Rabu, 13 Mac 2013

Lahad Datu : Tindakan Kerajaan Selaras Dengan Tuntutan Islam

Hukum asal menumpahkan darah seorang Muslim adalah haram dan berdosa besar. “Hancurnya dunia lebih ringan di sisi Allah dibandingkan terbunuhnya seorang Muslim”. ( HR. An-Nasa’i dan at Tarmidzi) Pihak kerajaan telah mencuba sedaya upaya untuk menyelesaikan kes pencerobohan di Lahad Datu tanpa sebarang pertumpahan darah. Kerajaan lebih mengutamakan penyelesaian melalui pintu rundingan dengan harapan pihak penceroboh akan keluar dengan aman tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang yang serius. Namun setelah menceroboh Sabah bermula pada 12 Februari, tidak ada tanda-tanda bahawa mereka akan keluar dari Sabah secara aman malah mereka telah menyerang dan membunuh 2 anggota keselamatan negara pada 1 Mac diikuti 6 lagi pada hari berikutnya. Melihat tragedi pertumpahan darah ini, Perdana Menteri telah menegaskan bahawa mereka mesti menyerah diri. Firman Allah di dalam Surah Al-Hujurat ayat 9 : “Sekiranya ada dua golongan dari orang-orang mukmin yang berperang maka hendaklah kamu damaikan di antara keduanya. Tetapi sekiranya salah satu dari keduanya bersikap melampau terhadap yang lain, maka perangilah golongan yang melampau itu sampai ia kembali kepada perintah Allah.” (Surah Al-Hujurat, 49: 9) Keengganan pihak penceroboh menerima pelan perdamaian membuatkan pihak berkuasa Malaysia tiada pilihan selain daripada mengambil tindakan ketenteraan untuk memerangi mereka. Pertumpahan darah sesama Muslim sudah tidak dapat dielakkan namun hukum yang berbeza terpakai kepada 2 pihak ini. Pihak anggota keselamatan yang terkorban secara zahirnya dikategorikan sebagai syahid akhirat iaitu orang yang terbunuh secara zalim manakala pemberontak Sulu pula masuk kategori bughoh atau qutta’ toriq (penceroboh atau perompak). Pihak pemberontak beranggapan bahawa mereka adalah pemilik sah tanah di Sabah sedangkan di dalam Islam, kisah nostalgia perkara-perkara lampau mengenai status pemilikan hak ke atas tanah sama sekali tidak boleh diambil kira. Sama seperti halnya Malaysia dan Singapura di mana Malaysia tiada hak untuk menceroboh dan mengusir penduduk Singapura keluar. Dalam konteks ini, sesiapa yang mempertahankan wilayahnya daripada dicerobohi, dia dikira berada di pihak yang benar. Sesuai dengan firman Allah dalam Surah Al-Mumtahanah ayat 9 : “Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Mumtahanah, 60: 9) Dalam sebuah hadis Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya, “Siapa yang meninggal karena mempertahankan hartanya maka ia syahid, siapa yang meninggal kerana membela keluarganya maka ia syahid, siapa yang meninggal kerana membela agamanya maka ia syahid, dan siapa yang meninggal kerana mempertahankan darahnya maka ia syahid.” (riwayat Abu Dawud) Terdapat 2 perbezaan pendapat dalam hal menguruskan jenazah orang yang mati syahid samada perlu dimandikan atau tidak jenazahnya namun pendapat dalam Mazhab Syafie dilihat lebih kuat kerana Nabi Muhammad SAW hanya meninggalkan solat bagi orang yang mati syahid di dalam peperangan dengan kafir sahaja. Adapun orang yang syahid selain itu (seperti mati tenggelam, tertimbus runtuhan dan wabak penyakit), hukumnya kembali kepada asal iaitu diwajibkan mandi dan solat ke atas jenazah mereka. Gelaran Asy-Syahid pula sewajarnya tidak diletakkan di hadapan nama para pejuang yang terkorban kerana kita akan dilihat cuba mendahului hukum dan takdir Allah dalam menentukan syurga bagi seseorang. Al-Imam Al-Bukhari menjelaskan larangan ini di dalam satu bab yang khusus melalui kitab sahihnya “Bab Larangan Menggelarkan Seseorang itu Syahid”. Syahid adalah ketetapan dan ketentuan Allah SWT. Hanya Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW yang berhak menentukan bahawa mereka tergolong dalam ahli syurga kerana gugur di medan perang yang boleh kita kategorikan sebagai Asy-Syahid seperti mana Saidina Hamzah dan sahabat-sahabat yang lain. Jenazah bughoh juga hendaklah diuruskan secara terhormat kerana walaupun perbuatan mereka adalah salah dan berdosa besar, namun ini tidak menjadikan mereka kafir dan kita perlu berlaku adil dalam hal ini kerana syariat sentiasa menuntut kita sebagai orang Islam supaya berlaku adil dan bertindak di atas garis panduan syarak.sumber:http://networkedblogs.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan