Jumaat, 14 November 2014

Teguran Presiden terhadap UMNO Selangor harus dijadikan peringatan

Teguran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap Umno Selangor baru-baru ini perlu dijadikan peringatan untuk semua jentera parti di seluruh negara agar terus memenangi hati rakyat, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Senator Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah. Sehubungan dengan itu, beliau berkata anggota Umno juga perlu menangani cabaran luar dengan terus bergerak memberi pelbagai penerangan kepada rakyat supaya para pengundi khususnya pengundi atas pagar yakin terhadap Umno. Beliau berkata dengan usaha kerajaan dalam melaksanakan pelbagai transformasi bagi memacu pembangunan negara, tiada sebab untuk rakyat tidak menyatakan sokongan berbelah-bahagi terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN). "Sekiranya Umno dan BN kalah pada PRU-14, maka saya rasa ia sesuatu yang gelap dan malang buat orang Melayu dan negara," kata beliau kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja bengkel politik pada Konvensyen Umno Johor di sini, Jumaat. Pada Konvensyen Umno Selangor 1 Nov lepas, Najib, yang juga Presiden Umno itu memberi teguran keras kepada kepimpinan Umno Negeri Selangor kerana masih belum dapat memenangi hati rakyat dan pengundi di negeri berkenaan. Dalam masa yang sama, Ibrahim turut mengingatkan agar ahli Umno terus menangani masalah dalaman di kalangan anggota parti dengan segera bagi memastikan parti ditunjangi orang Melayu itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 sekaligus kekal relevan. Ibrahim, yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Umno, berkata kegagalan Umno dalam menangani masalah itu dibimbangi menjadikan orang Melayu tidak dapat memerintah negara ini buat selama-lamanya sekiranya parti itu dan BN kalah pada pilihan raya akan datang. "Masalah dalaman khususnya perpaduan dalam kalangan anggota perlu diselesaikan segera dengan bermuhasabah dan bersatu padu demi parti tanpa mengambil kira kepentingan peribadi," kata beliau. Ibrahim berkata sehubungan itu juga, konvensyen Umno Johor merupakan landasan terbaik untuk parti menyedari cabaran politik hari ini dan isyarat untuk anggota parti bekerja bersungguh-sungguh demi survival parti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan