Sabtu, 16 Februari 2013

LAGI TUNTUTAN RAKYAT SELANGOR

Selepas gagal membatalkan saman yang difailkan oleh kumpulan ibu tunggal berhubung pembayaran elaun sebanyak RM100 sebulan serta tuntutan kumpulan yang menuntut air percuma, kerajaan negeri Selangor hari ini terus berdepan dengan satu lagi tuntutan iaitu berkaitan bantuan pendidikan prasekolah. Pengerusi Badan Bertindak Rakyat Selangor (BBRS), Datuk Said Anuar Said Ahmad berkata, ini berikutan kerajaan negeri dalam manifesto kempen pilihan raya umum 2008, telah berjanji akan memberi bantuan RM50 sebulan kepada kanak-kanak yang menghadiri pendidikan peringkat asas tersebut. Jelas beliau, manifesto itu juga merujuk kepada seluruh keluarga tanpa mengira jumlah pendapatan kerana tiada syarat dikenakan.
“Kerajaan Selangor hari ini jelas gagal memenuhi janji semasa Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) untuk menyediakan elaun sebanyak RM50 sebulan kepada 115,000 kanak-kanak yang memasuki prasekolah melibatkan tuntutan RM59.8 juta sejak tahun 2008. Jumlah itu termasuk seramai 23,945 kanak-kanak yang memasuki prasekolah sepanjang tahun lepas.
“Dalam masa yang sama, kita menafikan bahawa BBRS menghalang atau menakutkan ibu-bapa Pra Sekolah untuk menerima bantuan pra persekolahan dari kerajaan pakatan negeri Selangor. “Persoalannya, kerajaan negeri tidak telus untuk menyampaikan maklumat menyeluruh kepada rakyat Selangor khususnya kepada ibu-bapa yang mempunyai anak di pra-sekolah, mengapa pilih bulu, mengapa pilih kasih,” ujarnya. Beliau berkata demikian selepas bersama-sama dengan kumpulan ibu-bapa dari kawasan Kuala Selangor, Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam yang mengadakan demostrasi menuntut janji PRU12 dari kerajaan negeri, di sini pagi tadi. Tambahnya, kenyataan yang dibuat oleh seorang wakil rakyat dalam website Selangorku merupakan kenyataan yang melulu dan tidak bertanggungjawab, satu pembohongan besar dengan menuduh kerajaan pusat menyekat bantuan Skim Tunas kerajaan negeri Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan