Rabu, 28 November 2012
Beranjak untuk melonjak ke arah kemenangan-Kak Izat
1. Syukur Alhamdulillah, kita dapat berhimpun pada pagi yang barakah ini. Hari ini bersejarah, menyaksikan satu Perhimpunan Agong Pergerakan Wanita UMNO di Dewan Merdeka. Bersejarah kerana kita serikandi Malaysia datang dari seluruh pelusuk negara bukan hanya untuk menunaikan tanggungjawab kita mengikut Perlembagaan UMNO, tetapi juga untuk berikrar dan berjanji bahawa kita akan berjuang habis-habisan dengan penuh keikhlasan, demi Agama, Bangsa dan Negara. Bersejarah kerana Perhimpunan Agong ini diadakan di ambang PRU 13, satu-satunya Pilihan Raya Umum yang akan menentukan dan memuktamadkan bukan hanya nasib orang Melayu tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.
2. Saya amat bersyukur, hari ini saya bersama-sama puan-puan dan tuan-tuan dari Majlis Tertinggi UMNO, diberi kesempatan bersidang lagi. Saya mengucapkan Selamat Datang dan mengalu-alukan kehadiran 979 orang perwakilan Pergerakan Wanita UMNO dari seluruh negara. Kehadiran pada hari ini adalah besar ertinya kepada perjuangan parti kita. Kerana kita datang berhimpun untuk mewakili dan menyuarakan hasrat dan aspirasi lebih kurang 1.3 juta ahli Wanita UMNO dari 191 bahagian merangkumi 20,797 cawangan di seluruh negara.
3. Perhimpunan ini besar maknanya kepada kita, kerana sepanjang Perhimpunan Agung UMNO, kita akan mendengar dan menghayati amanat pucuk kepimpinan tertinggi, supaya selepas perhimpunan ini, kita akan pulang ke tempat masing-masing dengan membawa mesej yang disampaikan oleh pemimpin kita ke peringkat akar umbi. Di sinilah letaknya peranan pemimpin dan perwakilan, untuk menjelaskan kepada rakyat dasar perjuangan kita dan sebab-sebab mengapa kita mesti teguh bersatu mempertahankan perjuangan UMNO dalam pilihan raya yang akan datang. Insya-Allah dengan semangat “Bersatu Teguh Bercerai Roboh”, serta hasil kerja kita yang tidak kenal penat lelah, peranan kita ini dapat melonjak kemenangan untuk Barisan Nasional.
Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan sekalian,
4. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Malaysia kerana berjaya mentadbir negara dengan penuh tanggungjawab dalam masa lebih kurang empat tahun memimpin negara.
5. Gandingan yang mantap bersama-sama Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri dan saf-saf kepimpinan, kita telah dapat melihat sendiri kejayaan pelbagai dasar yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha melonjakkan negara kita ke hadapan.
6. Saya ingin jelaskan bahawa Wanita UMNO berbangga sekali dengan dasar transformasi ekonomi dan politik yang telah diperkenalkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri dan barisan kabinetnya. Bagi memastikan dasar ini mencapai matlamatnya, saya ingin menyatakan Wanita UMNO bersiap siaga untuk digerakkan bersama dengan kerajaan dalam usaha untuk memastikan setiap dasar dan agendanya dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sebagai tulang belakang kepada parti yang menjadi kerajaan, Wanita UMNO akan sentiasa memastikan visi kerajaan dapat dicapai.
7. Saya bersyukur kerana berkat kepimpinan jujur dan ikhlas Perdana Menteri yang dikasihi, negara kita kini berada di landasan yang betul ke arah mencapai sasaran negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Ini boleh dilihat dari beberapa laporan antarabangsa seperti berikut.
8. Sebagai contoh, Global Competitiveness Report 2012-2013 yang diterbitkan oleh World Economic Forum meletakkan Malaysia sebagai negara yang ke-25 paling berdaya saing daripada 144 buah negara. Selain itu, laporan Doing Business 2013 yang dikeluarkan oleh Bank Dunia pula meletakkan Malaysia di kedudukan ke-12 daripada 185 negara yang paling berdaya saing untuk menjalankan perniagaan. Dalam persekitaran ekonomi global yang kian mencabar ini pula, negara kita masih mampu mencatat pertumbuhan sebanyak 5.2% pada suku ketiga tahun 2012.
Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan sekalian,
9. Apa maknanya data yang saya ungkapkan di atas? Data di atas menunjukkan tiga perkara. Pertama, kejayaan kerajaan memacu negara kita ke depan dan ini pastinya hasil dari kepimpinan baik yang didokong oleh parti UMNO kita yang keramat ini. Kedua, ini membuktikan dasar dan program yang dirancang oleh kerajaan memberi kesan yang positif kepada negara, termasuklah kepada semua ahli kita, keluarga kita, dan juga suku sakat parti pembangkang yang setiap hari kerjanya sentiasa mengutuk dan memfitnah kita. Ketiga, kita mencapai kejayaan tersebut kerana adanya kerjasama dari rakyat Malaysia, khususnya dari kakitangan perkhidmatan awam. Hasil kegigihan dan komitmen mereka, maka mutu perkhidmatan kita menjadi cekap, pelayanan kepada masyarakat menjadi tepat, dan persekitaran hidup kita menjadi sihat dan selamat.
10. Maka, atas dasar peranan kakitangan awam yang setia bersama kerajaan ini, Wanita UMNO hari ini ingin memohon kepada kerajaan dua perkara yang saya fikir sudah sampai masanya diberikan perhatian.
11. Pertama, permohonan Wanita UMNO ialah supaya kerajaan memberikan pertimbangan untuk memastikan suami isteri yang bekerja, dapat ditugaskan berdekatan antara satu sama lain. Isu ini adalah di antara isu yang dimaklumkan kepada Wanita UMNO melalui kerja-kerja Jalinan Rakyat kami di peringkat akar umbi untuk diperjuangkan. Wanita UMNO amat memahami bahawa isu ini memerlukan penelitian yang serius. Namun begitu, Wanita UMNO mahu supaya permohonan suami isteri untuk ditugaskan berdekatan dapat dilayan dalam tempoh masa paling lama setahun dari tarikh permohonan. Langkah ini penting untuk kita memberi perhatian kepada pengkukuhan institusi keluarga. Saya yakin prestasi dan produktiviti kerja mereka pastinya dapat ditingkatkan lagi sekiranya masalah ini dapat diselesaikan.
12. Kedua, Wanita UMNO menyokong permintaan CUEPACS supaya kakitangan awam yang telah mencapai tahap gaji maksimum diberikan kenaikan gaji tahunan. Ini kerana praktisnya setakat ini ialah pegawai awam yang telah mencecah mata gaji maksimum tidak diberikan kenaikan gaji tahunan, sedangkan mereka yang berpengalaman ini begitu signifikan sekali dalam melonjakkan kemajuan dan pembangunan negara. Kita sedar kakitangan awam ini tidak dinaikkan pangkat kerana terhadnya bilangan pangkat yang ada. Justeru itu, Wanita UMNO merasakan amatlah wajar mereka diberikan kenaikan gaji tahunan, seiring dengan kenaikan kos hidup dan sumbangan mereka kepada negara.
MELONJAKKAN KEPERKASAAN WANITA
Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan sekalian,
13. Saya teringat kepada kata-kata keramat Perdana Menteri Malaysia pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman. Kata beliau “Wanita hendaklah dimerdekakan terlebih dahulu sebelum negara merdeka.” Alhamdulillah kata-kata Tunku itu menjadi kenyataan. Dengan pelbagai dasar kerajaan Barisan Nasional yang mesra wanita, hari ini wanita yang mewakili 49.1% daripada jumlah penduduk Malaysia, telah menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kemakmuran negara.
14. Kejayaan wanita ini adalah sesuai dengan tema Hari Wanita tahun ini: “Wanita Pencetus Ekonomi Baru”. Betulkah begitu sekali kejayaan wanita? Jawapannya dalam positif, ‘ya’ kerana hari ini telah ramai wanita yang berjaya mencatatkan kecemerlangan. Mari saya berikan beberapa contohnya.
15. Kita lihat sahaja dalam bidang pendidikan. Jika pada tahun 1970-an, 1980-an dan 1990-an, apabila kita masuk ke universiti, kita boleh lihat secara umum nisbah kemasukan lelaki:wanita adalah dalam lingkungan 60:40. Pada hari ini, saya persilakan kita ke universiti, dan lihatlah dalam apapun bidang pengajian, nisbah lelaki:wanita telah bertukar menjadi sebaliknya.
16. Secara lebih spesifik, saya ingin berikan data berikut. Hari ini bilangan wanita yang melanjutkan pengajian di peringkat universiti telah meningkat daripada 57.8% pada tahun 2001 kepada 60.3% pada tahun 2011. Kini, lebih 6 daripada 10 pemegang ijazah kelas pertama adalah wanita. Kejayaan ini adalah membanggakan kita kaum wanita.
17. Kejayaan anak-anak ini adalah kerana asuhan wanita yang juga seorang ibu. Hebatnya wanita ini dapat dilihat dari kata-kata orang dulu: “Tangan yang menghayun buaian itu boleh menggoncang dunia.” Hari ini kehebatan wanita semakin terserlah kerana “tangan wanita yang mengundi itu boleh memerintah dunia.”
18. Benarkah begitu? Kenyataan ini menjadi betul sekiranya kita melihat kepada data-data wanita yang mengundi Francois Hollande hingga menjadi Presiden Perancis, mengundi David Cameron hingga menjadi Perdana Menteri England dan paling akhir mengundi Barack Obama sehingga beliau kekal menjadi Presiden Amerika Syarikat. Kemenangan mereka semua adalah lantaran pengundi wanita yang lebih ramai mengundi mereka daripada lelaki dengan masing-masingnya 2.3% bagi Hollande, 1.9% bagi Cameron dan 2.7% bagi Obama.
19. Mengambil semangat inilah, saya ingin mengajak puan-puan dan ahli-ahli Wanita UMNO untuk bekerja lebih kuat, bagi memastikan Wanita Malaysia juga dapat menyumbang undi yang tinggi untuk membawa kemenangan Barisan Nasional dalam PRU 13.
Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan sekalian,
20. Pencapaian wanita dalam bidang pendidikan telah menyebabkan ramai wanita bukan hanya bertugas di rumah tetapi juga mempunyai kerjaya yang hebat. Peratusan tenaga kerja wanita telah meningkat dari 37% pada tahun 1970 kepada 44.7% pada tahun 1995, dan 47.9% pada tahun 2010. Mereka juga tidak lagi tertumpu pada pekerjaan yang separa mahir dan tidak mahir. Hari ini semakin ramai wanita telah menjadi profesional dan menceburi bidang yang dahulunya didominasi oleh golongan lelaki. Kini, 46.2% daripada doktor adalah wanita, akauntan seramai 49.6%, doktor gigi seramai 63.2% dan peguam seramai 49.2%.
21. Kejayaan wanita Malaysia di bawah Kerajaan Barisan Nasional boleh dibanggakan. Dan pencapaian ini menjadi kenyataan, kerana kesediaan kerajaan Barisan Nasional untuk mengarus perdanakan peranan wanita di dalam semua aspek kehidupan. Misalnya, sejak bulan Ogos 2004 lagi, kerajaan telah mengumumkan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus pegawai di peringkat pembuat keputusan di sektor awam mesti terdiri dari wanita. Sejak dasar ini diumumkan penyertaan wanita di peringkat pembuat keputusan di sektor awam telah meningkat kepada 31.7% pada tahun 2011 berbanding hanya 18.8% pada tahun 2004. Tambah memberangsangkan ialah terdapatnya pada hari ini hasil perjuangan kita bersama, 6 orang wanita dalam kalangan 24 orang Ketua Setiausaha Kementerian. Ini merupakan sejarah pencapaian terbaik wanita.
22. Pencapaian di atas belum lagi mengambil kira kejayaan wanita yang menjadi Naib-naib Canselor, Timbalan Naib Canselor dan pelbagai jawatan tertinggi lagi di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Selain itu, wanita juga memegang jawatan penting dalam menjaga dan menggerakkan ekonomi negara. Antaranya adalah seperti Gabenor Bank Negara, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE dan SME Corp. dan sehingga bulan April 2012 Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti.
23. Dalam bidang kesihatan pula, jangka hayat ketika lahir wanita telah meningkat dari 73.7 tahun pada tahun 1990 kepada 77.1 tahun pada tahun 2011. Kadar celik huruf wanita pula telah meningkat daripada 77.3 peratus pada tahun 1990 kepada 91.4 peratus pada tahun 2011. Tidakkah contoh yang saya berikan di atas menunjukkan betapa wanita telah semakin perkasa berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki untuk membangun negara. Syukur Alhamdulillah.
KEJAYAAN WANITA KE DEPAN
Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan sekalian,
24. I have a dream. Inilah kata-kata yang diucapkan oleh Martin Luther King, Jr. semasa berucap di hadapan kira-kira 200,000 orang di Lincoln Memorial pada 28 Ogos 1963. Ucapan ini kemudiannya dipilih sebagai ucapan terbaik pada abad ke-20. Seperti Martin Luther King, saya juga mempunyai hasrat yang menggunung tinggi selaku Ketua Wanita UMNO Malaysia dan Ketua Wanita Barisan Nasional untuk kejayaan puan-puan di dalam parti dan untuk wanita dan keluarga Malaysia.
25. Apakah hasrat saya tersebut? Semasa memegang amanah dan tanggungjawab sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, saya berazam untuk menentukan tiga perkara menjadi kenyataan. Pertama, menghentikan diskriminasi sama ada tersirat maupun tersurat terhadap wanita. Kedua, menentukan semua perundangan, polisi dan peraturan berkaitan dengan wanita, keluarga, kanak-kanak, orang kurang upaya, warga emas, isu kebajikan dan kemasyarakatan diberi keutamaan bagi membantu dan melindungi kumpulan sasar ini dari sebarang bentuk penindasan dan diskriminasi, malah saya mahu lihat pembangunan dan kejayaan mereka. Ketiga, mengarus perdanakan kesemua isu ini di dalam perancangan kerajaan dan melaksanakannya didalam kehidupan seharian.
26. Alhamdulillah, sepertimana hasrat Martin Luther King tercapai setelah Barack Obama dipilih menjadi Presiden kulit hitam Amerika yang pertama empat tahun lalu, begitulah juga dengan impian saya yang kian menjadi realiti.
27. Apa yang menjadi realitinya? Bermula dengan Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 8(2) pada tahun 2001 di mana jelas dinyatakan tidak boleh ada lagi diskriminasi di antara gender, disusuli dengan pelbagai pindaan perundangan, polisi-polisi dan peraturan dari semua peringkat pentadbiran untuk mengarusperdanakan is-isu wanita sehinggalah polisi terbaru awal tahun ini di mana sekurang-kurang mesti ada 30 Peratus Wanita Di Peringkat Pembuat Keputusan Dalam Sektor Korporat dan juga pengujudan Kursi Kepimpinan Wanita yang kita amanahkan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia. Hasil perjuangan kita bersama, maka lebuh raya politik, ekonomik dan sosial telah diperlebarkan untuk wanita Malaysia, terutamanya dalam 10 tahun kebelakangan ini sejak pengujudan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
28. Saya cukup teruja dan juga terharu dengan pencapaian yang telah dicapai di atas. Oleh itu, saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memahami aspirasi wanita dan memberi perhatian kepada pembangunan wanita.
BERSATU MELONJAKKAN KEMENANGAN
Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan yang dirahmati Allah,
29. Melihat kepada perkembangan dunia yang berlaku sekarang ini, saya harus mengaku bahawa amat sukar untuk saya memulakan ucapan kata pada hari ini. Terlalu banyak isu yang perlu disentuh dan terlalu banyak perkara yang perlu dibangkitkan. Namun, dalam keterbatasan waktu yang ada ini, adalah tidak mungkin untuk saya mengupas kesemuanya. Justeru itu, dalam ucapan ini saya akan hanya menyentuh tentang “Anjakan untuk Melonjakkan Kemenangan”.
30. Saya memilih tema ini kerana saya merasakan pilihan raya yang lepas meninggalkan implikasi tertentu kepada UMNO kita. UMNO dan Barisan Nasional mendapat undi yang semakin merosot sehingga penganalisis politik menggelarnya sebagai tsunami politik. Saya tidak mahu mengulangi data-data pilihan raya yang lepas dan juga tidak mahu mengulangi faktor kemerosotan pencapaian kita dalam PRU yang lepas. Pada saya keputusan PRU yang lepas memberikan satu pengajaran besar kepada kita: ia adalah satu wake-up call supaya kita tidak lagi leka.
31. Ya, memang pun kita tidak boleh leka kerana perkembangan politik hari ini menunjukkan kita mempunyai banyak lagi cabaran di depan. Kesan krisis politik dunia yang berlaku pada hari ini juga melimpah ke negara kita. Kebangkitan rakyat di Asia Barat, krisis di Syria, dan serangan Israel ke atas Palestin meninggalkan kesan ke atas negara kita. Krisis mata wang Euro juga meninggalkan kesan kepada negara kita. Gerakan ekstremis antarabangsa juga meninggalkan kesan kepada negara kita. Globalisasi juga meninggalkan kesan kepada negara kita. Maka ini semua adalah cabaran yang perlu kita hadapi, dan untuk kita menghadapi cabaran ini, maka UMNO perlu kuat kerana UMNOlah satu-satunya wadah perjuangan yang dapat menjaga negara ini dari kehancuran.
32. Demi masa depan negara, kita tidak boleh bergantung kepada parti pembangkang maupun kepimpinan mereka. Mereka bukan sahaja tidak ada pengalaman memerintah, tetapi lebih ketara lagi mereka adalah parti yang tidak moderate, rigid, dan mempunyai sikap politik yang amat menakutkan. Mereka kata UMNO tidak bebas, tidak adil dan tidak boleh menerima perbezaan pendapat, tetapi realiti adalah di sebaliknya. Merekalah yang kuat mengutuk, mengeji, menghina, mengaib, memfitnah dan mendoakan kemusnahan orang di stadium apabila isu yang dibahaskan bertentangan dengan kehendak dan fahaman mereka.
33. Mereka mengatakan kitalah yang menyokong membuta tuli apa yang kerajaan buat, tetapi realitinya merekalah yang menyokong apa sahaja yang dibuat oleh pemimpin mereka walaupun tidak ada logic, tidak munasabah dan akan membawa kepada kehancuran negara. Bukan setakat itu, mereka juga cepat mengeluarkan apa juga nas yang berkaitan untuk membela diri apabila sesuatu isu itu mengena kepada mereka. Matlamat nafsu mereka nak ke Putrajaya (nauizubillah) manghalalkan cara politik mereka. Sikap pembangkang sebegini tentunya tidak layak untuk memerintah negara kerana ia memusnahkan ummah.
34. Saya bagi satu contoh. Enakmen Jenayah Syariah Kelantan Seksyen 24 Takfir memperuntukkan hal berikut:
Sesiapa yang mengatakan atau mengaitkan melalui kata-kata, sama ada bertutur atau tulisan, atau melalui syarat, atau melalui gambaran yang boleh dilihat atau melalui apa-apa perbuatan, kegiatan atau kelakuan, atau dengan mengelola, menggalak atau memperaturkan apa-apa kegiatan atau lainnya dengan apa jua cara bahawa mana-mana orang yang tergolong dalam mana-mana kumpulan, kelas atau perihalan orang-orang yang menganuti Agama Islam;
(i) adalah orang kafir, atau
(ii) telah berhenti menganut Agama Islam, atau
(iii) tidak patut dapat diterima, sebagai menganuti Agama Islam, atau
(iv) tidak mempercayai, mengikuti, menganuti, atau tergolong dalam Agama Islam,
Adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun, atau denda tidak melebihi lima ribu tinggit atau kedua-duanya.
35. Terkini orang PAS telah berdoa di stadium sehingga melukakan hati-hati rakyat Malaysia, dan jika merujuk kepada Enakmen yang diluluskannya sendiri di Kelantan, maka apakah tindakan PAS itu tidak bersalah? Saya serahkan kepada perwakilan dan rakyat Malaysia untuk menilainya. Tapi kita dalam UMNO tidak bersikap begitu. Kita tidak mahu kepada permusuhan. Lantas kita hulurkan tangan perpaduan kepada semua, malah nikmat program di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional dirasai oleh semua termasuklah ahli-ahli parti pembangkang.
Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan yang dikasihi,
36. Saya ingin tegaskan kita tidak mahukan permusuhan dengan sesiapapun kerana kita tahu permusuhan tidak membawa apa-apa kebaikan, melainkan kemusnahan, kesusahan rakyat dan seumpamanya. Oleh itu, dalam menghadapi setiap tohmahan dan permainan politik yang semakin kotor ini, kita perlu kuat dan kita perlu bersatu demi memperkasakan parti.
37. Bercakap tentang hal di atas, kutuk mengutuk, keji mengeji, fitnah memfitnah, musuh memusuhi, saya teringat kepada sebuah buku yang ditulis oleh Francis Fukuyama, seorang profesor sains politik terkenal yang sekarang ini mengajar di Stanford Universiti. Tiga tahun selepas menulis magnum opusnya The End of History and the Last Man pada tahun 1992, beliau menerbitkan sebuah buku bertajuk Trust: The Social Virtues and the Creation of Prosperity.
38. Dalam bukunya ini beliau membincangkan tentang high politics dan low politics. Kata beliau sikap benci membenci, melaga-lagakan orang dan kaum, memfitnah orang adalah tahap low politics yang boleh menyebabkan munculnya low trust yang kemudiannya boleh memporak-perandakan tamadun yang telah atau sedang kita bina. Hadirin sekalian, dalam konteks negara kita ini:
- Parti manakah yang suka berbuat demikian?
- Bolehkah parti yang sebegini kita berikan peluang untuk menerajui negara kita?
- Apakah yang kita akan buat untuk mempertahankan kesejahteraan pertiwi yang telah kita bina selama ini?
39. Saya sedih dan amat kesal dengan sikap parti pembangkang. PAS, sebuah parti konon katanya Islam, yang sepatutnya mendokong cara gaya Islam, dalam kehidupan berpolitik dan bemasyarakat sendiripun masih jauh dari mengamalkan cara hidup berpolitik dan bermasyarakat secara Islam. Sehingga kini pemimpin-pemimpin mereka tidak habis-habis menimbulkan isu-isu remeh yang boleh memecahbelahkan masyarakat Melayu seperti memulau majlis-majlis yang dianjurkan oleh ahli UMNO, tidak menziarahi orang UMNO yang sakit biarpun tinggal berjiran, terlalu sombong untuk bertegur sapa sesama Islam semata-mata kerana datang dari parti yang berlainan dan banyak lagi contoh lainnya.
40. Sikap ahli PAS ini tentunya bertentangan dengan nilai-nilai Islam kerana dalam Islam ada enam hak orang Islam ke atas orang Islam yang lain, iaitu memberi salam apabila bertemu, menziarahi apabila sakit, menghadirkan diri apabila dijemput, menyatakan yarhamukallah apabila bersin, mengiringi jenazah apabila mati, dan memberi nasihat apabila diminta. Jika beginilah sikap PAS, bolehkah parti sebegini kita sokong? Pada saya tentunya tidak kerana jikalau parti yang sebegini berada di persada kuasa, tentunya banyak lagi perkara-pekara pelik yang akan mereka buat yang boleh merosakkan institusi kukuh masyarakat yang sedia ada.
Bagaimana Memperkasakan Parti?
Tan Sri Pengerusi Tetap dan perwakilan yang dihormati,
41. Selepas sahaja pilihan raya umum 2008 diketahui, kita mula menyedari bahawa parti kita akan menghadapi cabaran getir untuk menghadapi perjuangan dalam pilihan raya seterusnya. Apakah cabaran itu?
42. Pertamanya, cabaran kita untuk menghadapi hakisan sokongan dari kaum bukan Melayu terhadap parti kita. Ini kerana Barisan Nasional menghadapi masalah besar dalam kawasan parlimen campuran dalam pilihan raya yang lepas. Bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang kita perlu mengatasi masalah ini dengan mengikat erat hubungan dan tali silaturrahim kita di antara kaum. Kita bukan sahaja perlu merapatkan kesenjangan antara kita dan bukan Melayu dalam semangat 1Malaysia, tetapi juga mengelakkan perpecahan di kalangan kita sesama UMNO, sama ada di kalangan pemimpin sesama pemimpin, ahli dengan pemimpin, dan ahli sesama ahli. Ringkasnya, kita perlu bersatu bagi mengelakkan jentera parti kita lemah dan membuka ruang kepada pembangkang untuk mengambil kesempatan.
43. Mengenai perpaduan dan kepentingan kerjasama dalam melakukan sesuatu ini, saya ingin menarik perhatian para perwakilan ini kepada satu cerita tentang perlumbaan Arnab dan Kura-Kura. Dalam satu perlumbaan, apabila loceng dibunyikan, maka arnab mula berlari dengan pantas dan meninggalkan kura-kura jauh di belakang. Arnab memandang lekeh pada kura-kura kerana merasakan tidak mungkin kura-kura boleh memintasnya mengambil peluang berehat di bawah pokok sehingga tertidur. Secara slowly but consistently, kura-kura merangkak dari belakang dan kemudiannya memintas arnab yang sedang tertidur itu sehingga sampai ke garisan penamat.
44. Mengetahui kekalahannya disebabkan kesilapan teknikal kerana tertidur, arnab mencabar kura-kura untuk bertanding buat kali kedua dengan azam tidak mahu tertidur lagi. Kura-kura bersetuju. Setelah loceng dibunyikan arnab berlari pantas dan sampai awal ke garisan penamat dengan kura-kura ditinggalkannya jauh ke belakang. Ceritanya tidak tamat di situ.
45. Kura-kura memikirkan strategi untuk mengalahkan arnab dan mencabar arnab untuk bertanding buat kali ketiga dengan memilih laluan lain. Tanpa berfikir panjang arnab bersetuju dengan laluan baru tersebut. Setelah loceng dibunyikan arnab terus berlari pantas, tetapi sebelum sampai ke garisan penamat, terdapat sungai yang menghalanginya. Arnab terpaksa berhenti hanya setakat itu. Tidak beberapa lama kemudian kura-kura sampai dan berkata kepada arnab. “Nah! Sekarang naik ke atas belakangku, biar aku bawa kau ke seberang.” Arnab pun naik di atas belakang kura-kura, dan setelah sampai di seberang, arnab pula berkata kepada kura-kura. “Sekarang kau pula pegang ekorku biar aku bawa kau bersama ke garisan penamat.” Dengan kerjasama itu, arnab dan kura-kura berjaya sampai ke garisan penamat secara bersama dengan perasaan yang penuh kasih sayang dan saling mempercayai.
46. Apakah pengajarannya dari cerita di atas tadi? Banyak hikmahnya yang boleh kita teladani – sama ada itu dari segi strategi bersaing, atau keuntungannya yang boleh kita perolehi apabila kita bersatu dan bekerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Begitulah juga dalam politik ini? Harapnya persaingan sesama kita adalah persaingan yang mengutamakan perpaduan dan kerjasama untuk kebaikan parti, Bangsa, Agama dan Negara kita dan bukan untuk membawa kepada kehancuran.
47. Cabaran kedua yang kita hadapi ialah untuk menjaga kuasa Melayu yang kedudukannya adalah “bagai telur di hujung tanduk.” Jika kita tidak bertindak mulai sekarang, kita akan semakin terpinggir kemudiannya. Bayangkan sahaja sekarang ini kuasa politik Melayu di Parlimen adalah amat marginal sekali. Keadaan ini perlu kita tangani dari sekarang jika kita tidak mahu menjadi pelarian di bumi sendiri. Perpecahan undi Melayu akan melunturkan kuasa politik Melayu yang sedia ada. Pada hari ini kuasa ekonomi bukan di tangan orang Melayu. Adakah kita sanggup hilang kuasa politik juga?. Jika UMNO lemah maka percayalah risikonya akan dirasai oleh semua kaum. Jika Melayu bersatu dan kuat dan menjadi tulang belakang kerajaan yang dipilih, apatah lagi jika majoritinya 2 per tiga kerusi Parlimen, maka Insya-Allah semua kaum, semua lapisan masyarakat akan dapat meraih kestabilan politik negara.
48. Cabaran ketiga yang perlu kita hadapi ialah untuk menghadapi isu-isu agama PAS terutama di kalangan mereka yang berasa terpinggir dari arus pembangunan negara. Dua kempen besar yang sering dibawa oleh PAS untuk melemahkan UMNO ialah dengan menggambarkan kepada masyarakat bahawa kononnya pendokong-pendokong UMNO ialah orang yang kononnya korup dan kononnya tidak mengimarahkan masjid. Masya-Allah. Kita tahu tohmahan PAS itu adalah fitnah belaka, dan oleh itu kita perlu menghadapi tohmahan ini dengan membuktikan kita adalah pejuang parti yang luhur dan ahli yang memakmurkan masjid.
49. Cabaran keempat yang perlu kita hadapi ialah untuk menarik pengundi muda dan juga pengundi Melayu supaya mendaftar dan menyokong kita. Data-data pada hari ini menunjukkan bahawa jika ada perpecahan di antara orang Melayu, maka kaum lain akan menjadi penentu kepada keputusan PRU 13. Saya nak minta kepada semua ahli Wanita UMNO supaya bila pulang ke rumah tentukan semua kaum keluarga kita sendiri yang belum menjadi ahli UMNO, mendaftar sebagai ahli UMNO, yang belum mendaftar sebagai pengundi, secepat mungkin mendaftar sebagai pengundi dan tentukan mereka mengundi Barisan Nasional dalam PRU 13. Impaknya amat besar sekali jika kita berjaya berbuat begini. Jangan salahkan orang lain jika orang Melayu sendiri tidak menyanyangi bumi bertuah tanah tumpah darah sendiri.
50. Cabaran kelima yang kita hadapi ialah untuk menjadikan UMNO sebagai sebuah parti Melayu yang kekal relevan. Untuk itu, UMNO tidak lagi boleh berada ditahap lama dan perlu menyesuaikan pendekatan politiknya dengan tuntutan semasa. Persoalannya bolehkah kita buatkan UMNO ini berubah, dan jika boleh, bagaimanakah caranya? Inilah cabaran yang sedang kita hadapi sekarang, iaitu bersedia dari sekarang untuk kembali merekayasa parti dan perjuangan kita.
APA IMPLIKASINYA JIKA UMNO LEMAH?
Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan yang dihormati sekalian,
51. Pertama, kegagalan kita untuk mengatasi cabaran di atas akan membawa implikasi yang besar kepada parti kita. Terdapat pelbagai kemungkinan implikasi yang boleh difikirkan, tetapi sesuatu yang paling menakutkan ialah sekiranya parti kita menjadi parti yang tidak lagi relevan dan ditolak rakyat. Kita mesti pertahankan ini dari berlaku dan sebab itulah kita perlu bangkit sekarang dengan penuh kesedaran bahawa kita memegang amanah untuk terus menjunjung bangsa dan mendaulatkan negara ini.
52. Keduanya, dijauhkan Allah, jika kita tidak lagi ditampuk kuasa, maka kestabilan politik negara akan goyang. Pastinya kaum Melayu yang menjadi rakyat majoriti di negara kita tidak akan senang. Saya bimbang dan kuatir ini mungkin akan membawa kepada ketegangan kaum yang boleh mengundang kembali tragedi 13 Mei 1969. Mahukah kita melihat keadaan jijik tersebut berlaku lagi dalam negara kita? Kita pastinya tidak mahu.
53. Untuk itulah, sebelum keadaan yang digambarkan di atas berlaku, kita perlu mengambil langkah dan mencari jalan untuk mengatasinya. Kata doktor, barah jika dirawat dari awal kurang menyakitkan. Jika dibiarkan ia akan terus merebak menjadi barah yang membahayakan, menyakitkan dan seterusnya boleh membunuh. Kita mesti berani mengambil tindakan yang tegas untuk kebaikan parti kita kerana “luas tentu bertepi dan panjang tentunya berpenghujung”.
AGENDA DAN STRATEGI MEREKAYASA PARTI
Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan sekalian,
54. Melihat dua kesan besar di atas, kesannya adalah amat menakutkan sekiranya kita tidak lagi kuat. Oleh itu, kita perlu mengambil langkah yang sesuai bagi mengatasinya. Apakah langkah dan strategi tersebut? Hasil renungan dan perbincangan saya dengan kawan-kawan, terdapat beberapa pendekatan dan strategi yang boleh diambil untuk mengatasi cabaran di atas?
55. Pertama, saya suka merujuk kepada pendapat Martin Seymour Lipset dan Samuel Huntington, dua orang sarjana politik termashyur di abad ke-20 yang menyatakan inti pertama kerajaan yang berjaya ialah kerajaan yang dapat menjaga perut rakyat. Saya yakin kerajaan kita telah menjaga perut rakyat. Misalnya, bagi meringankan beban rakyat, Y.A.B. Perdana Menteri kita telah melancarkan skim BRIM dan lain-lain pemberian one-off yang cukup luar biasa, insentif dan lain-lain. Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri adalah satu bajet yang mengutamakan rakyat “kerajaan rakyat, dari rakyat untuk rakyat” dengan pendekatan “Janji Ditepati”. Kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai program kebajikan untuk melawan konsep welfare state pembangkang dengan konsep workfare state kita yang lebih praktikal dan relevan.
56. Apa maksudnya? Maksudnya mudah sahaja. Konsep welfare state pembangkang adalah untuk membangkrapkan ekonomi negara dan satu konsep yang cukup tidak bertanggungjawab kepada ekonomi negara. Banyak yang dijanjikan untuk diberikan percuma kepada rakyat tanpa mengambil kira keupayaan perbelanjaan negara. Saya juga mahu konsep itu dilaksanakan jika kerajaan mampu, tetapi secara logiknya data menunjukkan pendapatan negara kita tidak mampu kerana kerajaan kita tidak mengutip cukai yang tinggi. Malah kadar peratusan cukai di negara kita adalah antara yang terendah di dunia. Oleh sebab itulah Wanita UMNO mendokong apa yang dinamakan pendekatan workfare state, iaitu mendorong rakyat supaya bekerja dan sekiranya hasil pendapatan masih belum mencukupi, kerajaan akan bantu untuk meringankan beban mereka yang miskin dengan pelbagai rancangan bantuan.
57. Dalam hal ini, semasa saya di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), kerajaan telah memperuntukkan berbilion ringgit untuk membantu rakyat miskin di bawah program kebajikan masyarakat (KARISMA). Ini kerana kita mahukan rakyat selesa. Kita amat berharap agar rakyat menghargai jasa kita seperti kata pepatah: “ayam yang mengeram tak akan lari dari reban”.
58. Kedua, kita perlu perkuatkan ekonomi orang Melayu. Banyak cara yang boleh dilakukan, tapi dalam persidangan ini Wanita UMNO ingin memohon kerajaan supaya memastikan orang Melayu menguasai separuh dari ekuiti kekayaan negara. Inilah yang kita mahu orang Melayu capai dalam waktu terdekat, iaitu “memegang tali memegang timba, menguasai ekonomi memerintah negara”. Mungkin nampak sukar untuk kita melakukannya, tetapi yakinlah dalam hidup ini kita boleh melakukannya selagi ada kemahuan kerana “kemahuan itu laksana sebilah beliung yang tajam, yang dapat membuat jalan menebas hutan”.
59. Persoalannya, bagaimanakah cara untuk melakukannya? Saya ingin mencadangkan satu perkara yang seingat saya telahpun dibahaskan dalam persidangan UMNO beberapa tahun yang lalu. Perkara tersebut ialah menggesa kerajaan menggalakkan penabungan orang Melayu. Untuk menggalakkan penabungan ini, Tabung Haji perlu dapat menarik pendeposit untuk menyimpan kerana Tabung Haji adalah satu-satunya institusi ekonomi orang Melayu. Namun, bagaimanakah orang Melayu mahu menyimpan dalam Tabung Haji jika dividennya lebih rendah dari Amanah Saham yang lain. Oleh sebab itu, saya berdiri di sini untuk memohon kerajaan supaya menimbangkan bonus dan dividen Tabung Haji, jika tidak lebihpun, sekurang-kurangnya biarlah sama dengan dividen ASB.
60. Selain itu, UMNO perlu meningkatkan taraf pendidikan orang Melayu dan menjadikan setiap desa sebagai ‘jelapang ilmu.‘ Saya mahu sekolah luar bandar diperkasakan ke tahap maksimum sepertimana mana juga sekolah yang terdapat di bandar. Saya cadangkan begini kerana saya yakin pendidikan dan ekonomi adalah seperti kembar Siam yang tidak dapat dipisahkan dalam usaha kita untuk memajukan orang Melayu.
61. Ketiga, bagi menarik sokongan dari pengundi-pengundi baru kita perlu merancang program yang sesuai. Kita perlu memperhebatkan kempen keahlian, mendekati golongan muda dan profesional, dan menunjukkan kepada golongan ini bahawa parti kita adalah relevan untuk terus mentadbir negara. Golongan ini perlu kita yakinkan supaya mereka dapat bersama kita. Sebab itulah saya menyeru supaya kita dapat mentranformasikan pendekatan politik kita: kita beranjak untuk kecemerlangan!
62. Apa maksudnya? Maksudnya ialah kita beranjak mendekati pengundi muda tanpa menceroboh intelek mereka, elakkan dari gagal untuk menerima perbezaan pendapat, elakkan dari menjadi pemimpin yang mempuyai tahap denial syndrome yang tinggi, mesti bersedia to listen not to dictate, dan bajakan kempen dengan idea baru yang segar dan subur. Kita perlu wujudkan suasana feel good dalam parti. Ini perlu kita lakukan supaya anak-anak muda dan orang atas pagar menyertai parti kita. Golongan ini perlu sekali didekati, bukannya dimusuhi.
Tan Sri Pengerusi Tetap dan tuan puan yang dihormati sekalian,
63. Sesungguhnya kita belajar dari sejarah dan pengalaman kerana dua perkara ini, mengikut George Satayana, adalah guru yang terbaik. Dalam koleksi tulisannya The Life of Reason yang boleh kita Google, Satayana menyatakan kesilapan manusia yang paling besar ialah apabila kita “gagal untuk belajar dari sejarah.” Ya, sejarah telah menunjukkan banyak contoh kepada kita. Apabila kita bersatu, maka parti kita kuat. Untuk itu, pilihan raya umum yang lalu perlu sekali kita jadikan premis kepada perjuangan kita hari ini, esok dan yang akan datang. Bagi merekayasa kembali perjuangan kita, saya ingin mencadangkan kepada para perwakilan supaya kita mengambil langkah-langkah berikut:-
i. selesaikan sebarang kekeruhan dengan cara terbaik,
ii. bina sikap saling mempercayai antara satu sama lain,
iii. belajar dari kesilapan bukan belajar melakukan kesilapan,
iv. bersatu sesama kita sebelum kita menyeru orang lain bersatu dengan kita,
v. elakkan jerebu kepalsuan dalam mendokongi perjuangan,
vi. berjuang bersungguh-sungguh demi prinsip bukan kerana kebendaan, dan
vii. bajakan perjuangan ini dengan hati yang tulus supaya kita dapat mengutip hasil yang lumayan.
ANJAKAN WANITA DAN PENCAPAIAN POLITIKNYA
Tan Sri Pengerusi Tetap dan hadirin rakan seperjuangan yang dihormati,
64. Selepas PRU 2008, landskap politik telah banyak berubah. Kita perlu beranjak sesuai dengan perubahan ini untuk melonjak kemenangan. Dalam PRU yang akan datang, kemenangan yang kita harapkan tidak akan datang “bagai yang bulat bergolek dan yang pepeh melayang”. Jika kita gagal menyelami dan memahami gelombang perubahan ini, pendekatan kita akan dilihat hambar dan gerak kerja kita tidak bermaya. Wawasan dan dasar UMNO kita akan dianggap lapuk dan gagasan kita disifatkan sebagai usang. Oleh itu adalah amat penting untuk kita memenuhi aspirasi dan memahami perubahan pemikiran orang-orang Melayu.
65. Bagaimana pula dengan Wanita UMNO? Apakah Wanita UMNO telah berubah sesuai dengan tuntutan semasa ini?
66. Alhamdulillah, bagi Wanita UMNO, sejak diberi amanah menggalas tanggungjawab ini, saya bersama-sama dengan saf kepimpinan wanita giat turun ke gelanggang di setiap negeri dan kawasan-kawasan Parlimen untuk memastikan persiapan jentera Wanita UMNO dan Barisan Nasional berada di tahap yang optimum. Saya terperanjat lantas bersyukur apabila melihat semangat Wanita UMNO terus membakar di setiap pelusuk negara. Walaupun semboyan rasmi belum ditiup, Wanita UMNO telah terlebih dahulu mengorak langkah dalam satu barisan rapat menuju medan perang.
67. Bagi mendekati hati pengundi, Wanita UMNO telah merangka dan melaksanakan pelbagai program seperti program Salam Sayang serta program pemantapan dan pemantauan jentera Jalinan Rakyat. Melalui program seperti ini, Wanita UMNO telah berjaya bertemu dengan pengundi-pengundi di akar umbi. Apa yang Wanita UMNO dapati, mood rakyat adalah sangat baik terhadap Barisan Nasional.
68. Selain itu, bagi memperkukuhkan jentera Jalinan Rakyat, pasukan khas yang dinamakan Pasukan Bertindak Wanita Barisan Nasional (PBB) telah ditubuhkan bertujuan untuk menjalankan misi-misi khas yang memerlukan kepada penelitian gerak kerja yang lebih terperinci dan bersistematik. Kerjasama di antara Wanita UMNO dan Wanita Barisan Nasional dipertingkatkan, terutamanya dalam program-program harian.
69. Malahan, saya amat yakin bahawa bila-bila masa sahaja Presiden UMNO akan memanggil untuk mengadakan pilihan raya, jentera Wanita UMNO lebih kurang seramai 230 ribu orang telah bersiap sedia sepenuhnya untuk mempertahankan kemenangan Barisan Nasional.
Tan Sri Pengerusi Tetap dan sahabat-sahabat yang dikasihi,
70. Sebagai ibu, saya mahu mengingatkan kaum wanita supaya terus yakin dengan perjuangan UMNO. Ini kerana ancaman terhadap agama Islam dan orang Melayu semakin mencabar. Sebagai ibu kita perlu bertanggungjawab memastikan anak-anak dan generasi akan datang, dapat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.
71. Percayalah! Tanpa UMNO, agama dan bangsa orang Melayu akan tergadai. Siapa lagi yang hendak kita harapkan menjaga agama Islam dan bangsa Melayu di negara ini?
- Bolehkah kita harapkan PAS?
- Bolehkah kita harapkan PKR, DAP atau PR?
72. Jawapannya tentu sekali tidak. Oleh itu, kita tidak ada pilihan kerana dalam senario politik hari ini, hanya UMNO sahajalah yang dapat mempertahankan serta memartabatkan Agama dan Bangsa di negara kita ini.
Tan Sri Pengerusi Tetap dan sahabat seperjuangan sekalian,
73. Pada tahun 2008, bilangan ahli parlimen wanita telah meningkat kepada 10.4% berbanding 9.6% pada tahun 2004. Bilangan wanita yang dicalonkan ke Dewan Undangan Negeri juga meningkat kepada 8.2% pada tahun 2008 berbanding 6.9% pada tahun 2004. Pada hari ini Senator Wanita adalah 28% daripada Ahli Dewan Negara. Menjadi azam saya untuk memperjuangkan habis-habisan untuk wanita dalam politik. Sepertimana mana perjuangan saya untuk wanita dalam perkhdimatan awam dan bidang korporat.
74. Untuk PRU yang akan datang, saya akan merayu kepada Y.A.B. Presiden parti, supaya bilangan calon wanita ditingkatkan. Saya yakin kita mempunyai ramai winnable candidates seperti yang dikehendaki oleh Y.A.B. Presiden parti kita. Sama-samalah kita berdoa supaya Y.A.B. Presiden merestui permohonan kita ini.
PENUTUP KATA
Tan Sri Pengerusi Tetap dan sahabat-sabahat seperjuangan sekalian,
Perhimpunan kita yang lalu amanat telah dititipkan
Pertemuan kita yang lampau semboyan telah dibunyikan
Perjumpaan kita yang lepas tenaga tuju telah disepadukan
Perhimpunan, pertemuan dan perjumpaan kita sekian kali ini tinggal pada penghujungnya
Kita sudah tiada masa
Kayu api sedepa hanya tinggal sepuntung
Hari malam yang pekat hanya tunggu fajar menyinsing
Anak-anak sudah 5 kali beralih tidur
Ayam jantan sudah mula berkokok
Tanda-tanda hari akan siang semakin menjengok
Justeru itu
Wahai Sang Saka
Pertiwi Srikandi Bangsa
Pembela dan pejuang negara
Mari kita bersama turun ke lembah
Hutan dan api bersama kita tarah
Badai dan gelombang bersama kita terjah
Musuh dan halangan bersama kita belasah
Biar jiwa melayang dari badan
Biar nyawa dijadikan gadaian
Biar tubuh bermandi peluh
Biar jasad hancur luluh
Asalkan Agama terus berkiblat
Asalkan bangsa hidup bermertabat
Asalkan negara tegak berdaulat
Asalkan rakyat bahagia selamat
Jangan kaki undur selangkah
Jangan tangan kudung sebelah
Jangan semangat menjadi gundah
Jangan sepakat mencari punah
Mari kita gerak sederap
Bersama hati semangat mantap
Amanah tinggi mempertahankan negeri
Moga Allah sentiasa memberkati
Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Selamat Bersidang
Y.BHG. DATO’ SRI SHAHRIZAT ABDUL JALIL
KETUA PERGERAKAN WANITA UMNO MALAYSIA DI
PERHIMPUNAN AGONG PERGERAKAN WANITA UMNO
28 NOVEMBER 2012
Berita Bertarikh Pada 28 November 2012 12:41 PM
Berita Keseluruhan Kategori Ketua Wanita »
Berita Terkini
Pas Sanggup Ketepikan Agenda Islam Kerana DAP
Janji Populis Pembangkang Bakal Undang Negara Lemas Dalam Hutang
“Masa Depan UMNO : Beranjak Untuk Melonjak Ke Arah Kemenangan” – Shahrizat
“Antara Dua Masa Depan” – Khairy
“Juang” – Rosnah
Pembangkang Dibidas Amal Politik Ultra Perkauman, Fahaman Songsang
UMNO Doa Mohon Pas Dibukakan Pintu Ke Arah Kebenaran
UMNO Doakan Orang Islam Tidak Menjahanamkan Sesama Sendiri
Berita Bergambar :
Berbincang Sesuatu
Bergambar Kenangan
Lagu Keramat Di Dewan Merdeka
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan