Isnin, 4 Mac 2013

UMNO SAMAN TIAN CHUA- KU NAN

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang atau Tian Chua perlu berhenti membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap UMNO dan membuat permohonan maaf atas tuduhan yang mengaitkan UMNO dengan insiden di Lahad Datu, Sabah. “Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah mengarahkan saya untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang telah mengaitkan UMNO terhadap insiden di Lahad Datu, Sabah.
“Ini kerana, segala tuduhan yang dibuat adalah tidak berasas dan amat serius dengan niat jahat untuk memburukkan dan merosakkan reputasi dan imej UMNO. Ia juga turut bertujuan untuk menjatuhkan dan merendahkan maruah dan kredibiliti UMNO yang menjadi tulang belakang Kerajaan Barisan Nasional yang mentadbir Malaysia dan mempunyai imej awam yang baik,” katanya dalam satu kenyataan media hari inib>. Tindakan undang-undang telah diambil melalui Penasihat Undang-undang UMNO, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak terhadap Tian Chua Chang yang juga Ahli Parlimen Batu berkaitan kenyataannya yang seterusnya diterbitkan dalam KeadilanDaily.com. pada 1 Mac 2013. “Notis telah dihantar kepada Tian Chua dengan menuntut beliau dalam masa tujuh hari bermula hari ini, 4 Mac 2013 untuk berhenti daripada membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah berkenaan isu di atas atau sebarang kenyataan yang serupa terhadap UMNO, membuat satu permohonan maaf tidak bersyarat dalam bentuk bertulis dan penarikan balik kenyataan berunsur fitnah tersebut atau kenyataan yang serupa dengannya terhadap UMNO. Katanya, Tian Chua juga perlu menerbitkan penarikan balik kenyataan berunsur fitnah dan permohonan maaf tersebut dan menyediakan satu akujanji bertulis bahawa beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah tersebut atau kenyataan yang serupa serta membayar gantirugi untuk kerosakan reputasi yang teruk dan gantirugi terhadap kos dan perbelanjaan yang ditanggung oleh UMNO berhubung perkara ini. “UMNO tidak memandang ringan terhadap perbuatan fitnah dan sekiranya sebarang maklumbalas tidak diterima berhubung tuntutan terbabit maka bermakna Tian Chua tidak menafikannya dan juga berniat untuk meneruskan penerbitan berunsur fitnah. “Oleh itu, UMNO akan meneruskan prosiding mahkamah terhadap YB Chua Tian Chang tanpa sebarang rujukan kepada beliau termasuklah untuk memfailkan injuksi bagi menghalang penerbitan lanjut berkaitan isu ini.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan