Rabu, 29 Julai 2015

Muhyiddin nasihat penyokong tidak lakukan perkara yang memudaratkan parti

Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan penyokong-penyokongnya supaya tidak melakukan perkara yang boleh memudaratkan parti dan negara. Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata beliau menghargai sokongan yang ditunjukkan kepadanya oleh semua pihak termasuk netizen dan berharap mereka mengutamakan kepentingan negara. "Saya dapat rasakan perasaan kecewa dan dukacita mereka tetapi apa pun saya berikan nasihat supaya kita harus lebih utamakan kepentingan negara," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini, hari ini. Mengulas mengenai penggugurannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan daripada Kabinet, Muhyiddin berkata beliau dimaklumkan oleh Pejabat Perdana Menteri supaya bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 11 pagi semalam. Pada masa itu, katanya beliau berada di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan untuk merasmikan sebuah sekolah swasta. "Saya hanya dapat jumpa beliau (Najib) pada 12.15 tengah hari...saya tanya apa tujuan saya dijemput, adakah berkaitan rombakan jemaah menteri, beliau angguk. "Adakah ada apa-apa beliau nak cakap kepada saya, beliau rasa susah nak cakap...saya tanya adakah bermakna saya tidak disenaraikan (dalam Kabinet), beliau (angguk) dan saya cakap terima kasih," katanya. Muhyiddin berkata beliau menerima keputusan itu kerana ia merupakan prerogatif perdana menteri. "Bagi saya, itu hak beliau (Najib) sebagai ahli politik yang dah lama berpengalaman, itu hakikat yang saya tak boleh nafikan...saya akur," katanya. Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau dapat melelapkan mata malam tadi walaupun agak lewat kerana menerima kunjungan daripada pelbagai pihak termasuk Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Katanya kunjungan itu sekadar menyatakan perasaan simpati dan bukannya bertujuan merancang sesuatu terhadap kerajaan.

PM Najib berhak untuk rombak Kabinet- Mukhriz

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hak untuk melakukan rombakan Kabinet dan semua pihak perlu menerima perubahan yang dilakukannya, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir. Beliau melahirkan keyakinan bahawa perdana menteri telah pun memikirkan 'semasak-masaknya' tentang apa yang terbaik untuk kerajaan dan politik. "Perdana menteri mempunyai hak untuk membuat sebarang rombakan (Kabinet) dan beliau telah menggunakan kuasa beliau untuk melakukan rombakan semalam. Kita mesti terima apa-apa sekali pun perubahan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu. Dalam rombakan Kabinet semalam, Najib menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan. Beliau melantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri baharu, selain mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Dalam Negeri. Selain itu, perdana menteri turut melantik tujuh muka baharu sebagai menteri dalam barisan Kabinetnya dan menggugurkan empat menteri serta satu timbalan menteri daripada jawatan mereka. Beliau turut membawa masuk beberapa muka baharu sebagai Timbalan Menteri. Mengenai pertemuan dengan Muhyiddin di kediamannya semalam, Mukhriz berkata ia adalah kunjungan biasa untuk mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin di atas jasa-jasanya terhadap Kedah selama ini. "Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan, banyak sekolah dan pelajar-pelajar di Kedah menerima faedah daripada penyaluran peruntukan yang diluluskan oleh Muhyiddin. "Atas sebab itu, saya rasa terpanggil untuk sekurang-kurangnya berjumpa dengan beliau (Muhyiddin) dan mengucapkan terima kasih banyak daripada kerajaan negeri Kedah di atas semua budi baik beliau," katanya. Rombakan semalam turut menyaksikan dua pemimpin dari Kedah iaitu bekas Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik sebagai Menteri Pendidikan manakala Anggota Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Johari Baharom dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan. Pelantikan Mahdzir sebagai Menteri Pendidikan, yang dianggap jawatan kanan dalam Kabinet, merupakan satu penghormatan kepada Kedah, kata Mukhriz sambil mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri. "Ia adalah kementerian yang amat mustahak," katanya dan mengucapkan tahniah kepada Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah. Ditanya sama ada rombakan Kabinet semalam akan menimbulkan masalah kepada UMNO, Mukhriz berkata beliau yakin Najib selaku Presiden parti telah membuat penilaian mendalam tentangnya. "Saya rasa Presiden sudah tentu menilai sedalamnya mengenai reaksi dan persepsi rakyat terhadap rombakan ini, kerana tentunya kita berusaha untuk mengukuhkan kedudukan kita menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya. Menurutnya Najib mungkin melakukan kajian tertentu bagi mengukuhkan rasional di sebalik keputusan melakukan rombakan Kabinet itu. Mengenai mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Jumaat ini, Mukhriz berkata beliau difahamkan sesi penerangan tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diadakan selain kemungkinan adanya perbincangan mengenai rombakan Kabinet.BERNAMA

PAS harap kabinet baru dapat jalan tugas dengan adil

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini berharap barisan Kabinet baharu dapat terus menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan adil dan telus. Beliau berkata adalah terlalu awal bagi PAS untuk menyatakan pendapat berhubung barisan Kabinet itu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini. "Kita tak boleh kata bersetuju atau tidak (dengan barisan Kabinet baharu)... kita tunggu sejauh mana mereka dapat laksanakan tugas khususnya bagi isu melibatkan rakyat dan negara," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat harian Jawatankuasa PAS Pusat di ibu pejabat PAS di sini. Najib hari ini mengumumkan Kabinet baharunya dengan melantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan. Dalam pada itu, Abdul Hadi mengingatkan semua anggota PAS supaya jangan melibatkan diri dengan Gerakan Harapan Baru (GHB) jika tidak mahu tindakan diambil terhadap mereka selain keanggotaan mereka digugurkan. "Kita tunggu laporan lengkap daripada negeri-negeri sebelum mengambil tindakan, kita tidak boleh ambil tindakan berdasarkan maklumat yang dilaporkan di media sahaja," katanya. Beliau berkata pimpinan PAS Pusat yang dipilih pada muktamar parti Jun lepas masih mendapat sokongan akar umbi berdasarkan pertemuan beliau dengan kepimpinan di beberapa negeri. "Kita mendapat respons yang sangat baik dengan lebih 80 peratus pimpinan akar umbi menyatakan sokongan kepada pimpinan pusat yang ada," katanya.

Menteri baru angkat sumpah hari ini

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainudin hari ini mendahului barisan menteri dan timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini. Upacara itu berlangsung di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara pada 10 pagi. Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Selepas Hamzah, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid pula mengangkat sumpah jawatan dan taat setia masing-masing. Mereka kemudian melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. Upacara itu diteruskan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Senator Datuk Seri Panglima Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan. Bagaimanapun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Wilfred Madius Tangau tidak hadir pada istiadat itu. Beliau dilaporkan berada di Itali. Upacara penyerahan surat cara pelantikan serta melafaz sumpah jawatan dan taat setia bagi timbalan menteri menyusul dengan didahului Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Johari Baharom, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed. Turut mengangkat sumpah ialah Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Asyraf Wadjdi Dusuki, Timbalan Menteri Pendidikan Senator Chong Sin Woon dan Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. Ini disusuli olehh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Anak Kujat dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani. Semalam, Najib mengumumkan anggota jemaah menteri dan timbalan menteri baharu bagi mewujudkan pasukan Kabinet yang jitu. Perdana Menteri berkata beliau yakin Kabinet baharu itu dapat meneruskan hasrat kerajaan untuk menjayakan segala perancangan yang telah dijanjikan, meningkatkan keyakinan serta sokongan rakyat kepada Barisan Nasional.

TS Muhyiddin akan terus bantu Najib mantapkan parti

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan meneruskan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO dan membantu Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memantapkan parti. Beliau berkata walaupun tidak lagi menjadi timbalan perdana menteri, ia bukan penghalang atau kekangan kepadanya dalam menjalankan tanggungjawab kepada parti dan negara. "Memang selama ini pun sewaktu menjadi timbalan perdana menteri dan saya adalah juga timbalan presiden parti, saya telah melaksanakan apa yang saya fikir terbaik untuk parti baik dari segi nak mengukuhkan perpaduan dalam parti, perpaduan orang Melayu dan rakyat Malaysia...melaksanakan segala dasar yang patut dilaksanakan parti dan kerajaan supaya rakyat akan terus menyokong kita," katanya dalam sidang akhbar pertamanya selepas digugurkan daripada kabinet. Muhyiddin bagaimanapun berkata beliau memerlukan sedikit masa dalam merancang agenda yang perlu dilaksanakan. "Perkara ini (digugurkan daripada kabinet) baru dihadapi, bagilah saya sedikit masa dan ruang untuk saya 'compose' balik kedudukan saya supaya saya bersikap rasional dan bertanggungjawab. Ini penting supaya apa yang akan saya lakukan pada masa akan datang ialah berdasarkan kedudukan saya sebagai Timbalan Presiden UMNO dan setakat ini Timbalan Pengerusi BN," katanya. Ditanya sama ada beliau boleh bekerjasama dengan Najib, Muhyiddin berkata mengikut perlembagaan parti, Timbalan Presiden akan membantu Presiden UMNO dan anggota Majlis Tertinggi dalam menguruskan parti. Katanya beliau akan memastikan urusan parti berjalan dengan baik bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang. "Saya ambil kira tanggungjawab itu sahaja...saya tidak harus memikirkan apa yang terjadi kepada saya, itu akan mengganggu tugas saya sebagai Timbalan Presiden. "Sebagai Timbalan Presiden masalah yang penting bukan saya, masalah yang penting ialah berkaitan masa depan parti dan rakyat," katanya. Mengenai sama ada beliau akan bersama-sama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengkritik kerajaan, Muhyiddin berkata ia tidak begitu penting. "Saya fikir rakyat pun mahu supaya kita buat perkara yang perlu untuk negara kerana Malaysia negara yang kita cintai...Malaysia memerlukan usaha-usaha untuk membangun sebagai negara maju. "Apa pun pandangan tokoh lama kita tidak boleh ketepikan, beliau (Dr Mahathir) ada pandangan dan beliau masih cergas untuk berikan sumbangan," katanya. Mengenai kemungkinan beliau tidak akan dijemput merasmikan mesyuarat bahagian UMNO di seluruh negara, Muhyiddin berkata ia merupakan hak bahagian tersebut. "Saya sedar mungkin di peringkat awal, banyak orang masih terkejut, saya fikir bila keadaan sudah semakin stabil, mereka akan melihat sama ada saya perlu jalankan tugas sebagai Timbalan Presiden dengan berkesan," katanya. Katanya beliau tidak mempunyai masalah untuk membantu bahagian UMNO yang memerlukan pertolongannya khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang. Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana UMNO Johor telah menyatakan tidak akan menyekatnya menjalankan tugas parti di negeri itu. Muhyiddin juga berkata beliau akan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO seperti biasa serta tidak merasa bimbang dan terhalang. "Ahli MT sudah berpengalaman dan tahu tanggungjawab, mereka bersikap adil dan terbuka dan memberikan ruang pendapat. Saya tidak fikir perkara luar biasa akan berlaku kerana mesyuarat MT biasa saya hadiri," katanya.