Ahad, 10 Mac 2013

PENGAKUAN BAPA SAIFUL KELIRU- Tinjuan Sinar Harian

Pendedahan bapa Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim berhubung kes liwat melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin dilihat mengelirukan banyak pihak yang turut menganggap ia hanya mainan politik. Orang ramai yang ditemui Sinar Harian Online, rata-rata melahirkan pendapat yang sama serta mengaitkan kenyataan itu dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Azlan mendakwa anaknya itu dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab mendalangi kes liwat tersebut. Beliau berkata, perkara itu adalah konspirasi jahat untuk mengheret Anwar, yang dibebaskan daripada tuduhan meliwat 9 Januari 2012, ke penjara buat kali kedua. Seorang suri rumah, Rosmidah Kadir, 56, mengakui kenyataan tersebut mengelirukannya kerana ia bercanggah dengan pendirian beliau sebelum ini. “Memandangkan dia sudah membuat sumpah laknat, jadi perkara ini (kenyataan ayah Saiful) memang mengelirukanlah. Masyarakat mesti akan keliru tentang perkara ini. “Memang susah kita nak percaya kenyataan ini. Mungkin... memang berkaitan dengan PRU13 akan datang,” katanya. Pekerja swasta, Muhammad Nazir Mohd Nazri, 25 berkata, dirinya juga tidak pasti sama ada mahu mempercayai atau tidak dengan kenyataan itu.
“Ayah dia kata, keterangan yang dibuat sebelum ini adalah kenyataan yang tidak benar. Jadi, adakah apa yang dia lakukan sebelum ini hanya untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim? Adakah dia sudah disogok atau dibayar?
“Mainan politiklah di situ. Tapi saya tak kata apa yang saya dengar dan baca adalah betul. Masyarakat sehingga kini pun tak tahu kebenarannya,” katanya. Nazri menambah, “kalau tiba-tiba perkara ini berlaku hari ini, mesti serba sedikit ada kaitan dengan PRU13. Mesti nak kejar undi, jadi masing-masing nak bersihkan nama sendiri... burukkan orang lain. Sedikit sebanyak mesti ada kaitan.” Pelajar, Nor Aqilah Azmi, 22, berkata, “saya tak tahu sama ada dia memihak pada Anwar atau tidak, tapi yang lebih tahu ayah Saiful sama ada anak dia bersalah atau tak. Cuma, di sini saya rasa isu politik. Saiful mungkin tak bersalah dan Anwar pun mungkin tak salah. Bagi saya, semuanya mainan politik.” Bekas guru,Horyatun Aini Abdullah, 58, turut bersetuju kenyataan tersebut mengelirukan ekoran Azlan turut serta ketika proses mengangkat sumpah yang dijalankan sebelum ini. “Perkara ini memang mengelirukan terutama apabila sudah dekat dengan pilihan raya. Jadi, perkara-peraka seperti ini mungkin dipolitikkan. Sebelum ini pun dia (Saiful) sudah bersumpah. Bapanya pun duduk sebelah dia ketika mengangkat sumpah. “Jadi (apabila kenyataan ini dibuat) ia sangat mengelirukan rakyat, lebih-lebih lagi apabila PRU13 sudah hampir. Kalau boleh fikir dulu apa yang kita nak cakap, nak buat. Saya rasa perkara ini memang mainan politik dan kalau boleh perkara ini jangan dipolitikkan," katanya lagi. Sementara itu, Mohd Rizuwan Ismail, 34, seorang kakitangan awam pula akui tidak percaya dengan kenyataan tersebut. “Saya rasa saya tak percayalah dengan perkara ini. Agak mengelirukan dengan kenyataan itu. Saya pun tak menyebelahi mana-mana pun. “Saya tak boleh nak cakap perkara ini kerana PRU13. Ini pun politikkan? Kita pun susah nak tahu. Nak tahu lebih terperinci itu, kita kena lihat kenyataan-kenyataan yang ada dan laporan yang boleh dipercayai,” katanya. Dalam pada itu, Mohd Roslan Che Mat Zin, 24 pula berkata, “saya rasa benda ini mungkin ada kaitan dengan PRU13." "Memang keliru sebab banyak pendapat, banyak spekulasi yang keluar daripada orang ramai. Jadi saya pun tak tahu sapa yang betul sapa yang salah," katanya lagi. Perkara sama dibangkitkan pelajar, Nurul Hidayah Mohd Mohan Shah, 23, yang mengatakan kenyataan Azlan itu mengelirukannya. “Bagi saya isu ini dah lama tapi nak dekat PRU13, ia dibangkitkan semula dan ayah dia pula yang menyatakan kenyataan yang sebaliknya tapi sebelum ni dia cakap lain. Jadi, perkara ini membuatkan kita keliru. “Kenapa awal-awal dia cakap nak lindungi anak dia. Tak rasa ke itu pun sudah menjatuhkan maruah anak dia. Saya 50-50 sebab saya rasa sangat mengelirukan kenapa dah nak dekat PRU13 baru nak keluar? "Kenapa sebelum ini tak dikaji betul-betul. Kita kena kaji benda tu sebelum kita bercakap atau membuat sesuatu kenyataan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan