Ahad, 3 Mac 2013

TUN M GESA KERAJAAN BERTINDAK TEGAS

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan keras terhadap pihak penceroboh selepas insiden pertumpahan darah di Lahad Datu dan Semporna, Sabah. Beliau berkata walaupun kerajaan berhati-hati dalam menangani isu itu pada peringkat awal dan berharap ia dapat diselesaikan tanpa pertumpahan darah malangnya ia tidak dihargai oleh mereka sehingga sanggup membunuh anggota pasukan keselamatan negara.
"Sekarang ini saya fikir tidak ada jalan lain melainkan kerajaan melancarkan serangan balas supaya dapat dihapuskan sama sekali pasukan Sulu ini walaupun dengan (tindakan) ini ramai mereka terbunuh, tapi ini tidak dapat dielakkan kerana mereka yang menyerang Sabah, bukan kita yang menyerang mereka," katanya kepada pemberita selepas memberi ucapan pada Himpunan Rakyat Perak anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di sini, hari ini.
Katanya tindakan keras yang diambil mungkin akan menyebabkan ramai daripada penceroboh itu mati serta anggota keselamatan negara akan menjadi mangsa. Pada pendapatnya, insiden yang berlaku itu tidak akan tamat begitu sahaja kerana pihak penceroboh boleh melakukan serangan-serangan hendap pada masa depan. Kerajaan diharap mengadakan persediaan awal menghadapi serangan berturut-turut pada masa akan datang, terutama keperluan terhadap pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mengawal dan menyekat bot-bot yang datang dari kepulauan Tawi-Tawi yang mungkin membawa pasukan penceroboh atau menyeludup senjata, katanya.
"Perkara ini tidak boleh dipandang ringan walaupun pada mulanya kita ingat percubaan mereka itu untuk menawan Sabah sebagai percubaan yang sia-sia tetapi kita tahu mereka akan menjadi gerila dan akan melancarkan serangan pada masa depan," katanya.
Mengenai ada pihak yang mempertikai tindakan kerajaan yang memberi kuasa kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak terlebih dahulu berbanding pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung pencerobohan tersebut, Dr Mahathir berkata negara mempunyai dua bahagian keselamatan. "Kita bahagi keselamatan kepada dua bahagian iaitu yang datang dari luar yang biasanya tindakan diambil oleh tentera manakala yang berada di dalam negara adalah tanggungjawab polis. Pada mulanya kita tidak anggap pencerobohan itu sebagai serangan luar kerana mereka ini berada dalam wilayah kita," katanya. Bagaimanapun, apabila pencerobohan dan serangan kini jelas datang dari luar maka difahamkan pihak tentera diarahkan untuk mengambil bahagian dalam tanggungjawab itu, katanya. Mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan dilihat ''berlembut'' dengan pihak penceroboh terbabit, beliau berkata sememangnya kerajaan tidak mahu mengambil tindakan sehingga membunuh kerana mereka juga mempunyai keluarga dan rakan sebagai warganegara di Sabah. "Sebab itu kita berhati-hati bertindak begitu pada awalnya, lagipun mereka ini orang Islam, kita orang Islam, kita tidak mahu tergesa-gesa, tetapi mereka tunjukkan niat jahat dengan menembak dua anggota polis kita. Sekarang ini peristiwa ini tidak boleh dianggap boleh diselesaikan dengan rundingan," katanya. Mengenai laporan media asing bahawa kedatangan penceroboh terbabit ke Lahad Datu adalah atas "jemputan" seorang ahli politik pembangkang, Dr Mahathir berkata ahli politik itu menjanjikan banyak perkara bagi Sabah termasuk memberikan kuasa autonomi jika pembangkang menang pilihan raya.-- BERNAMA

TIAN CHUA BURUKKAN KEADAAN- MUSA

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua hanya memburukkan lagi keadaan apabila mendakwa insiden berdarah di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara UMNO. Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, semua pihak sepatutnya bersatu padu bagi membantu menyelesaikan krisis pencerobohan oleh kumpulan yang mendakwa Tentera Diraja Kesultanan Sulu. Menurut beliau, ahli-ahli politik tidak sewajarnya saling menuduh antara satu sama lain ketika keselamatan negara tergugat.
"Kalau anda tuduh-menuduh antara satu sama lain, ini bermakna anda membuka ruang kepada musuh untuk masuk. "Dalam situasi wilayah negara dicerobohi, kita sebagai rakyat yang setia mesti membantu kerajaan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari in
i. Yang turut hadir bekas Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abu Kassim Mohamad Nor. Tian Chua seperti dipetik dalam portal berita milik PKR, Keadilandaily.com kelmarin mendakwa kejadian yang menyebabkan kematian anggota-anggota pasukan keselamatan negara dan penceroboh dari Filipina itu hanya `sandiwara kerajaan UMNO untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah mewujudkan suasana tidak aman di Sabah. Musa menambah, tindakan beberapa ahli politik pembangkang termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang mempertikaikan keupayaan pihak polis dalam menangani krisis tersebut boleh melemahkan semangat pasukan keselamatan negara. "Sekiranya Yang Berhormat Kit Siang hendak mengetuai satu pasukan yang menggunakan peluru getah, teruskan. Lepas itu kita tengok apa yang akan berlaku," katanya secara sinis. - UTUSAN

SEJARAH KESULTANAN SULU

Ya!!! Memang benar! Sejarah telah membuktikan Kesultanan Sulu pernah memerintah Sabah. Akan tetapi lelaki yang mendakwa dirinya sekarang adalah Sultan Sulu & Borneo Utara iaitu "Sultan" Jamalul Kiram terlupa sesuatu, "baginda" atau dia mungkin terlupa pada tahun 1878, datuknya sendiri telah mengadakan perjanjian dengan Syarikat Borneo Utara British (SBUB) dan akhirnya bersetuju untuk "menyewakan" negeri Sabah (Borneo Utara) kepada SBUB dan akhirnya menyerahkannya kepada British (Sebelum pembentukan Malaysia).
Yang menariknya, apakah yang Sultan Sulu lakukan ketika Sabah dijajah oleh Jepun? Jika benar "Baginda" mempunyai hak di Sabah, adakah "baginda" pernah menghantar "Tentera Diraja Sultan Sulu" untuk membebaskan Sabah? (Seperti yang berlaku di Lahad Datu sekarang) Jawapannya TIDAK!!! Malah sebelum Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963. Sultan Sulu ketika itu iaitu Sultan Muhammad Esmail E. Kiram I sendiri telah menyerahkan 'hak' pemerintahan baginda di Borneo Utara kepada Filipina yang ditadbir Presiden Macapagal pada 12 September 1962 untuk menghalang pembentukan Malaysia. Ini secara tidak langsung menunjukkan Sultan Sulu ketika itu "tidak serius" dan bersikap "lepas tangan" dan akhirnya pada 1989 kerajaan Filipina telah mengugurkan tuntutan mereka keatas Sabah demi memperbaiki hubungan Diplomatik dengan Malaysia.
Malah sehingga sekarang, Kerajaan Malaysia tetap & masih membayar Rm5300 kepada Sultan Sulu sebagai wang saguhati, tetapi "baginda" mendakwa wang saguhati tersebut tidak cukup kerana "baginda" berhak mendapat 50% wang hasil ekonomi Sabah. Mungkin "Baginda" belum sedar yang penduduk Sabah sekarang tidak pernah mengiktiraf "baginda" sebagai Sultan Borneo Utara lagi kerana Sabah sekarang adalah milik penduduk Sabah dan bukannya milik kesultanan Sulu lagi. Dan perkara yang paling menjadi persoalan sekarang adalah, MENGAPA BARU SEKARANG "BAGINDA" YANG SUDAH BERUMUR 70 TAHUN BARU TERHEGEH2 HENDAK MENUNTUT KEMBALI "HAK" KEATAS SABAH??? MENGAPA "BAGINDA" TIDAK MELAKUKANNYA AWAL2?? MENGAPA "BAGINDA" MEMILIH WAKTU SEKARANG? KENAPA??? FIKIR2KAN & RENUNG2KANLAH

Sabtu, 2 Mac 2013

HANIF GESA SIASAT SEGERA LAPORAN MEDIA FILIPINA

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat laporan media Filipina yang mendakwa terdapat pemimpin pembangkang Malaysia yang terlibat merancang penyusupan masuk penceroboh di Lahad Datu awal bulan lalu. Kata beliau, sekiranya laporan tersebut terbukti benar, ia satu tuduhan sangat berat dan perlu disiasat. Sebelum ini, sebuah media Filipina dipetik melaporkan, perisikan Filipina mendapati individu dalam parti pembangkang Malaysia didakwa sebagai dalang kepada isu di Lahad Datu. Difahamkan, kumpulan bersenjata tersebut yang diketuai oleh Raja Muda Azzimudie Kiram, yang merupakan adik kepada Sultan Sulu, Jamalul Kiram III terpedaya dengan janji menyokong pihak mereka dalam tuntutan ke atas Sabah. Susulan pencerobohan 9 Februari lalu, dalam kejadian jam 10 pagi semalam, dua anggota komando polis VAT 69 terkorban manakala 12 penceroboh bersenjata terbabit turut maut. Ia turut mencederakan tiga lagi anggota pasukan keselamatan Malaysia.
aSementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua yang dilapor mengaitkan insiden tembakan di Lahad Datu sebaai konspirasi terancang kerajan Umno untuk mengalih perhatian dan menakutkan rakyat, Hanif juga dilihat sebagai satu tuduhan yang sangat berat.
Hanif turut menggesa PDRM menyiasat secara rapi wakil rakyat itu. Laporan yang tersiar di laman berita rasmi PKR itu memetik Tian Chua sebagai berkata, pencerobohan di Lahad Datu itu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat, seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah. Hanif menambah, PDRM harus menyiasat kedua-dua tuduhan itu kerana ia telah menyebabkan 14 nyawa terkorban manakala tiga anggota polis lain tercedera. “Tadi saya turut bersama-sama menyambut ketibaan jenazah dua anggota komando VAT69 yang terkorban dalam pertempuran itu iaitu Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud di Airport Subang. “Saya sendiri berasa sangat sedih melihat anak dan isteri mereka yang terkorban kini menjadi anak-anak yatim dan balu dalam sekelip mata sahaja. Mereka menangis dalam pelukan. Semoga kerajaan menjaga kebajikan dan pelajaran anak-anak mereka ini,” katanya lagi – Sinar Harian

PERISIK FILIPINA DAKWA ANWAR DALANG

Perisikan Filipina mendakwa sekutu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi dalang yang menghasut kumpulan Kesultanan Sulu, kumpulan bersenjata dari selatan Filipina menceroboh Lahad Datu, Sabah dan berakhir dengan kematian apabila bertempur dengan pihak polis Malaysia hari ini. Kumpulan bersenjata itu diketuai oleh Raja Muda Azzimudie Kiram, adik kepada Sultan Sulu, Jamalul Kiram III didakwa terperdaya dengan janji sekutu Anwar yang menyokong pihak mereka dalam tuntutan ke atas Sabah. “Pegawai perisikan berkata seorang ahli politik pembangkang yang menjadi sekutu Anwar Ibrahim telah bertanding untuk jawatan di Sabah.. Ahli politik itu adalah salah seorang yang bercakap dengan Kiram. Beliau kononnya mewakili pembangkang menyokong Kiram untuk menuntut Sabah,” lapor Philippine Daily Inquirer hari ini. Sebelum ini, mymassa mendakwa Anwar telah mengutuskan wakilnya Tian Chua berjumpa dengan Nur Misuari, bekas pemimpin MNLF, kira-kira 4 bulan yang lepas. Menurut blog itu, Nur Misuari, adalah bekas Gabenor Mindanao yang dipecat oleh Kerajaan Filipina kerana penyelewengan kuasa dan rasuah.
“Semasa Nur Misuari menjadi Gabenor Mindanao, dan Anwar menjadi TPM dan Menteri Kewangan, Anwar telah memberi wang belanja yang sangat banyak kepada Nur Misuari sehingga integriti Nur Misuari tercemar. Nur Misuari mula lupa daratan, bersosial, berglamour dan akhirnya dipecat oleh Kerajaan Filipina,”lapor Mymassa dalam artikel bertajuk “Rundingan Anwar-Nur Misuari terbongkar.”
Blog itu turut mendakwa kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjayakan Keamanan Bangsa Moro di Selatan Filipina tidak mengembirakan Anwar, lalu beliau berjumpa dengan rakan baiknya, Nur Misuari untuk merancang sesuatu. Nur Misuari pula mempunyai dendamnya yang tersendiri terhadap MILF, badan Bangsa Moro yang kini paling berpengaruh pimpinan Murad Ibrahim. Kemunculan MILF menyebabkan MNLF pimpinan Nur Misuari tidak lagi relevan. Anwar bersama Nur Misuari Akhbar berpengaruh Filipina, The Philippine Star melaporkan Nur Misuari dan beberapa orang lagi pula berperanan sebagai ‘dalang’ telah mempengaruhi kesultanan Sulu untuk menuntut haknya di Sabah. Akhbar tersebut memetik sumber pejabat Presiden Filipina yang mengatakan selain Nur Misuari, turut terlibat dengan komplot tersebut adalah bekas penasihat keselamatan, Noberto Gonzales; bekas wakil rakyat Tarlac, Jose Cojuangco dan calon senator, Margarita Cojuangco. Akhirnya, pada 14 Febuari lalu sekumpulan individu asing mendakwa kerabat diraja Sultan Sulu bersenjata telah menceroboh Lahad Datu dan mengemukakan tuntutan mereka terhadap kerajaan Malaysia. Empat Pengawal Peribadi Anwar Dari Filipina Didedahkan..

PAK LAH BIDAS TIAN CHUA

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua sebagai tidak sensitif sehingga sanggup mempolitikkan tragedi. Katanya perbuatan Tian Chua mengaitkan insiden di Lahad Datu, Sabah sebagai konspirasi Umno, jelas menunjukkan pembangkang semakin terdesak sehingga mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal. "Ini semua 'rubbish' (mengarut) dan bohong, mereka ini nampaknya sudah tidak ada modal sehingga isu serius seperti ini pun hendak dijadikan modal politik. Memang mengarut dan tidak berasas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Futsal Komuniti 1Malaysia 2013, di sini Sabtu. Beliau mengulas laporan akhbar yang antara lain menyebut Tian Chua berkata kejadian pencerobohan di Lahad Datu itu adalah konspirasi kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat serta mengalih pandangan berhubung isu pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah. Semalam berlaku insiden tembak-menembak antara pasukan keselamatan negara dan kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo itu yang mengorbankan dua anggota komando polis VAT 69 dan mencederakan tiga lagi anggota pasukan keselamatan negara. Mengulas lanjut, Abdullah berkata beliau juga tidak faham dengan sikap pembangkang sekarang yang mengaitkan semua perkara dengan politik. "Berhentilah (mengeluarkan kenyataan mengarut), ini adalah isu serius dan insiden ini meragut nyawa dua anggota keselamatan negara," katanya. Abdullah turut meluahkan rasa sedih dengan kejadian itu dan mengucapkan takziah kepada balu kedua-dua anggota polis yang terkorban. Posted by topeng rakyat

ANWAR PENING DENGAN ANAK FADZIL NOOR

Kenyataan anak kepada mantan Presiden Pas, Ahmad Fauwaz Fadzil yang membangkitkan semula isu kerjasama antara Pas dan umno pasti membuatkan Anwar dan geng pimpinan di dalam pakatan pembangkang semakin pening kepala dan celaru. Dan sudah pasti, yang paling terkesan dengan kenyataan tersebut sudah pasti para pengikut dan penyokong Pas yang pernah sama-sama berjuang di bawah pimpinan allahyarham Datuk Fadzil Noor suatu ketika dahulu. Ini kerana rata-rata mereka begitu mengagumi keperibadian dan pendekatan yang pernah ditunjukkan oleh beliau terutama dalam bab kesederhanaan beliau terhadap pemerintah. Fauwaz yang juga merupakan seorang pendakwah ketika diwawancara oleh akhbar Mingguan Malaysia baru-baru ini menyatakan penyatuan tersebut untuk kepentingan Islam dan Melayu demi memegang amanah dalam menjaga negara ini. Beliau mengharapkan agar rakyat dan masyarakat melihat isu perpaduan ini sebagai ‘saya sebahagian daripada kamu dan kamu adalah sebahagian daripada saya’ atau mungkin lebih baik dan jelas, Pas adalah sebahagian daripada UMNO dan UMNO pula adalah sebahagian daripada Pas. Dan yang paling penting, dengan kenyataan tersebut beliau secara tidak langsung telah menolak kepimpinan Anwar dan sekaligus tidak mempercayai DAP dalam menjaga institusi Islam dan Melayu di negara ini. Ini kerana sekiranya beliau bersetuju dengan pendekatan Anwar dan DAP sudah pasti idea kerjasama antara Pas dan Umno tidak akan dibangkitkan. Ini kerana umum mengetahui Pas telah menerima PKR dan DAP sebagai sekutu politik bagi menentang Umno / Barisan Nasional. Antara isu yang dibangkitkan adalah mengenai isu pengunaan kalimah Allah dan pendekatan sesetengah pemimpin yang dilihat menyokong isu murtad sebagai strategi politik. Beliau secara jelas menolak pendekatan yang cuba diketengahkan oleh sesetengan pihak itu.
Fauwaz yang merupakan lulusan Al-Azhar di dalam jurusan Syariah, turut mengulas mengenai pendirian Pengerusi DAP, Karpal Singh yang dilihat begitu keras terhadap isu-isu yang berkaitan Islam. Beliau mengatakan ahli parlimen Bukit Gelugor itu sebagai seorang pemimpin yang ekstreem.
Menurut beliau ia menimbulkan masalah kerana mereka tidak mahu menerima pandangan yang berbeza selain tidak mengiktiraf pandangan agama-agama lain. “Saya melihat orang seperti Karpal ini mempunyai ilmu yang hebat tetapi bermasalah dari sudut dalaman” katanya. Walaupun apa yang dibangkitkan oleh Fauwaz ini adalah merupakan pandangan peribadi beliau, namun ketika ini sudah mula kedengaran rungutan di kalangan pimpinan Pas. Ini kerana mereka merasakan ia sedikit sebanyak akan memberikan kesan terhadap sokongan rakyat terhadap Pas. Tambahan pula isu perpaduan ini telah dibangkitkan oleh ramai pihak melihat perpecahan di antara Pas dan Umno hanya akan merugikan Islam dan Melayu secara keseluruhannya. Umno juga sebelum ini pernah beberapa kali menghulur salam perpaduan, namun ditolak mentah-mentah oleh Pas kerana sikap dendam kesumat dan ego. Nik Aziz selaku Mursyidul Am menolak gesaan tersebut di tambah dengan bantahan yang diterima dari golongan ‘anwarisme’ dan parasite di dalam Pas seperti yang didakwa oleh beberapa bekas pemimpin Pas. Ini kerana mereka melihat, Pas tidak ubah sebagai kuda tunggangan semata-mata yang dijadikan alat oleh DAP dan PKR.