Sabtu, 12 Julai 2014

Kerajaan Pusat komited bantu Sabah

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Kerajaan Pusat amat komited untuk menambah sumbangan kepada Sabah melalui kaedah yang difikirkan sesuai tanpa menjejaskan pembangunan industri minyak di negeri ini. Sebagai langkah serta merta, beliau mengumumkan bahawa Petronas bersetuju menambah sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) kepada Sabah terutama dalam bidang pendidikan termasuk menyediakan kemudahan sekolah luar bandar, penyediaan latihan kemahiran teknikal serta bantuan biasiswa kepada pelajar universiti. "Kalau kita nak berjaya secara berterusan, kita mesti ada keupayaan. Soalnya bukan untuk mendapatkan kontrak kerajaan semata-mata. Ia bukan tentang memberi kontrak tetapi tentang memberi nilai. "Dalam persaingan ekonomi hari ini, nilai kreatif menentukan kejayaan kita secara berterusan. Kita akan menambahkan keupayaan rakyat Sabah," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di sini malam Sabtu. Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman. Najib berkata hubungan erat kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Sabah selain sumbangan Sabah bagi membolehkan Barisan Nasional (BN) menang pada setiap pilihan raya memudahkan kedua-dua pihak membincangkan isu-isu berbangkit termasuk tuntutan tambahan royalti minyak. Beliau berkata Musa juga tidak pernah berdiam diri berhubung isu royalti minyak untuk Sabah dan sering bertanya kepada beliau bagaimana Sabah boleh memperoleh lebih banyak daripada pembangunan industri minyak dan gas. "Oleh itu, kalau ada apa-apa perkara berbangkit dari semasa ke semasa, tentu sekali kita boleh merundingkan perkara ini. Tidak semestinya kita bertempik di luar, tidak semestinya kita bawa usul ke Dewan Undangan Negeri. "Atas isu royalti minyak, kerajaan negeri Sabah tetap prihatin dalam hal ini. Saya boleh sahkan perkara ini," katanya. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata beliau telah mengarahkan Presiden Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas memberi taklimat khas kepada kerajaan negeri Sabah dan menteri-menteri kerajaan Persekutuan dari Sabah berhubung isu itu bagi membolehkan mereka memahaminya dari sudut penambahan pendapatan untuk Sabah. "Percayalah kita melakukan yang terbaik untuk Sabah. Hakikatnya yang perlu kita fahami ialah peruntukan yang diterima Sabah melalui kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan jika dicampur perbelanjaan pembangunan dan operasi, ia adalah tiga kali ganda daripada 20 peratus royalti minyak yang disebut-sebut dan dicanang oleh parti-parti pembangkang," jelas beliau. Najib berkata kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah juga sedang menimbang usaha dan bentuk bantuan untuk negeri ini dan akan mengumumkannya kelak. Sementara itu, Najib yang juga Pengerusi BN mengingatkan semua pemimpin dan anggota parti komponen BN di Sabah supaya tetap berpegang kepada konsep perkongsian kuasa dan semangat BN serta membuat keputusan secara konsensus bagi memastikan BN terus utuh di negeri ini. Beliau berkata pemimpin parti-parti komponen BN perlu sedia duduk semeja dan mendengar pendapat mengenai sebarang permasalahan manakala wakil rakyat BN sama ada di peringkat negeri atau Parlimen haruslah adil dalam soal pengagihan bantuan. Sekiranya pemimpin parti-parti komponen BN bersifat adil dan inklusif dalam soal pengagihan bantuan, katanya keadaan itu akan memberi kekuatan berterusan kepada BN di Sabah. Mengenai masa depan Sabah, Najib berkata beliau yakin Sabah yang diterajui BN mempunyai masa depan yang cerah dan cukup baik untuk terus maju.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan