Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau telah mengarahkan Kementerian Luar supaya menyelamatkan sukarelawan Malaysia yang berada di dalam kapal konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang diserang Israel semalam.
Katanya, memandangkan tidak ada komunikasi dengan pihak yang terlibat, maka Malaysia akan berusaha mendapatkan bantuan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan negara ketiga yang lain.
"Saya dah minta Wisma Putra berusaha menyelamatkan sukarelawan kita. Kita amat sukar mendapat maklumat...tidak ada komunikasi dengan pihak terlibat," katanya pada sidang akhbar pada hari Selasa.
Seramai 12 rakyat Malaysia, termasuk seorang wartawan dan seorang jurukamera Astro Awani, dilaporkan berada di atas kapal Turki iaitu Mavi Marmara yang diserang Israel.
Setakat ini, belum ada sebarang maklumat yang diterima berkaitan nasib kesemua rakyat Malaysia di dalam kapal yang diserang dan sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh.
Menurut laporan agensi berita asing, Israel telah menahan 480 aktivis pro-Palestin yang ditahan di dalam kapal itu dan akan mengusir 48 yang lain.
-- BERNAMA
Isnin, 31 Mei 2010
Makiman SUP Datuk Hishammudin

Bekas Anggota Parlimen Hulu Langat Datuk Markiman Kobiran pada Isnin mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Politik yang baru kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Markiman, 53, mengangkat sumpah menyimpan rahsia di hadapan Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat Perdana Menteri di sini dan disaksikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Beliau menggantikan Datuk Abdul Hamid Nazahar.
Markiman adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat dan bekas Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan.
Sekitar kekejaman Isreal terhadap misi kemanusiaan ke Gaza


PARTI POLITIK SATU SUARA TENTANG KEZALIMAN REJIM YAHUDI
Demi menentang keras kekejaman Isreal, pelbagai lapisan rakyat yang turut menganuti fahaman politik berbeza hari ini bersatu hati, berganding suara bagi melahirkan ketegasan mengutuk serangan tidak berkeperikamanusiaan rejim yahudi itu.
Pelbagai pertubuhan politik dan badan bukan kerajaan mula berkumpul di beberapa lokasi di ibu negara antaranyam, di kedutaan Amerika dan pejabat Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu bagi menyatakan pendirian keras itu.
Bagi parti politik pula, penentangan terhadap serangan itu, tidak berakhir di situ sahaja, malahan meraka juga dijangka akan menyerahkan usul kepada Parlimen agar mengadakan sidang khas ataupun sekurang-kurangnya usul khas mengecam tindakan zalim rejim Yahudi.
NGO Life Line for Gaza akan mengadakan perhimpunan awan dan menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) mendesak supaya kuasa besar itu bertindak terhadap rejim tersebut.
“Kami akan berkumpul di pekarangan Tabung Haji dan kemudian akan bergerak ke Kedutaan AS,” kata jurucakapnya Solehuddin Shuib.
Manakala Majlis Perundingan Melayu (MPM), juga dijangka akan turut sama mengadakan perhimpunan aman dan menyerahkan memoramdum bantahan.
Jurucakapnya, Datuk Ibrahim Ali menggesa rakyat pelbagai kaum agar turut sama-sama menyertai tindakan itu.
“Selain itu kami juga akan mengadakan solat hajat malam ini,” kata Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dan Presiden Perkasa.
Dalam pada itu, maklumat twitter menunjukkan Pemuda Barisan Nasional (BN) akan menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perwakilan PBB diJalan Dungun.
Mereka akan diketuai oleh Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin yang kemudiannya dijangka akan mengemukakan resolusi kepada Speaker Dewan Rakyat meminta isu itu dibahaskan di Parlimen Isnin depan.
Usul yang serupa dijangka akan dikemukakan oleh Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian yang akan menghantar usul berkenaan kepada Speakar pagi ini.
Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd. Akin Pemuda Pakatan Rakyat akan menggerakkan Inisiatif Rakyat Malaysia tengah hari ini bagi mengadakan perhimpunan aman dan menyerahkan memorandum kepada Kedutaan AS.
“Usaha kami ini akan disertai oleh parti-parti politik Pakatan Rakyat dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.
KUALA LUMPUR KUTUK KEZALIMAN ISREAL
Sementara itu, semalam Kuala Lumpur mengutuk dan menggesa Majlis Keselamatan PBB memberi teguran keras terhadap rejim itu.
Laporan Bernama menyebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia akan mengusulkan perkara tersebut kepada peringkat tertinggi Majlis Keselamatan PBB supaya perkara ini dibincangkan dalam masa terdekat.
“Saya atas nama kerajaan dan rakyat Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh rejim Tel Aviv terhadap konvoi yang membawa bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza,” katanya kepada wartawan selepas melancarkan Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia semalam.
Beliau juga berkata “seluruh dunia harus mengutuk dan mengecam tindakan rakus rejim itu.”
“Saya harap insiden ini akan membawa kepada satu tindakan yang boleh membawa kepada teguran keras terhadap Israel,” katanya.
Najib berkata serangan ini juga menunjukkan rejim Tel Aviv tidak menghormati langsung undang-undang antarabangsa dan menggunakan kuasa mereka sesuka hati tanpa sebarang pertimbangan sama ada tindakan mereka akan membawa kepada kehilangan nyawa orang-orang yang tidak berdosa.
Perdana Menteri berkata pada masa ini beliau juga sedang menunggu butir dan maklumat sahih mengenai nasib rakyat Malaysia yang turut serta dalam konvoi itu.
Salah sebuah daripada sembilan buah kapal kecil konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang dianjurkan oleh kumpulan pro-Palestin dan pertubuhan hak asasi manusia Turki iaitu Mavi Marmara telah diserang oleh tentera Israel semalam berdekatan Gaza.
Dua rakyat Malaysia, iaitu seorang wartawan dan seorang jurukamera dari Astro Awani, dilaporkan berada di atas kapal itu dan nasib mereka masih tidak diketahui.

12 RAKYAT MALAYSIA BERADA Di KAPAL MAVI MARMARA
Dua belas rakyat Malaysia disahkan berada di kapal Mavi Marmara - kapal utama flotila enam kapal yang ditugaskan menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang diserbu dan diserang oleh tentera rejim Israel.
Mereka termasuk dua wartawan sebuah televisyen berbayar di Malaysia.
Mereka adalah sebahagian daripada misi 11 anggota yang dinamakan Lifeline4Gaza, yang mengambil bahagian dalam 'Flotila Kebebasan' bagi membawa bantuan kemanusiaan ke Semenajung Gaza.
Adalah dipercayai Lifeline bukan badan kemanusian tunggal dari Malaysia yang terbabit, kerana ada beberapa kumpulan yang bergerak secara berasingan dengan kapal yang lain.
Jurucakap Lifeline4Gaza, Dr Hafidzi Mohd Noor berkata sembilan daripada mereka adalah sukarelawan dari enam NGO dari Malaysia.
Mereka termasuk Haluan, Aqsa Syarif, Yayasan Amal, Muslim Care, Palestine Centre of Excellence (Pace) dan Jemaah Islamiah Malaysia (JIM).
Dr Hafidzi berkata dia gagal menghubungi kumpulannya itu apabila serangan bermula dan mereka belum dapat mengenal-pasti identiti ke-12 rakyat Malaysia berkenaan.
Sementara itu, menurut ADUN Meri, Dr Abd Rani Osman ang kini di Instanbul juga mengesahkan penahanan rakyat Malaysia itu.
Dr Abd Rani melalui SMS kepada Malaysiakini juga memberitahu bahawa sekurang-kurangnya 16 aktivis pro-Palestin dibunuh, manakala puluhan lagi cedera dalam serangan itu.
Kapal Mavi Marmara yang dimiliki Turki itu kini dilaporkan dibawa ke Haifa, manakala semua penumpangnya akan dipenjarakan.
Dua wartawan Astro Awani itu dikenalpasti sebagai Ashwad Ismail dan jurugambar dan Samsul Kamal Abdul Latip. Usaha Malaysiakini menghubungi Ashwad setakat ini tidak berhasil.
Manakala dalam laman Twitter-nya, Ashwad hanya mengemaskinikan statusnya kira-kira 14 jam lalu.
LIGA ARAB PANGGIL MESYUARAT TERGEMPAR
Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa, memanggil mesyuarat tergempar bagi membincangkan tindakan perkumpulan 22 negara Arab terhadap apa yang disifatkan "tindakan keganasan" Israel terhadap kapal misi bantuan antarabangsa ke Gaza.
"Setiausaha Agung Liga Arab sudah memanggil mesyuarat tergempar peringkat wakil bagi membincangkan jenayah kejam tentera Israel terhadap orang awam tidak bersenjata yang menyebabkan ramai terbunuh dan cedera.
"Liga Arab mengutuk tindakan keganasan itu," menurut kenyataan pertubuhan itu yang dipetik oleh Reuters.
Sementara itu, AFP pula melaporkan Hamas hari ini menyeru rakyat Arab dan umat Islam supaya 'berhimpun' di kedutaan-kedutaan Israel di seluruh dunia bagi membantah serangan maut rejim itu terhadap kapal-kapal yang membawa bekalan bantuan ke Semenanjung Gaza.
“Ka
mi menyeru semua rakyat Arab dan umat Islam supaya berkumpul di kedutaan-kedutaan rejim Zionis itu di seluruh dunia,” kata jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri sambil menggunakan perkataan Arab 'intifada'.
Perdana Menteri Hamas Ismail Haniya di Gaza mengecam 'serangan' berkenaan dan turut meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melindungi aktivis yang mengikuti misi penghantaran bekalan bantuan itu.
"Mavi Marmara on alert. Semua berada pada tahap tertinggi. Dua pesawat pemantau Drone dipercayai milik Israel kelihatan
MPM MAHU SIDANG KHAS PARLIMEN
Majlis Perundingan Melayu (MPM) menggesa kerajaan memanggil sidang khas Parlimen bagi membincangkan tindakan ketenteraan terbaru Israel hari ini, yang menyerang konvoi misi kemanusiaan menyebabkan hampir 16 orang terbunuh.
Ibrahim mahu isu serangan Israel sebagai usul pertama untuk dibincangkan di Parliamen.
Dalam pada itu, DAP pula menggesa persidangan khas melibatkan pelbagai pihak diadakan dengan segera bagi membincangkan tindakan Israel yang disifatkan sebagai zalim.
Mengulas lanjut pendirian mereka, Datuk Ibrahim Ali berkata, sekiranya tidak dapat mengadakan sidang khas, MPM mahu sidang Parlimen yang bermula Isnin ini menjadikan isu serangan Israel hari ini sebagai usul pertama untuk dibincangkan.
Permintaan itu juga dikemukakan oleh PAS hari ini.
“Saya sebagai Ahli Parlimen Bebas boleh membawa usul ini, tetapi biar kerajaan yang membawa usul ini, dan saya mahu ia dijadikan sebagai usul pertama sidang Parlimen kali ini,” kata Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar MPM di sini hari ini.
Sudah sampai masa untuk samy pergi- Tun M

"Samy sudah sampai masanya untuk pergi," kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan menambah "dalam kepimpinan saya, hampir setiap orang telah bersara, termasuk diri saya".
"(Yang) tinggal (hanya) dia (Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu) seorang sahaja," katanya kepada pemberita selepas menonton teater "Mulan & Mushu" karya Robert D San Sousi yang diolah semula oleh Sheery Mariam dan diarah oleh Ow Yeong Soon Ling pada festival Akademi Seni Budaya Dan warisan Kebangsaan (Aswara) di sini malam Isnin.
Dr Mahathir berkata sudah tiba masanya Samy Vellu melepaskan jawatan yang dipegangnya lebih tiga dekad itu bagi memberikan peluang kepada calon lain.
Beliau berkata Samy Vellu telah mencatat rekod bersejarah dengan memegang jawatan presiden sebuah parti politik di negara ini yang paling lama.
"Bila dia pegang jawatan terlalu lama, sudah tentu orang tidak mahu dia," katanya.
Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita mengenai krisis MIC sekarang terutama mengenai langkah terbaru Samy Vellu memecat setiausaha agung parti S. Murgussan semalam.
-- BERNAMA
Jumaat, 28 Mei 2010
S Vell Paari mohon maaf

Anggota Jawatankuasa Pusat MIC (CWC), S. Vell Paari hari ini memohon maaf atas dakwaan beliau bahawa UMNO mengupah 'pembunuhan politik' dan di belakang Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) untuk menyingkirkan Datuk Seri S. Samy Vellu sebagai presiden parti itu.
Vell Paari berkata, adalah jelas bahawa UMNO tidak terbabit dalam mana-mana cara dengan pergerakan GAS memandangkan perkembangan yang berlaku, baru-baru ini.
"Dan ramai pemimpin UMNO telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak menggalakkan atau bekerja dengan V. Mugilan (bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC) dalam sebarang cara pun.
"Dengan itu, saya ingin memohon maaf kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan UMNO mengenai kenyataan awal saya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam kenyataan ringkas itu, Vell Paari menyifatkan kenyataan kontroversinya yang diutarakan kerana beliau merasakan adalah tugas beliau untuk membela ayahnya, Samy Vellu.
"Malahan, saya juga bertindak kerana Mugilan dan bekas anggota CWC, G. Kumar Aamaan telah mengulangi secara terbuka mengaitkan nama UMNO ke dalam kenyataan dan tindakan mereka baru-baru ini," kata beliau.
Vell Paari telah mendakwa bahawa UMNO menggunakan 'pembunuhan politik' untuk mengasingkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam temu bual dengan laman web Free Malaysia Today pada Isnin lepas.
"Saya juga telah menjelaskan kedudukan saya kepada Perdana Menteri awal hari ini.
"Maju ke hadapan, saya harap kita boleh melupakan ini semua dan bekerjasama seperti yang kita sering ada dalam keluarga Barisan Nasional," kata beliau.
Rabu, 26 Mei 2010
10,000 Orang Dijangka Hadir Perhimpunan Anti-Samy

Seramai 10,000 orang dijangka menghadiri pelancaran Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Ahad ini, melebihi jangkaan awal 7,000 orang, dakwa bekas timbalan ketua Pemuda MIC V Mugilan.
"Pada hari itu, saya kata 7,000 orang tetapi sekarang angka itu telah meningkat kepada 10,000 orang kerana kami sedang mendapatkan sokongan daripada pelbagai pihak," Mugilan berkata pada sidang akhbar di sebuah restoran India di sini Rabu.
Mereka yang dijangka datang termasuk anggota MIC, pemegang saham Maika dan kaum India yang bukan anggota MIC.
Mugilan juga berkata beliau sendiri yang telah menempah Dewan Merdeka di PWTC untuk perhimpunan pada Isnin lepas dan bukan Umno seperti yang didakwa oleh ketua Pemuda MIC T Mohan semalam.
Oleh kerana dewan tersebut boleh menempatkan kira-kira 5,000 orang, beberapa layar besar akan dipasang di luar dewan untuk yang lain mengikuti perhimpunan itu.
Mugilan, yang dipecat oleh presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu Khamis lepas, mendesak presiden MIC itu berundur Julai ini.
"Pada mulanya, saya mendesak beliau untuk berundur akhir tahun ini tapi sekarang saya telah menukar strategi dan membuat keputusan untuk mendesak beliau berundur pada bulan Julai ini," kata Mugilan.
Katanya, keputusan terbaru itu diambil selepas mendapati sokongan untuk mendesak Samy Vellu adalah "terlalu kuat dan sentimen anti-Samy Vellu ini bagus".
Mugilan berkata beliau akan mengumumkan satu pelan pada pelancaran itu untuk mendesak Samy Vellu berundur lebih awal.
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah bekas anggota jawatankuasa kerja pusat K.P.Samy dan G.Kumar Aamaan yang juga dipecat Samy Vellu pada Isnin lepas.
Ditanya jika perhimpunan itu gagal mendesak Samy Vellu membut demikian, Mugilan berkata: "Kami akan memberitahu media bahawa Samy Vellu adalah pemimpin terbaik. Kami akan duduk diam dan menyerah."
Mugilan juga menunjukkan resit penempahan Dewan Merdeka dengan bayaran awal RM5,000 bertarikh 24 Mei.
"Resit penempahan dewan itu atas nama saya, kita telah membuat bayaran awal RM5,000 pada 24 Mei. Saya telah berjumpa dengan orang PWTC pada hari Isnin dan telah menempah sebagai orang biasa," katanya sambil menafikan tuduhan Mohan.
Katanya, resit tersebut telah diserahkan di Balai Polis Dang Wangi bagi memohon permit dari polis untuk mengadakan perhimpunan ituyang belum diterima lagi.BERNAMA
Berdosakah Saya Sebagai Siam Malaysia?"

Berdosakah Saya Sebagai Siam Malaysia?"
BERJAYA DALAM DUKA... (Dari kiri) Syalit Keowmani Eh Sau, Phisnukh Uttraphan Pim, Elicesa Lalitta Ea Chuan, Maleewan Perashot, Sukeht Thavil dan Vicsofee Sukahut Som mendengar penerangan daripada Boon Som Inong (kanan) mengenai kegagalan mereka meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi walaupun mendapat keputusan cemerlang dalam SPM di Wat Siam Telok Wan Jah, Alor Setar, baru-baru ini.
Bekas almarhum Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman ialah seorang berketurunan Siam.
Masyarakat Siam di Malaysia dianggarkan kira-kira 60,000 orang. Kehidupan mereka tertumpu di beberapa negeri utara, iaitu negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand - tanah asal mereka.
Kira-kira 2,000 (bancian 2008) berada di Perak, 6,000 (2008) di Perlis, 30,000 (2007) berada di Kedah dan 13,000 (2008) berada di Kelantan. Menurut ensiklopedia Wikipedia, secara politiknya masyarakat Siam Malaysia dikenali dengan status bumiputera, iaitu status yang sama dengan Melayu, Kadazan-Dusun, Iban dan masyarakat Portugis Melaka.
Mereka juga adalah ahli UMNO dan boleh membuat simpanan dalam saham amanah, ASB dan ASN.
Menurut ensiklopedia itu lagi, kebanyakan masyarakat itu mengamalkan cara hidup Melayu. Ini dibuktikan dalam masyarakat Siam Kelantan. Tiada siapa yang boleh meneka Melayu atau Siam jika mereka bercakap Melayu.
Kitaran masyarakat mereka sedang berkembang, dari segi intelektual dan taraf hidup. Mereka ini dikenali sebagai kumpulan yang amat menyokong kerajaan BN dan penyokong kuat UMNO. Mereka boleh menjadi penentu pada sesuatu pilihan raya dalam kawasan yang kosentrasi besar masyarakat itu.
Namun apa yang saya temui mengenai masyarakat ini baru-baru ini amat mengejutkan. Apakah mereka ini tercicir? Apakah mereka ini tidak dipedulikan? Apakah anak-anak mereka yang cerdik dan pandai disisihkan?
Persoalan ini bermain di fikiran saya. Boon Som a/l Inong, rakan saya yang juga bekas wartawan agensi berita asing dan bekas setiausaha akhbar dua Menteri Besar Kedah dan menteri Kabinet, seorang aktivis masyarakat Siam, membawa saya menyelami masyarakat beliau itu.
Sayu saya melihat wajah-wajah anak- anak Siam yang cerdik pandai ini tercicir. Mereka ini adalah aset dan modal insan yang berharga bagi masyarakat itu, khasnya dan negara amnya.
Kanak-kanak ini yang amat bangga menjadi sebahagian rakyat Malaysia, belajar dalam sistem pendidikan negara. Di mana mereka ini sekarang selepas peperiksaan SPM baru-baru ini? Di masa kanak-kanak sebaya mereka bergembira dapat menjejaki ke pusat pengajian tinggi atau ke pusat- pusat matrikulasi, ke mana kanak-kanak Siam ini berada?
Sila lihat senario ini. Ia berlaku dalam negara kita ini dan dalam masyakat kita ini.
1. Vicsofee Sukahut a/p Som 921216-02-5300, SPM 2009 ( 8A 1B), SMK Bandar Baru Darul Aman - tercicir.
2. Sukeht a/p Thavil 920831- 02-5412, SPM 2009 (10A), MRSM Kubang Pasu - tercicir.
3. Maneewan a/p Perashot 920212- 02-5712, SPM 2009 (9A1B), Sekolah Menengah Sains Mohd. Jiwa, Sungai Petani - tercicir.
4. Elicesa Lalitta a/p Ea Chuan 921005-03-5146, SPM2009 (6A2B3C) SMK Tumpat, Kelantan - tercicir.
5. Syalit Keowmani a/l Eh Sau 920210-02-5727, SPM2009 (7a, 2b) SM Sains Pokok Sena, Kedah - tercicir.
Turut tercicir dan gagal mendapat sebarang tempat ialah:
Phisnukh Uttraphan a/l Pim, 900904-03-5146 memperoleh keputusan 11A SPM 2007, antara pelajar paling cemerlang Maktab Sultan Ismail Kota Bharu.
Menurut bapa Phisnukh, Pim, 57, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Siam Kelantan, kegagalan itu telah menyebabkan anaknya hilang semangat untuk belajar. Beliau terpaksa pindahkan anaknya ke sekolah lain ke Tingkatan 6, kerana Phisnukh malu untuk menghadapi rakan sekolahnya.
Pim dari Kampung Terbak Kelantan berkata, pada pemerhatian beliau tiada seorang pun masyarakat Siam Malaysia yang mendapat keputusan cemerlang Peperiksaan SPM 2009 berjaya ke pusat-pusat matrikulasi atau ke IPTA.
''Kami masyarakat keturunan Siam, yang rata-rata ahli UMNO dan layak melabur dalam ASB dan dianggap bumiputera memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan persepsi negatif tentang dasar meritrokrasi dan 1Malaysia.
''Ini kerana pelajar dan ibu bapa masyarakat Siam mengetahui bahawa rakan pelajar bumiputera setingkatan dengan mereka yang mendapat keputusan kurang daripada 5A mendapat pelbagai tawaran sama ada ke program matrikulasi, IPTA atau program Asasi Sains.
''Sebagai kaum yang memiliki taraf ekonomi dan taraf pendidikan yang masih rendah (rata-rata terdiri daripada petani dan penoreh getah) saya memohon pihak kerajaan mempertimbangkan atau memberi kelonggaran bagi pelajar keturunan Siam untuk melanjutkan pelajaran mereka dalam institusi kerajaan.
Dengar suara Perashot a/l Pom, 54, pula. ''Saya amat kecewa kerana anak saya Maleewan mendapat kelulusan 9A gagal ke kursus matrikulasi dan IPTA.
''Saya tidak mampu lagi menghantar anak saya ke IPTS memandangkan pendapatan saya agak rendah dan menanggung seorang lagi kakaknya yang masih belajar di tahun kedua IPTS," kata juruteknik dari Air Hitam, Kedah ini.
Walaupun anaknya gagal. Perashot masih menaruh harapan. ''Pihak berwajib tolong semak sama ada mereka terlepas pandang. Harap masalah anak saya mendapat perhatian Kementerian Pelajaran Malaysia untuk masa depan adik-adiknya kemudian.
''Anak saya belajar bersungguh- sungguh harap kerajaan tidak mensia-siakan harapannya dan cita-cita untuk menjadi seorang doktor," katanya.
Dengar pula suara Vicsofee Sukahut a/p Som, 18, dari Kampung Huma, Jalan Wang Tepus, Jitra, Kedah. Beliau mendapat 8A1B.
''Saya tidak tahu apa yang perlu saya sebutkan lagi, semuanya gagal, terserah kepada Kementerian Pelajaran Malaysia mempertimbangkan permohonan saya.
''Bukan irihati dan berhasrat dengki kepada sesiapa tetapi rakan saya yang mendapat keputusan yang kurang cemerlang daripada saya hampir semuanya mendapat tempat di matrikulasi dan IPTA.
''Kadang-kadang saya tertanya apakah dosa saya dilahirkan sebagai rakyat berketurunan Siam di Malaysia. Kami sentiasa mendokong dasar kerajaan, penyokong setia kerajaan BN tetapi dalam pendidikan kami dipinggirkan malah boleh dianggap dianaktirikan.
''Saya berharap kerajaan mengambil tindakan segera bagi membetulkan keadaan dan menggubalkan kembali dasar pengambilan masyarakat Siam di matrikulasi dan IPTA. Kecemerlangan sepatutnya dihadiahkan imbuhan bukannya kekecewaan," kata bekas pelajar SMK Bandar Baru Darul Aman, Jitra ini.
Saya tergamam mendengar kata- kata gadis manis Vicsofee ini.
Saya juga tiada daya untuk membantunya dan rakan-rakan senasibnya yang cemerlang itu.
Kita serahkan kepada kebijaksanaan kerajaan - Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran Malaysia dan IPTA yang bersimpati untuk menyelamatkan potensi kanak-kanak itu. - Utusan Malaysia
Langgan:
Ulasan (Atom)