Ahad, 3 Mac 2013

MUSA DESAK SIASAT DALANG

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendesak pihak berkuasa menyiasat maklumat media antarabangsa yang mendakwa pembangkang terlibat dalam pencerobohan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina. Menurutnya, pihak berkuasa harus menyiasat sama ada maklumat itu benar atau tidak kerana ia melibatkan isu keselamatan negara. “Pihak berkuasa perlu pastikan sama ada maklumat atau dakwaan itu benar atau tidak. Jika benar, mereka harus mengambil tindakan segera,” katanya. Sebelum ini, media Filipina dipetik melaporkan, perisikan negara itu mendapati individu dalam pembangkang sebagai dalang kepada isu di Lahad Datu.
Beliau juga menyelar kenyata
an beberapa ahli politik yang cuba memperlekehkan usaha pasukan keselamatan, kerana ia dilihat dapat mengeruhkan lagi keadaan.
“Sepatutnya semua orang bersatu padu untuk menentukan konflik itu dapat diselesaikan, bukan tuduh menuduh antara satu sama lain,” katanya pada sidang media bersama wakil 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), di sini, semalam. Beliau berkata, kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah baik dan mampu menamatkan konflik di Lahad Datu. “Saya percaya beberapa pegawai yang terlibat dalam operasi itu cukup berpengalaman. Mereka boleh memberi pandangan untuk menangani masalah tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Nor menasihatkan penduduk Sabah terutamanya yang tinggal di kawasan berlakunya insiden pecerobohan di Lahat Datu dan Semporna memberikan kerjasama kepada pihak polis bagi membantu pihak berkuasa membanteras dan menyelesaikan insiden pencerobohan kumpulan bersenjata dari Selatan Filipina.
Rahim berkata, antara bentuk kerjasama yang boleh diberikan termasuklah menyalurkan maklumat kepada polis jika mendapati mana-mana individu yang mencurigai berada di kawasan mereka. “Kemungkinan mereka ini menyerupai warga tempatan dan membolehkan mereka menyeludup masuk. Jadi penduduk tempatan harus berhati-hati dan sesiapa yang mereka syak, mesti segera lapor. “Penduduk tempatan harus tahu bahawa orang Sulu ini adalah keturunan lanun. Mereka kuat jadi perlu sangat berhati-hati. Kalau ada orang yang tidak dikenali, jangan mudah buka pintu atau beri makan dan minum,” katanya kepada Sinar Harian Online. Sementara itu, Rahim menambah, kerjasama ini penting bagi memastikan pihak penceroboh tidak akan mengambil kesempatan terhadap orang awam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan