raya megah, sama ada kita tinggal di Amerika atau di Malaysia, sebagai manusia, kita berkongsi hasrat yang sama - untuk hidup dengan bermaruah dan aman.
"(Kita ingin) mencorakkan masa depan kita sendiri, boleh mencari rezeki dan bekerja keras untuk menyara keluarga. Dan paling penting, mewariskan kepada generasi akan datang sesuatu yang lebih baik daripada apa yang ditinggalkan untuk kita," katanya.
Inilah hasrat yang beliau percaya boleh memberi sinar lebih gemilang kepada era baharu dalam perkongsian antara Amerika dan Malaysia, kata Obama pada majlis itu, yang diserikan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah Hamidun.
Pemimpin Amerika itu menyelit beberapa perkataan Melayu dalam ucapannya, sesuatu yang disambut baik oleh hadirin seperti yang terpamer daripada tepukan bergemuruh mereka.
Ketika memulakan ucapannya, Obama mengucapkan "Selamat Petang" dan mengakhirnya dengan ungkapan "Terima kasih banyak".
Beliau menggunakan perkataan "bekerjasama" apabila menyentuh tentang perkongsian antara Amerika dengan Malaysia dan "boleh spirit" bagi merujuk kepada slogan "Malaysia Boleh".
Obama mendarat dengan pesawat khas di ibu negara pada kira-kira pukul 5 petang Sabtu untuk melakukan lawatan ke Malaysia sebagai sebahagian daripada siri jelajah beliau ke empat negara Asia, bermula dengan Jepun dan diikuti Korea Selatan. Destinasi terakhir beliau ialah Filipina.
Kunjungan beliau ke sini adalah yang pertama oleh presiden Amerika dalam tempoh 48 tahun, sejak lawatan Presiden Lyndon B. Johnson ke Malaysia pada 1966.
Mengimbau kembali lawatan Johnson ke sini, Obama berkata bekas presiden Amerika itu menulis dalam memoirnya "betapa kagumnya beliau tentang kesegaran dan minat luar biasa yang beliau lihat pada wajah rakyat di sini dan di seluruh Asia Tenggara".
"Dan saya juga begitu ingin melihat semangat 'boleh' yang sama itu esok, apabila saya berpeluang berbicara dengan anak muda dari seluruh Asia Tenggara di Universiti Malaya," kata Obama pada majlis itu, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Sambil menoleh kepada Najib, beliau berkata: "Tuan Perdana Menteri, saya amat berharap kita boleh bekerjasama dan saya berikrar akan menyuntik semangat yang sama ke dalam usaha kita.
"Malam ini, saya hanya ingin menyampaikan ucapan terima kasih saya atas kemurahan hati yang anda pamerkan kepada kami hari ini -- kemurahan hati yang dihulurkan oleh rakyat Malaysia kepada keluarga saya sejak pemilihan saya (sebagai presiden)."
Obama menceritakan kepada hadirin satu episod dalam kehidupannya berkaitan kesukaan ibunya terhadap batik, kain yang tidak asing kepada rakyat Malaysia.
Beliau bercerita tentang pameran batik yang memperagakan sebahagian daripada koleksi batik milik ibunya yang dianjurkan Muzium Keseniaan Islam Malaysia dua tahun lepas.
"Ibu saya memang sukakan batik. Saya masih ingat ketika masih kecil dan membesar di Jakarta, beliau akan pulang ke rumah dari pasar dengan tangannya penuh menjinjing kain batik dan membentang kain itu di dalam rumah untuk menghayatinya sebelum dijadikan pakaian," kata Obama.
"Oleh kerana saya masih kecil ketika itu, saya tidaklah seteruja seperti beliau," tambah beliau dan disambut dengan ketawa oleh para hadirin.
Menurut Obama, bagi ibunya, batik bukan hanya sekadar satu fesyen, tetapi merupakan hasil usaha dan punca rezeki bagi para ibu dan wanita muda yang begitu tekun menghasilkannya.
"Ia adalah jendela untuk menjengah ke dalam kehidupan orang lain -- budaya dan tradisi mereka serta harapan mereka. Dan ia begitu bermakna serta menjadi sebahagian daripada semangat beliau.
"Oleh itu, saya amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana meraikan sebahagian daripada kehidupan ibu saya itu. Terima kasih semua," katanya.
Obama juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih atas layanan luar biasa yang ditunjukkan kepada beliau dan delegasinya.
"Bagi pihak negara saya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sambutan yang diberi kepada kami hari ini," katanya sambil menyuarakan kegembirannya kerana dapat melakukan lawatan bersejarah ini.
--BERNAMA
Langgan:
Ulasan (Atom)






