Sabtu, 26 Januari 2013
HARAPAN RAKYAT PADA KERAJAAN MENINGKAT- PM
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata harapan dan jangkaan rakyat terhadap kerajaan telahpun meningkat, dan ini perlu difahami sebaik-baiknya bagi memastikan kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.
Najib, yang juga pengerusi BN, berkata menyedari hakikat ini, kerajaan berazam untuk melakukannya dengan cara berbeza dan bekerja dengan bersungguh-sungguh.
“Kita perlu menyedari bahawa rakyat tidak akan memberi undi mereka berdasarkan setakat manakah sumbangan anda sebelum ini.
“Tetapi rakyat akan mengatakan, ‘apakah yang boleh anda lakukan sekarang dan bagi masa depan,” katanya dalam wawancara bertajuk ‘An Insight, An Idea with Mohd Najib Tun Abdul Razak’ yang disiarkan CNN pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang berlangsung di Davos, Switzerland.
Najib turut menarik perhatian bahawa tiada siapapun yang boleh menafikan hakikat bahawa Umno dan BN meneruskan agenda pembangunan selepas berjuang untuk kemerdekaan negara.
Mengenai kegagalan BN untuk memenangi majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum 2008, Najib memperjelaskan antara faktornya adalah rakyat menjadi semaki n kritikal sejajar dengan kemajuan teknologi maklumat, selain penggunaan media sosial.
Di akhir wawancara itu, perdana menteri ditanya mengenai perancangannya jika diberi mandat memerintah oleh pengundi pada pilihan raya umum ke-13 negara ini.
Beliau menjawab dengan mengatakan kerajaan telahpun menyatakan dengan jelas mengenai hasratnya untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.
“…dan saya komited untuk melakukan apa saja yang boleh agar harapan itu menjadi kenyataan, memang itulah yang akan saya lakukan.”
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan