Khamis, 6 November 2014

Kenyataan Anwar bagai menyerang integriti mahkamah- Shafie Abdullah

Pihak pendakwaan pada Khamis mengadu kepada Mahkamah Persekutuan bahawa kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada media dalam talian menyerang integriti Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan akhir penasihat PKR itu terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat. Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pendakwaan berkata Peguam Negara (AG) Tan Sri Abdul Gani Patail, sebagai penjaga kepentingan awam dan pegawai kanan mahkamah, mahu perilaku Anwar dalam 'mencemuh' Mahkamah Persekutuan direkodkan. "Mungkin kenyataan paling memalukan yang pernah diucapkannya ialah apabila beliau berkata mahkamah adalah alat kerajaan dan tidak bebas," kata beliau ketika merujuk kepada satu artikel berjudul 'Go back to law school, Anwar tells Shafee.' Peguam kanan itu yang bertindak sebagai pendakwa raya berkata pihak pendakwaan tidak membangkitkan perkara itu untuk mengganggu prosiding rayuan tetapi untuk memberi ruang kepada Anwar menjelaskan sendiri kenyataannya itu atau memohon maaf kepada mahkamah. Pada ketika ini, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pembelaan, mencelah dengan meminta barisan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mempertimbangkan sama ada terdapat keperluan bagi pihak pembelaan untuk menangani isu itu. Bagaimanapun, Hakim Arifin yang berkata mahkamah mengambil perhatian terhadap aduan itu, mengarahkan peguam Ramkarpal Singh untuk memulakan penghujahannya bagi membalas hujah Muhammad Shafee pada prosiding rayuan kes liwat. Muhammad Shafee kemudiannya memberitahu pemberita bahawa Peguam Negara telah mengarahkan beliau untuk membangkitkan perkara itu selepas Anwar menuduh mahkamah sebagai berat sebelah dan bekerjasama dengan kerajaan. "Kami membangkitkan perkara ini terutama untuk menghalang beliau daripada terus membuat kenyataan dan juga untuk mempertahankan integriti badan kehakiman negara," kata beliau. Ketika ditanya mengenai kemungkinan prosiding menghina mahkamah diambil terhadap Anwar, beliau berkata Peguam Negara belum memutuskan mengenai perkara itu, tetapi kemungkinan besar akan berbuat demikian apabila mahkamah menyampaikan penghakimannya berhubung dengan rayuan utama. Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008. Tuduhan, mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan