Khamis, 2 Mei 2013

ANCAMAN CAMPURTANGAN KUASA ASING TERHADAP KEDAULATAN ISLAM

1. Semenjak beberapa hari lalu, beberapa pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO Islam) telah menerima aduan yang tidak henti-henti daripada orang ramai yang menzahirkan rasa bimbang dan marah mereka berkaitan suatu klip video bertajuk “Malaysia Prophecy from Jerusalem” yang telah dimuatnaik ke laman Youtube pada 26 April 2013 oleh seorang paderi bernama Karen Dunham dari Living Bread Church – sebuah organisasi gereja yang mempunyai cawangan di Israel, Amerika Syarikat dan Gaza. 2. Klip video tersebut telah disaksikan berpuluh ribu pengunjung Youtube. Pada waktu kenyataan akhbar ini dibuat, hampir seratus ribu klik telah dibuat ke atas klip video tersebut. Kilp video tersebut juga telah dikongsi oleh berpuluh blogger melalui blog-blog mereka. Manakala melalui laman facebook pula video tersebut telah menjadi bahan “panas” yang dikongsi bersama oleh beribu pemilik akaun facebook. 3. Susulan dari aduan tersebut, pihak NGO Islam telah meneliti video berkenaan dan kami membangkitkan kebimbangan yang mendalam berhubung isu kandungan video itu dan mesej yang ingin disampaikan di saat-saat Malaysia sedang berdepan suasana tidak menentu menjelang PRU-13. Kami mendapati wujud kecenderungan untuk mengaitkan doa penganut Kristian di dalam klip video berkenaan dengan kewujudan ‘sebuah kerajaan baru selepas PRU-13 kelak’. 4. Video ini juga menimbulkan pertanyaan di kalangan NGO-NGO Islam kerana pihak yang mennyebut doa-doa dan ucapan di dalam video tersebut dilihat begitu memahami dan mengetahui secara dekat apa yang berlaku di Malaysia walaupun mereka berada di Jurusalem. Mereka cuba menggambarkan bahawa Tuhan mereka akan membantu memberi kemenangan kepada kerajaan baru di Malaysia. Mereka juga berkeyakinan bahawa kerajaan baru di Malaysia kelak akan mengiktiraf hubungan dengan Negara haram Israel. 5. Melalui penelitian kami dan rentetan beberapa fakta sejarah, persoalan yang timbul ialah adakah video ini mempunyai kaitan langsung dengan dakwaan menggemparkan oleh bekas Setiausaha Organisasi dan ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP), Razali Abdul Rahman dan bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa bahawa adanya usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Kristian? 6. Adakah ini juga ada kaitannya dengan seorang pemimpin pakatan pembangkang di Malaysia yang dikatakan pernah cuba mengiktiraf Negara Israel dan diwar-warkan oleh media Israel, the Jerusalam Post di dalam laporannya bertarikh 20 Mac 2008 sebagai ahli politik yang bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia? 7. Sebagai kumpulan aktivis yang telah sekian lama memantau ‘trend’ gejala pemurtadan, pluralisme, liberalisme dan LGBT, NGO-NGO Islam telah berhadapan dengan pelbagai bukti-bukti yang sukar disangkal dan kami percaya bahawa usaha-usaha untuk mengancam kesucian Islam di Malaysia adalah nyata, benar lagi sahih. Ini termasuklah agenda ‘Rainbow Nation’ yang pernah didedahkan beberapa bulan yang lepas. 8. Kami memberikan amaran bahawa NGO-NGO Islam dan ummah di Malaysia tidak sesekali akan berdiam diri dan bersedia memperjuangan kesucian Islam dan aqidah hingga ke titisan darah yang terakhir, biarpun terpaksa mengorbankan nyawa kami sendiri. 9. Kami juga memberikan peringatan bahawa sebarang usaha untuk mencabar kesucian Islam di Negara ini adalah bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan kedudukan Islam sebagai agama Negara dan pelbagai peruntukan lain sama ada di peringkat Persekutuan ataupun Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di dalam Persekutuan Tanah Melayu. 10. Bersandarkan perkembangan ini, kami ingin mengajak seluruh umat Islam di Malaysia untuk sama-sama menunaikan solat hajat selepas solat Jumaat esok, 3 Mei 2013 bagi memohon bantuan dan pertolongan Allah SWT menggagalkan usaha jahat anasir-anasir yang cuba menggugat kedaulatan Islam di Negara kita. 11. Pada kesempatan ini kami ingin memaklumkan bahawa satu perhimpunan aman akan diadakan selepas solat Jumaat esok di Masjid Negeri Shah Alam bagi menzahirkan kerisauan dan perasaan marah umat Islam terhadap sebarang bentuk percubaan kuasa asing untuk campur tangan dalam hal-hal berkaitan Negara kita. Kami juga menyeru aktiviti yang sama dilakukan di masjid-masjid di seluruh Negara demi mempertahankan kesucian Islam yang telah didaulatkan sekian lama dibumi tercinta ini. 12. Pihak NGO Islam juga ingin menyeru kesemua umat Islam yang masih ‘tidur’, alpa dan lalai (sehingga lebih sibuk memikirkan harga minyak dan harga kereta turun) supaya berfikir dan menanamkan kesedaran terhadap hal yang sangat serius ini. Tolonglah celikkan mata selebar-lebarnya, bukalah hati dan dengarlah seruan mempertahankan Islam yang sedang dalam proses dihancurkan oleh anasir-anasir luar. 13. Kami pasti bahawa teguran dan pandangan kami ini akan dilabel sebagai “siege mentality” dan dituduh menerima upah pihak-pihak tertentu. Pihak NGO Islam ingin menegaskan bahawa tanggapan sebegini dengan sendirinya menggambarkan sikap taksub dan bebal dengan politik kepartian mereka semata-mata dan menafikan kedegilan menerima bukti kebenaran yang jelas di depan mata. 14. Pihak NGO Islam telah menghidangkan masyarakat Islam dengan pelbagai bukti realiti ancaman ini, bangkitlah ! Bangunlah ! Dan pertahankanlah Islam di Malaysia dengan penuh keimanan dan tanpa ragu-ragu! Bagi Pihak NGO-NGO Islam 2 MEI 2013 KELAB SULTAN SULAIMAN KG. BARU, KUALA LUMPUR

Tiada ulasan:

Catat Ulasan