Isnin, 4 Mac 2013

BELAJARLAH PERISTIWA LAHAD DATU

Oleh Ibrahim Yahaya KUALA LUMPUR : Terlebih dulu, ucapan Al-fatihah kepada perwira yang terkorban di Lahad Datu hari ini. Semoga roh pejuang ini ditempatkan bersama roh orang soleh dan salam takziah kepada keluarga pejuang yang sudah pasti merasai kehilangan orang tersayang. Peristiwa Lahad Datu ini sudah pasti akan membuka mata dan minda kita mengenai betapa mudahnya negara ini diceroboh oleh orang luar. Ini kerana sebagai sebuah semenanjung amat sukar untuk kita menjaga setiap inci pesisir pantai kita tambahan pula negara ini sudah menjadi 'gula' yang menarik banyak 'semut' ke sini termasuk kedatangan orang Myanmar ke Pulau Langkawi. Jika kita menempatkan semua perwira negara menjaga pesisir pantai negara, ia tidak juga akan menyelesaikan masalah ini tambahan pula ada tempat yang terlalu dekat sehinggakan kita tidak dapat membezakan antara orang kita dengan penceroboh. Antara tempat itu ialah Golok dan Lahad Datu. Selain itu, kegiatan dalang tempatan yang membawa masuk PATI turut menyumbang kepada kebanjiran orang luar di negara ini. Apatah lagi jika ada pemimpin tertentu yang dikatakan oleh media Filipina terbabit dalam kejadian di Lahad Datu. Penduduk Sulu dikatakan sering berulang-alik ke Lahad Datu sama ada untuk mendapatkan bekalan atau bertemu dengan sanak-saudara mereka di sini. Sudah tentulah sebelum ini perjalanan mereka tidaklah sukar sangat kerana sifat mereka yang tidak menunjukkan sebarang reaksi yang boleh mengganggu keselamatan negara. Apatah lagi yang datang ialah orang tua, wanita dan kanak-kanak. Sebelum sebarang penjelasan diberikan oleh kerajaan bagaimana kumpulan penceroboh itu boleh masuk ke negara ini, sudah tentulah 'suasana' yang disebut di atas tadi, pasti tidak terlintas oleh mana-mana pihak ada golongan yang akan berani membuat 'kacau' seperti yang berlaku pada 12 Februari lalu. Ia mungkin didorong atau terdorong. Apabila penceroboh itu 'sudah berada' di negara ini dengan jumlah yang ramai iaitu dikatakan 180 orang termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua, persoalannya ialah apakah strategi yang terbaik untuk menyelesaikan isu pencerobohan ini? Sudah tentu pihak keselamatan memikirkan kaedah berperang bukanlah satu strategi yang baik, walaupun ada pihak yang mungkin mahu ia berlaku, sebalik memikirkan pendekatan perundingan yang boleh mendatangkan keadaan 'tepung tidak berselerak selepas rambut ditarik.' Tidak hairanlah selama lebih dua minggu usaha untuk berunding dan terus mengepung dilaksanakan berbanding tindakan menyerang penceroboh itu yang mahu mengaku bahawa Sabah adalah tanah mereka sedangkan mereka tahu bahawa itu tidak mungkin berlaku pada masa sekarang. Akhirnya, hari ini pada 1 Mac penceroboh dikatakan mengambil sikap menyerang pejuang negara sehingga menyebabkan tiga terbunuh (sehingga berita ini ditulis) dan 12 orang penceroboh terbunuh seperti yang dilaporkan oleh media elektronik malam ini. Sudah sampai masanya untuk memastikan urusan kemasukan ke negara ini diperketatkan tidak kira yang mahu masuk itu orang tua, kanak-kanak atau wanita. Asalkan mereka bukan rakyat negara ini harus dihantar pulang atau ditangkap untuk ditempatkan di pusat tahanan. Penulis yang pernah mencari kapal muhibah (yang membawa penduduk Sabah dan Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya) dikatakan tenggelam di perairan Johor pernah ditahan oleh Kastam Indonesia kerana termasuk sedikit ke kawasan mereka. Setelah diminta naik ke kapal dan penulis menjelaskan perkara itu, kami (bersama jurugambar Ridzuan) dilepaskan. Itu baru masuk sedikit ke perairan Indonesia sudah ditahan dan sudah tentulah jika ada yang sudah berada di pantai kita dan tidak mempunyai surat yang sah, perlu ditahan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Semoga kerajaan dapat menyelesaikan isu di Lahad Datu seterusnya dan bukan saja rakyat negara ini sedang memerhati malah seluruh dunia pasti mahu menunggu berakhirnya peristiwa bersejarah yang turut diulas oleh ahli politik setengah masak yang mengatakan ia dilakukan oleh parti tertentu dan ada juga pemimpin pembangkang yang suka menyemaikan perasaan benci kepada kerajaan menyatakan kejadian polis terbunuh tidak patut berlaku.Sumber DUnia Tiger

Tiada ulasan:

Catat Ulasan