Jumaat, 7 November 2014

Mahkamah tangguh keputusan rayuan kes liwat Anwar

Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung sabitan bagi kesalahan meliwat dan hukuman penjara lima tahun ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai panel lima hakim, berkata mereka memerlukan lebih banyak masa untuk membuat keputusan. Beliau turut melanjutkan tempoh ikat jamin Anwar sebanyak RM10,000 sementara menunggu keputusan mahkamah tertinggi itu. Pendengaran rayuan berlangsung selama lapan hari bermula 28 Okt. Empat lagi hakim yang bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali. Mahkamah Persekutuan akan memutuskan sama ada membenarkan atau menolak rayuan Anwar untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lepas selepas ia membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan ketua pembangkang itu. Jika Anwar gagal dalam rayuannya, beliau akan lucut kelayakan sebagai anggota Parlimen (MP) kawasan Permatang Pauh kerana Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang MP akan lucut kelayakan sekiranya dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000. Pendakwaan turut memfailkan rayuan balas untuk menambah tempoh hukuman penjara. Bagaimanapun, perkara itu hanya akan didengar jika Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan. Pendengaran rayuan itu, yang pada awalnya ditetapkan dua hari mulai 28 Okt, berlarutan selama lapan hari berikutan pihak pembelaan dan pendakwaan mengemukakan hujah panjang lebar serta banyak rujukan kes undang-undang. Terdahulu, Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan yang mengetuai pasukan 15 peguam mewakili Anwar, menggulung hujah pihak pembelaan. Peguam lain ialah Ramkarpal Singh Deo, Sangeet Kaur Deo, Gobind Singh Deo, N.Surendran, R.Sivarasa, J.Leela, Latheefa Koya, Lim Choon Khim, Eric Paulsen, Michelle Yesudas, Shahid Adli Kamaruddin, Zaleha Al-Hayat, Jeremy Vinesh Anthony dan Mohamed Aliff Bolkin. Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan itu dan beliau dibantu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria. Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008. Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan. Pihak pembelaan berusaha membebaskan ketua pembangkang itu daripada sabitan bagi kesalahan meliwat manakala pendakwaan meminta mahkamah menolak rayuan Anwar untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya. Pada 9 Jan 2012, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari atas alasan ia tidak pasti 100 peratus berkaitan integriti sampel yang diambil bagi ujian DNA membabitkan individu yang didakwa menjadi mangsa. Mahkamah itu memutuskan sampel berkenaan mungkin telah diusik sebelum dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. Bagaimanapun, ketika mensabitkan Anwar dengan kesalahan meliwat itu, Mahkamah Rayuan berpendapat hakim perbicaraan terkhilaf dalam dapatannya berkaitan sampel berkenaan, yang dibuat berdasarkan keterangan dua saksi pakar pembelaan. Ini kes liwat kedua melibatkan Anwar. Dalam kes pertama, beliau didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa di sini pada 1994 dan dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2000. Mahkamah Tinggi memerintahkan Anwar menjalani hukuman itu selepas beliau selesai menjalani hukuman penjara enam tahun kerana kesalahan rasuah. Beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan rasuah pada 4 April 1999. Bagaimanapun, setelah meringkuk hampir enam tahun dalam penjara kerana rasuah, beliau dibebaskan pada 2 Sept 2004 apabila Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad (kemudian menjadi Ketua Hakim Negara)) mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap Anwar bagi pertuduhan meliwat Azizan dalam keputusan majoriti 2-1. Abdul Hamid dan Hakim Tengku Baharudin Shah Tengku Mahmud membuat keputusan yang memihak kepada Anwar manakala Hakim Datin Paduka Rahman Hussein sebaliknya. Bagaimanapun, Abdul Hamid yang menulis penghakiman majoriti itu berkata para hakim berkenaan mendapati Anwar dan seorang lagi tertuduh yang juga adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja 'terlibat dengan kegiatan homoseksual', oleh itu, mereka terdorong untuk mempercayai bahawa perbuatan liwat yang didakwa itu memang berlaku.BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan