Ahad, 3 Mac 2013

NAJIB DAPAT PIMPIN NEGARA DENGAN BAIK- TUN M

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjangka perdana menteri sekarang Datuk Seri Najib Razak dapat memimpin negara ini dengan baik jika Barisan Nasional menang pada pilihan raya umum akan datang. Katanya, bukan mudah untuk menstabilkan negara yang berbilang kaum kerana banyak cabaran perlu ditempuhi bukan sahaja oleh pemimpin tetapi juga rakyat.
“Ini negara berbilang bangsa, berbilang agama, bahasa dan budaya. Justeru kekayaan, pertumbuhan ekonomi, pembangunan dikongsi bersama, ini satu cabaran bagi pemimpin untuk menguruskan semua aspek pada masa yang sama, bagi memastikan kestabilan dan keamanan dalam negara.
“Contohnya, krisis di Eropah sekarang menjejaskan negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat, banyak negara tidak bertumbuh (ekonominya) tetapi kita masih bertumbuh,” katanya ketika menyampaikan syarahan bertajuk ‘The Future of Malaysian Politics’ pada jamuan malam Alumni ICCAM, di sini semalam. Katanya kebanyakan penyokong pembangkang adalah generasi muda yang sentiasa mahu mencari perubahan dan pembangkang pula memanipulasi perkataan ‘perubahan’. “Memandangkan generasi muda sentiasa mahu perubahan, mudahlah bagi pembangkang mendapat sokongan mereka kerana apa yang mereka perlukan ialah sesuatu yang baharu. “Akan tetapi, kerap kali apabila berlaku perubahan, kita mungkin dapat yang lebih teruk,” katanya. Beliau berkata generasi muda kurang menghargai apa yang mereka miliki sekarang kerana mereka belum wujud ketika generasi lama berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah British. – Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan