Selasa, 3 Julai 2012
Pelajar di luar negara jangan terperdaya dengan saudagar janji
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa para pelajar yang berada di luar negara agar mendapatkan maklumat dan informasi yang tepat untuk memainkan peranan sebagai duta kecil negara tanpa perlu terpedaya kepada ‘saudagar janji’ yang sering dimiankan oleh pembangkang.
Katanya, pakatan pembangkang adalah saudagar janji yang gemar menjanjikan pelbagai perkara sebagaimana Pas dalam pilihan raya yang lalu mempunyai janji-janji yang pelbagai tetapi malangnya apabila dapat membentuk kerajaan maka sehingga ke hari ini apa yang dijanjikan tidak pernah ditepati.
“Kita lihat di Kelantan, kutipan cukai yang dilakukan oleh kerajaan Persekutuan adalah RM300 juta tapi berapa jumlah wang Persekutuan yang dibelanjakan untuk pembangunan dan lain-lain di Kelantan? Jawabnyak RM5.6 bilion. Itu pun kerajaan dituduh tidak adil.
“Apa jadi dengan kerajaan Kedah terhadap Institut Insaniah? Apa jadi dengan kerajaan Selangor apabila para pelajarnya di Unisel tidak mendapat pinjaman PTPTN? Apa jadi dengan aset-aset Kerajaan Selangor yang ada di Wilayah Persekutuan? Saudagar janji masih lagi dengan janji-janjinya dan barangkali akan menaburkan janji-janji baru dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan di hadapan 150 orang pelajar Malaysia di Majlis Makan Malam Pelajar Bersama Pemimpin UMNO anjuran Kelab UMNO Luar Negara Jakarta, di Hotel Pullman, malam tadi.
“Lihat bagaimana pembangkang yang dulu kata kerajaan membazir membina jambatan Pulau Pinang tetapi hari ini mereka minta jambatan kedua, dulu lebuh raya dibuat dan Lim Kit Siang kata tak mahu bayar tol tapi hari ini minta lebuh raya baru,” katanya.
Beliau turut menempelak pembangkang yang sebelum ini pernah menudug Felda bankrap tetapi bagaimana pula ia boleh disenaraikan dalam Bursa Malaysia jika ia benar-benar berlaku.
“Bagaimana sebuah organisasi yang dikatakan bankrap dapat memberi ‘durian runtuh’ kepada ahli-ahlinya dan kemudian menjadi sebuah organisasi terbesar di dunia selepas facebook dipasarkan dalam pasaran saham.
“Kemudian mereka sindir pula patutnya bagi RM50,000 sedangkan orang yang membawa Felda ke mahkamah inilah yang kemudiannya awal-awal menerima ‘durian runtuh’. Inilah muka tak malu,” katanya.
Lantaran itu, jelasnya sebagai duta kecil negara maka para pelajar harus memahami setiap isu sama ada hal-hal tempatan atau perkara yang melibatkan isu-isu antarabangsa.
“Maklumat-maklumat penting harus diperjelaskan agar perkara sebenar dapat diketahui oleh orang ramai dan para pelajar adalan individu penting yang dapat menyampaikan info-info sebenar dengan cara komunikasi dua hala dalam kelompok-kelompok yang kecil termasuklah di luar negara,” katanya lagi.
Beliau adalah antara rombongan delegasi seramai 25 orang dari UMNO Malaysia yang mengadakan kunjungan balas kepada Golkar dan akan mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dalam pertemuan dengan para pemimpin tertinggi parti Golkar, Parti Demokrat dan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan hari ini.
Turut serta ialah Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Datuk Seri Mahadzir Khalid, Datuk Seri Awang Adek Hussin dan ketua pergerakan sayap Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Pemuda Khairy Jamalauddin; Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. - MediaUMNO
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan