Selasa, 13 Mei 2014

Kerajaan BN masih kekal takbir Terengganu- MB

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman menegaskan Barisan Nasional (BN) masih kekal mentadbir negeri itu dengan majoriti 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Beliau berkata setakat ini, Speaker DUN Terengganu Mohd Zubir Embong masih belum menerima secara rasmi surat yang memaklumkan tiga Adun BN itu mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil rakyat bebas. "Perkara itu masih belum sahih...kita masih dalam keadaan stabil (17 kerusi), BN masih memerintah...apa yang berlaku ada yang tersirat dan akan menguatkan lagi kepimpinan kerajaan Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memulakan tugas rasmi pertamanya sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu dengan mengetip kad perakam waktu pada 7.43 pagi ini. Ahmad Razif juga berkata beliau bersama kesemua 16 Adun BN Terengganu yang lain akan mengadakan perjumpaan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini. Ditanya sama ada tiga Adun terbabit turut serta dalam perjumpaan bersama Perdana Menteri itu, Ahmad Razif bagaimanapun berkata beliau tidak tahu dan secara peribadi, masih belum berjumpa dengan tiga Adun terbabit. Awal pagi semalam, tiga Adun BN mengisytihar keluar daripada Umno untuk menjadi wakil rakyat bebas selepas pelantikan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar baharu. Tiga Adun berkenaan ialah bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said (Kijal), Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi). Bagaimanapun, Roslee menarik balik perisytiharan keluar Umno dan kembali menjadi wakil rakyat BN dan perkara itu disahkan Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Mohd Jidin Shafee. Ditanya apa tindakan beliau dalam menangani kemelut politik di negeri itu, beliau menegaskan akan menyelesaikan perkara itu secepat mungkin sekali gus menepis pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat untuk memastikan kelancaran pentadbiran di Terengganu berjalan seperti biasa. -- BERNAMA

Krisis Terengganu- Rakyat diminta bertenang BN masih lagi memerintah

Pemimpin dan anggota Barisan Nasional (BN) diminta bertenang berikutan perkembangan terbaru politik di Terengganu kerana parti itu masih kekal memerintah kerajaan negeri, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. shafie-apdal-semporna-sabah-menteri-naib-presiden-umno-bn Beliau berkata anggota BN perlu berdiri teguh dengan kepimpinan Menteri Besar Terengganu yang baharu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman bagi memastikan kekuatan parti untuk memerintah kerajaan Terengganu dapat dipertingkatkan. “Dari segi perlembagaan, kita (BN) masih lagi kerajaan di situ dan sudah ada pengganti selaku Menteri Besar. Selagi tiada makluman daripada (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) atau tuanku, keadaan masih lagi O.K.,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di kediaman beliau di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan tiga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said keluar parti dan menjadi wakil Bebas. Mohd Shafie berkata kerajaan BN masih kekal memerintah negeri Terengganu apabila speaker DUN turut dikira bersama 14 Adun BN yang masih tinggal, selepas tiga Adun keluar parti dan menjadi wakil Bebas. Mohd Shafie berkata Ahmad yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal bersama Adun Ajil Ghazali Taib serta Adun Bukit Besi Roslee Daud masih tidak menyatakan pendirian mereka sama ada menyokong BN atau sebaliknya. “Perlu ada penjelasan…tidak bererti mereka masuk Bebas mereka sokong pembangkang. Perlu ada pernyataan atau makluman kepada pihak istana, barulah istana yakin bahawa keadaan itu dah diperakukan,” katanya. Mengenai persefahaman antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Ahmad berhubung peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu, Shafie berkata persefahaman itu telah wujud sejak setahun lalu. “Ada persefahaman antara Perdana Menteri dengan Ahmad Said di peringkat awal iaitu persefahaman untuk membolehkan supaya melanjutkan pelantikan beliau (Ahmad) menjadi Menteri Besar Terengganu. “Waktu itu ada pergolakan di Terengganu, keadaan itu agak membimbangkan, ada yang setuju ada yang tak setuju, bagi mengelakkan keadaan itu tidak berlarutan, maka dah dipersetujui supaya dilanjutkan sehingga setahun. Saya yakin Ahmad Said faham tentang perkara ini,” katanya. Beliau menegaskan khabar angin kononnya DUN Terengganu dibubarkan adalah tidak benar sambil meminta masyarakat tidak mudah mempercayai maklumat yang tiada kesahihannya. “Tanggapan itu tidak benar seperti yang dinafikan speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu (Mohd Zubir Embong). Saya pasti ada orang ambil peluang untuk membuat sesuatu yang boleh melemahkan kekuatan BN di Terengganu,” katanya. Mengenai laman sosial heboh mengatakan bahawa perkembangan terbaru politik di Terengganu mempunyai persamaan dengan Perak yang berlaku sebelum ini, Shafie sama sekali mengatakan bahawa apa yang berlaku di kedia-dua negeri itu adalah berbeza. “Di Perak lain di Terengganu lain kerana di Terengganu persefahaman di antara Perdana Menteri dengan bekas Menteri Besar Terengganu manakala di Perak krisis berlaku di antara BN dengan pembangkang,” katanya.

Speaker DUN Terengganu nafi bubar Dewan Undangan Negeri

Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, Mohd Zubir Embong hari ini menafikan khabar angin kononnya dewan undangan negeri dibubarkan berikutan perkembangan politik terbaru di negeri ini. Dewan Undangan negeri hanya boleh dibubarkan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, katanya. "Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mesti menghadap Tuanku Sultan untuk memperkenankan pembubaran Dun Terengganu dan setakat ini ia masih belum berlaku. "Bagaimana nak bubarkan Dun, sedangkan saya sebagai Speaker Dun pun masih belum terima sebarang surat untuk membubarkannya," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin. Khabar angin tersebar luas melalui SMS dan aplikasi Whatsapp kononnya Dun Terengganu dibubarkan secara rasmi hari ini dan pilihan raya negeri Terengganu akan diadakan dalam masa 60 hari. Mohd Zubir turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. Khabar angin tersebar selepas bekas menteri besar Terengganu dan anggota DUN Kijal Datuk Seri Ahmad Said dan dua lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dari Umno - Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi)- mengisytiharkan keluar daripada parti dan menjadi wakil Bebas. Dengan perkembangan terbaru politik itu, wakil BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) kini tinggal 14, PAS (14) dan PKR (1). Selepas Ahmad meletak jawatan sebagai menteri besar semalam, Adun Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baharu malam tadi.BERNAMA