Ahad, 15 Jun 2014

MH730- Malaysia komited untuk terus usaha mencari

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengulangi komitmen Malaysia untuk meneruskan usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang. "Pada hari ke-100 ini sejak MH370 hilang, mengingati mereka yang berada di dalam pesawat itu dan anggota keluarga mereka. Malaysia kekal komited dengan usaha mencari," kata Najib dalam akaun Twitter beliau hari ini. Penerbangan MH370 ke Beijing dengan 239 orang bersama 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada h6.30 pagi hari yang sama. Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat Boeing 777-200ER itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan melencong daripada laluan asalnya. Selepas analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Najib mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 dipercayai "berakhir di selatan Lautan Hindi". Sejak pesawat itu hilang, pasukan operasi mencari menjejaki setiap kemungkinan petunjuk yang ada, daripada setiap kenyataan yang disebarkan melalui internet kepada isyarat di dasar laut, tetapi masih gagal mengesan pesawat MH370. Setakat ini, Malaysia membelanjakan RM27.6 juta untuk usaha mencari pesawat yang hilang itu. Sementara itu, ketua pegawai eksekutif Malaysia Airlines Ahmad Jauhari Yahya dalam satu kenyataan hari ini berkata syarikat penerbangan itu akan terus menyokong operasi mencari dan waris penumpang pesawat terbabit. Beliau berkata tempoh 100 hari yang dilalui merupakan tempoh paling panjang dan menyakitkan dalam sejarah MAS sejak kehilangan pesawat itu. "Kami merasai kesedihan anggota keluarga dan seperti juga mereka, MAS terus berharap dan mencari jawapan yang akan merapatkan kita bagi mencari apa yang telah berlaku kepada Penerbangan MH370," katanya. Ahmad Jauhari berkata ingatan dan doa MAS kekal bersam anggota keluarga 239 orang yang menaiki pesawat itu. "Anggota keluarga terbabit sentiasa dalam ingatan kita sepanjang 100 hari ini dan akan terus seperti ini untuk tempoh yang akan datang. "Kami merasai penderitaan keluarga berkenaan, kami rindu rakan dan teman kami dalam Penerbangan MH370," katanya. Ahmad Jauhari berkata MAS berterima kasih kepada agensi dan kerajaan Malaysia, Australia dan China dan banyak lagi negara lain yang tampil membantu usaha mencari pesawat MAS Penerbangan MH370. Walaupun usaha dan sumber yang terbaik diberikan sepanjang 100 hari ini, usaha pencarian paling besar dalam sejarah ini masih belum menemui sebarang jawapan, katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan