Selasa, 19 Mac 2013

PENGUNDI CINA BERSAMA BN- NUR JAZLAN

Datuk Nur Jazlan Mohamed hanya menggeleng kepala tanpa mampu mengulas secara spontan apabila dimaklumkan bahawa pembangkang terutama DAP bercita-cita besar menawan 15 daripada 26 kerusi parlimen di Johor pada pilihan raya umum ke-13. Berfikir sejenak, anggota Parlimen Pulai itu berkata DAP silap besar jika gagal memahami sikap unik masyarakat Cina di Johor yang berdiri teguh memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama. “Daripada satu kerusi (2008) kepada 15 kerusi parlimen? Saya tidak tahu dari mana mereka dapat benda ini (jangkaan kemenangan besar). Ia tidak realistik,” kata Nur Jazlan, 47. Terbaru, penasihat DAP Lim Kit Siang diumumkan akan bertanding bagi kerusi Parlimen Gelang Patah, dan seterusnya mengepalai jentera pakatan pembangkang di Johor. Tidak hairanlah veteran pembangkang berusia 73 tahun itu dikatakan begitu kerap berkunjung ke Johor. Jika diikuti entri blognya baru-baru ini, beliau ada menyebut 15 kerusi parlimen yang menjadi fokus pembangkang di Johor - Bakri, Segamat, Tebrau, Kluang, Kulai, Batu Pahat, Pulai, Johor Baru, Penggerang, Semberong, Labis, Muar, Ledang, Simpang Renggam dan Gelang Patah . Pada 2008, calon BN Tan Ah Eng mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zaliha Mustafa di Gelang Patah dengan majoriti 8,851 undi setelah memperoleh 33,630 undi. Nur Jazlan berkata BN tetap yakin dengan pengundi Cina. Menurutnya, generasi terdahulu masyarakat Cina Johor dijemput oleh Sultan Johor pada akhir 1800-an untuk terlibat dalam aktiviti perniagaan dan perdagangan di negeri ini. “Mereka (masyarakat Cina Johor) tidak dibawa masuk ke negeri ini oleh British, berlainan dengan kawasan negara ini. Sebab itu mereka ada ‘sense of belonging’ (semangat kekitaan) di Johor,” katanya yang juga Pengerusi UDA Holdings. Masyarakat Cina Johor, katanya, juga berintegrasi dengan kehidupan penduduk tempatan, menguatkan lagi sikap unik mereka berbanding rakan-rakan mereka di negeri lain. “Sebenarnya DAP dan Pakatan Rakyat telah menghina masyarakat Cina Johor dengan menolak sikap dan pemikiran unik mereka,” katanya. Keyakinan Nur Jazlan berasas. Ketika BN tidak begitu cemerlang di negeri lain pada tahun 2008, BN cuma tewas kerusi parlimen di Bakri kepada calon DAP tetapi terus menjadi kubu kuat BN, menguasai 50 kerusi dewan undangan negeri (DUN) berbanding DAP (4) dan PAS (2). Malah BN memperoleh majoriti lebih tinggi pada pilihan raya kecil di kerusi DUN Tenang pada Januari 2011, meskipun pilihan raya berlangsung pada musim banjir, apabila calonnya menang dengan majoriti 3,707 undi berbanding sebelumnya 2,492 undi, kedua-duanya menewaskan calon PAS. Pemimpin parti-parti komponen BN Johor menyedari keghairahan pembangkang untuk menggempur benteng utama BN itu. Bagi mereka ia lebih merupakan perang psikologi menjelang pilihan raya. Ketua Bahagian MCA Gelang Patah Jason Teoh juga bersetuju sikap unik masyarakat Cina Johor akan menggagalkan cita-cita besar DAP bersama sekutunya PKR dan PAS. Teoh yang juga naib pengerusi MCA Negeri berkata, nafsu besar pembangkang untuk menguasai sebahagian besar daripada 26 kerusi parlimen di Johor pada pilihan raya umum ini tidak lebih hanya ‘cakap-cakap kosong politik.’ “Itu satu kenyataan am daripada pembangkang yang tidak mempunyai bukti. Sebagai negeri kubu kuat BN, MCA Johor telah mengekalkan penyokong-penyokong tegar yang mengambil berat tentang parti,” katanya. Selain itu, pembangkang juga perlu mengambil kira fakta bahawa Johor merupakan negeri yang mempunyai anggota MCA paling ramai. Teoh yang disebut-sebut sebagai bakal calon BN di kerusi panas Parlimen Gelang Patah berkata BN selama ini berjaya membela isu-isu yang dekat di hati pengundi Cina seperti ekonomi, perniagaan, pendidikan dan keselamatan. Anggota Parlimen Johor Baru Tan Sri Shahrir Samad pula berkata tsunami politik yang terjadi pada PRU-12 yang menyaksikan pengundi Cina beralih kepada pembangkang telah lenyap hasil kerja keras kerajaan pimpinan BN. DAP yang kini menganggap dirinya sebagai ‘Taiko’ dalam pakatan pembangkang, katanya, tidak lagi boleh bergantung kepada jangkaan tsunami politik 2008 akan berterusan. “Keadaan sudah pun berubah (berbanding 2008) dan BN di Johor bukan duduk diam, kaku dengan keadaan yang dirasakan penting tetapi sebaliknya kami sudah merubah cara dan pendekatan kami.” “Ia (usaha keras BN Johor) telah berjalan sejak empat tahun lepas dan sebab itu kini kami sudah bersiap sedia untuk berdepan dengan pilihan raya umum,” kata beliau. Bagi Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan pula, selain tsunami politik 2008 telah lama berakhir, di Johor, kepimpinan BN berjaya menguruskan ekonomi dengan kebanjiran pelaburan serta mewujudkan peluang ekonomi yang cukup menarik untuk memenangi hati pengundi pada pilihan raya akan datang. – Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan