Khamis, 13 November 2014

Isu Mak Nyah; Hadi beri amaran kepada ahli PAS

Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran kepada ahli PAS supaya tidak melanggar dasar dan peraturan parti berhubung isu lelaki berpakaian seperti wanita dan sebaliknya, termasuk berkaitan golongan Mak Nyah. Mereka yang mengambil pendirian bertentangan pendirian parti akan dibawa kepada Jawatankuasa Disiplin, kata Presiden PAS itu dalam satu temu bual dengan akhbar Harakah. "PAS ada dasar. Saya beri peringatan kepada ahli PAS. Jangan terlajak lebih daripada dasar parti. Kalau terlajak, kita tidak teragak-agak membawa kepada Jawatankuasa Disiplin. Itu saya tegaskan," kata Hadi dipetik daripada Harakah. Beliau juga mengingatkan pemimpin PAS turut menjalankan tanggungjawab sewajarnya dalam mengatasi masalah berkaitan Mak Nyah selain mendakwa kerajaan pusat tidak bersungguh-sungguh memainkan peranan mengatasi keadaan tersebut. "Bukan kerajaan saja. Kita sendiri pun, termasuklah orang PAS sendiri. Saya tahu, di kalangan orang PAS pun ada yang ikut juga. Itu tidak boleh. "Saya terang-terang kena sebut juga, PAS ada Jawatankuasa Disiplin. Kalau ada orang PAS yang terikut-ikut, saya tidak teragak-agak bawa ke Jawatankuasa Disiplin," katanya mengulangi amarannya seperti dilaporkan akhbar rasmi parti itu. Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 November lalu yang mengatakan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah di Negeri Sembilan tidak berperlembagaan dalam melarang tiga lelaki Islam berpakaian dan berlagak seperti wanita. Hadi berkata, percanggahan itu tidak sepatutnya terjadi kerana hukumnya sudah jelas dinyatakan di dalam Al-Quran. Katanya, isu itu seharusnya dirujuk kepada Majlis Fatwa sama ada di peringkat kebangsaan atau negeri. "Perkara ini sudah jelas dalam Al-Quran dan hadis Nabi. Diharamkan perlakuan orang lelaki tukar kepada perempuan, perempuan kepada lelaki. Itu diharamkan. Sudah nyata benda itu. "Jadi, oleh kerana Islam sebagai agama persekutuan, sepatutnya perkara ini dirujuk kepada Majlis Fatwa (sama ada) kebangsaan (dan) negeri masing-masing," katanya. Ahad lalu, Dewan Ulama PAS Pusat membidas keputusan Mahkamah Rayuan itu, menyifatkannya mencabar undang-undang Islam dan tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan. Ketua Penerangannya Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kedudukan undang-undang Islam yang diiktiraf Perlembagaan kini tercabar disebabkan keputusan sebulat suara mahkamah tersebut. Beliau berkata, keputusan tersebut menimbulkan keraguan terhadap sejauh mana kedudukan Islam di negara ini terpelihara dan berdaulat sedangkan Perkara 3 Perlembagaan menegaskan Islam sebagai agama persekutuan. Khairuddin juga menolak keputusan itu kerana katanya, Islam yang diiktiraf sebagai agama rasmi Malaysia tidak wajar dilihat daripada sudut kaca mata penjajah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan