Rabu, 9 Mac 2016
Sidang DUN Terengganu berjalan lancar hari ini
eri (DUN) Terengganu yang kecoh semalam berikutan cadangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, berjalan lancar hari ini.
Adun Kijal Datuk Seri Ahmad Said yang mengemukakan cadangan itu tidak langsung kelihatan sehingga selesai sesi penggulungan titah ucapan Sultan, Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan DUN ke-13 itu.
Ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, Ahmad Razif melahirkan rasa syukur kerana persidangan hari terakhir itu berjalan lancar, selain mendapat sokongan padu anggota DUN Barisan Nasional.
"Saya ucap terima kasih lah kepada semua yang terlibat dalam memastikan sidang DUN berakhir dengan baik, terima kasih dan syabas kepada Speaker DUN Datuk Mohd Zubir Embong yang berjaya mengawal suasana dengan begitu baik sekali.
"Begitu juga dengan media, saya ucap terima kasih atas laporan berita yang dibuat kerana ini dapat menangkis berita-berita yang tak betul dan tersebar tentang keadaan di Terengganu.
"Ini penting kerana dalam keadaan kita hendak menyambut Tahun Melawat Terengganu 2017, sudah pasti suasana yang aman dan tenang diperlukan untuk menarik kedatangan pelancong," katanya.
Mengulas mengenai sokongan semua 15 ADUN Barisan Nasional kecuali Ahmad Said, beliau berkata semua ADUN terlibat telah menyatakan ikrar sokongan kepada kepimpinannya secara sukarela, dan turut menandatangani surat ikrar itu dalam satu mesyuarat semalam.
Awal pagi tadi, hampir 300 orang berkumpul di perkarangan Wisma Darul Iman bagi menyatakan sokongan terhadap Ahmad Razif.
Mereka turut membawa sepanduk dan melaungkan sokongan terhadap Menteri Besar.
Pada pukul 8.30 pagi Ahmad Razif, barisan Exco dan beberapa pemimpin kerajaan bersama-sama menunaikan solat sunat gerhana sebelum turun ke dewan persidangan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Roslee Daud berkata sokongan yang diberi kepada Ahmad Razif tidak berbelah bahagi.
"Aspirasi Menteri Besar dalam meneruskan legasi pembangunan yang dimulakan tiga Menteri Besar sebelum ini semuanya membawa kebaikan kepada rakyat.
"Sudah tentu beliau memerlukan sokongan semua Exco dan ADUN UMNO untuk merealisasikan matlamat seperti yang digariskan dalam Transformasi Terengganu Baharu," katanya.
ADUN Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar pula berpendapat tindakan Ahmad Said itu dilihat dipengaruhi oleh tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang cuba menyingkirkan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Jadi saya rasa perkara ini berjangkit di sini yang melibatkan kuncu-kuncunya untuk memalukan Datuk Seri Najib di mana kita tahu Menteri Besar sekarang ialah pilihan Datuk Seri Najib.
"Namun kejadian ini secara tidak langsung telah membina satu kekuatan dalaman UMNO untuk terus bersatu padu dan mengenal siapa lawan dan siapa kawan dalam meneruskan perjuangan," katanya.
ADUN Jabi, Mohd Iskandar Jaafar pula berkata, keputusan dalam menentukan pucuk pimpinan kerajaan dibuat secara konsensus oleh parti memerintah.
"Dalam hal ini Umno adalah tunjang kepada kerajaan BN di Terengganu, maka pucuk pimpinan Umnolah yang berhak menentukan jika ada sebarang perubahan pimpinan.
"Ahmad Razif adalah pemimpin yang disepakati untuk disokong oleh semua ADUN BN Terengganu sebagaimana diputuskan pada tahun 2014 dulu," katanya.BERNAMA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan