Ahad, 3 Mac 2013

TIAN CHUA BURUKKAN KEADAAN- MUSA

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua hanya memburukkan lagi keadaan apabila mendakwa insiden berdarah di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara UMNO. Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, semua pihak sepatutnya bersatu padu bagi membantu menyelesaikan krisis pencerobohan oleh kumpulan yang mendakwa Tentera Diraja Kesultanan Sulu. Menurut beliau, ahli-ahli politik tidak sewajarnya saling menuduh antara satu sama lain ketika keselamatan negara tergugat.
"Kalau anda tuduh-menuduh antara satu sama lain, ini bermakna anda membuka ruang kepada musuh untuk masuk. "Dalam situasi wilayah negara dicerobohi, kita sebagai rakyat yang setia mesti membantu kerajaan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari in
i. Yang turut hadir bekas Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abu Kassim Mohamad Nor. Tian Chua seperti dipetik dalam portal berita milik PKR, Keadilandaily.com kelmarin mendakwa kejadian yang menyebabkan kematian anggota-anggota pasukan keselamatan negara dan penceroboh dari Filipina itu hanya `sandiwara kerajaan UMNO untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah mewujudkan suasana tidak aman di Sabah. Musa menambah, tindakan beberapa ahli politik pembangkang termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang mempertikaikan keupayaan pihak polis dalam menangani krisis tersebut boleh melemahkan semangat pasukan keselamatan negara. "Sekiranya Yang Berhormat Kit Siang hendak mengetuai satu pasukan yang menggunakan peluru getah, teruskan. Lepas itu kita tengok apa yang akan berlaku," katanya secara sinis. - UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan