Ahad, 19 Oktober 2014

Saya tidak akan layan politik jahat- Dyana Sofya

"Saya berasa marah tetapi saya tidak akan layan politik jahat macam ini," demikian kata bekas calon PRK Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud kepada Sinar Online, hari ini. Dyana Sofya menegaskan serangan peribadi ke atasnya kali ini adalah kerana beliau seorang wanita yang mudah dibuli seperti mana tuduhan ke atas beliau berpakaian bikini untuk ke parti ketika kempen pilihan raya lalu. "Hal ini menjijikkan bagaimana mereka tetap menggunakan politik longkang terhadap pembangkang. "Sebagai seorang wanita, saya sasaran yang mudah. Sebab saya wanita, saya dilihat sebagai mudah dibuli. Saya marah, tetapi saya tak nak layan politik jahat macam ini," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), hari ini. Beliau berkata demikian mengulas penyebaran gambar miripnya dan juga Ahli Parlimen Bukit Bendara, Zairil Khir Johari menjadi viral tersebar melalui media sosial WhatsApp dan blog tempatan sejak pagi tadi. Gambar intim sebanyak sembilan keping itu dalam posisi berpelukan dengan berpakaian secara formal dan santai di beberapa lokasi termasuk kereta dan kawasan umum. Sementara itu,Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak yang menyebarkan gambar intim mirip wajahnya dan calon PRK Telok Intan, Dyana Sofya Mohd Daud yang kini menjadi viral dalam media sosial sejak awal pagi ini. Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP juga menafikan sekeras-kerasnya sebagai pelaku dalam gambar itu sambil menyifatkannya sebagai fitnah untuk menjatuhkan kariernya sebagai pemimpin Melayu dalam DAP. "Saya tak nak komen sangat isu bebal macam ini, cuma hendak cakap politik longkang di Malaysia semakin teruk. "Bukan kali pertama difitnah atau menjadi mangsa, sudah tiada isu lain hendak main," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Sinar Online, hari ini. Awal pagi tadi, gambar dua mereka menjadi viral apabila ia mula tersebar melalui media sosial WhatsApp dan blog tempatan. Gambar intim sebanyak sembilan keping itu menunjukkan aksi intim didakwa menyerupai Zairil dan Dyana dalam posisi berpelukan sama ada berpakaian secara formal mahupun tidak formal di beberapa lokasi termasuk kereta dan kawasan umum. Salah satu blog yang menyebarkan gambar intim itu bagaimanapun mahu dua pemimpin Melayu DAP tersebut tampil menafikan perkara tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan