Isnin, 24 Jun 2013

Keputusan pembangkang turut angkat sumpah bukti demokrasi masih diperakui...

Kehadiran semua 89 anggota Parlimen pembangkang pada majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat hari ini menunjukkan sistem demokrasi di negara ini diperakui pembangkang di sebalik laungan tidak puas hati terhadap keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13). Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata dengan itu, pembangkang pada masa depan tidak sepatutnya mempertikaikan lagi sistem pilihan raya atau demokrasi negara. “Proses ini (angkat sumpah) menandakan sistem demokrasi di negara kita sudah diamalkan dengan baik, dan kitapun, termasuk pembangkang, telah angkat sumpah taat setia, mematuhi undang-undang dan menghormati Perlembagaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini. Ditanya kekecohan yang dicetus segelintir pemimpin pembangkang sewaktu proses pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat pagi ini, anggota Parlimen Semporna, Sabah itu berkata perkara yang dipertikai hanyalah kecil dan sengaja diperbesarkan. “Kita selaku anggota Parlimen sepatutnya ada peradaban dan faham aturan mesyuarat mana yang boleh, mana yang tidak, takkanlah kita terlampau ‘rigid’ sangat dalam cara perjalanan mesyuarat, sedikit perkataanpun nak dijadikan pertikaian dia (pembangkang),” katanya. Acara angkat sumpah melibatkan 222 anggota Dewan Rakyat itu didahului Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, diikuti anggota Dewan Rakyat lain, termasuk 89 daripada gabungan pembangkang PAS-DAP-PKR. Komposisi Dewan Rakyat kali ini terdiri daripada 133 anggota Parlimen Barisan Nasional selain 38 dari DAP, PKR (30) dan PAS (21). Turut menyokong kenyataan Mohd Shafie ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang menjelaskan prosedur pemilihan Speaker dan timbalannya melalui undi bersurat sudah dinyatakan dalam Peraturan Mesyuarat 4. “Undi bersurat bermakna kita kena tandatangan sebab nanti sesiapapun boleh undi, jadi bila kita undi kita tanda tangan, bererti kena tulis nama kitalah untuk pastikan tandatangan itu tandatangan kita,” katanya. Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang menasihatkan semua wakil rakyat agar mematuhi lafaz sumpah yang diucap pada sesi mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat hari ini. “Keputusan pilihan raya telah dibuat malah sudah sampai masanya semua wakil rakyat datang bersidang dan lupakan isu-isu politik dan sebaliknya menunjukkan komitmen serta semangat mereka untuk menyumbang kepada rakyat,” katanya. Abu Zahar berkata semua wakil rakyat tanpa mengira parti politik seharusnya menggunakan persidangan kali ini sebagai platform untuk menyumbang khidmat bakti kepada negara. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula berharap anggota Dewan Rakyat pada kali ini akan berhujah dengan lebih bijaksana selaras dengan peringatan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia. “Beliau telah memberi peringatan awal supaya Parlimen Malaysia menjadi contoh dan anggota Parlimen yang baharu dan lama dijadikan ikutan ketika sesi perbahasan,” katanya.Petikan Umnoonline.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan