Selasa, 20 Mei 2014

Bekas Mufti Perlis bebas tuduhan mengajar tanpa tauliah

Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah Jabatan Agama Islam (JAIS) lima tahun lalu. Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes terhadap Mohd Asri, 42. "Selepas memperhalusi keterangan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pendakwaan gagal mewujudkan kes terhadap tertuduh dan memerintahkan tertuduh dilepaskan dan dibebaskan," kata hakim itu di Mahkamah Syariah Gombak Timur di sini. Dalam penghakimannya, Shaiful Azli berkata mahkamah mendapati keterangan enam saksi pendakwaan tidak dapat memastikan apa yang diucapkan tertuduh sedangkan kesemua saksi itu merupakan pegawai yang terbabit secara langsung dalam serbuan berkenaan. Beliau berkata serbuan yang dilakukan terlalu cepat untuk menangkap tertuduh tanpa menunggu terlebih dulu untuk membuat pemerhatian secara lebih terperinci, menyebabkan potensi untuk menyatakan tertuduh berada di khalayak ramai terlalu jauh dan asing. "Secara kumulatif, tertuduh sedang mengajar ajaran agama Islam namun perkara berkaitan tidak dapat dijelaskan oleh saksi-saksi sedangkan ia merupakan elemen utama pertuduhan. "Mahkamah merasakan tidak selamat untuk membuat keputusan mengenai perkara itu kerana mahkamah tidak boleh membuat anggapan fakta atau tekaan semata-mata," kata Shaiful Azli. Hakim itu berkata mahkamah berpendapat keterangan saksi-saksi itu tidak lengkap dan lemah kerana hanya bergantung kepada keadaan semasa, sedangkan pasukan yang terbabit adalah ramai, antaranya saksi mata dan telinga. Beliau juga sempat menasihatkan agensi siasatan dan pihak berkuasa supaya menjalankan sebarang serbuan secara lebih efektif dan cermat. Pada 18 Nov 2009, Mohd Asri didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis kediaman di Taman Sri Ukay, Ampang di sini antara 8.10 malam dan 9.45 malam pada 1 Nov 2009 mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003, yang membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya. Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Syarie Zusyafarain Mat Yusoff manakala Mohd Asri diwakili peguam Kamar Ainiah Kamaruszaman. Ketika ditemui di luar mahkamah, Mohd Asri yang ditemani isterinya melahirkan rasa syukur dengan keputusan itu. Beliau berharap pihak berkuasa agama yang terbabit lebih berhati-hati dalam membuat sebarang serbuan dan penahanan. "Tauliah ada keperluannya kalau seseorang itu tiada latar belakang agama, bagi kes ini mustahil pihak JAIS tidak mengetahui saya pernah jadi mufti dan saya juga pernah jadi anggota Majlis Fatwa Kebangsaan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan