Sabtu, 5 Jun 2010

6 lagi tahanan Isreal akan dibebaskan- TPM



Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata enam rakyat Malaysia yang kini dalam tahanan Israel selepas kapal ‘‘Rachel Corrie’’ yang dinaiki mereka ditawan rejim itu semalam, akan dibebaskan dan dibawa masuk ke Jordan pada pukul 6 petang hari ini waktu Malaysia.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Luar Jordan kepada Kedutaan Malaysia di Amman.

“Kedutaan kita di Amman sekarang sedang membuat segala persiapan yang perlu untuk membawa mereka pulang dengan selamat ke Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menyambut kepulangan 12 rakyat Malaysia termasuk dua warga media yang sebelum ini ditahan Israel selepas kapal ‘‘Mavi Marmara’’ yang dinaiki mereka untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza ditawan tentera rejim Zionis itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata usaha membawa pulang enam rakyat Negara termasuk dua lagi warga media sedang diusahakan oleh pihak Kedutaan Malaysia di Amman dan Kedutaan Thailand di Tel Aviv, Israel.

Enam rakyat Malaysia itu ialah wakil Perdana Global Peace Organisation (PGPO) Shamsul Akmar Musa Kamal, Ahmad Faisal Amuzu dan Mathias Chang, Anggota Parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria serta dua wakil media dari TV3, Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin.

Muhyiddin berkata beliau dimaklumkan penahanan kapal ‘‘Rachel Corrie’’ dan kesemua 19 penumpang serta krewnya oleh Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

“Mereka telah dibawa ke Pelabuhan Ashdod dan kesemua 19 penumpang dan krew kapal termasuk enam rakyat Malaysia bagaimanapun berada dalam keadaan selamat,” kata beliau.

Mengulas perkara berkaitan, Muhyiddin berkata kerajaan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan yang diperlukan untuk menjayakan sebarang misi kemanusiaan ke atas rakyat Palestin.

“Terserah kepada rakyat Malaysia, sekiranya mereka ingin membuat tindakan, ia sesuatu yang kerajaan tidak akan halang.

“Kita menyokong inisiatif dan nampak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengepalai misi yang baik ini. Kita akan sokong dan beri sokongan moral dalam menjayakan inisiatif seperti ini. Kita akan bantu dalam apa bentuk pun yang sewajarnya. Apa yang perlu kita lakukan, kita akan lakukan,” katanya. — Bernama

12 sukarelawan adalah wira negara- PM



Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengiktiraf 12 sukarelawan Malaysia, yang ditahan oleh rejim Zionis Israel ketika dalam perjalanan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin sebagai wira-wira negara.

Perdana Menteri berkata, walaupun tiada sukarelawan Malaysia yang terkorban, tetapi keberanian mereka melaksanakan misi kemanusiaan tersebut merupakan satu perkara yang harus diakui atas nama kebebasan rakyat Palestin.

Di peringkat kerajaan pula, beliau berkata, perjuangan untuk membela rakyat Palestin akan diteruskan termasuk berusaha mengenakan tekanan terhadap rejim Zionis itu. – Utusan

Peristiwa ngeri tidak patah semangat



Dua puluh lapan jam berada di dalam penjara Israel dan diasak dengan deraan mental oleh tentera Zionis tidak mematahkan semangat wartawan penyiaran Ashwad Ismail untuk terus berjuang membuka mata dunia mengenai kekejaman rejim itu.

Anak muda berusia 25 tahun dan bertugas di stesen berita Astro Awani itu berkata walaupun pengalaman yang ditempuhnya amat perit namun tanggungjawab sebagai penyalur maklumat khususnya mengenai kekejaman rejim tersebut tetap akan diteruskan.

"Misi kita belum selesai. Misi untuk tegakkan realiti masih belum dapat dilakukan. Hanya secebis sahaja konflik di Asia Barat yang dapat diketengahkan dalam misi ini," katanya kepada pemberita di Sepang hari ini.

Ashwad tiba di tanahair jam 5.45 pagi tadi bersama 11 lagi rakyat Malaysia selepas dibebaskan oleh Israel pada Rabu lepas, dua hari setelah kapal 'Mavi Marmara' yang dinaiki mereka untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza, diserang tentera rejim itu.

Ketibaan mereka dari Istanbul, Turki disambut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Walaupun kepenatan, pelukan sayang kaum keluarga yang sabar menunggu di kompleks itu jelas menceriakan mereka. Bacaan doa selamat, nyanyian nasyid dan laungan takbir daripada orang ramai yang menyambut ketibaan mereka menguatkan lagi semangat kumpulan itu.

Mengulas lanjut, Ashwad berkata walaupun secara fizikal mereka tidak diapa-apakan oleh tentera Israel, namun deraan mental adalah memeritkan.

"Israel memang pandai dengan deraan mental. Fizikal tidak diapa-apakan tetapi mental diasak dari pelbagai sudut. Kita di Malaysia jarang melawat penjara, tak pernah pun masuk penjara, tapi ini di Israel. Berada di situ sudah cukup terseksa, inikan pula menghadapi tindakan-tindakan kejam mereka," katanya.

Walaupun misi itu dianggap gagal dari satu aspek kerana tidak mencapai objektif untuk menghantar bekalan kepada penduduk Gaza, Ashwad berkata terdapat kejayaan lain di sebaliknya.

"Kejayaannya adalah sedikit sebanyak menjadi pencetus gelombang baru ke arah mengetepikan atau memulaukan Israel dalam lanskap geopolitik dunia. Sikap penjarahan dan dasar anti Islam mereka terhadap bumi Palestin sepanjang enam dekad nyata memberi kesan besar," katanya.

Selain itu insiden tersebut juga mencetuskan tekanan hebat daripada masyarakat antarabangsa ke atas rejim menyebabkan mereka terpaksa akur.

"Bukan sahaja dari Turki, tetapi pemimpin-pemimpin Yahudi di negara-negara Eropah turut mengecam kekejaman Israel. Kita dapat lihat kapal Rachel Corrie kini tidak dikenakan tindakan ganas walaupun situasi mereka sama seperti kami.

"Terdapat cubaan merampas kapal dan dibawa ke Pelabuhan Ashdod tetapi tiada pergelutan dan pertumpahan darah berlaku," katanya.

Bagi jurukamera Astro Awani yang turut serta dalam misi tersebut, Shamsul Kamal Abdul Latip, 43, pengalaman ketika berada dalam tahanan Israel adalah sangat memeritkan dan tidak pernah terjangkau di ingatannya akan melalui detik seperti itu.

"Kami terpaksa berjemur di tengah panas di atas kapal Israel selama 15 jam sebelum tiba ke Pelabuhan Ashdod. Pada masa itu nak minum pun susah...kawan-kawan cuba memberi minuman dalam keadaan tangan masing-masing terikat.

"Barang-barang pula seperti kamera dan peralatan lain turut dirampas. Kami ingat tak dapat balik tapi pejabat yang menguruskan barang rampasan kemudiannya memulangkannya semula kepada kami. Malangnya ada peralatan tersebut yang sudah rosak akibat dirampas dengan kasar oleh tentera Israel," katanya.

Ditanya sama ada dia akan mengikuti tugasan sedemikian pada masa akan datang, Shamsul berkata perkara itu akan hanya difikirkan selepas mendapat rehat yang cukup dan fikirannya kembali tenang.

- Bernama

Sukarelawan Malaysia selamat sampai ke tanah air



Dua belas sukarelawan Malaysia yang berada dalam kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusian ke Gaza ketika diserang tentera Israel pada Isnin lepas, tiba di tanah air pukul kira-kira 5.40 pagi ini.

Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini disambut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, para pegawai dari Wisma Putra dan anggota keluarga masing-masing.

Kumpulan sukarelawan itu yang turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman serta pegawai kementerian yang lain, tiba dari Istanbul, Turki dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS).

Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Jordan pada 11.20 pagi waktu tempatan (4.20 petang waktu Malaysia) pada Jumaat dan melakukan pertukaran penerbangan di Istanbul sebelum berlepas pulang ke tanah air Sabtu petang.

Dalam insiden Isnin lepas, kapal milik Turki "Mavi Marmara", yang membawa sukarelawan serta bantuan seperti perubatan, diserang tentera Israel menyebabkan sembilan sukarelawan terbunuh.

Bagaimanapun, kesemua sukarelawan negara di atas kapal tersebut selamat tetapi ditahan tentera Israel sebelum dibebaskan dan dibawa ke Amman, Jordan.

Sehubungan itu, Anifah dan beberapa pegawainya berlepas ke Amman Rabu lepas bagi menguruskan pembebasan 12 rakyat Malaysia tersebut.

Kumpulan sukarelawan itu dijadual bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di kediamannya kira-kira 9 pagi ini. BERNAMA

Rabu, 2 Jun 2010

Mangsa serangan Israel hubungi keluarga



Wartawan penyiaran Astro Awani Ashwad Ismail, 25, yang berada di atas kapal Mavi Marmara bersama 11 lagi rakyat Malaysia ketika diserang Israel, telah menelefon keluarganya pagi Rabu memaklumkan beliau selamat dan kini berada di Jordan.

Ibunya, Wan Marfuzah Wan Ismail, 53, berkata beliau sekeluarga bersyukur dengan perkembangan terkini anak tunggalnya itu dan berharap Ashwad dapat pulang dengan selamat.

"Kira-kira pukul 11.30 pagi, Ashwad menelefon saya sebanyak dua kali untuk memberitahu dia selamat dan dia turut bertanya khabar keadaan keluarga di sini.

"Sukar digambarkan perasaan saya selepas mendengar suara Ashwad yang memberitahu dia selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini Rabu.

Katanya beliau mengetahui tentang pembebasan anaknya itu kira-kira pukul 11 pagi ini melalui saluran berita Al-Jazeera.

Wan Marfuzah berkata beliau tidak dapat menggambarkan perasaannya sekeluarga selepas mengetahui Ashwad selamat dan hanya doa sahaja mengiringi anaknya untuk kembali ke Malaysia.

"Walaupun Ashwad selamat, tetapi saya sekeluarga tetap tidak akan putus berdoa dan melakukan solat hajat supaya dipermudahkan perjalanan pulang ke tanah air.

"Selagi saya tidak melihat sendiri wajah anak saya di depan mata, selagi itu hati saya tidak tenang," katanya.

Sementara itu, bapa Ashwad, Ismail Yaakob, 55, berkata beliau tidak akan menghalang anaknya meneruskan kerjaya sebagai wartawan berikutan pengalaman yang menakutkan itu kerana itu adalah minat Ashwad sejak dari kecil.

"Kami sekeluarga akan sentiasa menyokong cita-citanya dan berharap dia akan berjaya," katanya.

12 rakyat Malaysia selamat

Semua 12 rakyat Malaysia yang ditawan oleh tentera Israel semasa kapal Mavi Marmara diserang pagi Isnin lalu disahkan selamat.

Perkara itu disahkan oleh wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail, 26 yang menghubungi bilik beritanya di Kuala Lumpur, sebentar tadi.

"Alhamdulillah, kini kami selamat," katanya.

Ashwad adalah seorang daripada 12 rakyat Malaysia yang ditahan itu.

"Penderitaan rakyat Palestin selama enam dekad dapat saya rasakan sepanjang 28 jam berada dalam tahanan Israel.

"Saya dapat rasakan bagaimana derita penduduk Palestin semasa berada dalam tahanan," katanya ketika menceritakan mengenai layanan yang diterimanya ketika ditahan tentera Israel.

Menurut Ashwad, dia dan jurukamera, Samsul Kamal Abdul Latip, 43, kini berada di Jordan selepas dibebaskan daripada tahanan Israel dan menunggu untuk dibawa pulang ke tanah air.

Semua mereka kini berada di sempadan di Jordan sementara menunggu persiapan bagi membawa mereka pulang ke Malaysia

Kerajaan bentang usul mengecam Israel



Kerajaan akan membentangkan satu usul di Dewan Rakyat Isnin ini bagi mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel menyerang kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dua hari lalu.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, keputusan untuk pembentangan usul itu dibuat dalam mesyuarat kabinet hari ini.

Semalam, Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia akan mengusulkan agar pencabulan dan keganasan yang dilakukan oleh Israel itu dibawa ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Perdana Menteri juga mengarahkan Wisma Putra supaya menyelamatkan kesemua rakyat Malaysia itu.

Pagi ini, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berlepas ke Jordan untuk mengusahakan pembebasan 12 rakyat Malaysia yang ditahan ketika tentera Israel menyerang kapal yang mereka naiki bersama sukarelawan antarabangsa dalam perjalanan untuk menyerahkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza.

Seramai 12 rakyat Malaysia termasuk dua wartawan stesen televisyen Astro Awani berada dalam kapal Turki, “Mavi Marmara”, dan mereka dilaporkan selamat dalam serangan itu yang mengakibatkan beberapa sukarelawan terbunuh.

Israel, yang dikecam hebat oleh masyarakat antarabangsa dilaporkan berkata, ia akan mengusir keluar kesemua 682 sukarelawan dari 35 negara yang ditahannya dalam serangan itu.

- Bernama