Rabu, 15 Oktober 2014
Pelan Strategik Pelancongan Asean hampir selesai dilaksana- Nazri Aziz
Kira-kira 75 peratus daripada 86 langkah yang disusun dalam Pelan Strategik Pelancongan Asean (ATSP) 2011-2015 selesai dilaksanakan.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pelan itu digubal bagi meningkatkan daya saing serta kerjasama pelancongan Asean dalam menuju ke arah penubuhan Komuniti Asean pada 2015.
ATSP, katanya, memberi fokus terhadap strategi serampang tiga mata iaitu memajukan produk serantau bersifat pengalaman dan inovatif, meningkatkan kualiti sumber manusia, perkhidmatan dan kemudahan dan menambah baik kemudahan perjalanan serta kesalinghubungan Asean.
Dengan ATSP 2011-2015 menuju ke penghujungnya dan kewujudan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) 2015 semakin hampir, pertubuhan pelancongan kebangsaan Asean sudah mula mengkaji tentang pelan susulannya, kata beliau.
Mohamed Nazri berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama bertajuk 'AEC 2015 - Where is Tourism Heading?" pada Pacific Asia Travel Association (PATA) Hub City Forum: Kuala Lumpur di sini hari ini.
Kata Mohamed Nazri: "Dalam tempoh pasca ATSP 2015, Asean diharapkan menjadi destinasi pelancongan berkualiti, yang menawarkan pengalaman unik serta bersifat pelbagai dan komited kepada tanggungjawab, kelestarian dan pembangunan pelancongan bersifat inklusif."
Beliau berkata strategi seterusnya perlu disusun bagi menambah daya saing, meningkatkan pembangunan modal insan serta mengukuhkan gandingan strategik dalam kalangan negara anggota Asean dan sektor swasta.
Strategi berkenaan, katanya, perlu juga menitikberatkan tentang usaha memperbanyakkan produk pelancongan bersama dan pembangunan pakej, menambah baik kesalinghubungan melalui udara, darat dan laut, menyelesaikan isu kemudahan visa serta pengurusan krisis dan perubahan iklim.
Forum sehari itu dihadiri kira-kira 250 peserta, yang terdiri daripada anggota persatuan pengembaraan dan perdagangan tempatan dan antarabangsa.BERNAMA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan