Ahad, 27 Januari 2013

Malaysia Terus Berdiri Teguh Bersama Perjuangan Rakyat Palestin

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa rakyat di negara ini akan terus bersama-sama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk mengembalikan keamanan dan hak asasi rakyat di negara tersebut yang telah dicabul oleh Israel sejak sekian lama. Menurut Najib, isu penindasan rakyat di Palestin bukanlah hanya isu umat Islam semata-mata, tetapi merupakan isu kemanusiaan yang perlu diambil berat oleh semua pihak tanpa mengira agama dan bangsa. “Saya ambil keputusan untuk pergi ke Gaza kerana saya tahu, isu rakyat Palestin ini amat dekat dengan rakyat di Malaysia. Selama ini kita sudah menghulurkan pelbagai bantuan derma dan sebagainya, namun kita belum lagi pergi ke sana atas nama kerajaan Malaysia,atas nama rakyat Malaysia, atas nama Barisan Nasional (BN). “Maka saya mengambil keputusan untuk ke sana kerana selain daripada saya mahu menyampaikan pendirian rakyat Malaysia kepada mereka, disamping saya sendiri mahu melihat bagaimana keadaan di bumi Gaza Palestin dengan mata sendiri,” tegasnya di hadapan lebih 10,000 rakyat yang berhimpun menyambut kepulangan beliau di Kompleks Bunga Raya KLIA hari ini. Menurut Najib, pengalaman selama berada di Gaza biarpun hanya dibenarkan melawat selama enam jam, namun beliau dapat menyelami perasaan dan harapan rakyat Palestin yang sedang menderita akibat konflik peperangan dengan Israel. “Selama enam jam itu, saya bersama Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh membawa saya melawat bertemu dengan rakyat Palestin. Saya telah melihat gambar kanak-kanak yang mati dalam keadaan menyayat hati. Paling menyedihkan mereka telah diserang akhir tahun sudah secara bertubi-tubi dengan senjata yang begitu canggih yang menyebabkan kerosakan dan kematian yang begitu dahsyat sekali. “Isteri saya telah melawat hospital yang menempatkan ramai kanak-kanak tidak berdosa menderita sakit leukimia akibat kesan uranium kesan dari serangan Israel. Saya juga melihat bagaimana melihat rumah-rumah, bangunan dan masjid yang hancur dan ranap akibat diserang oleh Israel,” tegas beliau. Tambahnya lagi, apa yang kerajaan dan rakyat di negara ini tekankan ialah rakyat Palestin mesti mendapatkan hak asasi mereka, kedaulatan dan keselamatan yang terjamin dan rakyat Palestin tidak akan keseorangan dalam perjuangan mereka untuk hak mereka. Jelasnya, isu Palestin bukan saja isu umat Islam saja, tetapi ia adalah isu hak asasi kemanusiaan yang tidak mengira agama dan bangsa. Sebab itu hari ini, beliau dapat melihat bukan sahaja orang Islam, tetapi rakan-rakan bukan Islam turut berhimpun menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.
“Ini kelebihan rakyat Malaysia. Kita berjuang atas prinsip. Kita berjuang untuk mencapai sesuatu yang hak kepada mereka yang sepatutnya menerima hak tersebut. Sebab itulah saya katakan, lawatan saya ke Palestin mesti disifatkan sebagai lawatan kemanusian dan bukannya untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman mereka. “Selain dari mesej kemanusian, saya nyatakan kepada kepimpinan Palestin, bahawa mereka mesti bersatu antara Fatah dan Hamas kerana jika tidak, mereka tidak akan punyai masa depan.Saya beritahu pada Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh bahawa perpaduan antara Fatah dan Hamas mesti dilakukan. “Tetapi jika mereka tidak bersatu, segala-galanya akan berakhir dengan kehampaan. Ingatlah bahawa perpaduan itu amat penting dan merupakan tunjang pada segalanya. Dan ini juga merupakan satu perkara yang boleh kita ambil sebagai pengajaran untuk kita sebagai rakyat Malaysia bahawa perpaduan itu merupakan tonggak kepada segalanya,” ujarnya. -MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan