Jumaat, 21 November 2014

BN perlu kekal pendekatan sederhana-Adenan Satim

Pendekatan sederhana serta persefahaman antara semua parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu dikekalkan kerana ia adalah faktor utama BN terus berjaya mentadbir negara sejak merdeka, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem. Beliau berkata ini berikutan sejak kebelakangan ini ada gerakan ekstrem yang boleh mengganggu perpaduan yang dilihat kurang sesuai dengan masyarakat pelbagai kaum, budaya dan agama di negara ini. "Sebagai orang lama, saya berpandangan bahawa ada bahayanya dalam fanatisme, dan ekstremisme di kedua-dua pihak dan ada kalanya kesederhanaan terperangkap di tengah-tengah. "BN atau sebelum ini Perikatan berjaya memerintah negara disebabkan kita mengambil pendekatan sederhana, bukan pendekatan ekstremisme. Inilah yang menyelamatkan kita selama bertahun-tahun. "Saya tidak gemar orang menggunakan perkataan 'pendatang' ka apa ka. Kami tidak bercakap begitu di Sarawak, kita semua rakyat Malaysia," katanya ketika berucap pada Program Pemukiman Pemuda BN Malaysia 2014, di sini pada Jumaat. Turut hadir Pengerusi Pemuda BN Malaysia Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Pemuda BN Sarawak Datuk Seri Fadillah Yusof. Program dihadiri 350 anggota pergerakan itu daripada 13 parti komponen BN dan wakil daripada tiga pertubuhan bukan kerajaan, diadakan di sini bermula hari ini sehingga 23 Nov. Justeru, Adenan berkata menjadi tanggungjawab mereka yang mengambil pendekatan sederhana untuk menyuarakan apa yang dirasakan tidak benar. "Kita adalah majoriti... majoriti tidak boleh berdiam diri tetapi ada kalanya begitu la orang kita, diam saja," katanya. Sementara itu, Khairy mahukan semua anggota Pemuda BN Malaysia mula mendekati pengundi-pengundi muda kerana mereka adalah penentu masa depan negara. "Itu tanggungjawab Pemuda BN untuk pastikan mereka (pengundi muda) didampingi dan diyakini. Kita kena yakinkan anak-anak muda ini BN adalah parti terbaik kepada negara," katanya. Khairy berkata selain itu kepelbagaian dalam BN yang mempunyai 13 parti komponen, merupakan antara asas kepada kejayaan yang dikecapi selama ini. "Kita berjaya menguruskan 13 parti dengan begitu baik. Parti lawan kita hanya ada tiga tetapi dah nak hancur. "Kita kena pastikan kepelbagaian ini menjadi aset, kejayaan BN selama ini adalah kerana dapat mewakili dan membawa harapan seluruh rakyat Malaysia (menerusi 13 parti komponen) dan harapan itu mudah-mudahan dapat dijayakan dalam program pemukiman ini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan