Ahad, 27 April 2014
Malaysia Boleh mampu beri inspirasi kepada negara lain- Obama
Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berkata negara-negara di Asia Tenggara, begitu juga Amerika perlu menghayati semangat di sebalik slogan 'Malaysia Boleh', demi memupuk hubungan lebih rapat untuk masa depan lebih cerah.
"Saya baru sehari berada di Malaysia tapi saya sudahpun tahu satu ungkapan baru 'Malaysia Boleh'. Kami mempunyai ungkapan serupa di Amerika; 'Yes We Can' (Ya Kita boleh)'.
"Itulah semangat yang kita mahukan dan dengannya saya harap Amerika dan semua negara Asia Tenggara boleh bekerjasama," kata Obama pada sesi perjumpaan terbuka dengan kira-kira 400 pemimpin muda Asia Tenggara di Universiti Malaya hari Ahad.
Presiden itu menegaskan bahawa generasi mudalah yang akan meneruskan semangat 'boleh lakukan' ini.
"Para presiden dan perdana menteri hanya boleh membantu meletakkan asas, tetapi andalah yang akan membina masa depan," kata Obama yang sedang melakukan lawatan tiga hari ke Malaysia, sebahagian dari lawatannya ke empat negara Asia.
Obama mengambil perhatian bahawa hubungan antara negara bukan saja ditentukan oleh kerajaan tetapi juga rakyat, dan golongan muda mempunyai peranan dalam menentukan masa depan mereka sendiri.
"Dalam beberapa bulan lagi, di seluruh Asia Tenggara, kita akan mencari cara untuk mendengar suara golongan muda tentang idea anda, dan perkongsian yang boleh kita bina bagi memperkasa usaha anda, memajukan pertukaran baru, menghubungkan pemimpin muda di seluruh Asia Tenggara dengan golongan muda Amerika," kata beliau.
Presiden itu berkata antara perkara yang menjadikan rantau ini menarik ialah kepelbagaiannya, dengan penduduk datang dari kumpulan etnik dan latar belakang yang berlainan, demikian juga anutan agama dan kepercayaan politik mereka.
Ini, kata beliau, memberikan Malaysia peluang untuk membuktikan - seperti mana Amerika sentiasa cuba buktikan - bahawa negara menjadi lebih kuat dan lebih berjaya bila mereka berusaha menegakkan hak asasi sivil, politik dan kemanusiaan.
"Sebab itu, dalam beberapa tahun lalu, Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan saya telah berusaha memperluas dan memperdalam hubungan antara dua negara kita dalam semangat 'bekerjasama' yang saya fikir kebanyakan anda amalkan," kata beliau.
Obama mengambil perhatian bahawa peranan utama yang dimainkan Malaysia di rantau ini meningkat mengikut masa, dilengkapi dengan keupayaan negara bagi mendorong pertumbuhan ekonomi dan peluang untuk menjadi tunggak kestabilan dan keselamatan maritim.
Beliau juga mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada Malaysia kerana gilirannya menyandang jawatan pengerusi Asean tahun depan.
Obama turut menjawab soalan dari hadirin, termasuk satu dari Myanmar tentang bagaimana menangani isu kepelbagaian tidak saja di Myanmar tetapi seluruh Asia Tenggara.
Presiden memberi respons dengan menyatakan tidak ada negara akan berjaya jika sebahagian daripada pendudukanya dipinggirkan.
"Layani orang sebagaimana anda mahu dilayan. Dan jika anda tidak lakukan itu dan masyarakat tidak menghormati prinsip asas itu, bererti kita mundur ke belakang dan bukan maju ke hadapan," kata beliau.
Kepada soalan lain, Obama berkata selalunya beliau bukan pelajar terbaik, kadang kala terlalu berseronok sebagai anak muda.
"Tetapi sekitar usia 20 tahun, saya mula sedar bahawa saya boleh memberi impak kepada dunia jika bekerja lebih keras.
"Saya berminat dalam dasar-dasar sosial dan kerajaan, dan saya memutuskan bekerja dalam sektor yang tidak bermotifkan untung untuk orang-orang kurang bernasib baik di Amerika Syarikat," kata beliau.
Beliau berkata perkara paling penting untuk golongan muda ialah menyedari bahawa mereka boleh memberi impak terhadap dunia, dan untuk berbuat demikian, mereka tidak perlu fokus terlalu banyak kepada gelaran atau berapa banyak wang mereka akan perolehi.
Ditanya tentang kekesalannya, presiden berusia 52-tahun itu berkata beliau kesal kerana tidak dapat meluangkan banyak masa dengan mendiang ibunya yang meninggal awal akibat kanser beberapa tahun lalu.
"Saya terlalu sibuk dengan kehidupan sendiri hingga saya tidak mendekati ibu saya dan berkomunikasi dengannya dan bertanyakan hal dirinya, dan memberitahu tentang hal-hal yang berlaku.
Sesi itu melibatkan 103 peserta di bawah program anjuran Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI) di samping kira-kira 300 tetamu undangan.
YSEALI merupakan inisiatif yang dilancarkan Obama Disember lepas, yang antara lain, berusaha membantu pembangunan kepimpinan dan jaringan kerja dalam Asean, meningkatkan penglibatan pemimpin muda di sektor kritikal dan memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat antara AS dan pemimpin muda di seluruh rantau ini.
Pertingatkan hubungan dikalangan golongan muda antara Amerika Syarikat dan Malaysia
Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama berkata pentadbiran beliau ingin mempertingkat hubungan antara rakyat dengan rakyat, terutama dalam kalangan golongan muda, sebagai sebahagian daripada usaha memupuk kerjasama lebih erat dengan kerajaan Malaysia.
Obama berkata AS dan Malaysia kini menjalin kerjasama lebih rapat pelbagai bidang selepas beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sepakat untuk memperluas hubungan dua hala, termasuk dalam bidang keselamatan dan perdagangan ketika Najib melawat Washington kira-kira empat tahun lepas.
Dalam kenyataan bersama dengan Najib selepas kedua-dua pemimpin mengadakan rundingan bersempena lawatan bersejarahnya ke Malaysia, Obama berkata beliau gembira kerana kedua-dua negara kini menyusun pelbagai usaha melalui perkongsian komprehensif.
Beliau berharap perkongsian Malaysia-Amerika akan berkembang ke arah mengukuhkan lagi hubungan erat antara rakyat kedua-dua negara, terutama dalam kalangan golongan muda.
"Pemuda-Pemudi Amerika dan Malaysia kaya dengan potensi dan kami ingin sama-sama mempertingkat usaha membuka lebih banyak peluang kepada setiap orang tanpa mengira bangsa, agama, gender atau bahasa," katanya.
Obama berkata beliau dan Najib bersetuju melanjutkan program Bantuan Pengajaran Bahasa Inggeris Fullbright (ETA) untuk beberapa tahun lagi.
"Syukur kerana program ini mencatat kejayaan besar dalam membawa anak muda Amerika ke Malaysia bagi mengajar Bahasa Inggeris," katanya sambil menyuarakan harapan agar golongan muda Amerika boleh berkongsi perspektif beliau yang dibesarkan di rantau Asia Tenggara.
Menyentuh Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Obama berkata mereka bersetuju bahawa isu yang menjadi kepentingan Malaysia perlu diselesai segera bagi membolehkan satu persetujuan komprehensif dicapai.
Beliau berkata mereka akan menyertai beberapa pemimpin perniagaan menandatangani tiga perjanjian perdagangan bernilai lebih US$1 bilion (RM3.2 bilion) melibatkan perdagangan dan pelaburan baharu antara kedua-dua negara.
Obama berkata melalui perkongsian komprehensif, Malaysia dan AS akan memperluas kerjasama bidang keselamatan dan mempertingkat keselamatan maritim serta kestabilan serantau.
"Kami amat bersetuju dengan pandangan ASEAN dan Malaysia bahawa pertikaian perlu diselesaikan secara aman, tanpa ugutan, dan semua negara perlu mematuhi undang-undang dan peraturan antarabangsa," katanya.
Beliau berkata Amerika berharap dapat menjalin kerjasama dengan negara ini dalam isu keselamatan dan maritim apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2015.
Obama sedang melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, yang pertama oleh presiden Amerika sejak hampir 50 tahun lepas.
Sabtu, 26 April 2014
SPRM syorkan gubal dasar larangan pengurniaan tanah dan projek kepada keluarga terdekat
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan agar semua kerajaan negeri menggubal satu dasar melarang pengurniaan projek atau tanah kepada keluarga terdekat anggota pentadbiran.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata langkah itu penting bagi mengelak persepsi wujud elemen rasuah atau salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri.
"Kita akan mengadakan perbincangan dengan menteri-menteri besar dan ketua menteri. Sebenarnya langkah ini sudahpun dimulakan.
"Saya juga telah meminta pengarah-pengarah (negeri SPRM) mengambil langkah mengadakan perbincangan bersama ketua kerajaan negeri," katanya ketika berucap di majlis Pelancaran Amalan Kredibiliti, Masyarakat Berintegriti dan Menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) di Kuala Lumpur, Sabtu.
Lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum Cina menandatangani CIP, antaranya Persatuan Belia Kristian Malaysia, Persatuan Graduan Muda dan Pertubuhan Gerakan Belia Bersatu Malaysia.
Abu Kassim menggesa lebih ramai pihak tanpa mengira kaum tampil menyokong agenda memerangi rasuah kerana ia amat penting untuk memastikan kejayaan misi berkenaan.
"Pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh SPRM dalam menangani isu rasuah di negara kita akan hanya menjadi sia-sia tanpa sokongan semua pihak, apabila ada yang enggan memberikan maklumat berhubung rasuah kepada SPRM," katanya.
Beliau berkata cadangan pindaan Akta SPRM 2009 yang dijangka dibentang di Parlimen tahun ini akan memperkukuh usaha suruhanjaya itu dalam memerangi rasuah.
"Antara pindaan yang disyorkan ialah aspek berkaitan pelantikan Ketua Pesuruhjaya dan pembentukan sebuah suruhanjaya perkhidmatan khusus bagi SPRM.
"Selain itu, peruntukan baharu berkaitan liabiliti korporat dan penyiasatan membabitkan kekayaan di luar kemampuan juga sedang diteliti," katanya.
--BERNAMA
Malaysia boleh manfaatkan kekuatan dari pelbagai etnik yang ada-Obama
Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berkata Malaysia boleh mencari kekuatan daripada kepelbagaian etnik dan agama rakyatnya serta harapan yang terlakar dalam sejarah untuk mengukir masa depan lebih cerah bagi generasi akan datang.
Berucap pada majlis jamuan negara di Istana Negara sempena lawatan negara tiga hari beliau ke Malaysia, Obama berkata walaupun Amerika dan Malaysia adalah dua negara berbeza, namun rakyatnya berkongsi harapan dan hasrat yang sama.
"Saya percaya, tidak kira sama ada kita berasal daripada sebuah kampung terpencil atau bandar raya megah, sama ada kita tinggal di Amerika atau di Malaysia, sebagai manusia, kita berkongsi hasrat yang sama - untuk hidup dengan bermaruah dan aman.
"(Kita ingin) mencorakkan masa depan kita sendiri, boleh mencari rezeki dan bekerja keras untuk menyara keluarga. Dan paling penting, mewariskan kepada generasi akan datang sesuatu yang lebih baik daripada apa yang ditinggalkan untuk kita," katanya.
Inilah hasrat yang beliau percaya boleh memberi sinar lebih gemilang kepada era baharu dalam perkongsian antara Amerika dan Malaysia, kata Obama pada majlis itu, yang diserikan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah Hamidun.
Pemimpin Amerika itu menyelit beberapa perkataan Melayu dalam ucapannya, sesuatu yang disambut baik oleh hadirin seperti yang terpamer daripada tepukan bergemuruh mereka.
Ketika memulakan ucapannya, Obama mengucapkan "Selamat Petang" dan mengakhirnya dengan ungkapan "Terima kasih banyak".
Beliau menggunakan perkataan "bekerjasama" apabila menyentuh tentang perkongsian antara Amerika dengan Malaysia dan "boleh spirit" bagi merujuk kepada slogan "Malaysia Boleh".
Obama mendarat dengan pesawat khas di ibu negara pada kira-kira pukul 5 petang Sabtu untuk melakukan lawatan ke Malaysia sebagai sebahagian daripada siri jelajah beliau ke empat negara Asia, bermula dengan Jepun dan diikuti Korea Selatan. Destinasi terakhir beliau ialah Filipina.
Kunjungan beliau ke sini adalah yang pertama oleh presiden Amerika dalam tempoh 48 tahun, sejak lawatan Presiden Lyndon B. Johnson ke Malaysia pada 1966.
Mengimbau kembali lawatan Johnson ke sini, Obama berkata bekas presiden Amerika itu menulis dalam memoirnya "betapa kagumnya beliau tentang kesegaran dan minat luar biasa yang beliau lihat pada wajah rakyat di sini dan di seluruh Asia Tenggara".
"Dan saya juga begitu ingin melihat semangat 'boleh' yang sama itu esok, apabila saya berpeluang berbicara dengan anak muda dari seluruh Asia Tenggara di Universiti Malaya," kata Obama pada majlis itu, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Sambil menoleh kepada Najib, beliau berkata: "Tuan Perdana Menteri, saya amat berharap kita boleh bekerjasama dan saya berikrar akan menyuntik semangat yang sama ke dalam usaha kita.
"Malam ini, saya hanya ingin menyampaikan ucapan terima kasih saya atas kemurahan hati yang anda pamerkan kepada kami hari ini -- kemurahan hati yang dihulurkan oleh rakyat Malaysia kepada keluarga saya sejak pemilihan saya (sebagai presiden)."
Obama menceritakan kepada hadirin satu episod dalam kehidupannya berkaitan kesukaan ibunya terhadap batik, kain yang tidak asing kepada rakyat Malaysia.
Beliau bercerita tentang pameran batik yang memperagakan sebahagian daripada koleksi batik milik ibunya yang dianjurkan Muzium Keseniaan Islam Malaysia dua tahun lepas.
"Ibu saya memang sukakan batik. Saya masih ingat ketika masih kecil dan membesar di Jakarta, beliau akan pulang ke rumah dari pasar dengan tangannya penuh menjinjing kain batik dan membentang kain itu di dalam rumah untuk menghayatinya sebelum dijadikan pakaian," kata Obama.
"Oleh kerana saya masih kecil ketika itu, saya tidaklah seteruja seperti beliau," tambah beliau dan disambut dengan ketawa oleh para hadirin.
Menurut Obama, bagi ibunya, batik bukan hanya sekadar satu fesyen, tetapi merupakan hasil usaha dan punca rezeki bagi para ibu dan wanita muda yang begitu tekun menghasilkannya.
"Ia adalah jendela untuk menjengah ke dalam kehidupan orang lain -- budaya dan tradisi mereka serta harapan mereka. Dan ia begitu bermakna serta menjadi sebahagian daripada semangat beliau.
"Oleh itu, saya amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana meraikan sebahagian daripada kehidupan ibu saya itu. Terima kasih semua," katanya.
Obama juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih atas layanan luar biasa yang ditunjukkan kepada beliau dan delegasinya.
"Bagi pihak negara saya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sambutan yang diberi kepada kami hari ini," katanya sambil menyuarakan kegembirannya kerana dapat melakukan lawatan bersejarah ini.
--BERNAMA
Jumaat, 25 April 2014
BN perlu bertanding PKR Bukit Gelugor- Tun M
Barisan Nasional (BN) perlu bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang walaupun peluang untuk menang tipis, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata soal turun bertanding perlu menjadi keutamaan, bukan faktor menang atau kalah.
"Di PRK Sungai Limau (Kedah) lepas macam itu juga, ramai yang kata BN tak perlu letak calon sebab PAS tetap akan menang, tetapi BN tetap bertanding.
"Soal utama adalah pertandingan untuk menunjukkan sekurang-kurangnya ada orang yang tidak bersetuju walaupun kalah," katanya selepas melancarkan buku 'Saya, SPR dan Pilihan Raya' tulisan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar di sini hari ini.
Dr Mahathir mengulas pandangan beberapa pihak yang menyifatkan BN pasti tewas pada PRK Bukit Gelugor, dan oleh itu tidak perlu meletakkan calon.
Kerusi Bukit Gelugor kosong berikutan kematian penyandangnya, Karpal Singh daripada DAP pada 17 April lepas akibat nahas jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak.
Pada pilihan raya umum Mei 2013, Karpal Singh menang kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon MCA Teh Beng Yeam.
SPR menetapkan 25 Mei sebagai tarikh pengundian PRK Bukit Gelugor dengan penamaan calon pada 12 Mei. Pengundian awal dijadualkan 21 Mei.
MH370- Kerajaan akan keluarkan laporan awal minggu depan-PM
Laporan awal berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 mungkin dikeluarkan minggu depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Komitmen kerajaan untuk pencarian MH370 yang tidak henti-henti itu, saya juga menggunakan satu pasukan pakar siasatan dalaman dan dapatan awal mungkin dikeluarkan minggu depan," kata Najib dalam akaun Facebooknya hari ini.
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac sebelum hilang daripada pengesanan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara laut China selatan.
Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat Boeing 777-200 itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia didapati melencong daripada laluan asalnya, di sepanjang dua koridor - koridor selatan yang merentas dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand dan koridor selatan, dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.
Apabila analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Najib kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200, bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".
Awal bulan ini, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berjanji bahawa sebarang data yang akan dijumpai selepas ini daripada kotak hitam pesawat itu akan dimaklumkan kepada orang ramai.
Pada Rabu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata mereka telah menghantar laporan awal berhubung insiden itu kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), sebuah badan Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi penerbangan global.
Sementara itu, dalam temu bual eksklusif dengan pakar penerbangan stesen penyiaran CNN Richard Quest, Najib berkata tiada apa yang memalukan Malaysia dalam laporan itu.
"Saya hanya mahu pasukan ini melaluinya namun atas nama ketelusan kami akan mengeluarkan laporan itu minggu depan, kami akan mengeluarkannya," katanya.
Ketika ditanya berhubung apa yang membuatkan beliau begitu yakin dengan data Inmarsat, Najib berkata: "Apabila saya bertemu pasukan (mencari dan menyelamat) nak tahu, mereka merupakan pakar-pakar terpenting dalam industri penerbangan, seperti yang anda tahu, mereka memang pakar.
"Saya tanya mereka, kamu yakin. Saya tanya mereka berulang kali, kamu yakin dan jawapannya " kami pasti seperti apa yang kami yakin"," katanya.
Najib berkata insiden MH370 adalah berbeza daripada insiden Air France dan Silk Air.
"Ini benar-benar tidak pernah berlaku sebelum ini. Apa yang kami ada untuk kami? Apakah buktinya? Buktinya semata-mata bersandarkan kepada (bunyi) ping, yang kami analisis. Itu sahaja yang kami ada," katanya.
-- BERNAMA
Perhimpunan Agung Umno ditetapkan 28 Okt hingga 1 Nov
Perhimpunan Agung Umno tahun ini akan berlangsung dari 28 Okt hingga 1 Nov, kata Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Najib berkata perhimpunan lima hari itu bermula dengan taklimat presiden pada 28 Okt, diikuti perhimpunan sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada 29 Okt.
"Perasmian Perhimpunan Agung Umno akan diadakan pada 30 Okt dan berakhir pada 1 Nov," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn di sini hari ini.
Turut hadir timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan anggota Majlis Tertinggi Umno yang lain.
Najib berkata anggota Majlis Tertinggi Umno merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilantik sebagai pengerusi forum antarabangsa yang akan diadakan sempena perhimpunan agung parti tonggak Barisan Nasional(BN) itu.
Beliau juga mengumumkan 11 Mei sebagai tarikh sambutan ulang tahun Umno ke-68, bermula dengan majlis tahlil, solat Maghrib, bacaan Yasin dan doa kesyukuran, diikuti majlis menaikkan bendera Umno dan ucapan presiden parti.
Dalam perkembangan lain, Najib berkata sidang panel rayuan Jawatankuasa Tatatertib dan Disiplin Umno menolak rayuan dan mengekalkan hukuman digantung keanggotaan selama dua penggal bagi Ketua Umno Bahagian Bakri Datuk Saipolbahri Suib dan anggota jawatankuasa bahagian sama, Uzir Sahid.
"Rayuan Ketua Penerangan Bahagian Bakri Yaacob Jamian dan Naib Ketua Wanita Bahagian Bakri Safiah Siwon pula diterima dan diberikan amaran sebagai hukuman," katanya. Kesemua mereka terbabit dalam politik wang pada pemilihan parti tahun lalu.
Sementara itu, Najib berkata Jawatankuasa Pengurusan Umno memutuskan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kepong dikekalkan kepada Datuk Norizan Ali selepas meneliti bantahan Umno Bahagian itu.
Beliau turut berkata BN belum memutuskan calonnya yang akan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Bukit Gelugor, Pulau Pinang.
Ditanya sama ada BN akan meletakkan calon MCA untuk kerusi itu, Najib yang juga pengerusi BN berkata: "Belum fikir lagi sebab terlalu awal. Kita akan bincang dengan presiden MCA".
Secara tradisinya, kerusi Parlimen Bukit Gelugor adalah milik MCA.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK kecil itu diadakan pada 25 Mei selepas penamaan calon pada 12 Mei. Pengundian awal ialah 21 Mei.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak, 17 April lepas.
Pada pilihan raya umum Mei 2013, Karpal Singh menang kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon BN, Teh Beng Yeam.
Langgan:
Ulasan (Atom)






