Ahad, 18 Mei 2014

Kerajaan cadang tubuh Suruhanjaya Pihak Berkuasa Tempatan

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mempunyai fungsi sama seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Menteri berkenaan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata suruhanjaya itu akan memudahkan proses Pelan Transformasi PBT, yang dijangka dilaksana pada akhir tahun ini selain mempertingkat profesionalisme kakitangannya. "Pelan transformasi ini juga dijangka mempertingkat penyertaan rakyat daripada kumpulan masyarakat termasuk badan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional dan sebagainya untuk memberi pandangan terhadap rancangan pembangunan yang diperkenal oleh majlis daerah," katanya dalam ucapan perasmian Pesta Kaamatan peringkat daerah Kota Belud pada Ahad. Turut hadir anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tempasuk Datuk Musbah Jamli, juga Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, serta Adun Kadamaian Jeremy Malajad. Abdul Rahman berkata pelan transformasi PBT akan dilaksana bagi menganjak penyampaian perkhidmatan melalui pendekatan baharu berasaskan idea, sistem dan prosedur yang lebih dinamik selain mempertingkat martabat agensi itu di negara ini, terutama di Sabah. Dalam pada itu, Abdul Rahman yang juga anggota Parlimen Kota Belud berkata beliau memantau projek Pelan Tindakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) peringkat bandar di daerah ini bagi memastikan kelancaran pembangunan bagi tempoh tiga tahun. Beliau berkata dalam hal ini, kerajaan akan menggunakan pendekatan menyeluruh dan bersepadu bagi merancang serta melaksanakan pembangunan untuk kesejahteran rakyat. "Kota Belud akan menjadi contoh daerah terbaik di negara yang mencapai era pembangunan dan pemodenan, selain sikap toleransi serta saling menghormati antara penduduk berbilang agama dan kaum yang bersaudara, hidup dalam keadaan harmoni tanpa rasa syak wasangka," katanya. Projek peringkat bandar di kawasan yang mendapat jolokan 'Daerah Koboi Timur' itu dilancar pada Januari lepas membabitkan 21 projek bernilai RM37.2 juta bagi tempoh tiga tahun, bermula tahun ini. Sementara itu, bersempena Pesta Kaamatan, Abdul Rahman berkata Sabah terutama Kota Belud terkenal dengan semangat persaudaraan, persahabatan dan rasa kekitaan serta perpaduan kaum yang menjadi amalan rakyat setempat bersesuaian dengan konsep 1Malaysia. Tema Pesta Kaamatan tahun ini ialah 'Kebudayaan: Asas Keamanan dan Persahabatan'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan